Tuesday, July 22, 2008

Baik buruk


Ingin tahu kebaikan lain sup selain daripada untuk mengurangkan kalori tubuh, kesan positif susu rendah lemak kepada bayi yang bakal bercerai susu, keburukan tabiat menggigit kuku serta bahaya strok senyap?


Sup kawal berat badan

SELAIN menjimatkan wang, semangkuk sup juga berbaloi untuk mengurangkan kalori tubuh. Lebih menakjubkan, semangkuk sup juga boleh menampung satu hidangan tengah hari. Sup juga lebih mengenyangkan berbanding pengambilan sayur mentah.



SEMANGKUK sup juga berbaloi untuk mengurangkan kalori makanan.


Di samping murah, sup juga praktikal dan mudah untuk disediakan dan paling penting, ia membuatkan anda merasa tidak berdiet. Sup pelbagai jenis juga boleh disajikan sebagai snek setiap hari.


susu rendah lemak ok

BAYI yang sudah bersedia untuk berhenti menyusu susu ibu atau formula dan beralih kepada susu lembu disarankan mengambil susu isian penuh berbanding susu kurang atau bebas lemak.


Garis panduan yang dikeluarkan oleh Akademi Pediatrik Amerika (AAP) menasihati ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang obes supaya memilih susu rendah lemak terutamanya bagi yang berumur antara satu hingga dua tahun.


Garis panduan baru daripada laporan klinikal Lipid Screening and Cardiovascular Health in Childhood yang diterbitkan dalam jurnal Pediatrik ini disasarkan bagi melindungi kesihatan jantung mereka dalam jangka masa panjang.



SUSU rendah lemak sesuai diambil kanak-kanak obes.


Sebelum ini ramai mempercayai bahawa lemak yang terkandung dalam susu isian penuh, penting untuk pertumbuhan otak bayi, memandangkan susu adalah komponen utama diet kanak-kanak.


Pakar nutrisi dari Hospital Kanak-kanak Pittsburgh, Ann Condon-Meyers berkata, saranan sebelum ini tidak dibuat berdasarkan kajian tetapi dihasilkan melalui pengalaman dan pemikiran logik.


Susu badan mengandungi kolesterol tinggi dan bayi yang diberi susu badan mempunyai kolesterol baik. Sejumlah lemak dalam susu badan penting untuk perkembangan lapisan mielin dalam otak, kata Condon-Meyers. “Disebabkan itulah kami bimbang memikirkan anak-anak tidak menerima lemak yang mencukupi,” katanya.


Susu isian penuh mengandungi antara 3.5 dan 3.8 peratus lemak, manakala susu rendah lemak mengandungi 2 peratus. Alasan susu rendah lemak sesuai diambil kanak-kanak obes kerana mereka mungkin mempunyai tahap lemak yang mencukupi.


Bahaya gigit kuku

Menggigit kuku merupakan cara mudah untuk menghilangkan perasaan gemuruh, bosan atau teruja.



TABIAT menggigit kuku boleh meningkatkan jangkitan di sekitar kuku, mulut dan gusi.


Tahukah anda, tabiat ini boleh menyebabkan hujung jari menjadi merah dan luka malah pendarahan kutikel? Dengan menggigit kuku juga boleh meningkatkan jangkitan di sekitar kuku dan mulut, termasuk gusi.


Dalam pada itu, risiko jangka panjang tabiat ini ialah gangguan pada pertumbuhan dan pembentukan kuku di samping menjadi simptom pada penyakit gangguan obsesif kompulsif.


Strok senyap


MEREKA yang berumur pada usia pertengahan berisiko diserang strok senyap.


Penyelidik di Amerika Syarikat (AS) berkata, imbasan otak dI kalangan mereka yang berada umur pertengahan menunjukkan 10 peratus menderita serangan strok tanpa disedari, meningkatkan risiko serangan strok berulang dan kehilangan ingatan, biarpun mereka tidak menunjukkan sebarang simptom serangan.


Mereka yang menghidap masalah degupan kadar denyutana jantung yang cepat dan tidak teratur paling kerap berlaku dan mereka yang berumur 65 tahun ke atas, risiko diserang strok senyap adalah dua kali ganda.


Jururawat di rumah

Privasi, lebih cepat sembuh dan kos rendah menyebabkan ia kini menjadi trend.




KELIBAT jururawat berbasikal yang datang ke rumah untuk memberikan rawatan kepada ibu lepas bersalin pada era 70-an semakin dilupakan.


Namun khidmat jururawat bergerak ini belum lenyap sepenuhnya. Bezanya, mereka kina tiba menggunakan kereta, manakala kepakaran mereka juga hampir setaraf dengan seorang doktor.


