Wednesday, June 11, 2008

Buah epal Pak Tagal












Oleh Ravichandran D. J. Paul


Tiada racun makhluk perosak atau bahan kimia digunakan untuk membolehkan buah epal kelihatan cantik seperti yang lazim dilakukan di dusun-dusun komersial.


PAK TAGAL bersama sebakul buah epal di dusun miliknya di Kampung Buduk Nur, Ba'kelalan, Sarawak.
Ba'Kelalan, tempat yang unik dan menarik di timur laut Sarawak kini sinonim dengan buah epal. Rasanya bukan sahaja manis dan rangup malah bebas daripada racun makhluk perosak atau bahan kimia.
Tagal Paran, 75, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Tagal adalah orang yang bertanggungjawab terhadap penanaman pokok epal di Ba'kelalan.




Pokok epal hanya boleh ditemui di kawasan iklim sederhana tetapi oleh kerana sikap ingin tahu dan keazaman Pak Tagal, pokok epal hidup subur di sini.
Berada pada kedudukan kira-kira 915 meter (3,000 kaki) dari aras laut, daerah yang tenang ini mempunyai iklim yang sesuai untuk pertumbuhan pokok epal yang baik.
Pak Tagal yakin bahawa satu hari nanti Ba'kelalan boleh membekalkan buah epal yang mencukupi untuk negara.


Pesta Epal yang diadakan setiap tahun pula menjadikan Ba'kelalan sebuah destinasi mempesona bagi pelawat.



Serius menanam epal



Menurut Pak Tagal, adiknya Andrew Balang Paran telah membawa pulang 50 anak pokok epal dari Kalimantan pada tahun 1960-an selepas melihat penduduk di situ mengusahakan tanaman epal.



Bagaimanapun, hanya pada pertengahan tahun 1970-an, Pak Tagal serius menanam pokok epal dengan menanam 300 batang pokok yang ditanam sebagai percubaan oleh pihak berkuasa pertanian.
Pak Tagal menyedari pokok-pokok epal itu berada dalam keadaan tenat dan akan mati jika tiada tindakan segera diambil manakala pihak berkuasa pertanian tidak begitu berpengetahuan mengenai tanaman epal.



"Saya dengan segera berangkat ke Batu Malang di Indonesia untuk belajar lebih lanjut mengenai penanaman pokok epal serta mendapatkan khidmat dua penanam epal di situ.
"Saya kembali ke Indonesia sebanyak tiga kali untuk mendapatkan anak pokok baru. Semuanya saya cuba," katanya mengenang semula bagaimana beliau mula mengusahakan tanaman ini.



Dusun tiga hektar Pak Tagal di kampung Buduk Nur kini mempunyai 2,000 batang pokok epal dan dijaga oleh empat pekerja. Kira-kira satu tan metrik buah epal dapat dihasilkan bagi satu-satu musim.



Berbuah dua kali setahun



Kebiasaannya, pokok epal berbuah sebanyak dua kali setahun iaitu pada pertengahan dan hujung tahun. Pokok epal memerlukan rangsangan musim sejuk dan ini dapat dicapai dengan mencantas dan menggugurkan daun secara manual dan selepas itu, pokok akan mula berbunga dan berbuah.
Tiada racun makhluk perosak atau bahan kimia digunakan untuk membolehkan buah epal kelihatan cantik seperti yang lazim dilakukan di dusun-dusun komersial.



Mengenai jenis epal yang ditanam di sini, beliau berkata antaranya ialah epal Manalagi (Golden Delicious) yang kini diberi nama baru iaitu Epal Ba'kelalan. Ia berwarna kuning kehijauan, manis dan agak rangup. Selain dimakan terus, ia sesuai dijadikan ramuan dalam pai epal dan salad buah-buahan.



Buah epal Anna berwarna merah di bahagian atas dan kuning di bawah, mempunyai rasa masam manis dan lebih lembut.
Buah epal Rome Beauty berwarna hijau dengan merah di bahagian bawah dan rasanya lebih kurang sama dengan epal Anna tetapi lebih rangup.
Buah epal Granny Smith berwarna hijau dan rasanya masam dan sesuai untuk masakan atau dijadikan tuak epal.



Epal Ba'kelalan dipasarkan di Lawas dan Miri dalam kuantiti terhad.






Harapan lebih besar

Pak Tagal yakin jika penduduk di sembilan buah perkampungan di Ba'kelalan mula menanam buah epal, Malaysia boleh menjadi pengeksport buah itu.
Malahan beliau berpendapat banyak lagi buah-buahan iklim sederhana boleh ditanam di sini seperti sitrus, strawberi dan anggur.


Beliau turut menanam strawberi dan beberapa penduduk kampung menanam kopi Arabica.
Bagaimanapun, kedudukan Ba'kelalan di satu kawasan terpencil berdekatan sempadan Kalimantan di Indonesia, menyebabkan ia hampir terputus hubungan dengan pekan dan bandar lain. Laluan ke dunia luar hanyalah menerusi pesawat ringan dan kenderaan pacuan empat roda.

Oleh itu, agak mustahil untuk membawa keluar buah epal dalam kuantiti besar bagi tujuan eksport.
Bagaimanapun, terdapat rancangan untuk membina jalan raya sejauh 170 kilometer dari bandar terdekat di kaki bukit, iaitu Lawas.
Beliau yakin cadangan membina jalan itu akan menarik minat syarikat-syarikat besar untuk menjalankan aktiviti penanaman komersial, selain diproses menjadi jem dan tuak.


Pembinaan jalan itu juga, menurut Pak Tagal, mampu menjadikan Ba'kelalan sebagai pengeluar terkemuka buah-buahan dan sayur-sayuran di Sarawak seperti Cameron Highlands di Semenanjung dan Kundasang di Sabah.
Bagaimanapun, buah epal bukan hasil utama Ba'kelalan. Beras wangi Bario atau dikenali oleh penduduk tempatan sebagai 'Adan' merupakan komoditi utama penduduk di sini.
Namun Pak Tagal percaya buah epal akan kekal sebagai aset penting Ba'kekalan dalam menggamit pelancong.

LIMA bakul epal dari dusun Pak Tagal sedia untuk dipasarkan di Lawas dan Miri, Sarawak.
Daerah itu buat masa ini menerima hampir 3,000 pelancong setiap tahun, sebahagian besarnya warga Eropah dan bilangannya dijangka meningkat.




Sumbangan tidak ternilai

Warga emas itu kini menikmati hasil daripada titik peluhnya. Pak Tagal yang peramah, dan isterinya, Yammu Pengiran mempunyai tujuh anak iaitu Dr. Judson, Mutang, Dina, Rangai, Gerit, Martha dan Sandra.
Keluarga itu kini juga mengendalikan sebuah kemudahan homestay di Buduk Nur iaitu Apple Lodge, di mana pelawat boleh menikmati kehidupan dan adat resam masyarakat Lun Bawang.
Pak Tagal bertekad untuk meneruskan apa yang sangat diminatinya ini. Beliau mungkin tidak sedar yang minatnya untuk menanam epal telah menjadikannya ikon dan telah membantu Ba'kelalan mengukir nama dalam sektor pelancongan.
Buah epal di Ba'kelalan bukan lagi mitos. Terima kasih Pak Tagal. - Bernama

No comments: