Friday, June 13, 2008

Bangkit daripada kegagalan

Seseorang yang gagal dalam cubaan pertama mesti belajar daripada kesilapan dan membaikinya.
KEINGINAN untuk berubah tetap ada dalam diri seseorang. Memang ramai orang yang gagal mencapai kejayaan tetapi mereka terus berusaha.

Cuba renungkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah bantuan (untuk menghadapi kesusahan dalam menyempurnakan perintah Tuhan) dengan sabar dan mengerjakan solat." - (Surah al-Baqarah: 153)

Ketika sedih, hampa, sakit hati, takut dan risau, inilah masanya kita perlu bangkit dengan segera dan bersolat. Apa yang diperlukan pada masa itu adalah ketenangan jiwa. Dan solat merupakan penyejuk hati dan pembuka kebahagiaan.

Apabila semangat semakin luntur dan kita tidak tahu ke mana hendak dituju, duduklah sebentar dan fikirkan kembali apa yang kita telah lakukan.
Elok juga kalau kita belajar daripada kisah seekor keldai yang hampir mati tertimbus.

KISAH SEEKOR KELDAI

Di sebuah kampung di pedalaman, keldai merupakan harta penting untuk petani. Suatu hari, seorang petani mundar-mandir di sekitar rumahnya kerana mencari keldai yang hilang. Setelah penat, dia duduk di pangkin rumahnya memikirkan nasib keldai itu.

Kemudian, perlahan-lahan dia mendengar suara rengekan seakan-akan seseorang berada dalam kesusahan. Beringsut-ingsut si petani mencari arah suara itu dan rupa-rupanya itu ialah suara keldai yang sedang dicarinya.

Keldai itu tersesat dan terjatuh ke dalam perigi lama yang dilitupi daun-daun pokok di atasnya.
"Apa yang harus dibuat? Perigi ini dalam dan kalau ditarik keluar, terlalu bahaya," bisik hatinya. Lama berfikir, dia memutuskan untuk menimbus sahaja keldainya.

Si petani mengajak beberapa orang rakannya untuk mengambus perigi tadi.
Semasa membuat kerja, dia menutup kedua-dua telinganya kerana tidak sanggup mendengar pekikan keldainya. "Cepat timbus, biar suara keldai ini tidak kedengaran lagi."

Peluh mencurah-curah keluar dari dahi petani dan rakan-rakannya.
Sehinggalah suara keldai tidak kedengaran barulah mereka berhenti. Menyangka keldai sudah mati, mereka berdiri di tepi perigi untuk melihat apa yang berlaku.

Sungguh menakjubkan! Pandangan mereka terpaku pada seekor keldai yang masih kuat, segar dan sambil menggoyang-goyangkan ekor ke kiri dan kanan.
Setiap kali tanah jatuh ke atas badannya, keldai itu akan menggoyangkan punggungnya, menjatuhkan timbunan tanah lalu menginjak-injak sehingga menjadi padat.

Melihat keadaan ini, petani tambah bersemangat dan menyiapkan usaha mereka sehinggalah keldai itu dapat melompat keluar dan berlari pergi.
Seperti juga kisah keldai ini, kehidupan kita akan terus dituangkan tanah dan kekotoran yang berupa kesedihan, masalah, ujian dan cubaan hidup.

Hanya ada satu cara untuk keluar daripada keadaan tersebut iaitu menggerakkan akal untuk membuang segala kesedihan daripada hati.
Dengan cara itulah, anda dapat menjadikan semua masalah seperti tanah untuk dipijak dan melompat keluar dari perigi kesengsaraan.

Kejayaan dan kegagalan untuk berubah adalah silih berganti. Tidak ada sesuatu yang kekal kerana setiap masa kita berubah.
Hanya kepada Allah kita berharap dan memohon pertolongan.