"Perubahan dalam bidang perubatan menyebabkan fungsi bidan moden semakin diterima terutamanya oleh ibu muda," ujar Naimah Mohd. Yunus, 51, jururawat Pusat Perubatan Islam Az-Zahrah di Bangi, Selangor.


TIDAK sekadar memberi rawatan, sesi kaunseling turut diberikan kepada ahli keluarga bayi.


Menurut Naimah, pendekatan yang digunakannya adalah gabungan tradisional dan moden.


"Walaupun saya agak praktikal dalam aspek pemakanan semasa dalam pantang, namun amalan bertungku, memakai bengkung dan mengurut masih saya titik beratkan," jelasnya.


Ujar Naimah lagi, rutin rawatan bergantung pada keselesaan pesakit dan selalunya ia dilakukan pada awal pagi.


"Tiada hari yang khusus bagi saya termasuk masa walaupun tugas saya secara rasmi bermula pukul 8 pagi dan berakhir 5 petang," katanya.



TRADISIONAL atau moden, asasnya adalah memberi keselesaan pada bayi.


Pengalaman selama 12 tahun dalam bidang kejururawatan memberi kelebihan kepada Naimah untuk mengenal pasti penyakit yang mungkin dihadapi oleh bayi dan si ibu.


Merawat ibu lepas bersalin adalah sebahagian daripada perkhidmatan rawatan dan penjagaan di rumah yang ditawarkan poliklinik itu.




Disebabkan pengalaman luasnya, penyakit seperti jaundis dan penyakit kulit yang mudah menyerang bayi boleh diketahui Naimah hanya melalui pengamatan mata kasar.


"Kadangkala, gerak hati dan pengamatan pada sesuatu yang tidak kena pada bayi atau ibu lebih membantu meskipun terdapat peralatan perubatan yang disediakan," katanya.


Biarpun bertahun lamanya berada dalam bidang ini, Naimah tidak terlepas daripada dihimpit cabaran ketika merawat pesakitnya di rumah.


"Sekiranya di hospital, kita mempunyai bantuan daripada doktor dan jururawat yang lain di samping peralatan yang lebih mencukupi.


"Namun disebabkan terpaksa melakukan seorang diri dan kadangkala peralatan tidak sebaik di hospital, persediaan awal sebelum ke rumah pesakit juga penting," ujarnya.


Bercerita lanjut, walaupun beliau sendiri seorang ibu dan jururawat, kadangkala perasaan panik dan gementar tetap ada kerana segala kemungkinan boleh berlaku.


"Paling takut ialah ketika mengurut, si ibu berasa tidak selesa atau kawasan abdomen mereka sakit tiba-tiba. Jadi, saya terpaksa memeriksa dan menentukan keadaannya terlebih dahulu sebelum meneruskan sesi mengurut," katanya.


Keadaan beginilah yang membezakan kaedah bidan tradisional dengan moden kerana pendekatan yang digunakan lebih teratur dan berasaskan kemahiran perubatan sebenar.


Menyentuh mengenai peralatan pula, Naimah berkata, tiada perbezaan ketara kecuali kalau bayi atau ibu memerlukan rawatan dan penjagaan istimewa.


"Melainkan ubat-ubatan dan suntikan, semua yang lain boleh disediakan sendiri oleh keluarga bayi," jelasnya.


Disebabkan trend perbidanan ini semakin berubah, tidak mustahil rawatan di rumah menggunakan jururawat akan lebih diterima orang ramai pada masa depan.


"Di Az-Zahrah, rawatan di rumah bukan sahaja melibatkan aspek penjagaan ibu lepas bersalin malah penjagaan bagi pesakit usus besar, penukaran beg air kencing, penjagaan luka, suntikan serta ubatan khusus. Penggunaan tiub makanan turut ditawarkan pada harga berpatutan," jelas Naimah.


Tegasnya lagi, jenis perkhidmatan jururawat peribadi ini semakin mendapat sambutan malah kemahiran mereka sentiasa menjadi rebutan.


Bilik terapung atas air


Air kolam mengalir di bawah bilik dengan ikan kap Jepun dan ikan emas berenang-renang menghiasi pemandangan dari dalam bilik tamu Abdul Majid Husan dan Zaliha Hussain.


GABUNGAN material binaan dan kemasan dekorasi yang berlainan memberi impak pada sudut ini.



POKOK buah naga juga menjadi entiti landskap yang menarik.



HALAMAN rumah yang indah memudahkan Abdul Majid dan Zaliha menghabiskan waktu kualiti bersama anak-anak tercinta.



SET sofa dengan sarung putih polos sudah cukup menyerikan ruang menonton televisyen.



KEDIAMAN ini menggabungkan gaya resort dan moden kontemporari.


