Thursday, December 18, 2008

Ciri-Ciri Orang Yang Mencintai Kamu

1] Orang yang mencintai kamu tidakpernah mampu memberikan alasan kenapa dia mencintai kamu. Yang dia tahu dihati dan matanya hanya ada kamu satu-satunya.

2] Walaupun kamu sudah memiliki teman istimewa atau kekasih, dia tidakperduli! Baginya yang penting kamu bahagia dan kamu tetap menjadi impiannya.

3] Orang yang mencintai kamu selalu menerima kamu apa adanya, di hati dan matanya kamu selalu yang tercantik walaupun mungkin kamu merasa berat badan kamu sudah bertambah.

4] Orang yang mencintai kamu selalu ingin tahu tentang apa saja yang kamu lalui sepanjang hari ini, dia ingin tahu kegiatan kamu.

5] Orang yang mencintai kamu akan mengirimkan SMS seperti 'selamat pagi','selamat hari minggu', 'selamat tidur', 'take care', dan lain-lain lagi, walaupun kamu tidak membalas SMS-nya, kerana dengan kiriman SMS itulah dia menyatakan cintanya, menyatakan dalam cara yang berbeda, bukan "aku CINTA padamu", tapi berselindung ayat selain kata cinta itu.

6] Jika kamu menyambut hari tahun dan kamu tidak mengundangnya ke majlis yang kamu adakan, setidak-tidaknya dia akan menelefon untuk mengucapkan selamat atau mengirim SMS.

7] Orang yang mencintai kamu akan selalu mengingat setiap kejadian yang dia lalui bersama kamu, bahkan mungkin kejadian yang kamu sendiri sudah melupakannya, kerana saat itu ialah sesuatu yang berharga untuknya. dan saat itu, matanya pasti berkaca.kerana saat bersamamu itu tidak bisa berulang selalu.

8] Orang yang mencintai kamu selalu mengingati setiap kata-kata yang kamu ucapkan, bahkan mungkin kata-kata yang kamu sendiri lupa pernah mengungkapkannya kerana dia menyematkan kata-kata mu di hatinya,berapa banyak kata-kata penuh harapan yang kau tuturkan padanya, dan akhirnya kau musnahkan? pasti kau lupa, tetapi bukan orang yang mencintai kamu.

9] Orang yang mencintai kamu akan belajar menggemari lagu-lagu kegemaran kamu, bahkan mungkin meminjam CD milikkamu, kerana dia ingin tahu apakgemaran kamu - kesukaan kamu kesukaannya juga, walaupun sukar meminati kesukaan kamu, tapi akhirnya dia berjaya.

10] Kalau kali terakhir kalian bertemu kamu mungkin sedang selesema, ataubatuk-batuk, dia akan sentiasamengirim SMS atau menelefon untuk bertanya keadaan kamu - kerana dia bimbangkan tentang kamu, peduli tentang kamu.

11] Jika kamu mengatakan akan menghadapi ujian, dia akan menanyakan bila ujian itu berlangsung, dan saat harinya tiba dia akan mengirimkan SMS 'good luck' untuk memberi semangat kepada kamu.

12] Orang yang mencintai kamu akan memberikan suatu barang miliknya yang mungkin buat kamu itu ialah sesuatu yang biasa, tetapi baginya barang itu sangat istimewa.

13] Orang yang mencintai kamu akan terdiam sesaat, ketika sedang bercakap di telefon dengan kamu, sehingga kamu menjadi bingung. Sebenarnya saat itudia merasa sangat gugup kerana kamu telah menggegarkan dunianya.

14] Orang yang mencintai kamu selalu ingin berada di dekat kamu dan ingin menghabiskan hari-harinya hanya dengan kamu.

15] Jika suatu saat kamu harus pindah ke daerah lain, dia akan sentiasa memberikan nasihat agar kamu waspada dengan persekitaran yang boleh membawa pengaruh buruk kepada kamu. dan jauh dihatinya dia benar-benar takut kehilangan kamu, pernah dengar 'jauhdimata, jauh dihati?'

16] Orang yang mencintai kamu bertindak lebih seperti saudara daripada seperti seorang kekasih.

17] Orang yang mencintai kamu sering melakukan hal-hal yang SENGAL seperti menelefon kamu 100 kali dalam masa sehari. Atau mengejutkan kamu ditengah malam dengan mengirim SMS.Sebenarnya ketika itu dia sedang memikirkan kamu.

18] Orang yang mencintai kamu kadang-kadang merindukan kamu dan melakukan hal-hal yang membuat kamu pening kepala. Namun ketika kamu mengatakan tindakannya itu membuat kamu terganggu dia akan minta maaf dan tak akan melakukannya lagi.

19] Jika kamu memintanya untukmengajarimu sesuatu maka ia akan mengajarimu dgn sabar walaupun kamu mungkin orang yang terbodoh di dunia! bahkan dia begitu gembira kerana dapat membantu kamu. dia tidak pernah mengelak dari menunaikan permintaan kamu walau sesukar mana permintaan mu.

20.Kalau kamu melihat handphone-nya maka nama kamu akan menghiasi sebahagian besar INBOX-nya.. Dia masih menyimpan SMS-SMS dari kamu walaupun ia kamu kirim berbulan-bulan atau bertahun-tahun yang lalu. Dia juga menyimpan surat-surat kamu di tempat khas dan segala pemberian kamu menjadi benda-benda berharga buatnya.

21] Dan jika kamu cuba menjauhkan diri daripadanya atau memberi reaksi menolaknya, dia akan menyedarinya dan menghilang dari kehidupan kamu,walaupun hal itu membunuh hatinya.

22] Jika suatu saat kamu merindukannya dan ingin memberinya kesempatan dia akan ada menunggu kamu kerana sebenarnya dia tak pernah mencari orang lain. Dia sentiasa menunggu kamu.

23] Orang yang begitu mencintaimu,tidak pernah memaksa kamu memberinya sebab dan alasan, walaupun hatinya meronta ingin mengetahui, kerana dia tidak mahu kamu terbeban dengan karenahnya. saat kau pinta dia berlalu, dia pergi tanpa menyalahkankamu, kerana dia benar-benar mengerti apa itu cinta.

Wednesday, December 17, 2008

Romantis dalam seminggu

Benarkah romantis hadir tanpa boleh dipaksa atau kamu sendiri yang merancang kehadirannya?

ADA banyak cara boleh dilakukan untuk menunjukkan kasih kamu kepadanya. - Gambar hiasan

WALAUPUN kerap kali memadahkan kata-kata sayang kepada si dia tetapi, kamu masih tercari-cari idea pengucapan yang kreatif dan romantis untuk dilontarkan kepadanya. Padahal, perasaan romantis dalam sebuah perhubungan amat jelas diperlukan. Itulah yang membuatkan hubungan kamu dan si dia bertambah intim.
Persoalannya, tidak semua orang mempunyai sikap romantis yang berterusan. Walaupun kehadirannya tidak boleh dipaksa tetapi, bagaimana pula jika kamu tergolong dalam insan yang tidak romantis? Sekiranya benar, usah risau kerana kamu masih mempunyai masa untuk meraih gelaran romantis hanya dalam tempoh satu minggu. Ikuti panduan di bawah ini.

Hari pertama
Buat catatan berunsur pernyataan cinta kamu kepada pasangan di atas sekeping nota atau sebuah buku yang dihias indah. Catatan yang ditulis itu boleh digantikan dengan serangkap puisi. Jadi, kamu tidak perlu lagi mengucapkan I love you sekiranya berasa malu atau tidak selesa. Letakkan catatan atau puisi tersebut di tempat yang mudah dilihat dan senang ditemuinya.
Misalnya di atas meja makan, saku jaketnya atau di atas kusyen keretanya. Jangan lupa tampilkan nama kamu sebagai penulis catatan. Dengan cara ini, dia tidak perlu lagi menunggu giliran untuk kamu menyatakan rasa cinta kepadanya. Jika agak sulit untuk meninggalkan catatan tanpa diketahui atau tidak sempat bertemu dengannya pada awal pagi, luahkan rasa itu menerusi Pesanan Khidmat Ringkas (SMS) atau e-mel.
Begitu juga, tiada bezanya sewaktu menunggu kepulangannya dari tempat kerja. Luahkan perasaan romantis kamu terhadapnya dengan cara memeluk erat pasangan sambil memberi ciuman mesra. Katakan kepadanya betapa kamu mencintai dan merinduinya setiap masa. Kongsi bersamanya tentang apa yang dilakukan seharian. Jadikan satu kebiasaan baru buat diri kamu.

Hari kedua
Sekiranya, sebelum ini kamu bukan pasangan yang gemar mengirim sejambak bunga, kini lakukannya sebagai rutin minggu atau bulanan. Pesan sejambak bunga atau sekuntum bunga segar dan kirimkan ke pejabatnya atau letak sendiri di atas meja pasangan. Jika hari ini kamu membuat temu janji dengannya, berikan dia sedikit kejutan. Kamu seharusnya membuang rasa segan untuk membawakan hidangan, minuman, atau ais krim kegemarannya.
Sekiranya kamu lupa untuk membelinya, peluk dan beri ciuman mesra saat bertemu dengannya. Pelukan dan ciuman kamu mampu mewakili perasaan rindu dan cinta kamu kepadanya.

Hari ketiga
Jika jarak tempat kerja kamu dan pasangan tidak terlalu jauh, cuba aturkan waktu makan tengah hari bersama. Setelah kembali ke pejabat masing-masing, kamu seharusnya mengirimkan SMS atau e-mel berisi ungkapan perasaan senang kamu pada waktu makan tengah hari bersamanya sebentar tadi.

Hari keempat
Telefon pasangan pada siang hari saat dia sedang menikmati waktu lapang. Tanyakan kepadanya, adakah dia sudah ada temu janji pada malam ini. Jika belum, cuba bincang dan lakukan perkara romantis pada malam ini. Ingat, malam romantis tidak seharusnya diisi dengan candlelight dinner di restoran mewah atau eksklusif. Makan di pinggir jalan dengan hidangan lazat, dalam suasana tenang sambil diiringi lagu kegemaran kamu berdua sudah cukup membangkitkan rasa romantis di antara kamu.

Hari kelima
Adakah pasangan mempunyai waktu terluang? Jemput dia datang ke rumah sebaik dia pulang dari tempat kerja. Siapkan makanan kegemarannya dan sajikan di bawah cahaya lampu lilin.
Dengan menulis menggunakan pensil, buat gambar hati bersaiz besar. Tuliskan kalimat I love you di tengahnya. Letakkan gambar itu di tempat yang mudah dilihat saat dia menjejak kaki ke rumah kamu.

Hari keenam
Jika cuaca baik, kamu harus mengajak pasangan menikmati udara luar. Bukan ke kelab atau pusat beli-belah, tetapi menikmati keindahan dengan berjalan kaki bersama di taman. Ceritakan kenapa dia begitu istimewa buat kamu.

Hari ketujuh
Cinta tidak semestinya selalu bersama dan bertemu setiap hari. Beri kesempatan kepada pasangan untuk beristirehat bersama sahabat mahupun ahli keluarganya. Kamu boleh menggunakan hari itu untuk menghiasi potret wajah kamu berdua di dalam bingkai dan hadiahkan kepadanya pada esok hari.
Meskipun tidak bertemu, kamu masih berpeluang menunjukkan kehadiran menerusi panggilan telefon. Ucapan selamat tidur atau mengalunkan puisi romantis sebelum dia melelapkan mata mampu melahirkan rasa kasih dan romantis kamu terhadapnya.
NOOR HASLIZA NUSI

Isyarat si kecil


Kebaikan pertama menggunakan bahasa isyarat bayi adalah untuk memberi peluang kepada anak meluahkan keperluan dan buah fikiran yang penting.

BAHASA isyarat dapat mewujudkan komunikasi dua hala antara ibu dan anak.

SEBELUM bayi anda pandai menterjemahkan permintaan dan keperluannya dengan menuturkan kata-kata, biasanya terdapat satu kemahiran yang dikuasainya terlebih dahulu.
Kebanyakan bayi akan menguasai tindak balas kompleks pada otot-otot wajah menerusi beberapa kaedah. Misalnya, menggunakan kedudukan lidah, pembentukan bibir dan laluan pernafasan serta kawalan pernafasan.

Sebenarnya, banyak manfaatnya apabila seseorang bayi menggunakan bahasa isyarat bayi. Malah, sesetengah pengamal kemahiran ini tidak faham mengapa sebilangan ibu bapa tidak mengajar bayi mereka bentuk komunikasi ini.