Allah berfirman: "Tidakkah Kami (Allah) telah melapangkan dadamu (Ya Muhammad)? Dan telah Kami ringankan bebanmu yang berat. Yang memberati tanggunganmu. Dan Kami tinggikan (muliakan) namamu? Sesungguhnya di samping kesukaran ada kemudahan. Sesungguhnya di samping kesukaran ada kemudahan. Apabila engkau telah selesai (mengerjakan sesuatu pekerjaan), maka bersusah payahlah (mengerjakan yang lain pula).Dan kepada Tuhanmu kamu berharap." - Surah al-Insyirah: 1-8

Gagal adalah sunah kehidupan. Yang lalu biarlah berlalu. Kita perlu pandang ke hadapan.
Ahli sukan yang bangga dengan kejayaan, jutawan yang megah dengan kekayaan dan ahli politik yang teruja dengan kekuasaan bersetuju bahawa seseorang yang gagal dalam cubaan pertama mesti belajar daripada kesilapan dan membaikinya!

Menjaga komputer riba
Apakah langkah yang boleh anda ambil untuk memelihara komputer riba anda daripada hilang dan kecurian?
SEBAGAI pemilik komputer riba, kebimbangan yang paling utama tentunya kehilangan peralatan berharga itu. Apatah lagi jika di dalam komputer riba itu tersimpan pelbagai data penting.
Kecurian komputer riba di tempat letak kereta dan bilik persidangan sering menarik perhatian ramai, tetapi insiden tertinggal komputer riba atau peranti mudah alih yang lain di dalam teksi, tren mahupun kapal terbang turut menjadi lumrah kerana kelalaian.
YouGetItBack.com melaporkan lapangan terbang La Guardia di Amerika Syarikat (AS) sahaja telah menghimpunkan lebih daripada 70,000 komputer riba dan pembantu peribadi digital (PDA) yang tidak dituntut. Menurut Accenture, antara 10 hingga 15 peratus daripada peranti mudah alih hilang akibat kecuaian pemiliknya sendiri.
Komputer riba juga kian menjadi sasaran utama untuk jenayah mencuri identiti. Kajian Ponemon Institute pada tahun 2006 mendedahkan, terdapat kenaikan sebanyak 81 peratus aduan syarikat-syarikat mengenai kecurian komputer riba antara tahun 2006 hingga 2006. Bahkan, komputer riba dalam pejabat juga menjadi sasaran.
Ada beberapa langkah yang boleh mengurangkan risiko kehilangan atau kecurian komputer riba anda dan data di dalamnya:
Kesan komputer riba dengan IDIa dilakukan dengan melabel ID pada setiap komputer riba dan peranti mudah alih anda dan rekodkannya pada perkhidmatan pemulangan. Mengesan tag tersebut memberikan anda peluang untuk memasukkan nombor siri pada peranti berkenaan. Anda boleh menggunakan perkhidmatan pemulangan sebagai sistem inventori asas.
Setiap barangan yang didaftarkan kepada perkhidmatan pemulangan menerusi laman web memuatkan informasi pengenalan barangan. Jadi, sekiranya berlaku kecurian atau kehilangan, mereka akan menghubungi anda apabila ia ditemui. Ia sekali gus mengelakkan barangan dipulang kepada orang yang tidak tepat.
Antara pihak yang menjalankan perkhidmatan melabel dan pemulangan ini termasuklah laman ArmorTag, BoomerangIt, StuffBak, TrackItBack, YouGetItBack.com, dan zReturn.
Perisian penjejak lokasi
Jika pencuri mencuri komputer riba anda, perisian pemulangan boleh membantu anda mendapatkannya semula. Perisian seperti Absolute Software's ComputraceComplete, Brigadoon's PC PhoneHome, Inspice's Inspice Trace, XTool's Laptop Tracker and zTrace Technologies' zTrace Gold mempunyai utiliti untuk berhubung dengan pelayan pusat. Jika berlaku perkara tidak diingini, perkhidmatan berkaitan boleh menjejaki lokasi komputer riba anda di Internet dan menghubungi polis untuk mendapatkannya.
Sesetengah produk pengesan juga mempunyai keupayaan untuk memadamkan data-data utama dalam komputer riba jika dicuri atau merakam gambar pencuri jika ia dilengkapi dengan kamera web bina dalam.
Lokasi komputer riba dapat dikenal pasti menerusi alamat IP atau GPS, bergantung kepada perkhidmatan yang ditawarkan.
Buat salinan dan mengekod data
Walau bagaimana langkah penjagaan, komputer riba masih boleh dicuri. Jadi, adalah penting untuk memelihara data-data penting.
Melakukan salinan dan mengekod data atau dalam terma komputer encrypt ia mungkin boleh menyelamatkan data anda. Encrypt bermaksud mengkodkan teks mesej melalui satu unit pemindahan bagi mengelak ia sampai ke pengetahuan mereka yang tidak bertanggungjawab.
Gunakan penggera keselamatan USB Penggera Keselamatan Komputer Riba Belkin berfungsi sebagai mangga kabel tetapi membunyikan penggera apabila seseorang cuba mencabut kabelnya. Boleh juga menggunakan USB Penggera Komputer
USB penggera keselamatan komputer riba Belkin.
Mudah Alih Penyelamat Komputer Riba Doberman yang mempunyai pengesan pergerakan yang membunyikan penggera apabila peranti yang dipasangkan padanya ditanggalkan.
Jangan sesekali anda meninggalkan komputer riba anda tanpa dijaga sesiapa sama ada di hotel atau bilik persidangan. Jaganya menggunakan mangga kabel atau penjaga hotel. Jika tidak nampak sebarang pilihan keselamatan, bawa komputer riba bersama anda.
Di pejabat, simpan dalam laci khusus yang selamat dan kuncikannya jika anda pulang ke rumah pada waktu malam. Jangan sesekali meninggalkan beg komputer riba anda di tempat duduk kereta atau di tempat yang mudah dilihat.
KOMPUTER riba kian menjadi sasaran utama untuk jenayah mencuri identiti.
Beri lebih perhatian semasa di lapangan terbang (terutamanya di lokasi yang terdedah dengan kecurian). Apabila menunggu giliran, pastikan komputer riba di sisi anda dengan menjinjit, membimbit dan sebagainya.