KONTRAKTOR kelas F dan pengusaha kantin sekolah, Abdul Majid Husan, 55, dan Zaliha Hussain, 50, tampak sederhana pertama kali ditemui di pintu gerbang Bandar Bukit Mahkota, Bangi, Selangor.


Menyusuri kawasan perumahan yang agak baru dibangunkan itu, kami tertanya-tanya adakah suasana resort yang disebut tuan rumah dapat diperoleh dalam landskap yang masih lapang dan kurang menghijau itu.


Malah deretan rumah kosong yang masih banyak membuatkan 'kegersangan' kawasan itu agak kuat terasa.


Pintu pagar kayu dan besi berbunga menyambut kami di muka depan rumahnya. Pada bahagian pagar simen ditanam dua pohon buah naga dan beberapa pokok bunga kertas yang dipotong gaya bonsai. Kemas dan terjaga rapi.


Laman depannya yang dapat memuatkan dua buah kereta dibiarkan kosong beralas kepingan batu simen dan batu sungai.


Pandangan dilempar ke sisi sebelah kiri rumah. Rumput karpet tumbuh menghijau. Ia turut dihiasi kepingan simen seperti kayu. Susunannya yang berjarak sekata antara satu sama lain bagaikan menyambut setiap langkah kaki.

Di situ sepohon pokok bunga kertas bonsai berdiri kaku. Unik dek batangnya yang menampung kelompok daun dan bunga berlainan warna. Sekali pandang seperti sudah mati, hakikatnya bunga kertas itu tumbuh melalui batang yang bagaikan rangka itu.


Merapati dinding pagarnya ialah pokok berpelepah besar seperti keladi gergasi. Menyusun tumbuhan landskapnya dengan bijak, pada dasar tumbuhan sederhana besar itu ditanam tumbuhan tutup bumi atau renek serta disusun ketulan batu putih.


Pergola kayu menambah karakter pada laman ini. Membentuk terowong ke pintu masuk belakang, tiangnya dibiar dilingkari tumbuhan memanjat. Menariknya, yang tumbuh ialah pokok anggur.


Namun kerana masih muda, buahnya belum kelihatan sama ada berwarna hijau ataupun merah. Tumbuhan lain yang ada termasuklah kesidang dan bonsai.


Tiba di pintu rumah belakang, sebuah set meja kerusi berkonsep resort menanti. Pada latarnya kedengaran bunyi air mengalir tenang. Tidak sukar mencari kolam yang menjadi puncanya.


Menyimpan ikan kap Jepun dan ikan emas di dalamnya, pemandangan dan bunyi yang mengiringi cukup mendamaikan. Inilah resort yang dimaksudkan.


Angin menderu sepoi-sepoi bahasa. Suasana diredupkan lagi dengan pokok buluh dan tumbuhan akuatik yang berdiri tinggi pada bucu-bucu kolam.


Berbeza berbanding kolam yang lazim ditemui di rumah-rumah yang pernah dikunjungi, kolam ini mengalir sehingga ke bawah bilik tamu yang dibina menghadap kolam itu. Malah dari lantainya boleh nampak ikan-ikan berenang di bawahnya.


Menurut Zaliha, bahagian hujung bilik itu merupakan bahagian tambahan, membolehkan kolam itu dipanjangkan sehingga ke bawah bilik berkenaan. Ini memberikan efek bilik itu umpama terapung di atas air. Disebabkan itulah tiada tiang kelihatan dari arah kolam.


Ruang tamu yang merupakan bahagian utama rumah ini mengubah suasana. Menempatkan sofa merah baldu potongan moden berdekatan pintu lungsurnya, langsir yang dipasang disuai padan dengan tempat duduk itu.


Daripada merah sehinggalah jingga, pilihan warna itu menaikkan suasana ceria biarpun set perabot hitam putih mendominasi ruangan itu.


Satu lagi bahagian menarik di dalam kediaman ini ialah tangganya yang telah dibina semula.


Cuba menampilkan kelainan, tangga barunya dimulakan dengan anak tangga yang lebih besar dari bawah dan diperbuat daripada papan balak. Tiada rel pemegang, menjadikan bahagian itu kelihatan lebih luas.


Dapur dibina kecil kerana sebagai pengusaha kantin, masak-memasak lebih banyak dilakukan di tempat kerja. Pulang ke rumah, hanya kerja-kerja memasak yang ringan dilakukan.


Mengaplikasi konsep dapur rumah lama, galang kayu dibariskan pada bahagian atasnya sebagai sistem pengudaraan konvensional.


Ciri lain yang menambah baik elemen rumah yang menggabungkan konsep resort dan moden kontemporari ini ialah pemasangan sistem penggeranya.


Beroperasi 24 jam sehari, rumah ini tidak disempadani sebarang jeriji besi yang biasanya membuatkan penghuninya berasa seperti berada di dalam penjara.


