Wednesday, September 10, 2008

Pesakit gastrik boleh berpuasa


PENGAMBILAN roti berserat mungkin membantu proses penghadaman. - Gambar hiasan


APABILA tiba Ramadan, macam-macam pula penyakit yang muncul dan dijadikan alasan yang menghalang diri daripada berpuasa.

Ramai beranggapan tidak makan dalam tempoh yang lama akan menyebabkan asid di dalam perut bertindak balas sehingga menyebabkan sakit perut atau dalam perkataan mudah ‘gastrik’.

Sebenarnya sakit perut tidak hanya disebabkan gastrik, tetapi banyak penyebab lain seperti pedih ulu hati, batu dalam pundi hempedu, ulser dan radang pankreas di mana kebanyakannya menimbulkan simptom sama.

Ini diakui sendiri Perunding Pembedahan Am, Digestif dan Laparoskopik di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Dr. Lukman Mohd. Rashid.

Bagaimanapun katanya, gastrik tidak boleh dijadikan alasan untuk sesetengah individu itu tidak berpuasa seperti orang lain.

Sebaliknya pesakit masih boleh berpuasa jika mereka benar-benar memahami apa itu gastrik dan di tahap kronik manakah gastrik yang dialami.

Beliau berkata, dengan pilihan makanan yang betul selain memahami kebaikan puasa itu sendiri, secara tidak langsung dapat mengurangkan rangsangan tindak balas kimia yang berlaku di dalam otak.

Ini kerana katanya, ia menjadi punca penghasilan asid selaku pendorong utama kepada gejala kurang selesa khususnya pada perut.

‘‘Sama seperti penghidap penyakit lain seperti kencing manis, mereka masih boleh menjalani ibadah puasa dengan syarat mendapatkan nasihat doktor dan mengambil makanan serta ubatan diperlukan mengikut jadual yang ditetapkan,’’ ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Menerangkan lebih lanjut mengenai penyakit gastrik atau nama perubatannya, gastritis secara amnya merujuk kepada inflamasi (radang) pada bahagian lapisan perut (mukosa), tetapi ia juga lazim digunakan untuk menerangkan pelbagai gejala yang disebabkan inflamasi itu termasuk pedih ulu hati atau ketidakselesaan perut.

Katanya, antara punca gastritis ialah jangkitan sejenis bakteria, Helicobacter Pylori atau lebih dikenali sebagai H Pylori yang lazim ditemui pada pesakit gastritis kronik.

Ia juga disebabkan berlakunya lebihan rembesan asid hydroklorik di dalam perut atau hyperacidity yang seterusnya menyebabkan iritasi dan luka di dalam perut.

Bagaimanapun, tidak ada kajian yang menunjukkan ketika berpuasa rembesan asid hydroklorik ini bertambah malah didapati puasa boleh mengurangkan rembesan asid ini.

Antara gejala-gejala yang dikaitkan dengan gastrik termasuk sakit perut dan rasa tidak hadam yang selalunya dirasai di bahagian atas perut, pening kepala, loya atau muntah, badan rasa lemah dan berat badan menurun.

Menurut Dr. Lukman, sebaiknya, pesakit gastrik disarankan menjalani ujian seperti ujian Endoskopi dan doktor akan dapat menentukan keseriusan tahap gastrik mereka.

Mereka juga perlu memastikan dapat rawatan yang sempurna untuk penyakit gastrik itu.

‘‘Pada masa kini banyak ubat-ubatan yang boleh didapati seperti kumpulan ubat-ubatan H2 antagonist seperti Zantac, Tagamet serta ubat Proton Pump Inhibitors(PPI) seperti Nexium, Controloc, Pariet dan sebagainya yang boleh menyembuhkan pesakit ini. Pesakit perlu mengambil rawatan ini sepanjang mereka berpuasa,’’ ujarnya.