Wednesday, June 11, 2008

Pesanan Seorang Ibu Kepada Anak Perempuannya

Pesanan sahabiah, Asma binti Kharijah Fazari kpd anak perempuannya pada hari pernikahan anaknya,
"Wahai anakku, kini engkau telah keluar dari rumah tempat engkau dilahirkan dan dibesarkan.
Kini engkau akan beralih ke suatu hamparan dan kediaman yang belum engkau kenali dan engkau harus bersama-sama dengan seseorang yang belum engkau kenali.
Itulah suamimu.
Jadilah engkau seperti tanah untuknya dan dia akan menjadi sebagai langitmu. Jadilah engkau sebagai lantai untuknya dan dia akan menjadi tiang untukmu.
Janganlah engkau membebankannya dengan pelbagai kesukaran kerana dengan itu, akan menyebabkan dia lari meninggalkan engkau.
Janganlah engkau terlalu jauh darinya supaya dia tidak melupakan engkau.....
Tetapi kalau dia mendekatimu, dekatilah dia
dan sekiranya dia menjauhimu, maka jauhilah dia dengan baik.
Peliharalah suamimu elok-elok; hidungnya, pendengarannya, matanya dan lain-lainnya. Janganlah sehingga dia mencium sesuatu padamu, kecuali yang harum-harum sahaja, jangan pula dia mendengar sesuatu melainkan yang enak-enak belaka, janganlah pula dia melihat sesuatu melainkan yang indah-indah saja pada dirimu."

Buah epal Pak Tagal












Oleh Ravichandran D. J. Paul


Tiada racun makhluk perosak atau bahan kimia digunakan untuk membolehkan buah epal kelihatan cantik seperti yang lazim dilakukan di dusun-dusun komersial.


PAK TAGAL bersama sebakul buah epal di dusun miliknya di Kampung Buduk Nur, Ba'kelalan, Sarawak.
Ba'Kelalan, tempat yang unik dan menarik di timur laut Sarawak kini sinonim dengan buah epal. Rasanya bukan sahaja manis dan rangup malah bebas daripada racun makhluk perosak atau bahan kimia.
Tagal Paran, 75, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Tagal adalah orang yang bertanggungjawab terhadap penanaman pokok epal di Ba'kelalan.




Pokok epal hanya boleh ditemui di kawasan iklim sederhana tetapi oleh kerana sikap ingin tahu dan keazaman Pak Tagal, pokok epal hidup subur di sini.
Berada pada kedudukan kira-kira 915 meter (3,000 kaki) dari aras laut, daerah yang tenang ini mempunyai iklim yang sesuai untuk pertumbuhan pokok epal yang baik.
Pak Tagal yakin bahawa satu hari nanti Ba'kelalan boleh membekalkan buah epal yang mencukupi untuk negara.