Tidak perlu diaju soalan siapa perekanya, Abdul Majid pantas mengiyakan hasil kerjanya. Nyata, pengalamannya selama 12 tahun membuahkan hasil sehinggakan hampir setiap minggu rumahnya dikunjungi tetamu yang mahu melihat sendiri kreativitinya.

Lebih 80 jenis coklat

Nikmati variasi rasa coklat sebenar Theobrama di pusat beli-belah 1 Utama dan Pavilion, Kuala Lumpur.


BUTIK coklat ini menawarkan kepelbagaian cita rasa coklat untuk anda nikmati.


MALAYSIA mempunyai pelbagai jenama coklat yang menjadi pilihan. Cita rasa yang tinggi terhadap coklat menjadikan Malaysia memperluaskan industri pembuatan coklat.


Kini, dengan kemunculan coklat Theobrama pasti mendapat sambutan yang baik.


Keinginan ini bukan sahaja dapat direalisasikan di Australia, New Zealand dan Amerika tetapi juga di Malaysia.


Dibawakan oleh Hing Yiap Knitting Industri Berhad, syarikat ini berada di papan kedua Bursa Malaysia Securities Berhad. Coklat Theobroma yang dirasmikan ini memaparkan tema konsep coklat secara menyeluruh.


Tawaran yang diberikan pelanggan adalah pelbagai dengan kualiti coklat yang tinggi, minuman coklat panas dan sejuk, aneka pencuci mulut, celupan coklat yang disalut dan pelbagai variasi coklat.


Kesemua ini merupakan pertama kali diabwakan ke Malaysia.


Pembuatan coklat ini melalui pengalaman menghasilkan coklat yang mewah, sekali gus memberi satu perasaan yang sukar digambarkan kepada setiap penggemarnya.





Menurut Pengarah Theobrama food Pty Ltd Australia, George Rn bersa Oiniotis, pihaknya berpuas hati dapat bekerjasama dengan Ying Yiap Group bagi memperluaskan lagi francais di Malaysia. "Kami mahu peniaga runcit berasa yakin mencipta nama dan meraih keuntungan di Malaysia," katanya.


Theobrama menawarkan lebih 80 jenis coklat yang pasti membuat anda tergoda. Kunjungi Theobrama untuk merasai nikmat coklat yang sebenar.


Antara yang terdapat di Theobrama selain coklat ialah kopi, teh, biskut, pai dan kek yang diperbuat daripada keju.


Jika anda inginkan kelainan, Theobroma menawarkan pelbagai paket hadiah yang menarik mengikut cita rasa anda.


Kepada penggemar coklat bolehlah ke Lot FK3, First Floor, pusat beli-belah 1 Utama dari pukul 9.30 pagi hingga 11 malam atau terus ke Lot C4.05.02, Tingkat 4, Pavillion, Kuala Lumpur dari pukul 9.30 pagi hingga 12 malam.

Bermasalah dengan bos?

Nilai diri anda kenapa ia terjadi. Jika prestasi anda cemerlang, anda mungkin perlu bersemuka dengannya untuk menyelesaikan kemelut itu.


JANGAN cepat melatah dengan tekanan di pejabat.



ISTILAH bos atau ketua membawa maksud seseorang yang diberi tugas untuk memimpin orang di bawah jagaan mereka demi mencapai sesuatu objektif. Selagi anda bekerja secara makan gaji, selagi itulah anda tidak dapat lari daripada melaporkan diri dan tugas kepada seorang bos.


Walaupun seorang pengarah urusan atau ketua pegawai eksekutif dianggap sebagai bos paling besar dalam sesebuah organisasi, beliau juga mempunyai bos yang perlu diberi laporan tentang perkembangan prestasi syarikat iaitu ahli lembaga pengarah dan pemegang saham syarikat tersebut.


Tidak kira apa pangkat anda, sama ada anda seorang kerani, eksekutif atau seorang pengurus, anda pasti mempunyai seorang bos yang akan menentukan dan memantau kerja-kerja yang perlu anda lakukan di pejabat.


Anda amat beruntung jika mempunyai bos yang tegas tetapi amat prihatin dengan prestasi dan masalah yang dihadapi oleh pekerjanya.


Tetapi ada juga pekerja yang tidak begitu bernasib baik dan terpaksa berhadapan dengan bos yang banyak kerenah dan sering membuat mereka hidup dalam tekanan.


Terdapat pelbagai jenis bos yang boleh menimbulkan masalah. Ini termasuklah bos yang suka mendesak, sombong, suka melakukan gangguan seksual terhadap pekerja, berat sebelah, hanya tahu mencari kesalahan pekerja, suka membesar-besarkan masalah kecil dan macam-macam lagi.


Kebanyakan pekerja beranggapan bahawa bos yang sering menyalahgunakan kuasa boleh membuat mereka berada dalam ketakutan dan mudah hilang keyakinan diri.


Kebanyakan bos pula merasa mereka mempunyai kuasa yang amat besar sehingga boleh mengakibatkan nasib dan periuk nasi pekerjanya tergugat


Bagi pekerja yang mempunyai masalah berurusan dengan bos, ingatlah! Anda mungkin tidak dapat merubah sikap bos anda, tetapi anda tidak boleh membiarkan diri anda berada dalam ketakutan.


Berikut ada beberapa tip bagaimana anda boleh menangani masalah dengan bos:


1. Sentiasa sediakan pelan B. Kebanyakan pekerja tidak berani untuk berbincang atau menegur sikap bos kerana takut akan dianaktirikan atau kehilangan kerja.


Jadi, sebelum anda bercadang untuk bersemuka dengan bos dan meluahkan perasaan atau ketidakpuasan hati anda terhadap beliau, seelok-eloknya anda sediakan pelan alternatif sekiranya tindakan anda tidak membuahkan hasil yang positif.


Pelan yang dimaksudkan adalah dengan memastikan anda sudah mendapat tawaran untuk bekerja di tempat lain agar anda tidak perlu risau tentang kehilangan kerja sekiranya bos tidak suka dengan tindakan anda.


2. Jangan cepat melatah dan terlalu emosi dengan sikap dan perangai bos yang sering menimbulkan masalah. Ini tidak akan menyelesaikan masalah tetapi hanya akan mengundang masalah yang lebih besar. Jadi, seelok-eloknya anda bersabar dengan apa yang berlaku dan teruskan kerja harian seperti biasa.


Ini akan membuat bos anda rasa tindakan untuk menyakiti anda dan membuat anda melatah tidak berhasil. Lama-kelamaan mereka sendiri akan rasa malas untuk terus menimbulkan masalah denan anda.


3. Terus-terang. Untuk menghentikan persengketaan dari terus berlaku, cara paling mudah ialah dengan meminta maaf dan bertanya pada bos apa yang membuat beliau rasa tidak puas hati terhadap anda. Minta nasihat daripada beliau tentang apa yang perlu anda lakukan untuk memperbaiki diri dan cara kerja anda.


4. Satu lagi keadaan yang boleh menimbulkan masalah adalah apabila jabatan anda menerima kedatangan pengurus baru. Kebiasaannya, bos baru yang dianggap sebagai penyapu baru mempunyai pelbagai idea yang ingin direalisasikan dengan membuat berbagai perubahan di pejabat.


Tanya pada bos baru bagaimana beliau mahu kerja-kerja di pejabat diurus agar tidak berlaku salah faham atau masalah dalam komunikasi.


5. Kekalkan tahap profesionalisma anda. Walaupun anda kurang senang dengan sikap bos, anda tidak perlu membenci mereka. Asingkan hal-hal kerja daripada hal-hal peribadi. Lakukan kerja anda seperti biasa dan ikut arahan yang diberi.


6. Nilai prestasi anda. Jangan hanya cari kesalahan orang lain tetapi lihat sendiri prestasi kerja anda. Adakah ia sudah cukup memuaskan atau sememangnya ada banyak lagi yang perlu diperbaiki. Dapatkan juga pendapat daripada rakan sejawat tentang prestasi anda sekiranya anda tidak nampak kelemahan diri anda.


* Penulis adalah Pengarah Pemasaran di JSDC Training Consultancy dan boleh dihubungi di zurina61@yahoo.com

Pasrah di zaman badai fitnah

NABI Muhammad SAW banyak mengajar doa-doa yang indah. Namun, keindahan doa-doa itu kadangkala tidak dapat seseorang hayati sehinggalah muncul suasana kehidupannya yang benar-benar disentuh oleh doa-doa tersebut. Apabila suasana itu hadir, barulah dapat dinikmati kesyahduan doa-doa tersebut.

Ketika itu, doa yang dahulunya kita baca berulang kali terasa biasa bertukar menjadi begitu menusuk kalbu dan jiwa. Terasa betapa keperluan menghayati apa yang diajar oleh Nabi SAW Malangnya dalam masyarakat kita, doa-doa Nabi SAW yang asli ditinggalkan, sementara doa-doa rekaan yang dipetua oleh buku atau orang tanpa bersumber daripada Nabi SAW pula menjadi pilihan. Tokoh ulama umat yang besar al-Qadi ‘Iyadh berkata: “Sesungguhnya Allah telah mengizinkan untuk berdoa kepada-Nya. Dia mengajar doa dalam kitab-Nya kepada hamba-hamba-Nya. Nabi SAW pula mengajar doa kepada umat baginda. Dalam doa-doa tersebut mengandungi tiga unsur, iaitu; ilmu mengenai tauhid, ilmu mengenai bahasa dan nasihat kepada umat. Maka tidak wajar bagi seseorang berpaling daripada doa-doa baginda SAW. Syaitan telah menipu manusia dalam hal ini, lalu dia telah mewujudkan untuk mereka satu puak yang jahat (kaum yang mencipta doa-doa palsu ini). Lantas mereka mencipta secara palsu untuk diri mereka doa-doa yang memalingkan mereka daripada mencohtohi Nabi SAW. Lebih buruk lagi, mereka menyandarkan doa-doa tersebut kepada para nabi dan orang-orang soleh, lalu mereka kata: doa Adam, doa Nuh, doa Yunus dan doa Abi Bakr al-Siddiq r.a.”(Ibn al-Imam, Silah al-Mu‘min fi al-Du‘a wa al-Zikr, m.s. 22-23, Damsyik: Dar al-Kalim al-Tayyib)

Zaman ini adalah zaman fitnah. Fitnah dalam al-Quran dan al-Sunnah bukan seperti yang difahami oleh orang Melayu dengan maksud menuduh dusta ke atas orang lain. Tetapi fitnah itu apabila disebut dalam al-Quran dan al-Sunnah ia bermaksud ujian atau kejadian yang mengancam agama dan ketenteraman hidup sehingga mampu mengheret seseorang ke kancah yang tidak diredai Allah. Demikian syirik, kufur, bidaah, maksiat, pembunuhan, ketidak tenteraman, kekacauan dan seumpamanya diistilahkan juga sebagai fitnah. Hidup di zaman fitnah adalah sesuatu yang memeritkan. Sehingga kadangkala insan akan terpinga-pinga dalam menentu pendirian dan keputusan yang betul.

Nabi SAW dalam banyak hadis baginda, mengajar kita supaya sentiasa memohon perlindungan dengan Allah daripada fitnah iaitu ancaman yang menggugat agama dan ketenteraman hidup. Sebab itu, antara yang diajar oleh baginda kepada setiap yang bersolat agar sentiasa memohon perlindungan dengan Allah daripada empat perkara. Iaitu Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada azab neraka jahanam, daripada azab kubur, daripada fitnah semasa hidup, fitnah semasa mati dan fitnah al-Masih Dajal” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Doa ini dibaca semasa tasyahud (tahiyyat) sebelum memberi salam. Banyak lagi doa yang cantik banyak diajar oleh baginda dalam solat. Namun ramai yang tidak tahu kerana solatnya ikut-ikutan. Mereka tidak mempelajari solat menerusi hadis-hadis Nabi SAW, sebaliknya hanya mewarisi solat apa yang dilihat semata. Tanpa tahu bagaimanakah solat itu diajar oleh Rasulullah SAW. Lalu hilanglah peluang kemanisan doa-doa tersebut. Sebab itu, antara buku yang baik untuk dibaca oleh setiap lapisan tentang solat ialah buku tulisan ulama hadis yang terkenal Nasiruddin al-Albani yang bertajuk “Sifat Solat Nabi SAW”. Banyak bacaan yang amat indah yang diajar oleh Rasulullah SAW dapat dipelajari. Antara yang indah itu bahawa Nabi SAW apabila bangun bersolat pada malam hari, baginda membuka solatnya (membaca doa iftitah) seperti berikut: (maksudnya) “Wahai Tuhan Jibril, Mikail, Israfil, Pencipta langit dan bumi, Mengetahui yang ghaib dan yang nyata! Engkau yang menghukum apa yang hamba-hambaMu berselisihan antara mereka. Tunjukkan daku kebenaran mengenai apa yang dipertikaikan dengan izinMu. Sesungguhnya Engkau menunjukkan sesiapa yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus”. (Riwayat Muslim)