Hakikatnya, setiap orang daripada kita pernah melalui hari-hari yang sukar untuk berkomunikasi dengan kaedah yang boleh difahami oleh orang lain. Hasilnya, timbul perasaan geram yang tidak terhingga. Seperti juga orang dewasa, bayi akan menghadapi masalah serupa.

Mengimpikan sesuatu tetapi gagal menjelaskannya boleh mengakibatkan tindakan seperti menangis sekuat hati, geram atau melenting sesuka hati.

Jadi, kebaikan pertama menggunakan bahasa isyarat bayi adalah untuk memberi peluang kepada anak meluahkan keperluan dan buah fikiran yang penting.

Oleh kerana bayi dan anak kecil belajar berkomunikasi pada awal usia, maka, minda bayi sebenarnya membentuk dan meningkatkan minat mereka terhadap kemahiran berkomunikasi.
Bayi dilahirkan dengan naluri dan keperluan untuk berkomunikasi. Akan tetapi, proses pembelajaran berkomunikasi mungkin mengambil sedikit masa. Namun, bayi mampu menguasai kemahiran motor yang bermula seawal usia setahun jagung.

Kajian mendapati biarpun bayi-bayi ini mungkin tidak memiliki kemahiran motor terlebih dahulu, mereka bagaimanapun memahami dan berupaya menguasai bahasa sebelum boleh bertutur.

Menerusi didikan dan panduan yang betul, anda mungkin berjaya melatih anak yang mampu berkomunikasi dengan hanya menggunakan tangan!

Selama ini, bahasa isyarat sering dikaitkan sebagai kaedah berkomunikasi dengan mereka yang mempunyai kecacatan pendengaran.

Kajian kini mendapati didikan menggunakan bahasa isyarat juga merupakan kaedah efektif untuk berkomunikasi dengan bayi-bayi normal. Malah, ia turut menggalakkan komunikasi dua hala antara ibu dan bayi.

Mungkin anda tertanya-tanya, apakah yang boleh diperkatakan menerusi bahasa isyarat? Kita ambil contoh seorang bayi berusia 10 bulan yang bernama Amanda. Ibu bapa Amanda yang merupakan graduan Universiti Bahasa Isyarat Bayi, KinderSigns telah berupaya melatih anaknya menunjukkan keperluan menerusi isyarat-isyarat ringkas. KinderSigns (www.kindersigns.com) adalah sebuah sumber Internet yang menawarkan maklumat dan kursus-kursus berkenaan topik itu dalam talian.

Setelah beberapa bulan mengikut 'tunjuk ajar' ibu bapanya, Amanda berjaya memberitahu kedua-dua orang tuanya bahawa dia lapar, dahaga ataupun mengharapkan buku cerita dibacakan kepadanya sebelum masuk tidur.

Jika anda masih skeptikal, anda tidak keseorangan. Kebanyakan ibu bapa masih tercari-cari jawapannya sehinggalah mereka membaca kajian mengenainya. Sebaik sahaja mereka menyedari bukti saintifik kebaikan menggunakan bahasa isyarat, maka mereka mungkin tidak sabar-sabar untuk memulakannya.

Jadi, bahasa isyarat mewujudkan satu peluang kepada bayi untuk berkomunikasi tentang apa yang terbuku di dalam hati dan minda mereka.

Sesungguhnya, apabila bayi anda mula belajar bertutur, kemahiran yang sama juga digunakan. Setiap isyarat boleh membawa sesuatu makna dalam bahasa bayi. Begitu juga, keadaan ini mampu meningkatkan perkembangan kemahiran kognitif dan ruang untuk berfikir.

Pasca pernikahan

KAMU berdua sememangnya dapat memahami dan menyelesaikan masalah yang datang, percayalah.

SELESAI majlis pernikahan, tibalah pula masanya untuk berbulan madu. Yang tinggal kini hanyalah penat dan rasa khuatir saat menghadapi kehidupan baru bersama. Ingin tahu 10 masalah yang menghantui pasca hari pernikahan?


1. Terjebak
Adakah kamu bahagia di saat bergelar pasangan suami isteri? Hati-hati, meskipun mengecapi kebahagiaan itu, perkahwinan tetap akan menimbulkan rasa khuatir. Sebelum ini, kamu hanya menghabiskan sisa hidup keseorangan tapi kini sudah memiliki empayar besar sebuah keluarga. Apatah lagi di kotak fikiran kamu sudah tertanam bayangan untuk menghabiskan hidup berdua dengannya.
Solusi:
Perasaan terjebak ke dalam 'lingkaran' perkahwinan sedikit demi sedikit akan menghilang rasa takut atau cemas yang mampu membuatkan kamu menyedari dan menerima dengan tulus, status baru sebagai seorang isteri. Perasaan ini juga akan membantu kamu menjalani kehidupan yang selanjutnya dengan perasaan nyaman.

2. Ghairah terpadam
Bulan madu yang mengghairahkan, malam pertama yang tidak dapat dilupakan, barangkali itulah yang bermain di fikiran kamu ketika ini. Atau, kamu sering membayangkan alam pernikahan yang membuatkan perasaanmu terhenti untuk bersosial bersama rakan-rakan, disebabkan bebanan yang harus dipikul dan urusan yang lebih penting.
Solusi:
Kamu dinasihatkan agar sentiasa tenang, tetapi jangan sampai 'mati rasa' terhadap suami. Jangan berasa terlalu kecewa sekiranya saat ghairah kamu atau pasangan menurun atau padam tanpa diduga. Ingat, stres dan rasa gelisah juga akan mempengaruhi tahap libido kamu. Tetapi, kamu tentu tidak boleh berdiam diri. Ciptakan ghairah-ghairah kecil, misalnya selalu meluangkan masa duduk berduaan, saling menggoda hatinya dan mencuba variasi hubungan seks. Ini akan membantu kamu mengekal perhubungan, bahkan meningkatkan rasa ghairah kamu berdua.

3. Gangguan teman
Stres angkara gangguan rakan-rakan kamu selepas bergelar isteri sememangnya mempengaruhi kedudukan kamu ketika ini. Misalnya, 'Wah, pasti kamu sekarang tidak boleh keluar berjalan-jalan dengan kami lagi' atau 'Kamu sekarang sibuk mengurus hal bersama suami, sampai lupakan kawan-kawan lama!' Walaupun kata-kata ini agak sinis, tetapi bagi kamu ia amat menyakitkan.
Solusi:
Tidak perlu berasa tertekan. Lakukan komitmen itu dengan suami dengan mengunjungi ke rumah sanak-saudara, menghadiri ulang tahun rakan-rakan. Paling penting, kamu harus meluangkan masa berdua. Sampaikan komitmen ini kepada teman yang hobinya gemar melempar kata-kata sebegitu.

4. Cinta berubah
Kata orang, selepas mendirikan rumah tangga, kasih sayang kepada ibu bapa akan berubah demi insan bergelar suami. Kamu perlu menjaga hati kedua ibu bapa dan keluarga mertua.
Solusi:
Jangan terlalu beremosi. Ubah harapanmu itu! Semuanya akan berjalan lancar sebaik sahaja kamu berkahwin. Selama ini kamu saling berbicara dan mendengar luah hati masing-masing, kamu sememangnya dapat memahami dan menyelesaikan masalah yang datang, percayalah.

5. Awas, jalan buntu!
Kadang-kadang, persoalan yang muncul akan menjadi begitu serius dan berulang-ulang. Akibatnya, kamu mahupun suami mengalami hari-hari yang sulit sehingga membuat hubungan kian pudar. Akhirnya, kamu berdua menyerah!
Solusi:
Jangan menyerah kalah. Walau berat manapun masalah yang melanda, pasti ada jalan penyelesaiannya. Paling utama, fikirlah dengan logik lalu, mintalah bantuan orang ketiga yang lebih tua atau profesional. Kuncinya, jangan panik dalam membuat keputusan yang dirasakan sukar untuk diselesaikan.


oleh NOOR HASLIZA NUSI -kosmo

Hantaran nilai kasih sayang?






Amalan memberi wang hantaran merupakan satu aspek budaya dalam majlis perkahwinan Melayu sejak lama dahulu. Tetapi, benarkah nilainya dianggap sebagai pengikat kasih sayang?




DUNIA perlukan wang, tetapi wang tidak boleh menyediakan kebahagiaan yang hakiki. – Gambar hiasan




DALAM majlis perkahwinan masyarakat Melayu, amalan membawa sirih junjung bersama sebentuk cincin merupakan satu kemestian dalam melangsungkan upacara merisik, meminang dan seterusnya bersanding.




Ia kemudian disertai dengan barang-barang iringan seperti persalinan, wangi-wangian dan sebagainya. Justeru, barulah wang hantaran dan mas kahwin dibawa pada hari pernikahan dilangsungkan.




Wang tersebut adalah pemberian ikhlas pihak lelaki kepada wanita yang ingin dikahwininya. Dahulu, maksud pemberian yang telus itu dihantar bagi meringankan beban keluarga perempuan kerana biasanya, kenduri di pihak perempuan lebih besar.




Dengan wang hantaran tersebut, keluarga perempuan akan menggunakannya untuk menampung pembiayaan majlis kenduri dan membeli barangan kelengkapan perkahwinan seperti set bilik tidur dan persalinan.




Namun senarionya kini, budaya itu telah disalahgunakan sehingga menyusahkan pihak lelaki. Hantaran tinggi telah menjadi trend untuk menunjuk-nunjuk bahawa lelaki mampu dan datang dari keluarga berada serta berjaya menawan hati perempuan yang mempunyai ramai peminat.
Kadangkala pihak perempuan yang meminta manakala lelaki malu menolak untuk menjaga maruah. Apabila yang diminta terlalu tinggi sehingga tidak mampu disediakan oleh pihak lelaki, maka berlakulah pinjam-meminjam dan bergolok bergadai.




Keadaan itu mampu menimbulkan pergolakan dalam sesebuah rumah tangga, walaupun ia baru dibina.




Ada harta, adalah cinta. Tiada harta, tiadalah cinta. Itulah kata-kata yang seringkali kita dengar dari mulut golongan lelaki mahupun wanita apabila diajukan tentang kepentingan nilai wang hantaran.




"Memang sukar hendak menikmati kebahagiaan sekiranya kita berpegang dengan prinsip sebegini. Memang tidak dinafikan, dunia hari ini perlukan wang, tetapi wang tidak boleh menyediakan kebahagiaan yang hakiki," tegas Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali.




Menjadi persoalan, adakah nilai hantaran itu dianggap sebagai penentu kasih sayang sehingga pasangan sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi kehendak keluarga perempuan mahupun lelaki itu sendiri?




"Saya tidak setuju dengan pendapat tersebut. Kalau jumlah hantaran itulah pengikat dan penentu kasih sayang, apakah itu bermaksud kasih sayang adalah seperti barangan yang boleh dijual beli?




"Cuba imbas pasangan suami isteri lampau, berapa jumlah hantaran kahwin mereka? Dengan hantaran yang tidak seberapa, mereka masih kekal hidup bahagia sehingga ke anak cucu hari ini. Lihat juga pasangan hari ini yang berkahwin dengan jumlah hantaran yang biasa, masih boleh kekal bahagia.




"Sebaliknya, pasangan yang berkahwin dalam sebuah majlis yang gah sehingga seluruh pelosok negara tahu dengan hantaran menyamai harga sebuah kereta, belum tentu kehidupan mereka bahagia. Malah, ada yang sudahpun bercerai-berai," katanya.




Apakah bermaksud kasih sayang kini sudah tiada ertinya walaupun diperoleh dengan harga yang tinggi? Kata Suzana, pendapat sebegitu hanya timbul dan akan dipersetujui oleh mereka yang memandang wujudnya kasih sayang itu melalui nilaian harta.




Kesan akibat penentuan jumlah wang hantaran yang tinggi ini, ia bukan sahaja menimbulkan masalah lambat kahwin atau perkahwinan tertangguh tetapi memberikan kesan yang mendalam kepada perkahwinan itu sendiri.




"Ada seorang klien saya mengadu, selepas lima tahun berkahwin, beliau tidak pernah berpeluang balik ke rumah ibu dan ayahnya. Bila diajukan permintaan kepada si suami, suaminya menjawab: "Awak tak boleh balik lagi ke sana sebab saya dah beli awak daripada ibu bapa awak."




"Sebabnya, si suami telah dipaksa membayar sejumlah hantaran yang tinggi ketika perkahwinan mereka. Bukan satu kes ini sahaja, ada juga kes perkahwinan tidak bahagia apabila si suami gagal menunaikan tanggungjawab sepenuhnya sebagai ketua keluarga kerana separuh daripada pendapatan bulanannya digunakan untuk melangsaikan hutang bank yang dipinjam untuk menyediakan wang hantaran.