Pesta Epal yang diadakan setiap tahun pula menjadikan Ba'kelalan sebuah destinasi mempesona bagi pelawat.



Serius menanam epal



Menurut Pak Tagal, adiknya Andrew Balang Paran telah membawa pulang 50 anak pokok epal dari Kalimantan pada tahun 1960-an selepas melihat penduduk di situ mengusahakan tanaman epal.



Bagaimanapun, hanya pada pertengahan tahun 1970-an, Pak Tagal serius menanam pokok epal dengan menanam 300 batang pokok yang ditanam sebagai percubaan oleh pihak berkuasa pertanian.
Pak Tagal menyedari pokok-pokok epal itu berada dalam keadaan tenat dan akan mati jika tiada tindakan segera diambil manakala pihak berkuasa pertanian tidak begitu berpengetahuan mengenai tanaman epal.



"Saya dengan segera berangkat ke Batu Malang di Indonesia untuk belajar lebih lanjut mengenai penanaman pokok epal serta mendapatkan khidmat dua penanam epal di situ.
"Saya kembali ke Indonesia sebanyak tiga kali untuk mendapatkan anak pokok baru. Semuanya saya cuba," katanya mengenang semula bagaimana beliau mula mengusahakan tanaman ini.



Dusun tiga hektar Pak Tagal di kampung Buduk Nur kini mempunyai 2,000 batang pokok epal dan dijaga oleh empat pekerja. Kira-kira satu tan metrik buah epal dapat dihasilkan bagi satu-satu musim.



Berbuah dua kali setahun



Kebiasaannya, pokok epal berbuah sebanyak dua kali setahun iaitu pada pertengahan dan hujung tahun. Pokok epal memerlukan rangsangan musim sejuk dan ini dapat dicapai dengan mencantas dan menggugurkan daun secara manual dan selepas itu, pokok akan mula berbunga dan berbuah.
Tiada racun makhluk perosak atau bahan kimia digunakan untuk membolehkan buah epal kelihatan cantik seperti yang lazim dilakukan di dusun-dusun komersial.



Mengenai jenis epal yang ditanam di sini, beliau berkata antaranya ialah epal Manalagi (Golden Delicious) yang kini diberi nama baru iaitu Epal Ba'kelalan. Ia berwarna kuning kehijauan, manis dan agak rangup. Selain dimakan terus, ia sesuai dijadikan ramuan dalam pai epal dan salad buah-buahan.



Buah epal Anna berwarna merah di bahagian atas dan kuning di bawah, mempunyai rasa masam manis dan lebih lembut.
Buah epal Rome Beauty berwarna hijau dengan merah di bahagian bawah dan rasanya lebih kurang sama dengan epal Anna tetapi lebih rangup.
Buah epal Granny Smith berwarna hijau dan rasanya masam dan sesuai untuk masakan atau dijadikan tuak epal.



Epal Ba'kelalan dipasarkan di Lawas dan Miri dalam kuantiti terhad.






Harapan lebih besar

Pak Tagal yakin jika penduduk di sembilan buah perkampungan di Ba'kelalan mula menanam buah epal, Malaysia boleh menjadi pengeksport buah itu.
Malahan beliau berpendapat banyak lagi buah-buahan iklim sederhana boleh ditanam di sini seperti sitrus, strawberi dan anggur.


Beliau turut menanam strawberi dan beberapa penduduk kampung menanam kopi Arabica.
Bagaimanapun, kedudukan Ba'kelalan di satu kawasan terpencil berdekatan sempadan Kalimantan di Indonesia, menyebabkan ia hampir terputus hubungan dengan pekan dan bandar lain. Laluan ke dunia luar hanyalah menerusi pesawat ringan dan kenderaan pacuan empat roda.