Keindahan

Demikian doa yang seperti ini – dengan keindahan bahasa Arabnya – menusuk jiwa di kesunyian malam, di kala manusia lain masih nyenyak tidur dan tenggelam dalam mimpi, sedangkan hamba Allah yang ikhlas merintih merayu agar ditunjuk jalan yang lurus atas segala perselisihan yang berlaku di kalangan masyarakatnya. Doa ini lebih menyentuh jiwa dan kehalusan nurani tatkala kita hidup di zaman kegawatan tingkah manusia dan perselisihan yang tidak sudah-sudah. Setiap pihak mendakwa dia yang benar. Sehingga kita tidak tahu siapa syaitan yang bertopengkan malaikat, atau malaikat yang dituduh syaitan.Telah berulang kita membaca doa Nabi SAW. “Ya Allah, jika Engkau kehendaki berlaku dalam sesuatu kaum itu fitnah, maka matikanlah aku dalam keadaan tidak terfitnah” (Riwayat al-Imam Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Namun membaca hadis ini dalam zaman atau keadaan yang penuh fitnah benar-benar memilukan jiwa. Terasa keperluan kepadanya. Terasa kerinduan kepada kedamaian hidup yang hakiki. Lalu air mata tanpa sedar membasah pipi dalam kelesuan gelora hidup dan syahduan perasaan yang rindukan bimbingan Tuhan. Dalam doa ini Baginda Nabi SAW mengajar agar kita memohon supaya jangan ditimpakan fitnah iaitu kerosakan yang menggugat pegangan atau pendirian yang benar dalam beragama. Fitnah jika turun sehingga menggugat apa yang diajar oleh Allah dan rasul-Nya, maka kehidupan itu adalah racun sekalipun disangkakan madu. Jika benar fitnah akan berlaku maka kita disuruh memohon kepada Allah agar mati dalam keadaan tidak terlibat dengan fitnah atau kerosakan tersebut. Walaupun asalnya seseorang tidak disuruh bercita-cita untuk mati, namun Baginda dalam hadis lain menyebut: “Jangan seseorang kamu berharap agar mati disebabkan kemudaratan yang menimpanya. Namun jika tidak boleh, katakanlah: Ya Allah! Hidupkanlah daku sekiranya kehidupan itu baik untukku. Matikanlah daku jika kematian itu baik untukku” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kadangkala kematian lebih baik daripada hidup menyusahkan orang lain sehingga menjadi fitnah atau gangguan kepada umat. Demikian mati lebih baik daripada cuba menghadapi ujian yang akhirnya membawa kita tewas lagi rugi pada kehidupan akhirat. Maka tidak pelik jika Saidina Umar bin al-Khattab r.a. pada usianya yang lanjut, ketika dia pulang dari menunai haji, beliau berdoa sambil mendongak ke langit dan mengangkat tangannya: “Ya Allah! Sesungguhnya telah lanjut usiaku, telah rapuh tulang belulangku, bertambah ramai rakyatku, maka ambillah nyawaku sebelum aku mensia-sia tugas dan tanpa ditimpa fitnah”.

Lalu tidak sampai sebulan selepas pulang ke Madinah beliau wafat dibunuh. Demikian Sayidina Ali bin Abi Talib r.a, walaupun usia belum lanjut, namun apabila rakyatnya kucar-kacir tidak mahu tenteram walaupun telah diusahakan, beliau meminta agar Allah merehatkannya dari kedegilan rakyatnya. Lalu beliau pun mati selepas itu. Khalifah Umar bin Abdul Aziz apabila merasakan rakyat sudah tidak mampu mentaati keadilan dan kebenaran yang ditegakkannya, dia meminta daripada insan yang mustajab doanya ketika itu agar memohon Allah mengambil nyawanya. Lalu tidak lama kemudian dia pun meninggal. (lihat: Ibn Rajab, al-Jami’ al-Muntakhab, 103, Lebanon: Muassasah Fuad). Ini adalah cebisan kisah daripada sirah insan-insan soleh yang lebih rela mati daripada hidup menjadi beban dan fitnah kepada orang lain. Bandingkanlah mereka ini dengan orang-orang politik yang rela sesiapa pun mati, asalkan mereka dapat hidup. Segala macam ‘kelentong’ dikeluarkan. Biar manusia pecah kepala, asal mereka mendapat kuasa.

Saya bukan menimbulkan kisah ini untuk kita berputus asa dengan kehidupan. Tetapi supaya orang yang daif seperti saya sentiasa beringat walaupun kaki berpijak di bumi, namun jiwa hendaklah sentiasa tenggelam dalam kehidupan hakiki selepas berakhir episod di bumi ini. Jika itulah jiwa dan perasaan kita, tentulah politik kita tidak sekelam kabut begitu. Walaupun kadangkala politik berbunyi agama, namun bukan sedikit juga agama hanya jambatan untuk dipijak agar sampai ke kerusi politik. Maka, berapa ramai yang hanya membaca nas-nas yang mengharamkan itu dan ini untuk menyalahkan orang lain. Tidak pula membacanya untuk dirinya dan puaknya. Umpamanya, ketika menuduh orang lain dengan berbagai-bagai tuduhan, tidaklah pula kedengaran nas dan dalil pengharaman menuduh orang tanpa bukti dan saksi. Tetapi segala dalil dan nas akan keluar dengan lancarnya ketika orang lain menuduh kita. Sehingga ramai yang keliru. Siapakah yang jujur, siapa pula hanya bermadah pujangga? Atau kesemuanya jembalang yang menjelma dalam berbagai-bagai wajah demi menggoda kita semua? Siapakah yang selamat dalam suasana yang sebegini?