Begitupun, jika pesakit yang masih berasa sakit di bahagian ulu hati, muntah atau membuang air besar dengan najis berwarna hitam dan sangat busuk walaupun sudah mengambil ubat-ubatan, mereka perlu berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, selain menjalani rawatan perubatan dan mematuhi nasihat doktor, pesakit itu sendiri perlu mengambil langkah berjaga-jaga sejak awal. Ini termasuk mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat kerana punca gastrik juga turut dikaitkan dengan amalan pemakanan seseorang.

Berpuasa masih boleh bersenam


SENAMAN vertical traction iaitu menarik pemberat ke bawah merupakan senaman yang sesuai untuk jantung, kaki dan belakang badan.


BERSENAM di bulan puasa? Oh, tidak! Mungkin itulah yang keluar daripada mulut sesetengah individu yang berpendapat mereka perlu mengurangkan atau menghentikan sebarang aktiviti fizikal termasuk bersenam buat seketika kerana bimbang kepenatan, lapar dan dahaga di bulan Ramadan ini.

Bagaimanapun, Pengurus Kecergasan Fitness First, Simran Latiff, menolak tanggapan tersebut sambil menegaskan senaman masih perlu diteruskan walaupun ketika berpuasa bagi meningkatkan kadar metabolisme, selain mengekalkan tahap kecergasan agar tidak menurun dan memudahkan seseorang itu menjalani latihan fizikal seterusnya.

Katanya, bulan puasa tidak harus dijadikan alasan untuk seseorang itu mengehadkan aktiviti mereka termasuk melakukan senaman.

“Jika tidak melakukan senaman, otot menjadi lemah dan badan mudah berasa letih. Ini kerana kalori masih perlu dibakar biarpun pada bulan puasa,’’ ujarnya ketika ditemui, baru-baru ini.

Simran berkata, sekiranya seseorang itu tahu kebaikan meneruskan senaman pada bulan puasa yang mampu memaksimumkan pembakaran kalori terutama yang sumbernya datang daripada lemak, pasti mereka mahu melakukannya apatah lagi jika telah terdapat keinginan untuk mendapatkan bentuk badan sempurna.

Menerangkan lebih lanjut mengenai bagaimana senaman di bulan puasa, katanya, secara umumnya pengambilan kalori pada bulan puasa akan berkurangan kerana pembakaran lemak berlaku secara maksimum.

“Pada hari biasa, ketika kita bersenam badan memerlukan kalori untuk dijadikan tenaga dan pada 20 minit pertama, tenaga itu datang daripada kalori karbohidrat terlebih dahulu. Selepas 20 minit pertama, barulah badan menggunakan kalori lemak untuk dijadikan tenaga.”

Disebabkan berpuasa, jelasnya, kalori karbohidrat dalam badan secara tidak langsung akan berkurangan dan secara semula jadi badan terus menggunakan kalori lemak untuk dijadikan tenaga tanpa memerlukan 20 minit pertama. Dari situ, ia dapat mengurangkan peratusan lemak dalam badan seseorang.

Menerangkan cara dan bagaimana aktiviti senaman boleh dilakukan, kata Simran, sepanjang bulan puasa senaman boleh dilakukan dua atau tiga kali seminggu dengan sekurang- kurangnya 30 minit sekali senaman.

Ia agak berbeza di bulan biasa iaitu perlu dilakukan lebih kerap dan memerlukan antara 30 minit hingga satu jam setiap senaman.

Lebih penting kata Simran, dalam tempoh 30 minit itu individu boleh melakukan tiga senaman berperingkat-peringkat seperti senaman memanaskan badan, senaman kardiovaskular seperti berbasikal dan berjalan kaki.

Bagi membentuk kardiovaskular (berjalan, joging atau berbasikal), penggunaan tenaga pada tahap maksimum perlu diselaraskan mengikut tahap latihan yang sesuai.

Bagi latihan pembentukan otot, seseorang itu dinasihatkan agar melakukan senaman pada otot besar sahaja. Antaranya, bahagian dada, belakang, bahagian depan paha dan belakang paha.