Oleh itu, agak mustahil untuk membawa keluar buah epal dalam kuantiti besar bagi tujuan eksport.
Bagaimanapun, terdapat rancangan untuk membina jalan raya sejauh 170 kilometer dari bandar terdekat di kaki bukit, iaitu Lawas.
Beliau yakin cadangan membina jalan itu akan menarik minat syarikat-syarikat besar untuk menjalankan aktiviti penanaman komersial, selain diproses menjadi jem dan tuak.


Pembinaan jalan itu juga, menurut Pak Tagal, mampu menjadikan Ba'kelalan sebagai pengeluar terkemuka buah-buahan dan sayur-sayuran di Sarawak seperti Cameron Highlands di Semenanjung dan Kundasang di Sabah.
Bagaimanapun, buah epal bukan hasil utama Ba'kelalan. Beras wangi Bario atau dikenali oleh penduduk tempatan sebagai 'Adan' merupakan komoditi utama penduduk di sini.
Namun Pak Tagal percaya buah epal akan kekal sebagai aset penting Ba'kekalan dalam menggamit pelancong.

LIMA bakul epal dari dusun Pak Tagal sedia untuk dipasarkan di Lawas dan Miri, Sarawak.
Daerah itu buat masa ini menerima hampir 3,000 pelancong setiap tahun, sebahagian besarnya warga Eropah dan bilangannya dijangka meningkat.




Sumbangan tidak ternilai

Warga emas itu kini menikmati hasil daripada titik peluhnya. Pak Tagal yang peramah, dan isterinya, Yammu Pengiran mempunyai tujuh anak iaitu Dr. Judson, Mutang, Dina, Rangai, Gerit, Martha dan Sandra.
Keluarga itu kini juga mengendalikan sebuah kemudahan homestay di Buduk Nur iaitu Apple Lodge, di mana pelawat boleh menikmati kehidupan dan adat resam masyarakat Lun Bawang.
Pak Tagal bertekad untuk meneruskan apa yang sangat diminatinya ini. Beliau mungkin tidak sedar yang minatnya untuk menanam epal telah menjadikannya ikon dan telah membantu Ba'kelalan mengukir nama dalam sektor pelancongan.
Buah epal di Ba'kelalan bukan lagi mitos. Terima kasih Pak Tagal. - Bernama

Kawal Istana Buckingham


Oleh ZULKIFLI ABDULLAH

Sejak pertengahan bulan April lalu, Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ditugaskan mengawal kediaman rasmi keluarga diraja Britain. Tugas tersebut akan berakhir pada pertengahan Jun ini.

PARA hadirin memberi tepukan gemuruh sejurus barisan pengawal keselamatan Malaysia dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berarak menuju ke Istana Buckingham, London untuk pertukaran tugas mengawal istana berusia lebih 250 tahun itu.

Dengan mengenakan pakaian istiadat dan diiringi pasukan pancaragam RAMD, mereka melangkah penuh gaya dengan hayunan tangan yang sekata. Ini sekali gus membuatkan ribuan pengunjung yang membanjiri perkarangan istana itu terpegun.

Ini adalah tugas pertama anggota keselamatan Malaysia sejak penubuhannya pada tahun 1938. Seramai 122 anggota rejimen Pasukan Istiadat dipilih menjalankan tugas itu dari 18 April lalu hingga 12 Jun ini.

Kebanjiran ribuan pengunjung untuk melihat majlis pertukaran tugas itu begitu menyentuh perasaan penulis. Ini kerana negara Malaysia yang pernah dijajah oleh British diberi penghormatan yang sebegitu rupa.


DENGAN mengenakan pakaian istiadat dan diiringi pasukan pancaragam RAMD, mereka melangkah penuh gaya dengan hayunan tangan yang sekata.


Komitmen anggota RAMD yang mempamerkan gaya keperwiraan Melayu menarik perhatian para pengunjung. Masing-masing tidak melepaskan peluang merakamkan detik bersejarah yang berlangsung di hadapan Istana Buckingham yang dibina pada abad ke-17 itu.

Dari segi sejarah, kawalan di istana tersebut melibatkan anggota pasukan keselamatan negara-negara Komanwel bermula September 1916. Setakat ini negara yang diberi kepercayaan untuk memikul tugas itu ialah Kanada, Australia, Afrika Selatan, New Zealand, Sri Lanka, Pakistan, Jamaica dan ketika ini, Malaysia.