"Malah, ada juga ibu bapa yang tidak melayan menantu dengan baik kerana merasakan keluarga menantunya telah memeras mereka apabila perlu menjelaskan sejumlah hantaran yang tinggi," katanya sambil memberitahu ada kes tersebut melibatkan pembunuhan seperti yang telah terjadi di Kedah tidak lama dulu.




JUMLAH hantaran bukanlah penentu dan pengikat kasih sayang pasangan suami dan isteri. – Gambar hiasan



Kebiasaannya, jumlah hantaran ditentukan oleh ibu bapa pengantin perempuan, sama ada wang hantaran ataupun barangan hantaran.


Nasihat Suzana, sewajarnya ketetapan hantaran ini dibuat oleh pihak perempuan setelah diadakan perbincangan dengan pihak lelaki.


Dengan cara sebegitu, wujudlah keharmonian dalam sebuah ikatan rumah tangga, tanpa timbulnya permasalahan melibatkan kewangan mahupun ungkit-mengungkit jumlah hantaran yang telah ditetapkan.

Friday, October 31, 2008

Tanggungjawab seperti orang dewasa

ZAMAN remaja merupakan fasa perkembangan paling mencabar.

MANUSIA merupakan makhluk yang hidup berkembang daripada satu fasa kepada satu fasa kehidupan lain. Zaman remaja merupakan zaman perkembangan yang amat mencabar.
Zaman remaja merangkumi zaman baligh yang dikaitkan dengan zaman apabila seseorang sudah memiliki kesempurnaan dari segi pemikiran. Perkembangan ini berlaku mengikut tahap perkembangan seseorang sama ada terjadi secara serentak atau secara perlahan-lahan.
Untuk menentukan seseorang itu sudah baligh, kita boleh kenal pasti melalui dua faktor iaitu secara tabii dan baligh secara umur. Baligh tabii dilihat secara fisiologi berbeza antara anak remaja lelaki dan perempuan.
Bagi remaja lelaki tahap ini adalah yang dianggap sudah mempunyai keupayaan untuk memperoleh zuriat jika berkahwin. Berlaku perubahan yang besar dari segi fizikalnya berbanding zaman kanak-kanak.
Anak perempuan juga akan memperlihatkan perubahan yang ketara dari segi tubuh badannya.
Menurut pendapat ulamak, baligh umur ditentukan berasaskan kepada tiga perspektif iaitu bila seseorang genap umur 15 tahun qamariah, kedua ketika kanak-kanak mula berumur 15 tahun dan selepas enam bulan kanak-kanak berumur 15 tahun (Kitab al-Mahalli).
Menurut pendapat al-Auzaci, Imam Ahmad, Al-Shafice Abu Yusuf dan Muhammad bersepakat bahawa umur 15 tahun merupakan had baligh bagi seorang anak remaja.
Baligh bermakna seseorang telah mukalaf iaitu cukup umur yang menandakan kewajipan untuk menunaikan perintah Allah dan meninggalkan larangannya.
Apabila mencapai usia baligh maka kanak-kanak lelaki akan berubah menjadi anak lelaki remaja dan kanak-kanak perempuan akan berubah menjadi anak perempuan remaja.
Pada waktu inilah berlaku perubahan dan perkembangan fizikal serta sikap begitu pantas dan ketara. Sabda Rasulullah: ‘Tiga orang yang dilepaskan daripada sebarang tanggungjawab; seseorang yang tidur sehinggalah dia terjaga, seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh dan seorang gila sehinggalah dia siuman’ – Hadis riwayat Abu Daud.
Ibn Umar satu ketika pernah berkata dengan maksudnya: “Rasulullah tidak mengizinkan beliau untuk menyertai peperangan Uhud. Ketika itu beliau berumur 14 tahun. Sebaliknya diizinkan kepada beliau untuk menyertai peperangan Khandak ketika itu beliau berumur 15 tahun.”
Apa tanggungjawab anak remaja akil baligh? Jawapannya jelas bahawa anak remaja pada ketika ini sudah mempunyai tanggungjawab seperti seorang dewasa.
Sebagai seorang remaja Islam mereka sudah boleh dinilai dari segi dosa dan pahala. Dalam erti kata lain, garis panduan kehidupannya jelas. Anak remaja mesti tahu menjaga batasan aurat dan cara gaya berpakaian.
Dalam mengawal dorongan seksual, remaja perlu menjauhi perkara yang menyebabkan terarah kepada perbuatan merangsang nafsu seperti melayari laman web lucah. Tontonlah bahan yang boleh mendatangkan manfaat kepada diri kita dan jauhkan diri daripada mendedahkan diri dengan perlakuan dan pemikiran yang mendatangkan dosa.
Kawalan seksual juga merangkumi kawalan pendengaran, percakapan dan tingkah laku.

Penyakit keanak-anakkan

Apakah bentuk penjagaan yang patut diberikan kepada pesakit nyanyuk?

MALAYSIA dianggarkan mempunyai kira-kira 50,000 orang pesakit Alzheimer (AD) atau nyanyuk. Berbanding dengan Amerika Syarikat yang mempunyai anggaran empat juta pesakit AS, angka ini mungkin tidak begitu signifikan. Namun, AD merupakan punca paling umum bagi dementia iaitu kemerosotan fungsi mental seperti memori, pemikiran dan keupayaan daya pembelajaran.

Simptom-simptom ini agaknya nampak umum tetapi secara kasarnya, terdapat 10 tanda amaran tentang penyakit AD yang perlu diketahui oleh ahli keluarga mahupun penjaga terdekat.

Pertama, kemahiran dan prestasi kerja yang terganggu akibat kehilangan daya ingatan jangka masa terdekat. Kedua, pesakit mungkin berdepan dengan kesukaran melaksanakan tugasan yang biasa dilakukannya.

PERUBAHAN dari segi personaliti, tingkah laku dan pesakit tersalah meletak barang juga tidak patut dipandang remeh.

Dalam satu ceramah awam yang dianjurkan oleh Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia dan Novartis Corporation (M) Sdn. Bhd. (Norvatis), baru-baru ini, pakar kaji uzur dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Lee Fatt Soon berkata, pesakit AD turut menghadapi masalah dalam bahasa.

"Pada kebiasaannya, petanda pertama pesakit sudah mengalami kenyanyukan adalah ketidakupayaan untuk mengingati perkara yang baru berlaku dalam kehidupan hariannya. Seterusnya, mungkin timbul perubahan daripada corak pertuturan atau percakapan.

"Misalnya, pesakit mempunyai masalah menggunakan perkataan yang betul, lebih cenderung mencari perkataan yang ringkas atau sememangnya menghadapi kesukaran memilih perkataan yang sesuai," katanya.
Selain itu, pesakit AD juga mengalami kesulitan atau kurang orientasi dalam mengecam masa serta tempat.

Daya pertimbangan yang semakin merosot turut menyukarkan pesakit dalam membuat keputusan.

Sungguhpun punca sebenar berlakunya AD masih belum dipastikan oleh pakar perubatan, tetapi, petanda seperti perubahan dari segi personaliti, tingkah laku dan kecenderungan tersalah meletak barang juga tidak patut dipandang remeh.

Perubahan dari segi tingkah laku termasuk menolak bantuan orang lain, sukar mengawal pembuangan air besar atau kecil, ketidakstabilan emosi, berhalusinasi dan menghadapi masalah tidur.

SEPERTI juga orang yang normal, penghidap AD merupakan insan yang berperasaan.

Keadaan seperti ini semestinya membuatkan ahli keluarga yang lain khasnya penjaga terdekat berasa resah. Namun, jika penjaga dilengkapi dengan maklumat serta pengetahuan yang betul, bebanan pengendalian pesakit AD boleh diringankan sedikit.

Kemahiran menjaga pesakit AD boleh diasah menerusi rujukan kepada garis panduan praktikal yang melibatkan pihak penjaga dan juga pesakit itu sendiri.

Sebuah buku panduan kecil yang dikeluarkan oleh Persatuan Gerontologi Malaysia menerusi sumbangan Novartis telah menekankan lima aspek penting dalam penjagaan pesakit AD.

Jika anda juga menetap bersama dan menjaga seseorang yang menghidap AD, anda disarankan memberi sokongan agar pesakit mampu berdikari suatu hari nanti. Seperti juga orang normal yang lain, penghidap AD merupakan insan yang berperasaan.

Justeru, anda perlu berhati-hati agar tidak membincangkan perkara berkenaan diri mereka secara terang-terangan.

Seboleh-bolehnya juga, elakkan sebarang pertelingkahan atau percanggahan pendapat. Ini kerana hanya dengan suasana yang tenang dan selesa serta disuntik dengan sedikit humor mampu mengurangkan tekanan mental kedua-dua pihak.

Apabila berkomunikasi dengan pesakit, cuba sedaya upaya bercakap dengan jelas, lembut dan perlahan-lahan. Elakkan daripada menggunakan perkataan yang terlalu kompleks kerana seperti yang disebutkan tadi, penghidap AD mempunyai masalah dengan bahasa.

Dalam soal berbicara, sesetengah penjaga mungkin hilang kesabaran tetapi percayalah hanya dengan perasaan tenang, penjaga dapat membantu pesakit. Pesakit yang banyak bertanyakan soalan barangkali sangat melecehkan.

Namun, penjaga boleh menggunakan kaedah yang lebih kreatif seperti menerusi bantuan petanda-petanda visual (objek atau gambar) untuk membantu pesakit memahami mesej yang ingin disampaikan.

Sebut sahaja perkataan nyanyuk, tidak kurang ramai yang suka mengaitkan masalah dengan sikap keanak-anakkan seorang warga emas. Ada ketikanya penjaga seakan kehilangan akal saat ada di kalangan pesakit yang terlalu melekat kepada penjaganya. Jadi, apakah yang boleh dilakukan?

Menurut Dr. Lee, keadaan seperti ini menguji ketabahan seorang penjaga. Sama ada penjaga boleh meminta bantuan seorang lagi pembantu untuk 'mendapatkan sedikit ruang bagi diri sendiri', atau sediakan sesuatu untuk menarik perhatian pesakit.

Bagi masalah berhalusinasi atau delusi pula, warga emas yang menghidap AD ada ketikanya takut ditinggalkan berseorangan atau tersilap identiti bagi orang-orang yang rapat dengannya.

"Ingatlah bahawa realiti seorang pesakit AD dengan orang biasa adalah tidak sama. Dalam keadaan takut, mereka sebenarnya memerlukan ketenangan dan sentuhan lembut daripada penjaga atau ahli keluarga terdekat bagi memberikan mereka rasa selesa.

"Elakkan daripada bergaduh tentang apa yang dilihat. Sebaliknya, cuba alihkan perhatian kepada sesuatu yang lebih menarik dalam bilik tersebut," katanya.

Tunduk kepada queen control?

Ramai suami yang mengeluh kerana hidup mereka seperti dikongkong dan tidak dihormati.

PAKAR berpendapat sikap lelaki yang terlalu mudah mengalah menyebabkan isteri bersikap queen control.

DIA memerintah suami melakukan itu dan ini. Disuruh membasuh baju, memasak atau mengemas rumah. Tidak boleh dibantah, kalau dilawan, pasti tinggi suaranya membalas kembali.
Dia juga mengawal segala kewangan dan keputusan keluarga. Apa yang harus dibeli, ke mana pergi bercuti atau bila hubungan seksual dilakukan.
Apabila isteri bersikap begini, ramai suami yang mula mengeluh kerana hidup mereka seperti dikongkong dan tidak dihormati.

Umpama lembu ditarik hidung. Begitulah kata-kata kiasan yang tepat bagi menerangkan maksud wanita queen control dalam sesebuah hubungan rumah tangga.

Queen control atau terlalu mengongkong disifatkan sebagai sikap menyuruh atau memerintah seorang si isteri kepada suaminya dalam keadaan memaksa, tidak kira apa jua situasi.

Justeru, melihat faktor kecanggihan teknologi dunia hari ini, benarkah senario itu dianggap sudah lapuk ditelan zaman? Memandangkan wanita metropolitan masa kini lebih mementingkan etika dan nilai-nilai kekeluargaan, demi mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga.

Malah, menjadi persoalan ramai, masih wujudkah jolokan wanita queen control pada era moden kini? Menurut Pakar Motivasi, Dr. HM Tuah Iskandar, kewujudan sikap queen control tidak mengira apa jua keadaan mahupun situasi. Ia wujud dalam semua era kehidupan manusia.

Tidak dinafikan, kewujudannya disebabkan beberapa punca yang tercetus atau dicetus oleh kedua-dua pihak, sama ada lelaki mahupun wanita.

Untuk kepastiannya jelas Tuah, terdapat tiga jenis queen control, iaitu jenis mutlak, pertengahan dan permulaan.

"Bagi yang jenis mutlak, tingkahlaku isteri adalah terlalu bersikap mengawal suami 100 peratus hingga suami bagaikan haiwan peliharaan, terpaksa tunduk sahaja atas semua arahan dan kemahuan isteri

"Jenis pertengahan pula adalah seperti si isteri suka mengawal dan mengarah ikut emosi yang sedang dialaminya. Mereka ini adalah isteri yang bersikap berubah-ubah dan ikut mood tanpa menghiraukan perasaan yang dialami suami ketika itu.

"Manakala queen control jenis permulaan pula kebiasaannya terjadi selepas setahun mendirikan rumah tangga. Waktu itu, isteri mula melihat kelemahan suami serta mula tidak menyukai beberapa sifat pasangannya.

"Keadaan sebegini lebih mudah berlaku apabila si suami seorang yang lemah, kurang bertegas dan kerap memberi muka kepada isteri, iaitu sering tunduk kepada kemahuan si isteri," tegasnya.

(picture)
TOLERANSI dan saling percaya adalah resipi terbaik percintaan.

Justeru, dalam meneliti punca utama lahirnya sikap sebegini, queen control berlaku apabila si isteri mula melihat kelemahan suami dan merasakan dirinya lebih dominan. Tambahan apabila sejak lahiriah lagi si suami memang suka beralah untuk mengelakkan berlakunya ketegangan.

"Sebenarnya, suami bukanlah takut pada isteri yang begini, tetapi semata-mata malas hendak memanjangkan perkara kecil atau untuk mengelakkan perbalahan atau pertengkaran yang tercetus.

"Lebih-lebih lagi jika suami terpaksa bergantung nasib kepada isteri, misalnya dalam hal penyediaan makan minum, taraf pekerjaan yang rendah berbanding isterinya, soal pemberian penjagaan anak-anak dan rumah tangga, bahkan soal pendapatan," jelasnya pengaruh mertua juga turut menyumbang ke arah kewujudan sikap sebegini.

Dalam soal jolokan wanita queen control ini juga, mereka tidak mahu rasa tercabar dengan kedudukan yang lebih tinggi daripada pasangan. Sekali gus tidak mahu berasa rendah diri atau wujudnya jurang perbezaan di antara dua pihak, sehingga menjadi perbualan ramai.

"Saya bimbang jika keadaan ini dibiarkan berlaku. Ia boleh mengancam institusi perkahwinan itu sendiri. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat," tegas beliau.

Adakah ia kesilapan daripada sikap lelaki itu sendiri sehingga membuatkan wanita bersikap mengongkong? "Ya, memang silap si lelaki. Sikap beralah itu baik, tapi usah terlalu memberi muka, nanti hilang kredibiliti.

"Suami adalah pemimpin, ketegasan itu kadang-kadang perlu supaya si isteri tidak terbabas memiliki sifat yang salah.

"Realitinya, lelaki akan berasa cepat jemu sekiranya ia berterusan. Lelaki seperti ini lebih rela menjalani hidup sedemikian rupa atas sebab kasih sayang yang besar sebagaimana digambarkan oleh watak Re (Tompel) dalam filem Do Re Mi.

"Terpulang kepada bentuk control daripada wanita itu sendiri. Jika wanita bersikap queen control kerana kegagalan suami berperanan sebagai ketua keluarga, lelaki tidak akan berasa jemu malah tidak mustahil lelaki akan berasa lega dan berlapang dada dengan pertolongan besar si isteri," jelasnya.

Amalan penenang jiwa

Setiap kesusahan yang ditimpakan ke atas manusia bukan ujian semata-mata tetapi juga untuk mendekatkan kita dengan-Nya.

(picture)
BERSIHKAN diri dan jiwa dengan ayat-ayat suci al-Quran.

DALAM kehidupan seharian, kita tidak boleh lari daripada menghadapi masalah. Kebiasaannya timbul akibat daripada pelbagai punca sama ada kerana diri sendiri atau orang lain.

Allah menegaskan dalam firmannya yang bermaksud: 'Allah meringankan bagi mu peraturan-peraturan agama dan manusia itu dijadikan bersifat lemah'- surah al-Nisa':8. Perlakuan manusia yang menghadapi masalah berkaitan dengan pelbagai tindakan seperti kurangnya rasa sabar dalam diri, sentiasa gopoh gapah, suka bantah-membantah serta menyalahkan satu sama lain, rasa putus asa, tidak wujud rasa syukur, manusia mudah lupa dan sebagainya.

Beberapa kaedah penyucian jiwa kita perlu lakukan di mana sebahagiannya memang telah menjadi amalan sebahagian umat Islam saban hari. Antara amalannya seperti:
*Solat wajib dan solat sunat (solat Tahajud, solat Taubat, solat Hajat, solat Tasbih atau solat Awwabin).
*Puasa wajib dan puasa sunat.
*Mengeluarkan zakat (fitrah dan harta benda).
*Menunaikan haji.
*Membaca al-Quran (Jika tidak memahami, baca maknanya).
*Berzikir dalam bentuk perkataan dan hati.
*Bertafakur.
*Sentiasa mengingati mati dan hari akhirat.
*Muhasabah diri.
*Jihad, selalu amalkan perkara baik amar makruf dan jauhi kerja buruk nahi mungkar.
*Tawaduk' dan sifat qanaah (berpada-pada).
*Ketahui dan sedari cara menghalang godaan syaitan dalam jiwa.
*Ketahui cara menghindar penyakit hati.

Sebagai contoh, dengan melakukan solat-solat sunat, hikmahnya adalah boleh membimbing untuk pembentukan kecemerlangan diri atau insan kamil, dapat membina personaliti dan tingkah laku mulia.

(picture)
AMALAN berzikir mendekatkan diri kepada Allah.

Boleh mendekatkan diri dan menjalin hubungan dengan Allah. Membersihkan diri dari sifat keji dan buruk. Praktik yang baik untuk pengurusan masa. Melatih diri untuk berakhlak atau berdisiplin dan bermoral dan melatih diri untuk memberi tumpuan kepada sesuatu perkara.
Dengan menjalani ibadah puasa, hikmahnya adalah seperti:
*Menjadi benteng kepada godaan syaitan atau iblis dan perisai terhadap kejahatan.
*Latihan untuk mendisiplinkan diri.
*Memupuk sikap sabar.
*Mewujudkan rasa insaf.
*Menimbulkan kekuatan untuk menundukkan nafsu.

Dengan berzikir, berdoa dan beristighfar, hikmahnya adalah untuk membersihkan diri daripada dosa dan maksiat, untuk mendapat keampunan Allah, untuk mendapat ketenangan batin, keikhlasan hati, meningkatkan kecintaan kepada Allah dan berupaya melindungi diri daripada melakukan dosa.

Malah, Allah telah menegaskan hikmah berdoa dan berzikir dalam firmannya yang membawa maksud '...dan Tuhan kamu berfirman, 'berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu'- surah al-Mukmin : 60, dan 'Maka berzikirlah (ingatlah) kepada-Ku, nescaya Aku akan mengingati kamu sekalian' -surah al-Baqarah: 168.

Dengan bertafakur, hikmahnya adalah seperti:
*Penyuluh untuk mengenal diri dan pencipta.
*Mendorong penjelajahan fikiran.
*Pemusatan tumpuan untuk meneliti tahap personaliti dan tingkah laku.
*Mendorong untuk celik akal.
*Mewujudkan kesedaran kendiri.
*Berupaya membuahkan sikap amanah dan jujur.

Firman Allah yang bermaksud, 'Mereka yang mengingati Allah baik di waktu berdiri, duduk dan berbaring dan mereka berfikir tentang kejadian langit dan bumi seraya berkata, wahai Tuhan kami, tiadalah Engkau menjadikan ini dengan sia-sia' - surah ali-Imran : 191.

Sebenarnya kehidupan ini kita tidak boleh lari dari menghampiri diri dan sentiasa mendapat bantuan dan perlindungan Allah. Dalam mengharungi kehidupan kita perlulah menghadapi pelbagai cabaran dan menghadapi kegagalan dan rasa putus asa dengan penuh kesedaran.

Patutkah bayi menonton TV?

Hampir setiap seorang kanak-kanak di bawah usia dua tahun memiliki set televisyen sendiri. Adakah ini digalakkan?

IBU BAPA kerap kali membiarkan bayi menonton TV ketika mereka sibuk melakukan kerja di rumah.
SEORANG ibu berhenti menonton rancangan ER selepas anak pra-sekolahnya cuba melakukan bantuan kecemasan mulut ke mulut (CPR) kepada adiknya.

Seorang ibu pula tertawa besar apabila bayi berusia 15 bulannya cuba mendendangkan lagu McDonald dengan nada 'ba, ba, boppa, ba' setiap kali kereta mereka melintasi kawasan restoran makanan segera itu.

Boleh dikatakan satu pertiga daripada generasi muda (bayi berusia sehingga enam tahun) Amerika Syarikat (AS) hidup dalam persekitaran yang bertemankan televisyen pada kebanyakan masa. Demikian pendedahan oleh sebuah kajian yang mengkaji kontras antara nasihat pakar pediatrik dengan apa yang dibenarkan oleh ibu bapa.

Malah, menempatkan televisyen di dalam bilik tidur juga bukan sesuatu yang asing pada dewasa ini. Hampir setiap seorang kanak-kanak di bawah usia dua tahun memiliki set televisyen sendiri meskipun Akademi Pediatrik AS tidak menganggap ia satu idea yang bagus membenarkan anak menonton televisyen pada usia itu.
Dewasa ini, lapan dalam setiap 10 orang kanak-kanak berusia di bawah enam tahun akan menonton televisyen, bermain permainan video atau komputer pada hari-hari biasa. Menurut satu kajian yang didedahkan oleh Yayasan Keluarga Kaiser AS baru-baru ini, secara purata, hampir dua jam dihabiskan di depan skrin pada kebanyakan masa berbanding hanya 48 minit untuk membaca.

Yayasan tersebut melaporkan, bilangan anak-anak muda yang 'melekat' di depan skrin tidak pernah berubah sejak topik tersebut diperdebatkan lima tahun lalu.

Dalam kajian susulan dan sesi berkumpulan pula, ibu bapa ditanya mengapa televisyen dan media elektronik yang lain dipilih.

Ketua Penyelidik, Victora Rideout berkata, sebilangan generasi ibu bapa hari ini mendorong penggunaan televisyen, permainan video dan komputer sejak awal usia anak lagi.

"Ibu bapa ini berkata, televisyen mengajar mereka bagaimana untuk berkongsi dan memudahkan pembelajaran ABC anak-anak. Televisyen juga memberi ibu bapa ruang dan masa untuk memasak dan mandi. Mereka menjadikan televisyen sebagai ganjaran untuk membantu menidurkan anak," katanya.

Biarpun sesetengah ibu bapa mengehadkan rancangan menakutkan atau permainan video yang melampau untuk tontonan anak, terdapat juga generasi muda yang langsung tidak mengambil peduli.
"Bagi mereka, ia bukan sesuatu yang menakutkan. Sebaliknya, anak kecil saya juga teruja menemani saya menonton rancangan CSI: Crime Scene Investigation," jelas seorang ibu.

Meskipun terdapat juga kajian yang mengaitkan televisyen (dalam bilik tidur) dengan masalah tidur si anak, rasional di sebaliknya ialah membiarkan anak menonton rancangan kesukaannya sendiri.

Kebanyakan pakar bagaimanapun kecewa dengan kenyataan bahawa ibu bapa sebenarnya tidak boleh hidup tanpa televisyen!

"Kita hanya memiliki televisyen kira-kira lima dekad lalu. Televisyen tidak ada yang baik atau buruknya. Matlamat sekarang bukan untuk menjurangkan hubungan anak dengan teknologi. Sebaliknya, bagaimana untuk mengoptimumkan pengalaman anak dengan teknologi seperti televisyen," jelasnya.

Kumpulan pakar pediatrik mengesyorkan agar televisyen atau media elektronik lain dihindarkan daripada anak berusia dua tahun ke bawah.

Tidak berhasrat dilihat sebagai antitelevisyen, seorang pakar pediatrik, Dr. Daniel Broughton berkata, usia dua tahun adalah tempoh perkembangan paling pantas untuk otak seorang bayi berusia dua tahun.

"Jadi, interaksinya dengan hubungan sebenar bersama manusia bukan sesuatu yang boleh diberikan oleh televisyen," terangnya.

(picture)
BANYAK kajian menunjukkan televisyen memberi kesan kepada perkembangan minda kanak-kanak.