Bagi setiap otot, latihan boleh dilakukan sebanyak satu atau dua set dan setiap satu set sebanyak 15 hingga 20 pengulangan. Bilangan yang kerap membolehkan kita mengurangkan lemak dan pada masa sama, membentuk otot.

Senaman katanya, boleh dilakukan 30 minit atau satu jam sebelum waktu berbuka atau selepas berbuka sebaik proses penghadaman selesai.

Selain senaman memanaskan badan, individu juga boleh menggunakan threadmill atau kayuhan basikal yang boleh dilakukan selama kira-kira 10 hingga 15 minit.

Bagi mereka yang memilih melakukan senaman selepas berbuka, kata Simran pastikan makanan yang dimakan semasa berbuka telah benar-benar hadam. Ambil masa sekurang-kurang setengah hingga satu jam selepas makan.

“Cuba elakkan berbuka dengan mengambil makanan berat, sebagai contoh nasi. Sebaiknya, individu dinasihatkan agar hanya mengambil makanan dalam jumlah yang sedikit seperti sebiji kurma dan segelas minuman,’’ ujarnya lagi,

Simran menambah, melakukan senaman kardio selama kira-kira 30 minit baik untuk jantung. Ini boleh diikuti dengan latihan mengangkat bebanan, latih tubi dan regangan.

Milk thistle rangsang detoksfikasi

KELETIHAN merupakan cabaran utama yang sering dihadapi semasa berpuasa akibat kurangnya pengambilan air dan makanan pada siang hari. Menjelang berbuka puasa ada di antara kita yang tidak dapat menahan selera makan, mengakibatkan kita sering makan secara berlebihan.

Dalam masa yang sama, kehidupan masa kini membuatkan kita sukar untuk mengelak daripada pencemaran toksin dari pelbagai sumber seperti pencemaran alam sekitar, makanan tercemar, alat penyembur dan bahan pencuci kegunaan rumah, di samping gaya hidup tidak sihat.

Kandungan toksin yang berlebihan dalam badan akan membebankan dan menjejaskan fungsi hati yang bertindak sebagai organ penyingkiran toksik badan yang utama. Antara simptom yang sering dikaitkan dengan gangguan fungsi hati atau kongesi hati adalah mudah rasa letih.

Bulan puasa seharusnya digunakan sebagai peluang untuk detoksifikasi (nyahtoksin), terutamanya di kalangan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan, berkolesterol tinggi serta pelbagai masalah kesihatan lain. Makan secara berlebihan terutamanya semasa berbuka dan semasa menyambut perayaan dengan pelbagai hidangan bersantan dan biskut yang tinggi dengan pelbagai jenis lemak dan berminyak akan meningkatkan pengumpulan toksin, selain meningkatkan risiko masalah kesihatan seperti kolesterol.


Pengumpulan bahan toksin yang tinggi akan membuatkan tubuh anda lebih sensitif dan meningkatkan risiko alahan seperti mudah bertindakbalas dengan ubat yang biasanya tidak memberi reaksi kepada orang lain.


Golongan ini juga akan menghadapi alahan terhadap makanan dan bahan pencuci serta masalah penghadaman lemak dan makanan berminyak yang membuatkan mereka berasa loya dan tidak selesa. Akibatnya, seseorang akan mengalami simptom-simptom seperti masalah kulit, penghadaman, sakit kepala, penyakit hati dan sebagainya. Milk thistle merupakan antara herba poten untuk merangsang pengaliran hempedu yang penting dalam pencernaan lemak. Mungkin apa yang paling menarik tentang Milk thistle adalah keupayaannya dalam merangsang sintesis (penghasilan) protein. Ini akan memberi kesan kepada rangsangan pengeluaran sel hati yang baru untuk menggantikan sel yang rosak.


Silymarin, bahan aktif daripada Milk thistle juga meningkatkan kandungan glutation hati dan juga meningkatkan paras enzim antioksida penting iaitu superoksida dismutase. Glutation juga bertanggungjawab dalam menyahtoksin bahan kimia. Peningkatan kandungan glutation juga bermakna hati lebih berupaya untuk tindakan detoksifikasi.


Berdasarkan kajian farmakologi, kandungan utama Silymarin adalah silybinin. Silymarin didapati menggalakkan kesan antitoksik dan merangsang pemulihan sel hati. Ia dikaitkan dengan keupayaan Milk thistle untuk merangsang sintesis protein dan seterusnya menggalakkan peningkatan pengeluaran sel hati yang baru untuk menggantikan sel hati yang lama.


Dandelion juga tidak kurang pentingnya untuk digunakan sebagai sebahagian daripada amalan detoksifikasi. Ia merupakan sejenis herba yang pahit yang membantu penghadaman dengan merangsang pembebasan hempedu oleh hati dan pundi hempedu.


Kajian menunjukkan Dandelion meningkatkan pengaliran hempedu dan seterusnya memperbaiki masalah seperti kongesi hati, keradangan duktus (salur) hempedu dan batu hempedu. Dandelion juga memberi kesan kepada pergerakan atau mempercepatkan pembuangan lemak.


Sejenis nutrien yang boleh didapati di dalam lesitin, iaitu fosfatidilkolina (Phosphatidylcholine) juga amat baik bagi memelihara kesihatan hati. Ia membantu fungsi hati dengan membina semula struktur tisu hati. Pengambilan lesitin bersama dengan vitamin B kompleks juga boleh membantu memperbaiki kerosakan hati dan menggalakkan proses menyahtoksin. Setelah proses pengemulsian, lesitin menjadikan kolesterol lebih mudah larut. Nutrien antioksida seperti vitamin A, C, E serta selenium dan zink perlu diambil bagi mengawal kesan kerosakan sel-sel hati akibat serangan radikal bebas.


Untuk mengurangkan penyerapan bahan toksik, anda digalakkan supaya mengamalkan diet yang tinggi dengan kandungan fiber (serat), seperti yang boleh diperoleh daripada sayur-sayuran, buah-buahan dan bran oat.


Pengambilan makanan tinggi fiber semasa bersahur contohnya boleh membantu anda menahan rasa lapar dengan lebih baik, selain mempunyai keupayaan untuk mengasingkan toksin dalam usus serta membantu mengeluarkannya. Adalah amat penting juga untuk mereka yang berpuasa meningkatkan pengambilan air bagi mengelakkan dehidrasi dan mengurangkan kelesuan.

Mercun ancam sel deria dengar

MERCUN merupakan suatu yang sinonim dengan Ramadan, walaupun dari segi ajaran Islam perbuatan bermain mercun ini dilarang kerana ia merupakan suatu yang menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan.

Bermula dari kes-kes melecur berdarah, jari-jemari yang meletup patah, keilatan kekal yang menyebabkan hilang upaya untuk bersekolah bahkan ada yang tergadai nyawa menyaksikan keluarga meratapi pemergian tanda menyesal tak sudah.

Bilangan mangsa yang terlibat akibat perbuatan bermain mercun ini nampaknya semakin pantas memintas bilangan hari umat Islam berpuasa.

Baru seminggu berpuasa, bilangannya telah bertambah berganda-ganda. Jika ingin dibilang dengan jari, maka tidak cukup jari-jari kita untuk menghitung bilangan jari mangsa mercun yang telah putus.

Kejadian empat buah rumah kedai yang hangus terbakar di Kampung Melor, Kota Bharu pada hari Jumaat lepas telah jelas menunjukkan bahawa mercun ini adalah suatu ancaman yang berbahaya, bukan sahaja kepada orang yang bermain dengannya bahkan meletakkan harta benda awam dan nyawa orang di sekeliling juga dalam risiko yang tidak kurang impaknya.

Sesungguhnya kesan mercun itu bukan sahaja terbatas kepada kemusnahan yang dapat dilihat secara fizikal sahaja.