Selain menjalankan tugas mengawal kediaman rasmi diraja Britain yang mempunyai 775 bilik itu, anggota RAMD yang menjalankan Tugas Awam London turut ditugaskan mengawal Istana Windsor, Istana St. James dan Menara London. Mereka terlibat dengan tugas rejimen bersama batalion lain daripada Pasukan Pengawal Peribadi di Istana Buckingham.

Mereka menjalani latihan di padang kawat markas tentera yang terletak tidak jauh dari Istana Buckingham pada setiap pagi. Apa yang mengagumkan, ada di antara penduduk di kota London ini begitu teruja dan mengambil kesempatan melihat mereka berlatih di tepi pagar.

Dalam menjalankan tugas-tugas rasmi itu, anggota RAMD terlibat menjaga laman istana, melakukan rondaan malam, mengawal pos kawalan istana dan menjadi sebahagian daripada pasukan tindakan cepat.


ISTANA Buckingham memiliki taman yang cantik dan menjadi tumpuan pelancong dunia.


Di depan Istana Buckingham, terdampar jalan merah yang kelihatan begitu teguh dan keras, dibina hasil sumbangan negara-negara yang pernah terletak di bawah jajahan British.

Berhampiran istana ini , tersergam satu tugu besar untuk memperingati Ratu Victoria yang mula-mula tinggal di situ selepas menaiki takhta pada 1837.

Jika anda ke kota London, rasanya tidak begitu sempurna jika tidak melihat keindahan bangunan Parlimen yang terletak di Westminster. Di situ juga terdapat menara Big Ben atau lebih dikenali sebagai Menara St. Stephen.

Nama Big Ben diberikan kepada loceng utama untuk Jam Besar Westminster dan loceng utama yang seberat 14.5 tan yang dibuat pada tahun 1856. Dipercayai nama Big Ben diambil sempena nama ahli tinju Benyamin Caunt, seorang peninju tersohor di Britain. Ia juga mungkin berasal daripada nama Sir Benjamin Hall.

Tidak jauh dari bangunan Parlimen ini, anda berpeluang melihat keindahan London Eye, sebuah roda observasi yang terbesar di dunia setinggi 135 meter atau 443 kaki di sebelah Sungai Thames. Ia juga dikenali sebagai Millennium Wheel yang mula beroperasi pada akhir tahun 1999.

London Eye berpusing dengan kepantasan 0.26 meter bagi setiap detik dan mengambil kira-kira 30 minit bagi setiap pusingan. Ia diapungkan di Sungai Thames.

Jika berkesempatan ke London, jangan lepaskan peluang menaiki gondola London Eye untuk melihat kota London dari udara. Harga tiketnya ialah 14.40 pound sterling (RM92.80), kanak-kanak berumur antara 5 hingga 15 tahun (RM46.40), kanak-kanak kurang 5 tahun (percuma), warga emas berumur lebih 60 tahun dan orang kurang upaya (RM70.40).

Selain itu, Jambatan Menara atau Tower Bridge yang terletak di atas Sungai Thames menjadi ikon di kota ini.

ISTIADAT penyerahan tugas. (gambar)

Bagi mereka yang cintakan kedamaian dan riadah, kota ketiga tersibuk di dunia selepas New York dan Tokyo ini menyediakan banyak taman untuk seisi keluarga bersantai pada hujung minggu. Antaranya ialah Green Park, Greenwich Park, Hyde Park, Kensington Park, Regent Park, Richmond Park dan St. James Park, selain Dataran Trafalgar.

Dataran Trafalgar dibina untuk memperingati Pertempuran Trafalgar pada tahun 1805. Ia memberikan kemenangan kepada Tentera Laut Diraja Britain yang menentang Napoleon. Nama terdahulunya ialah Dataran Raja William Keempat, tetapi George Ledwell Taylor mencadangkan nama Dataran Trafalgar.

St. James Park adalah taman yang tertua daripada kesemua taman diraja London di Westminster yang terletak di timur Istana Buckingham dan barat Whitehall dan Jalan Downing.

Taman-taman itu dijaga bersih. Malah, ia menjadi lokasi penduduk kota London berjemur pada musim panas.

LONDON EYE diapungkan di permukaan Sungai Thames .