Sesetengah kajian juga mengaitkan tontonan televisyen pada usia muda boleh menjurus kepada masalah gangguan tumpuan.

"Kita ingin ibu bapa mengawasi anak mereka. Satu sebabnya ialah menonton stereotaip etnik dan kelakuan yang buruk dalam televisyen boleh menjadi pengaruh. Jadi, ibu bapa, perlu menerangkan kenapa anak tidak patut meniru apa yang dilihat seratus-peratus," tambahnya. - AP

Terbesar di Malaysia

Walaupun pameran barangan antik acapkali diadakan di negara ini, tetapi pameran dan lelongan barangan antik di Shah Alam baru-baru ini yang paling besar pernah diadakan.
PENGUNJUNG yang datang bersama anak-anak begitu tertarik melihat barang yang dipamerkan.
PAMERAN dan Lelongan Amal Barang Antik 2008 yang berlangsung di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam, Selangor selama tiga hari bermula 24 Oktober lalu berjaya mencatat sejarah tersendiri.
Program anjuran pelajar Sarjana Komunikasi Korporat, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Heritage Auction House serta Muzium Sultan Alam Shah itu menyaksikan lebih 400 barangan antik yang diperoleh dari serata dunia termasuk Asia, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) dipamerkan dan dijual. Majlis ini telah dirasmikan Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman Said.
NASKHAH al-Quran yang telah berusia ratusan tahun.
Memandangkan sambutan begitu memberangsangkan, pihak penganjur telah membuat keputusan untuk meneruskan sesi pameran dan lelongan sehingga 9 November ini untuk memberi peluang kepada orang ramai menyaksikannya sendiri.
Penyelia pameran yang juga pensyarah Jabatan Komunikasi UPM, Dr. Muhammad Pauzi Abd. Latif berkata, program tersebut merupakan kesinambungan daripada program pameran dan lelongan amal tahun lalu yang menerima sambutan menggalakkan.
KOLEKSI barang tembaga yang turut dilelong.
"Konsepnya masih sama seperti dulu tetapi kali ini, ia dianjurkan dengan lebih gemilang lagi. Apa yang penting, matlamat utamanya adalah untuk mengumpul dana dan mengisi Tabung Kebajikan Pelajar UPM, selain memenuhi syarat pengajian pelajar yang terlibat.
"Di samping itu, program ini dijalankan hasil inisiatif kami untuk membangkitkan nilai sentimen sejarah di sanubari para pencinta seni dan warisan. Ini kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang terkenal dengan masyarakat majmuk dan kaya dengan pelbagai adat resam serta warisan budaya bangsa yang tidak ternilai dari segi penghayatan sejarah ketamadunan negara," kata Dr. Muhammad Pauzi kepada Kosmo!.
KEPALA tali pinggang yang digunakan puteri raja Pantai Timur.
Beliau yang turut memiliki koleksi barangan antik tersendiri mengatakan antara tarikan utama program tersebut ialah senaskhah al-Quran beriluminasi tertua di Asia Tenggara yang berusia 400 tahun dan telah disahkan keasliannya oleh perpustakaan Britain.
Jelasnya, walaupun naskhah al-Quran itu tidak dijual atau dilelong, tetapi secara tidak langsung, ia memberi peluang kepada orang ramai melihatnya secara dekat kerana ia belum pernah dipamerkan di mana-mana muzium sebelum ini.
Ketua Publisiti Pameran dan Lelongan Amal Barang Antik 2008, Abdul Sharif Abdul Kadir berkata, pihaknya berasa amat gembira kerana sambutan termasuk promosi yang diterima begitu memberangsangkan.
"Kami bertuah kerana program kali ini mendapat liputan meluas daripada pengamal media sama ada media cetak mahupun elektronik. Ia sekali gus berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung untuk menyaksikannya," kata Abdul Sharif.
Bagi pengerusinya pula, Iskandar Jaafar, mereka telah melakukan persiapan sejak tiga bulan lalu bagi memastikan program amal tersebut berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Ini termasuklah mengumpul koleksi barangan antik yang diperoleh daripada pengumpul di seluruh negara.
"Seramai 24 pelajar bekerjasama membahagikan tugas masing-masing untuk menjayakan program amal ini dan ternyata, ia menerima sambutan yang lebih menggalakkan berbanding tahun lalu.
"Walaupun bukan mudah untuk memujuk pengumpul supaya menyerahkan barang mereka untuk dijual, tetapi akhirnya kami berjaya juga apabila memaklumkan tujuan program ini diadakan adalah untuk mengumpul dana tabung kebajikan pelajar UPM.
"Alhamdulillah, segala yang kami rancang berjalan seperti yang dijadualkan. Segala penat lelah kami selama beberapa bulan lalu berbaloi dengan kejayaan program ini," ujar Iskandar, seorang Pegawai Kanan Kastam Putrajaya yang juga merupakan pelajar separuh masa jurusan KOM5113.
Setakat ini, sebanyak RM20,000 telah berjaya dikumpul untuk mengisi Tabung Kebajikan Pelajar UPM dan jumlah itu dijangka akan bertambah memandangkan pameran ini telah dilanjutkan selama dua minggu lagi.
Kebanyakan pembeli terdiri daripada golongan pengumpul barang antik sendiri serta tidak ketinggalan artis dan selebriti tanah air seperti Ally Iskandar Mohd. Mardzi, Adibah Noor dan sebagainya. - KHADIJAH MOHAMAD NOR

Matematik lebih menyeronokkan

Perkenalkan angka dalam permainan anak anda asalkan dia rela tetapi bagaimanakah ini boleh dilakukan?

KUNCI kepada kemahiran mengira bagi kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah adalah mengenali nombor-nombor asas dari satu ke lima sebelum memasuki peringkat lebih tinggi.
Ini termasuk menyusun nombor mengikut urutan, menghitung objek satu persatu atau menolak serta menambah nombor. Paling penting adalah bagaimana untuk meletakkan kemahiran ini ke dalam konteks pengiraan atau menyelesaikan sesuatu masalah sebenar.
Di sekolah, masalah matematik diajar menggunakan bahasa matematik dan kemahiran menyelesaikan masalah. Tetapi, apa yang lebih penting adalah mengajar anak tentang nombor dan matematik melalui kaedah yang lebih bermakna dan menyeronokkan.
Ramai ibu bapa tidak tahu bahawa kemahiran mengira boleh dikaitkan dengan kebanyakan aktiviti yang dilakukan oleh si anak.
OBJEK-OBJEK yang dikira boleh ditambah atau dikurangkan dari semasa ke semasa untuk mengajar anak tentang penambahan serta penolakan.
Berikut adalah beberapa idea bagaimana untuk membuatkan anak menikmati sesi 'pengiraan':
*** Tunjukkan kepada anak tentang apa sahaja yang bernombor di sekitar rumah atau ketika keluar bersiar-siar. Kalendar, jam dinding, telefon, rumah, bas dan nombor plat kereta adalah contoh terbaik untuk memberi anak perhatian positif terhadap segala yang berkait dengan nombor.
Pada mulanya anak akan mengenali ia sebagai angka sebelum memahami apa sebenarnya ia. Selepas itu, ia menyenangkan anda membantu anak melihat urutan serta membaca nombor-nombor tersebut.
*** Berikan anak pengenalan asas tentang masalah kiraan harian. Apabila membuat kek, anda boleh mengira bilangan telur, amaun gula pasir, berapa sudu teh air dan sebagainya.
Atau sewaktu membahagikan snek kepada rakan-rakan, anak anda boleh menjadi 'tukang pengukur' sama ada amaun yang diberikan sama rata. Mintalah anak membantu anda ketika menyediakan makan malam. Dia boleh diajar menghitung bilangan sudu dan garpu di atas meja.
Makanan sesungguhnya adalah insentif yang baik. Bijirin mahupun pasta kering boleh dikira sebelum dimakan. Ataupun anda boleh menghiaskan biskut-biskut mahupun mufin dengan kepingan gula yang cantik untuk dikira oleh anak.
*** Objek-objek asli seperti kulit kepah atau biji pokok ru juga merupakan satu kaedah menarik untuk digunakan sebagai bahan kiraan. Pastikan anak mengira satu-satu jenis objek pada sesuatu masa. Ini mungkin mengambil sedikit masa sebelum dia benar-benar mahir.
Tetapi, objek-objek yang dikira boleh ditambah atau dikurangkan dari semasa ke semasa untuk mendidik anak tentang penambahan serta penolakan. Formula menambah dan menolak akhirnya akan dihafal oleh anak yang lebih dewasa bagi memudahkan mereka menyelesaikan masalah yang lebih kompleks dengan pantas.
Perkenalkan angka dalam permainan anak anda asalkan dia rela. Jika anak anda suka bermain dengan kereta, letakkan pelekat bernombor pada kereta atau minta anak untuk menyusun semula kotak-kotak kasut mengikut urutan nombornya. Perkara yang sama boleh dilakukan untuk keretapi.
*** Jika anak anda suka bermain permainan yang melibatkan watak, gunakan barang permainan atau telefon lama untuk 'menelefon' rakan-rakan, ahli keluarga yang lain, doktor atau sekadar menempah piza. Tuliskan nombor dalam buku 'telefon' tersebut.
*** Rekakan angka menggunakan adunan tepung atau guntingkan penyedut air untuk dijadikan lilin palsu di atas 'kek' bagi tujuan kiraan. Berlakonlah seakan anda adalah peniaga dengan menggunakan duit sebenar dan letakkan tanda harga pada makanan atau barangan mainan untuk tujuan jual beli.
*** Nyanyikan lagu yang melibatkan nombor sambil menghitung menggunakan jari, barang permainan atau binatang plastik. Berbincanglah dengan anak tentang urutan nombor sebelum dan selepas. Gunakan kad-kad bergambar sebagai bantuan.
*** Untuk anak yang lebih aktif, gunakan lukisan bernombor yang besar atas kad atau kertas untuk menarik perhatiannya. Pilihlah sebarang nombor dan mintanya menyebut nombor tersebut. Satu lagi alternatif lain adalah dengan melabelkan nombor pada kotak-kotak dan membiarkan anak membuang bola ke dalam kotak berbeza bagi mengumpulkan mata.
*** Dapatkan anak untuk bermain permainan klasik yang melibatkan pengiraan seperti 'Pukul berapa sekarang?' atau mengambil bahagian dalam permainan 'ular dan tangga'.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.supernanny.com.

Wednesday, September 10, 2008

Pesakit gastrik boleh berpuasa


PENGAMBILAN roti berserat mungkin membantu proses penghadaman. - Gambar hiasan


APABILA tiba Ramadan, macam-macam pula penyakit yang muncul dan dijadikan alasan yang menghalang diri daripada berpuasa.

Ramai beranggapan tidak makan dalam tempoh yang lama akan menyebabkan asid di dalam perut bertindak balas sehingga menyebabkan sakit perut atau dalam perkataan mudah ‘gastrik’.

Sebenarnya sakit perut tidak hanya disebabkan gastrik, tetapi banyak penyebab lain seperti pedih ulu hati, batu dalam pundi hempedu, ulser dan radang pankreas di mana kebanyakannya menimbulkan simptom sama.

Ini diakui sendiri Perunding Pembedahan Am, Digestif dan Laparoskopik di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Dr. Lukman Mohd. Rashid.

Bagaimanapun katanya, gastrik tidak boleh dijadikan alasan untuk sesetengah individu itu tidak berpuasa seperti orang lain.

Sebaliknya pesakit masih boleh berpuasa jika mereka benar-benar memahami apa itu gastrik dan di tahap kronik manakah gastrik yang dialami.

Beliau berkata, dengan pilihan makanan yang betul selain memahami kebaikan puasa itu sendiri, secara tidak langsung dapat mengurangkan rangsangan tindak balas kimia yang berlaku di dalam otak.

Ini kerana katanya, ia menjadi punca penghasilan asid selaku pendorong utama kepada gejala kurang selesa khususnya pada perut.

‘‘Sama seperti penghidap penyakit lain seperti kencing manis, mereka masih boleh menjalani ibadah puasa dengan syarat mendapatkan nasihat doktor dan mengambil makanan serta ubatan diperlukan mengikut jadual yang ditetapkan,’’ ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Menerangkan lebih lanjut mengenai penyakit gastrik atau nama perubatannya, gastritis secara amnya merujuk kepada inflamasi (radang) pada bahagian lapisan perut (mukosa), tetapi ia juga lazim digunakan untuk menerangkan pelbagai gejala yang disebabkan inflamasi itu termasuk pedih ulu hati atau ketidakselesaan perut.