Gangguan bunyi bising kepada jiran-jiran beranak kecil yang sedang tidur, jemaah yang sedang menghidupkan malam Ramadan dengan ibadat di masjid dan rumah, serta penghidap sakit jantung dan lemah semangat pastinya tersentak dengan setiap bunyi mercun yang diledak oleh budak-budak dan bapa-bapa budak yang meletakkan kepuasan diri mengatasi kepentingan semua.

Suatu kesan yang mungkin sering terlepas pandang akibat bunyi bising mercun ini ialah kerosakan deria pendengaran. Mercun yang diletupkan mengeluarkan bunyi pada tahap desibel yang melampau, bukan dalam julat yang selesa untuk telinga manusia normal mendengarnya.

Telinga manusia, spesifiknya struktur koklea pada bahagian telinga dalam telah dilengkapi dengan sel-sel deria dengar yang berhubungan dengan saraf pendengaran. Pendedahan kepada bunyi bising yang melampau akan menyebabkan sel-sel yang amat sensitif kepada bunyi ini mengalami kerosakan.

Mungkin pada peringkat awal, gangguan pendengaran ini adalah sementara iaitu pendengaran akan terganggu sebaik sahaja tamat stimulasi bunyi bising tersebut dan ia pulih semula seketika kemudian.

Keadaan ini disebabkan oleh fenomena anjakan tahap pendengaran sementara (temporary threshold shift). Walau bagaimanapun, jika pendedahan bunyi bising ini berlaku secara berulang-ulang atau berlaku dalam tempoh yang lama, kerosakan yang berlaku boleh menjadi kekal (permanent threshold shift).

Pada waktu tersebut, tiada apa lagi yang boleh dibuat. Nasi telah menjadi bubur, sel deria dengar telah pun hancur, pendengaran yang hilang tidak akan kembali walau air mata darah sekalipun yang dicucur.

Walaupun dentuman mercun menjanjikan sedikit kenikmatan, itu hanyalah amat sementara jika ingin dibandingkan dengan kerosakan yang akan kekal sepanjang hayat kita.

Kerajaan telah memainkan peranannya untuk menghalang kemasukan mercun namun ada sahaja yang berjaya melepasi halangan kastam lalu berjaya diseludup masuk.

Di sinilah ibu bapa sepatutnya memastikan bahawa anak mereka bukanlah salah seorang yang diburu oleh penduduk kampung akibat bermain mercun yang mengganggu ketenangan dan keheningan malam Ramadan.

Bukan itu sahaja, sebarang usaha anak-anak ini untuk membuat mercun sendiri patut dibanteras bermula sejak dari awal lagi.

Pastikan dengan siapa mereka bergaul, di mana mereka berada sewaktu para jemaah sedang khusyuk bersolat di masjid pada malam hari, ke mana mereka pergi setelah habis solat tarawih dan apa yang lebih penting ialah menerapkan dengan ilmu pengetahuan betapa bermain mercun ini bukan sahaja tidak disukai ibu bapa, bahkan jiran tetangga turut bengkak hatinya, sumpah seranah orang kampung menjadi seperti zikir yang sambung menyambung antara satu sama lain.

Semua ini adalah bertentangan dengan ajaran agama, jauh sekali untuk mencapai objektif puasa pada bulan Ramadan iaitu untuk menjadi manusia yang bertakwa.

Nikmat boleh mendengar yang telah dikurniakan Tuhan ini telah diciptakan dalam keadaan yang sebaik-baiknya.

Betapa mereka yang dilahirkan tanpa deria pendengaran terpaksa bersusah payah dan mengeluarkan belanja untuk menikmati suatu yang kita dapat secara percuma.

Pendengaran yang dianugerahkan adalah amanah kita, maka kita akan dipersoalkan tentang bagaimana kita mengguna dan menjaganya.

Hindarkanlah diri dari perkara-perkara yang boleh merosakkan pendengaran kita kerana pendengaran kita, tanggungjawab kita.

DR. IRFAN MOHAMAD
Pensyarah Jabatan
Otorinolaringologi (ENT)
HUSM, Kelantan

petikan dr utusan malaysia