Selamat

Berdasarkan hadis-hadis Nabi SAW, golongan yang paling selamat adalah sesiapa yang tidak melibatkan diri dari menyertai mana-mana pihak yang bertempur sesama Muslim. Itulah fitnah yang merosakkan agama kerana bertempur atas isu yang tidak pasti. Firman Allah dalam Surah al-Isra, ayat 36: (maksudnya): “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”.

Pada zaman Sayidina Ali bin Abi Talib r.a. telah berlaku fitnah yang telah memecah belahkan kaum Muslimin, termasuk para sahabah Nabi SAW. Kesemuanya berpunca daripada isu pembunuhan Saidina Uthman bin Affan r.a. Isu dan peribadi mereka jauh lebih mulia. Bukan seperti peribadi-peribadi samar dan kabur yang diselubungi oleh berbagai-bagai tanda tanya seperti sesetengah orang pada hari ini. Para pengkaji sejarah cuba mengkaji pendirian siapakah yang paling tepat dalam suasana fitnah ketika itu. Pelbagai kesimpulan telah dikeluarkan, namun saya bersetuju bahawa pendirian yang paling tepat adalah pendirian para sahabah yang tidak mahu terlibat dengan perbalahan tersebut. Ini pendirian majoriti sahabah. Kata Muhammad bin Sirin (meninggal 110H): “Ombak fitnah melanda, sementara para sahabah yang masih hidup berpuluh-puluh ribu, namun yang terlibat dalamnya tidak melebihi seratus orang. Bahkan tidak melebihi tiga puluh orang” (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/264, Lebanon: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Sebelum pertempuran antara dua sahabah; Ali dengan Muawiyah tercetus, banyak pihak berusaha agar peperangan Siffin itu tidak terjadi. Antara yang berusaha mendamaikan kedua belah pihak ialah dua orang tokoh sahabah yang masyhur Abu Umamah al-Bahili dan Abu Darda’ yang datang menemui Muawiyah dan berkata: “Wahai Muawiyah! Apakah alasanmu memerangi Ali? Demi Allah! Sesungguhnya dia lebih dahulu menganut Islam daripadamu dan ayahmu. Dia lebih dekat hubungannya dengan Rasulullah dan lebih berhak daripadamu dalam urusan pemerintahan”.

Jawab Muawiyah: “Aku memeranginya kerana darah Uthman dan sesungguhnya Ali telah melindungi pembunuhnya. Kamu berdua pergi kepadanya dan beritahu dia, laksanakan hukuman bunuh balas terhadap pembunuh Uthman nescaya akulah orang Syam yang pertama berbai‘ah (janji taat) dengannya”.

Maka Abu Umamah dan Abu Darda’ pun pergi menemui Ali, dan menyatakan kepadanya seperti yang diminta oleh Muawiyah. Sayidina Ali pun menunjukkan kepada mereka sejumlah tentera yang ramai yang menyebut: “Kami adalah pembunuh Uthman, sesiapa yang mahu, sila serang kami”. Akhirnya Abu Umamah dan Abu Darda’ pun pulang dan mengambil keputusan untuk tidak melibatkan diri di dalam peperangan.(Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/270).

Begitu juga Abu Muslim al-Khaulani dan mereka yang bersama dengannya, pernah datang menemui Mu‘awiyah dan bertanya: “Engkau memerangi Ali, apakah engkau ini setaraf dengannya?”.

Jawab Muawiyah: “Demi Allah, aku benar-benar tahu bahawa dia lebih baik dan afdal serta lebih berhak di dalam pemerintahan daripadaku. Namun kamu semua tahu bahawa Uthman dibunuh secara zalim dan aku adalah sepupunya. Aku menuntut darah Uthman. Beritahu ‘Ali, serahkan pembunuh Uthman kepadaku nescaya aku menyerahkan urusan ini kepadanya.” (Ibid 8/132). Maka atas kekaburan itu, kebanyakan sahabah dan tabi‘in mengambil pendirian tidak mahu menyertai peperangan tersebut.

Jikalau peperangan yang dikepalai oleh tokoh-tokoh sahabah seperti Ali bin Abi Talib sepupu Nabi SAW juga khalifah yang sah, ‘Aisyah isteri Nabi SAW sendiri, Muawiyah sahabah Nabi SAW, majoriti para sahabah enggan menyertainya disebabkan kekeliruan yang berlaku. Padahal tokoh-tokoh itu adalah insan-insan soleh yang dijamin syurga oleh baginda Nabi SAW. Apakah kita di zaman ini ingin menyertai pertembungan sesama Muslim dalam isu-

isu yang kabur dan dikepalai pula oleh peribadi-peribadi yang tidak pasti? Fitnah oh fitnah. Ya Allah, kami pasrah kepadaMu dalam fitnah yang mengelirukan ini.

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

E-mel: moasriza@yahoo.com