Katanya, antara punca gastritis ialah jangkitan sejenis bakteria, Helicobacter Pylori atau lebih dikenali sebagai H Pylori yang lazim ditemui pada pesakit gastritis kronik.

Ia juga disebabkan berlakunya lebihan rembesan asid hydroklorik di dalam perut atau hyperacidity yang seterusnya menyebabkan iritasi dan luka di dalam perut.

Bagaimanapun, tidak ada kajian yang menunjukkan ketika berpuasa rembesan asid hydroklorik ini bertambah malah didapati puasa boleh mengurangkan rembesan asid ini.

Antara gejala-gejala yang dikaitkan dengan gastrik termasuk sakit perut dan rasa tidak hadam yang selalunya dirasai di bahagian atas perut, pening kepala, loya atau muntah, badan rasa lemah dan berat badan menurun.

Menurut Dr. Lukman, sebaiknya, pesakit gastrik disarankan menjalani ujian seperti ujian Endoskopi dan doktor akan dapat menentukan keseriusan tahap gastrik mereka.

Mereka juga perlu memastikan dapat rawatan yang sempurna untuk penyakit gastrik itu.

‘‘Pada masa kini banyak ubat-ubatan yang boleh didapati seperti kumpulan ubat-ubatan H2 antagonist seperti Zantac, Tagamet serta ubat Proton Pump Inhibitors(PPI) seperti Nexium, Controloc, Pariet dan sebagainya yang boleh menyembuhkan pesakit ini. Pesakit perlu mengambil rawatan ini sepanjang mereka berpuasa,’’ ujarnya.

Begitupun, jika pesakit yang masih berasa sakit di bahagian ulu hati, muntah atau membuang air besar dengan najis berwarna hitam dan sangat busuk walaupun sudah mengambil ubat-ubatan, mereka perlu berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, selain menjalani rawatan perubatan dan mematuhi nasihat doktor, pesakit itu sendiri perlu mengambil langkah berjaga-jaga sejak awal. Ini termasuk mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat kerana punca gastrik juga turut dikaitkan dengan amalan pemakanan seseorang.

Berpuasa masih boleh bersenam


SENAMAN vertical traction iaitu menarik pemberat ke bawah merupakan senaman yang sesuai untuk jantung, kaki dan belakang badan.


BERSENAM di bulan puasa? Oh, tidak! Mungkin itulah yang keluar daripada mulut sesetengah individu yang berpendapat mereka perlu mengurangkan atau menghentikan sebarang aktiviti fizikal termasuk bersenam buat seketika kerana bimbang kepenatan, lapar dan dahaga di bulan Ramadan ini.

Bagaimanapun, Pengurus Kecergasan Fitness First, Simran Latiff, menolak tanggapan tersebut sambil menegaskan senaman masih perlu diteruskan walaupun ketika berpuasa bagi meningkatkan kadar metabolisme, selain mengekalkan tahap kecergasan agar tidak menurun dan memudahkan seseorang itu menjalani latihan fizikal seterusnya.

Katanya, bulan puasa tidak harus dijadikan alasan untuk seseorang itu mengehadkan aktiviti mereka termasuk melakukan senaman.

“Jika tidak melakukan senaman, otot menjadi lemah dan badan mudah berasa letih. Ini kerana kalori masih perlu dibakar biarpun pada bulan puasa,’’ ujarnya ketika ditemui, baru-baru ini.

Simran berkata, sekiranya seseorang itu tahu kebaikan meneruskan senaman pada bulan puasa yang mampu memaksimumkan pembakaran kalori terutama yang sumbernya datang daripada lemak, pasti mereka mahu melakukannya apatah lagi jika telah terdapat keinginan untuk mendapatkan bentuk badan sempurna.

Menerangkan lebih lanjut mengenai bagaimana senaman di bulan puasa, katanya, secara umumnya pengambilan kalori pada bulan puasa akan berkurangan kerana pembakaran lemak berlaku secara maksimum.

“Pada hari biasa, ketika kita bersenam badan memerlukan kalori untuk dijadikan tenaga dan pada 20 minit pertama, tenaga itu datang daripada kalori karbohidrat terlebih dahulu. Selepas 20 minit pertama, barulah badan menggunakan kalori lemak untuk dijadikan tenaga.”

Disebabkan berpuasa, jelasnya, kalori karbohidrat dalam badan secara tidak langsung akan berkurangan dan secara semula jadi badan terus menggunakan kalori lemak untuk dijadikan tenaga tanpa memerlukan 20 minit pertama. Dari situ, ia dapat mengurangkan peratusan lemak dalam badan seseorang.

Menerangkan cara dan bagaimana aktiviti senaman boleh dilakukan, kata Simran, sepanjang bulan puasa senaman boleh dilakukan dua atau tiga kali seminggu dengan sekurang- kurangnya 30 minit sekali senaman.

Ia agak berbeza di bulan biasa iaitu perlu dilakukan lebih kerap dan memerlukan antara 30 minit hingga satu jam setiap senaman.

Lebih penting kata Simran, dalam tempoh 30 minit itu individu boleh melakukan tiga senaman berperingkat-peringkat seperti senaman memanaskan badan, senaman kardiovaskular seperti berbasikal dan berjalan kaki.

Bagi membentuk kardiovaskular (berjalan, joging atau berbasikal), penggunaan tenaga pada tahap maksimum perlu diselaraskan mengikut tahap latihan yang sesuai.

Bagi latihan pembentukan otot, seseorang itu dinasihatkan agar melakukan senaman pada otot besar sahaja. Antaranya, bahagian dada, belakang, bahagian depan paha dan belakang paha.

Bagi setiap otot, latihan boleh dilakukan sebanyak satu atau dua set dan setiap satu set sebanyak 15 hingga 20 pengulangan. Bilangan yang kerap membolehkan kita mengurangkan lemak dan pada masa sama, membentuk otot.

Senaman katanya, boleh dilakukan 30 minit atau satu jam sebelum waktu berbuka atau selepas berbuka sebaik proses penghadaman selesai.

Selain senaman memanaskan badan, individu juga boleh menggunakan threadmill atau kayuhan basikal yang boleh dilakukan selama kira-kira 10 hingga 15 minit.

Bagi mereka yang memilih melakukan senaman selepas berbuka, kata Simran pastikan makanan yang dimakan semasa berbuka telah benar-benar hadam. Ambil masa sekurang-kurang setengah hingga satu jam selepas makan.

“Cuba elakkan berbuka dengan mengambil makanan berat, sebagai contoh nasi. Sebaiknya, individu dinasihatkan agar hanya mengambil makanan dalam jumlah yang sedikit seperti sebiji kurma dan segelas minuman,’’ ujarnya lagi,

Simran menambah, melakukan senaman kardio selama kira-kira 30 minit baik untuk jantung. Ini boleh diikuti dengan latihan mengangkat bebanan, latih tubi dan regangan.

Milk thistle rangsang detoksfikasi

KELETIHAN merupakan cabaran utama yang sering dihadapi semasa berpuasa akibat kurangnya pengambilan air dan makanan pada siang hari. Menjelang berbuka puasa ada di antara kita yang tidak dapat menahan selera makan, mengakibatkan kita sering makan secara berlebihan.

Dalam masa yang sama, kehidupan masa kini membuatkan kita sukar untuk mengelak daripada pencemaran toksin dari pelbagai sumber seperti pencemaran alam sekitar, makanan tercemar, alat penyembur dan bahan pencuci kegunaan rumah, di samping gaya hidup tidak sihat.

Kandungan toksin yang berlebihan dalam badan akan membebankan dan menjejaskan fungsi hati yang bertindak sebagai organ penyingkiran toksik badan yang utama. Antara simptom yang sering dikaitkan dengan gangguan fungsi hati atau kongesi hati adalah mudah rasa letih.

Bulan puasa seharusnya digunakan sebagai peluang untuk detoksifikasi (nyahtoksin), terutamanya di kalangan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan, berkolesterol tinggi serta pelbagai masalah kesihatan lain. Makan secara berlebihan terutamanya semasa berbuka dan semasa menyambut perayaan dengan pelbagai hidangan bersantan dan biskut yang tinggi dengan pelbagai jenis lemak dan berminyak akan meningkatkan pengumpulan toksin, selain meningkatkan risiko masalah kesihatan seperti kolesterol.


Pengumpulan bahan toksin yang tinggi akan membuatkan tubuh anda lebih sensitif dan meningkatkan risiko alahan seperti mudah bertindakbalas dengan ubat yang biasanya tidak memberi reaksi kepada orang lain.


Golongan ini juga akan menghadapi alahan terhadap makanan dan bahan pencuci serta masalah penghadaman lemak dan makanan berminyak yang membuatkan mereka berasa loya dan tidak selesa. Akibatnya, seseorang akan mengalami simptom-simptom seperti masalah kulit, penghadaman, sakit kepala, penyakit hati dan sebagainya. Milk thistle merupakan antara herba poten untuk merangsang pengaliran hempedu yang penting dalam pencernaan lemak. Mungkin apa yang paling menarik tentang Milk thistle adalah keupayaannya dalam merangsang sintesis (penghasilan) protein. Ini akan memberi kesan kepada rangsangan pengeluaran sel hati yang baru untuk menggantikan sel yang rosak.


Silymarin, bahan aktif daripada Milk thistle juga meningkatkan kandungan glutation hati dan juga meningkatkan paras enzim antioksida penting iaitu superoksida dismutase. Glutation juga bertanggungjawab dalam menyahtoksin bahan kimia. Peningkatan kandungan glutation juga bermakna hati lebih berupaya untuk tindakan detoksifikasi.


Berdasarkan kajian farmakologi, kandungan utama Silymarin adalah silybinin. Silymarin didapati menggalakkan kesan antitoksik dan merangsang pemulihan sel hati. Ia dikaitkan dengan keupayaan Milk thistle untuk merangsang sintesis protein dan seterusnya menggalakkan peningkatan pengeluaran sel hati yang baru untuk menggantikan sel hati yang lama.


Dandelion juga tidak kurang pentingnya untuk digunakan sebagai sebahagian daripada amalan detoksifikasi. Ia merupakan sejenis herba yang pahit yang membantu penghadaman dengan merangsang pembebasan hempedu oleh hati dan pundi hempedu.


Kajian menunjukkan Dandelion meningkatkan pengaliran hempedu dan seterusnya memperbaiki masalah seperti kongesi hati, keradangan duktus (salur) hempedu dan batu hempedu. Dandelion juga memberi kesan kepada pergerakan atau mempercepatkan pembuangan lemak.


Sejenis nutrien yang boleh didapati di dalam lesitin, iaitu fosfatidilkolina (Phosphatidylcholine) juga amat baik bagi memelihara kesihatan hati. Ia membantu fungsi hati dengan membina semula struktur tisu hati. Pengambilan lesitin bersama dengan vitamin B kompleks juga boleh membantu memperbaiki kerosakan hati dan menggalakkan proses menyahtoksin. Setelah proses pengemulsian, lesitin menjadikan kolesterol lebih mudah larut. Nutrien antioksida seperti vitamin A, C, E serta selenium dan zink perlu diambil bagi mengawal kesan kerosakan sel-sel hati akibat serangan radikal bebas.


Untuk mengurangkan penyerapan bahan toksik, anda digalakkan supaya mengamalkan diet yang tinggi dengan kandungan fiber (serat), seperti yang boleh diperoleh daripada sayur-sayuran, buah-buahan dan bran oat.


Pengambilan makanan tinggi fiber semasa bersahur contohnya boleh membantu anda menahan rasa lapar dengan lebih baik, selain mempunyai keupayaan untuk mengasingkan toksin dalam usus serta membantu mengeluarkannya. Adalah amat penting juga untuk mereka yang berpuasa meningkatkan pengambilan air bagi mengelakkan dehidrasi dan mengurangkan kelesuan.

Mercun ancam sel deria dengar

MERCUN merupakan suatu yang sinonim dengan Ramadan, walaupun dari segi ajaran Islam perbuatan bermain mercun ini dilarang kerana ia merupakan suatu yang menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan.

Bermula dari kes-kes melecur berdarah, jari-jemari yang meletup patah, keilatan kekal yang menyebabkan hilang upaya untuk bersekolah bahkan ada yang tergadai nyawa menyaksikan keluarga meratapi pemergian tanda menyesal tak sudah.

Bilangan mangsa yang terlibat akibat perbuatan bermain mercun ini nampaknya semakin pantas memintas bilangan hari umat Islam berpuasa.

Baru seminggu berpuasa, bilangannya telah bertambah berganda-ganda. Jika ingin dibilang dengan jari, maka tidak cukup jari-jari kita untuk menghitung bilangan jari mangsa mercun yang telah putus.