Bagi yang 'kaki jalan', anda tidak perlu risau kerana sistem pengangkutan di negara ini dianggap bertaraf kelas pertama. Mengapa? Perkhidmatan sistem kereta api bawah tanah atau lebih dikenali sebagai tube memudahkan pergerakan anda.

Sistem ini adalah yang tertua di dunia dengan perkhidmatan pertamanya bermula pada 10 Januari 1863. Anda boleh membeli kad ala Touch N-Go ini untuk menaiki tube ke merata tempat, selain perkhidmatan teksi dan bas dua tingkat bagi kawasan dalam bandar.

Sebenarnya banyak lagi tempat-tempat bersejarah boleh diterokai di negara ini. Namun, ia tidak dapat dilawati dalam tempoh waktu yang sesingkat ini.

Tuesday, June 10, 2008

CAHAYA MUKA NABI S.A.W.

CAHAYA MUKA NABI S.A.W.

Telah diriwayatkan daripada Siti Aishah bahawa ia telah berkata :
"Sedangaku menjahit baju pada waktu sahur (sebelum subuh) maka jatuhlah jarum
daripada tanganku, tiba-tiba kebetulan lampu pun padam, lalu masuklah
Rasulullah s.a.w. Ketika itu juga aku dapat mengutip jarum itu kerana
cahaya wajahnya, lalu aku berkata, " Hai Rasulullah alangkah
bercahayanya
wajahmu!
Seterusnya aku bertanya: " Siapakah yang tidak akan melihatmu pada hari
kiamat?"
Jawab Rasulullah : "Orang yang bakhil."
Aku bertanya lagi : "Siapakah orang yang bakhil itu?"
Jawab baginda : "Orang yang ketika disebut namaku di depannya, dia
tidak
mengucap selawat ke atasku."

BERDOA
Berkata Al-Barra' r.a . bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "Segala doa itu
terdinding (terhalang untuk dikabulkan) daripada langit sehingga orang
yang
berdoa itu mengucapkan selawat untuk Muhammad dan keluarga Muhammad."


KIJANG DAN ANAKNYA

Diriwayatkan oleh Abu Na'im di dalam kitab 'Al-Hilyah' bahawa seorang
lelaki lalu di sisi Nabi s.a.w. dengan membawa seekor kijang yang
ditangkapnya, lalu Allah Taala (Yang berkuasa menjadikan semua
benda-benda
bercakap) telah menjadikan kijang itu bercakap kepada Nabi s.a.w. :
"Hai Pesuruh Allah, sesungguhnya aku ada mempunyai beberapa ekor anak yang
masih menyusu, dan sekarang aku sudah ditangkap sedangkan mereka sedang
kelaparan, oleh itu haraplah perintahkan orang ini melepaskan aku
supaya aku dapat menyusukan anak-anakku itu dan sesudah itu aku akan balik ke
mari."


Bersabda Rasulullah s.a.w. " Bagaimana kalau engkau tak balik ke mari semula?"
Jawab kijang itu: "Kalau aku tidak balik ke mari, nanti Allah
Taala akan melaknatku sebagaimana Ia melaknatkan orang yang tidak
mengucapkan selawat bagi engkau apabila disebut nama engkau disisinya."


Lalu Nabi s.a.w. pun bersabda kepada orang itu : "Lepaskan kijang itu
buat sementara waktu dan aku jadi penjaminnya."


Kijang itu pun dilepaskan dan kemudian ia kembali ke situ semula. Maka
turunlah malaikat Jibril a.s. dan berkata
: "Hai Muhammad, Allah Taala
mengucapkan salam kepada engkau dan Ia (Allah) berfirman: " Demi
KemuliaanKu dan KehormatanKu, sesungguhnya Aku lebih kasihkan umat
Muhammad daripada kijang itu kasihkan anak-anaknya dan Aku akan
kembalikan mereka kepada engkau sebagaimana kijang itu kembali kepada engkau."


Alhamdulillah..marilah memperbanyakkan bersukur dan berselawat kerana
kita tergolong dalam umat Muhammad.
Panjangkan kisah ini kepada sahabat-sahabat dan sudara-mara. Semoga
kita sama-sama berusaha dalam menghidupkan rasa kasih sayang terhadap
Rasulullah SAW.