Kejadian empat buah rumah kedai yang hangus terbakar di Kampung Melor, Kota Bharu pada hari Jumaat lepas telah jelas menunjukkan bahawa mercun ini adalah suatu ancaman yang berbahaya, bukan sahaja kepada orang yang bermain dengannya bahkan meletakkan harta benda awam dan nyawa orang di sekeliling juga dalam risiko yang tidak kurang impaknya.

Sesungguhnya kesan mercun itu bukan sahaja terbatas kepada kemusnahan yang dapat dilihat secara fizikal sahaja.

Gangguan bunyi bising kepada jiran-jiran beranak kecil yang sedang tidur, jemaah yang sedang menghidupkan malam Ramadan dengan ibadat di masjid dan rumah, serta penghidap sakit jantung dan lemah semangat pastinya tersentak dengan setiap bunyi mercun yang diledak oleh budak-budak dan bapa-bapa budak yang meletakkan kepuasan diri mengatasi kepentingan semua.

Suatu kesan yang mungkin sering terlepas pandang akibat bunyi bising mercun ini ialah kerosakan deria pendengaran. Mercun yang diletupkan mengeluarkan bunyi pada tahap desibel yang melampau, bukan dalam julat yang selesa untuk telinga manusia normal mendengarnya.

Telinga manusia, spesifiknya struktur koklea pada bahagian telinga dalam telah dilengkapi dengan sel-sel deria dengar yang berhubungan dengan saraf pendengaran. Pendedahan kepada bunyi bising yang melampau akan menyebabkan sel-sel yang amat sensitif kepada bunyi ini mengalami kerosakan.

Mungkin pada peringkat awal, gangguan pendengaran ini adalah sementara iaitu pendengaran akan terganggu sebaik sahaja tamat stimulasi bunyi bising tersebut dan ia pulih semula seketika kemudian.

Keadaan ini disebabkan oleh fenomena anjakan tahap pendengaran sementara (temporary threshold shift). Walau bagaimanapun, jika pendedahan bunyi bising ini berlaku secara berulang-ulang atau berlaku dalam tempoh yang lama, kerosakan yang berlaku boleh menjadi kekal (permanent threshold shift).

Pada waktu tersebut, tiada apa lagi yang boleh dibuat. Nasi telah menjadi bubur, sel deria dengar telah pun hancur, pendengaran yang hilang tidak akan kembali walau air mata darah sekalipun yang dicucur.

Walaupun dentuman mercun menjanjikan sedikit kenikmatan, itu hanyalah amat sementara jika ingin dibandingkan dengan kerosakan yang akan kekal sepanjang hayat kita.

Kerajaan telah memainkan peranannya untuk menghalang kemasukan mercun namun ada sahaja yang berjaya melepasi halangan kastam lalu berjaya diseludup masuk.

Di sinilah ibu bapa sepatutnya memastikan bahawa anak mereka bukanlah salah seorang yang diburu oleh penduduk kampung akibat bermain mercun yang mengganggu ketenangan dan keheningan malam Ramadan.

Bukan itu sahaja, sebarang usaha anak-anak ini untuk membuat mercun sendiri patut dibanteras bermula sejak dari awal lagi.

Pastikan dengan siapa mereka bergaul, di mana mereka berada sewaktu para jemaah sedang khusyuk bersolat di masjid pada malam hari, ke mana mereka pergi setelah habis solat tarawih dan apa yang lebih penting ialah menerapkan dengan ilmu pengetahuan betapa bermain mercun ini bukan sahaja tidak disukai ibu bapa, bahkan jiran tetangga turut bengkak hatinya, sumpah seranah orang kampung menjadi seperti zikir yang sambung menyambung antara satu sama lain.

Semua ini adalah bertentangan dengan ajaran agama, jauh sekali untuk mencapai objektif puasa pada bulan Ramadan iaitu untuk menjadi manusia yang bertakwa.

Nikmat boleh mendengar yang telah dikurniakan Tuhan ini telah diciptakan dalam keadaan yang sebaik-baiknya.

Betapa mereka yang dilahirkan tanpa deria pendengaran terpaksa bersusah payah dan mengeluarkan belanja untuk menikmati suatu yang kita dapat secara percuma.

Pendengaran yang dianugerahkan adalah amanah kita, maka kita akan dipersoalkan tentang bagaimana kita mengguna dan menjaganya.

Hindarkanlah diri dari perkara-perkara yang boleh merosakkan pendengaran kita kerana pendengaran kita, tanggungjawab kita.

DR. IRFAN MOHAMAD
Pensyarah Jabatan
Otorinolaringologi (ENT)
HUSM, Kelantan

petikan dr utusan malaysia

Monday, August 25, 2008

44 PANTANG LARANG BAKAL PENGANTIN

Apabila telah ditetapkan hari perkahwinan bermakna bermulalah pantang larang buat bakal mempelai itu. Apa yang ditetapkan harus diikuti untuk kebaikan diri mereka. Ia bukanlah menjadi kewajipan tetapi sudah menjadi satu budaya dalam masyarakat Melayu. Walaupun bakal pengantin zaman sekarang jarang disebutkan perkara ini kepada mereka, tidak rugi jika apa-apa pantang larang yang difikirkan sesuai masih boleh diikuti.

  • Jangan keluar dengan pasangan selama 40 hari sebelum diijabkabul untuk mengelakkan tohmahan masyarakat. Selain itu ia bertujuan untuk mengawal nafsu. Ia juga untuk menimbulkan perasaan rindu dendam. Perasaan yang timbul akan membuatkan wajah pengantin lebih berseri.
  • Jangan tidur di rumah orang takut terkena ilmu. Ia juga untuk menjaga nama baik keluarga.
  • Jangan bebas keluar ke mana-mana kerana takut disantau oleh mereka yang mempunyai niat tidak baik.
  • Jangan makan nasi dengan gulai berkuah beberapa bulan sebelum naik pelamin bagi mengelakkan perut buncit.
  • Elakkan makan ulam yang berbau busuk seperti petai dan jering.
  • Jangan bercermin terutama selepas maghrib ke atas bagi mengelak diri dari perkara sihir.
  • Jangan membuang air kecil dan air besar serentak di dalam air contohnya dalam sungai, kolah kerana ia boleh melemahkan organ seks.
  • Elakkan minum air bergas kerana ia mempunyai gula dan gas yang tinggi dan boleh menyebabkan kencing manis.
  • Kurangkan makan makanan yang manis kerana jika terkena kencing manis, lelaki tersebut menghadapi masalah berat tika bersama.
  • Elakkan mandi malam kerana tidak elok untuk sendi-sendi.
  • Kawal makan iaitu sekali makan setiap hari (mengikut sesetengah adat).
  • Kaum lelaki elakkan memakai seluar dalam yang ketat pada waktu malam dan tidur meniarap kerana tidak bagus untuk organ seks kerana darah tidak mengalir.
  • Elakkan terlalu banyak makan makanan laut kerana ia mengandungi banyak toksid.
    Tiga bulan sebelum berkahwin, mula membuat urutan supaya pengantin mempunyai tenaga.
  • Amalkan makan telur ayam kampung seminggu 2 kali yang dicampur madu dan lada hitam yang ditumbuk untuk menambah tenaga.
  • Bagi mereka yang banyak angin, minum air halia untuk membuang angin.
  • Belajar ilmu rumahtangga daripada orang yang berpengalaman dan sudah berkahwin tentang rahsia memikat isteri supaya rumahtangga aman dan damai.
  • Jangan memuaskan nafsu dengan cara sendiri.
  • Cukupkan waktu tidur tujuh hingga lapan sehari.
  • Elakkan minum minuman keras dan merokok.
  • Elakkan terkena cahaya matahari kerana dikhuatiri hitam dan tidak berseri pada hari perkahwinan.
  • Elakkan minum air soya kerana ia sejuk dan tidak elok untuk alat kelamin.
  • Amalkan makan jamu supaya malam pengantin tidak mengecewakan.
  • Banyakkan baca surah-surah bagi mengelakkan gangguan syaitan. Sentiasa mengingati Allah.
  • Jangan makan sebebas-bebasnya kerana ketika ini sistem dalaman tidak stabil.
    Jangan terlalu terdedah kepada keluarga lelaki (simpan diri).
  • Jangan berembun atau keluar malam bagi mengelakkan unsur jahat.
  • Jangan bercelak atau berlangir serta memotong rambut seminggu sebelum ijabkabul.
    Jika telah nikah gantung tidak boleh bersama.
  • Selepas nikah mesti ada peneman tidur sebelum bersama. Ia bertujuan untuk menghangatkan lagi kemesraan.
  • Bilik lelaki atau wanita Jangan dikosongkan. Mesti ada orang atau ahli keluarga terdekat tidur di dalam bagi mengelak dari dikhianati orang.
  • Jangan buat kerja yang berat. Apabila pengantin membuat kerja berat, dia akan berasa penat dan mudah terjadinya gangguan emosi.
  • Jaga pertuturan agar tidak menimbulkan rasa sakit hati.
  • Elakkan makan dan minum seperti sayur bersifat sejuk seperti kangkung, bayam, timun, jambu batu dan air kelapa agar muka nampak segar.
  • Jangan cukur kening ditakuti akan menghilangkan seri muka.
  • Sebelum menjadi pengantin, katil kelamin tidak boleh ditiduri oleh pengantin kerana tidak manis.
  • Lempar baju di atas bumbung rumah tanpa diketahui oleh orang lain bagi mengelakkan hujan turun ketika majlis berlangsung.
  • Dilarang memandang cermin ketika disolek oleh juruandam kerana dikhuatiri hilang seri.
    Kedua pengantin dilarang bercakap ketika bersanding kerana kurang manis dipandang tetamu.
  • Jangan makan kepala ayam nanti mengantuk masa bersanding.
    Dilarang membuang alis kerana perbuatan tersebut akan menghilangkan seri wajah buat pengantin lelaki.
  • Jangan makan bersulam air kerana dikhuatiri menyebabkan perut menjadi buncit.
  • Elakkan keluar rumah tanpa tujuan kerana angan-angan yang tinggi menjelang perkahwinan dikhuatiri bakal pengantin mengalami kemalangan jika berada di luar.


Orang-orang tua Melayu dahulu selalu mengingatkan anak cucunya supaya tidak melanggar pantang larang. Melanggar pantang larang samalah dengan tidak mendengar nasihat.

P/S: Petikan dari email rakan kerja .. nak ikut tak nak ikut terpulang...

Friday, August 22, 2008

Nombor tidak diperlukan?

Oleh SUBASHINI RAJANDRAsubashini.rajandra@kosmo.com.my

Kajian mendapati kemungkinan besar, individu yang tidak menggunakan nombor dalam bahasa mereka mempunyai kiraan matematik yang lebih tepat.

JAWAB soalan ini tetapi jangan mengira:
Adakah terdapat lebih X di sini XXXXXX atau di sini XXXXX? Itulah masalah yang dihadapi oleh sesetengah orang apabila bahasa yang digunakan tidak meliputi perkataan yang lebih daripada satu atau dua.
Bagaimanapun, para pengkaji mendapati kanak-kanak yang menggunakan bahasa ini masih lagi mampu untuk membuat perbandingan dari segi kuantiti.

"Kami mempertikaikan hujah bahawa manusia memiliki sistem tabii semula jadi dalam isu perhitungan dan sebab itu, kita tidak bergantung pada perkataan," kata Brian Butterworth dari Institut Sains Saraf Kognitif di Universiti Kolej London.

Dalam usaha untuk membuktikan kebenaran hujah tersebut, Butterworth membandingkan kemahiran nombor dalam kalangan kanak-kanak daripada dua kumpulan Orang Asli di Australia yang menggunakan bahasa yang tidak merangkumi kesemua nombor yang digunakan oleh kanak-kanak berbahasa Inggeris.

Kesemua kumpulan tersebut memberi hasil yang cukup memberangsangkan, lapor para pengkaji Butterworth dalam edisi Proceedings National Academy of Sciences. "Nombor asas dan kemahiran aritmetrik dibina daripada sistem tabii khas," jelas Butterworth. Sambungnya lagi, penggunaan perkataan yang tepat pada satu-satu nombor amat berguna tetapi tidak wajib.

KEKURANGAN perkataan nombor dalam sesuatu bahasa kaum tertentu tidak menghalang diri untuk melakukan kiraan mudah.

Robert Reeve dari Universiti Melbourne, Australia turut bersetuju. "Hasil kajian kami konsisten dengan idea bahawa kita semua mempunyai sistem tabii semula jadi yang mewakili kuantiti. Sebab itulah kekurangan perkataan nombor tidak menghalang diri untuk melakukan kiraan mudah."

Edward A. Gibson dan rakan sekerjanya dari Jabatan Otak dan Sains Kognitif, Institut Teknologi Massachusetts, bagaimanapun kurang pasti dengan penemuan tersebut. Katanya, ia merupakan sebuah kajian yang berguna tetapi tidak menyokong kesimpulan bahawa pemahaman ke atas nombor-nombor tidak bergantung kepada sesuatu bahasa.

Kajian Butterworth melibatkan 13 kanak-kanak yang berupaya menggunakan bahasa Inggeris dari Melbourne, 20 kanak-kanak yang menggunakan bahasa Warlpiri dan 20 lagi kanak-kanak yang bertutur dalam bahasa Anindilyakwa. Kesemua kanak-kanak ini berumur dalam lingkungan usia empat hingga tujuh tahun.

Dalam bahasa Warlpiri, perkataan nombor terhad kepada satu, dua dan banyak. Anindilyakwa pula mempunyai perkataan nombor satu, dua, tiga dan kadangkala termasuk nombor empat dan lebih daripada tiga.

KAJIAN ini mempertikaikan hujah bahawa manusia memiliki sistem tabii semula jadi dalam isu perhitungan dan kiraan.

*Ujian

BERKONGSI. Hampir kesemua kanak-kanak mampu mengagihkan enam dan sembilan bahagian plastisin kepada tiga anak patung. Apabila tujuh atau 10 bahagian plastisin perlu dikongsi, idea untuk memecahkannya kepada bahagian kecil atau ekstrak hanya disedari oleh segelintir kanak-kanak. Ini termasuk kanak-kanak dewasa dan bukan bertutur menggunakan bahasa Inggeris.

MEMORI.
Pelbagai token nombor diletak di atas tikar dan ditutup. Kanak-kanak ini kemudiannya diminta untuk meletakkan jumlah yang sama di atas tikar mereka. Tiada perbezaan disaksikan pada kesemua tiga kumpulan.

BERCAMPUR BUKAN LISAN.
Beberapa set nombor diletak di atas tikar dan ditutup. Beberapa saat kemudian, lebih banyak set nombor diletak. Kanak-kanak ini diminta untuk memadankan jumlah kiraan setiap nombor dengan set kiraan. Beberapa kombinasi digunakan, umpamanya 2+1,1+4,4+3 dan 4+2. Kanak-kanak yang berkebolehan berbahasa Inggeris mendapat sedikit jawapan betul tetapi perbezaan ini tidak dianggap signifikan.

PADANAN MODAL BERSILANG.
Sejumlah papan disentuh dengan kayu dan beberapa set nombor diletak di atas tikar. Adakalanya bilangan papan berpadanan dengan set nombor dan sebaliknya. Kanak-kanak ini kemudiannya ditanya sama ada nombor yang dilihat sama dengan jumlah papan. Tiada perbezaan bahasa dilihat.

"Mungkin hasil yang paling menakjubkan datang daripada ujian padanan modal bersilang di mana kanak-kanak ini terpaksa mencari jawapan set nombor betul sejajar dengan sekuel auditori," ujar Butterworth.
"Ini tidak dapat dilakukan dengan memori bervisual tetapi memerlukan kanak-kanak terlibat menghasilkan satu perwakilan mental yang bersifat abstrak dan memadai untuk menghitung kedua-dua visual serta auditori."
Gibson pula menambah: "Dalam usaha menunjukkan hasil yang diingini, penulis ini harus menilai kumpulan umur dengan bahasa atau tanpa bahasa nombor. Peserta yang menggunakan bahasa yang bernombor berkemungkinan dapat mencapai jawapan tepat secara 100 peratus. Kemudian, ketiadaan perkataan nombor boleh dinilai pada populasi pengguna yang menggunakan bahasa yang tidak mempunyai perkataan nombor."

Dalam ujian ini, walaupun kesemua kanak-kanak daripada kumpulan berlainan mendapat jawapan yang hampir sama, tetapi tidak ada sesiapa yang mendapat markah penuh 100 peratus.

"Mungkin ada benarnya bahawa kebanyakan daripada kanak-kanak ini menggunakan padanan kiraan paling dekat untuk menyelesaikan masalah. Ini adalah salah satu strategi yang tidak bergantung kepada perkataan nombor," luah Gibson.

WALAUPUN kesemua kanak-kanak daripada kumpulan berlainan mendapat jawapan hampir sama, tetapi tidak ada sesiapa pun mendapat markah penuh 100 peratus.

Gibson dan para pengkajinya pernah meneliti puak Orang Asli di Amerika Selatan yang mempunyai bahasa tersendiri tetapi tiada perkataan bernombor. "Dalam kajian terbaru kami, dipaparkan penduduk Piraha mencapai ketepatan penyelesaian kiraan yang tinggi walaupun mereka tidak mempunyai perkataan untuk nombor, sekalipun nombor satu," katanya.

Berusaha menuju kesempurnaan

Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS (fikrahremaja@yahoo.com)

SEMPURNA bermaksud cukup, lengkap, tiada cacat celanya. Kesempurnaan juga bererti efektif dan efisien dalam melaksanakan tugas. Efektif bermaksud berhasil mencapai matlamat yang ditujui manakala efisien pula bermaksud menggunakan sebaik-baiknya tempoh masa yang ada dalam usaha mencapai matlamat tersebut.
Konsep itqan dalam Islam juga merujuk kepada maksud sempurna atau konsep profesionalisme. Namun perkataan itqan itu mempunyai konotasi yang lebih luas dan holistik kerana ia bertaut kepada aspek ketauhidan kepada Allah SWT.

Dalam kupasan minggu ini perkataan sempurna digunakan bagi memudahkan pemahaman pembaca, tetapi pada dasarnya, ia merujuk kepada konsep itqan yang dimaksudkan.

Bagi seseorang insan itu, kesempurnaan dalam menuju matlamat insan diciptakan ialah apabila ia berusaha untuk memenuhi segenap aspek kehidupannya di dunia ini sebagai ibadah kepada Allah SWT semata-mata, sebagaimana maksud ayat 56 surah Az-Zaariyat.

Kesempurnaan dalam bidang profesional

Faktor kesempurnaan semakin signifikan apabila dikaitkan dengan bidang profesional seperti kedoktoran dan kejuruteraan. Profesion sebagai doktor atau jurutera umpamanya, memerlukan kejituan serta ketelitian yang tinggi dalam tugasan mereka kerana ia melibatkan aspek kesihatan dan keselamatan orang ramai.

Doktor yang merawat pesakit perlu berusaha memastikan kesempurnaan terhadap rawatan yang diberikan. Diagnosis penyakit perlu teliti, preskripsi ubat perlu sesuai, serta rekod perubatan perlu objektif demi memastikan kualiti kesihatan pesakit semakin meningkat selepas rawatan (dengan izin Allah).

Andai doktor cuai, penyakit bakal melarat, penyakit lain pula menghambat, dan kemudiannya pesakit semakin tenat. Emosi pesakit dan keluarga pula semakin meruntun. Kredibiliti doktor juga bakal dipersoal, malah mungkin dipertanggungjawabkan atas ketidaksempurnaan tugas yang dilaksanakan.

Jurutera yang merencana pembinaan bangunan atau lebuh raya perlu berusaha memastikan kesempurnaan dalam pembinaan yang dirancangkan.

Bahan yang digunakan perlu berkualiti, reka bentuk yang dirancang perlu selamat serta mempunyai ketahanan untuk menanggung beban berat manusia dan kenderaan yang menggunakannya.

Andai jurutera cuai, bangunan mungkin retak lantas mengundang bahaya buat penghuni serta sekitarnya. Ditakuti bahawa bangunan mungkin tumbang atau runtuh secara tiba-tiba lalu mengakibatkan ramai terkorban serta kehilangan harta benda.

Di kala itu sang jurutera dipertanggungjawabkan, punca kejadian dicari dan hukuman bakal menanti andai didapati bersalah. Sudah tentu kita tidak mahu tragedi tumbangnya kondominium Highland Towers 15 tahun lepas berulang lagi.

Kesempurnaan dalam pelajaran

Bagi remaja yang masih menempuhi pelajaran, sifat kesempurnaan itu akan membantu ke arah mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Kesempurnaan dalam pelajaran perlu bermula sejak awal tahun persekolahan atau semester dan bukannya hanya apabila tempoh peperiksaan semakin menghampiri.

Dari segi tugasan, implementasi sempurna terhadap pelajaran bermaksud tugasan dilaksanakan dengan betul dan lengkap pada waktunya. Tugasan juga mungkin dilaksanakan atas inisiatif sendiri atau perbincangan bersama rakan tetapi bukannya dengan meniru secara bulat-bulat daripada mana-mana rujukan sekalipun.

Kesempurnaan juga merangkumi inisiatif sendiri dalam melakukan latih tubi serta pembacaan yang intensif terhadap bahan berkaitan peperiksaan. Justeru, bersifat proaktif dengan kaedah belajar sendiri merupakan langkah utama dalam mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan.

Di samping itu, aktif dalam kegiatan kokurikulum yang tidak menjejaskan pelajaran serta halaqah juga menjurus ke arah kesempurnaan dalam pembentukan watak seseorang pelajar itu.

Kesempurnaan yang berimbang

Kesempurnaan bukan sahaja berkaitan perkara yang dihuraikan di atas tetapi juga meliputi segenap aspek dalam kehidupan insan. Kesempurnaan dalam sesuatu aspek sahaja tetapi mengabaikan aspek lain tidak dapat menghasilkan kecemerlangan yang holistik bagi seseorang insan itu serta insan lain di dalam lingkungan pengaruhnya.

Bagi mereka yang berkerjaya dan berkeluarga misalannya, kesempurnaan dalam kerjaya melalui dedikasi masa dan tenaga bakal membuahkan hasil dalam bentuk kenaikan pangkat, pendapatan yang lebih tinggi atau sebagainya.

Namun jika tuntutan berkerjaya mengatasi tanggungjawab sebagai seorang Muslim contohnya solat ditinggalkan kerana terlalu sibuk dengan tugasan kerja, adakah kita masih menuju kesempurnaan dalam aspek pembangunan diri sebagai seorang Muslim?

Dan jika kesibukan terhadap kerjaya menyebabkan kurangnya masa untuk bersama keluarga dan mendidik mereka, anak-anak bakal membesar dan 'terdidik' dengan acuan di kaca televisyen, permainan video, internet dan rakan sebaya dalam usaha mereka memenuhi kesunyian akibat kurangnya tumpuan ibu bapa.

Tetapi apabila anak-anak terlibat dengan pelbagai gejala sosial maka adakah kita masih menuju kesempurnaan dalam pembinaan keluarga yang bahagia dan mithali? Adakah kesempurnaan dalam kerjaya mampu menebus kepincangan keluarga sendiri? Sudah tentu jawapannya tidak.

Justeru usaha menuju kesempurnaan berkaitan sesuatu aspek itu perlu berimbang dengan keperluan mencapai kesempurnaan dalam aspek lain agar kita berhasil menuju kesempurnaan dalam kualiti kehidupan secara keseluruhannya.

Berusaha menuju kesempurnaan

Dalam usaha kita menuju kesempurnaan, kita seharusnya memahami hakikat bahawa sifat kesempurnaan yang hakiki itu hanya menjadi milik Allah SWT. Kita sebagai hamba-Nya yang lemah hanya mampu berusaha dengan sebaik mungkin dengan izin Allah dalam mencapai sesuatu.

Hasil reka cipta dan kerja tangan manusia tidak akan dapat menandingi sebarang elemen alam ciptaan Allah. Sebagai contoh, robot yang menyerupai manusia atau humanoid versi terkini dikatakan mampu untuk berjalan serta berlari.

Secara umumnya kemampuan fizikalnya untuk berlari hampir menyamai keupayaan manusia untuk berlari. Tetapi jika ada bahagian robot yang rosak, robot tidak mampu memperbaiki diri sendiri, walhal sistem tubuh manusia mampu menjana penyembuhan sendiri terhadap luka yang dihadapi.

Manusia diberikan keupayaan berfikir yang ada keterbatasannya serta memerlukan pedoman wahyu Ilahi untuk memandu kehidupan di dunia ini. Pemahaman terhadap hakikat ini seharusnya mewujudkan rasa ketundukan dan kehambaan kepada Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.

Manusia itu sendiri bersifat lalai maka akan sahaja melakukan kesilapan. Namun sebaik-baik manusia ialah mereka yang mempelajari kesilapan mereka dan tidak mengulanginya lagi. Namun kita dituntut untuk berusaha untuk menghampiri serta menuju kesempurnaan kerana ia akan membawa kebaikan secara keseluruhannya.