Friday, May 9, 2008

Sedekah cara sembunyi lebih afdal

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI


Al-MaghaRi berkata, ayat ini menunjukkan Allah Maha Mengetahui dengan apa yang dinafkahkan oleh manusia dan akan membalasnya sama ada ia sesuatu perbuatan baik atau jahat. Seterusnya Allah menceritakan jalan dan cara untuk memberi sedekah, sama ada secara sembunyi atau terang-terangan dengan penerangan tindakan manakah yang paling afdal.


Firman Allah SWT: Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu.
Ibn al- Saib berkata, Allah menurunkan ayat 270 daripada surah al-Baqarah kerana sebelum ini orang Islam bertanya, “Hai Rasulullah, sedekah yang sembunyi lebih afdal atau secara terang -terangan?” Lantas turunnya ayat ini.


Al-Baghawi berkata, sama ada kamu zahirkan pemberian atau sembunyikannya, ia tetap sesuatu yang baik bagi kamu dan setiap yang diterima bergantung kepada niat yang benar. Akan tetapi sedekah dengan cara sembunyi adalah lebih baik. Ini berdasarkan hadis yang bermaksud: Sedekah secara sembunyi boleh memadam kemarahan Tuhan.


Mengikut sabda Rasulullah SAW: Orang yang membaca al-Quran yang kuat sama seperti orang sedekah secara terang. Dan orang yang memperlahankan samalah seperti yang sembunyi dalam sedekah.
Justeru kata Ibn Kathir, sembunyikan sedekah lebih afdal bersandarkan ayat ini kerana ia lebih jauh daripada berlakunya riak dan membawa kepada penzahiran yang boleh mendatangkan maslahat yang berat seperti manusia mengikut dan bercontoh dalam sedekah.


Sayyid Qutub berkata: “Ayat ini mengandungi dua keadaan sedekah dan setiap keadaan disesuaikan dengan cara penangannya dan kedua-duanya diberi kepujian pada tempat masing-masing dan kedua-keduanya dijanjikan dengan penghapusan dosa.”


Firman Allah SWT: Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu.

Ibn Jauzi berkata, perkataan min (dalam ayat ini) mempunyai maksud daripada mempunyai dua pendapat ulama:

  • Ia adalah tambahan.
  • Ia termasuk untuk sebahagian.


Abu Sulaiman al-Dimasqi berkata, wajah hikmah pada demikian itu bahawa hamba-hamba merasa takut dan malu.
Sayyid Qutub berkata: “Kemudian ayat yang berikut merangsangkan di dalam hati mereka perasaan taqwa dan perasaan segan melakukan dosa di satu aspek dan merangsangkan perasaan ketenteraman dan ketenangan di satu aspek yang lain, dan menghubungkan hati mereka dengan Allah tentang niat dan tindak-tanduk mereka dalam segala keadaan”.


Firman Allah SWT: Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.
Ibn Kathir berkata, tiada sesuatu pun yang sembunyi daripada pengetahuan Allah dan pasti ada yang membalasnya.


Sayyid Qutub berkata: Kita pastilah memerhatikan bagaimana al-Quran memberi bimbingan dan arahan yang panjang lebar mengenai infak dan bagaimana ia menggunakan berbagai-bagai cara galakan dan ancaman mengenainya supaya kita dapat memahami dua perkara (yang penting):

  • Memahami betapa jauhnya pandangan Islam terhadap tabiat manusia dan perasaan tamak dan bakhil yang mengongkong jiwa, juga terhadap perlunya tabiat manusia itu digerak dan dirangsangkan secara berterusan supaya ia dapat mengatasi perasaan tamak dan dapat membebaskan dirinya daripada perasaan kikir dan bakhil dan dapat meningkat ke tahap yang luhur yang dikehendaki Allah.
  • Memahami tabiat manusia yang dihadapi oleh al-Quran, iaitu tabiat manusia yang wujud di dalam masyarakat Arab yang amat dikenali umum sebagai murah hati dan dermawan, tetapi kemurahan dan dermawan itu adalah bertujuan untuk mendapat kemasyhuran dan sanjungan manusia agar berita-berita kemurahan mereka menjadi berita-berita yang dipindah-pindahkan ke merata perkhemahan.


Oleh itu bukanlah menjadi satu perkara yang mudah kepada Islam untuk mengajar mereka bersedekah dengan ikhlas tanpa mengharapkan semua ini, iaitu bersedekah kerana Allah semata-mata bukannya kerana manusia. Sudah tentu perkara seperti ini memerlukan kepada didikan dan asuhan yang lama, usaha-usaha yang banyak dan seruan-seruan yang berterusan ke arah keluhuran jiwa, keikhlasan dan kebersihan dan semuanya telah berlaku.


Iktibar Ayat:
lSyeikh Sya’rawi berkata, dengan mengkaji ayat-ayat infak kita dapati bahawa Allah menghalal di hadapan nafsu manusia setiap tingkap-tingkap kedekut dan memotong daripadanya setiap jalan yang membawa kepada kebakhilan dengan kurniaan Allah.

  • Kelebihan sedekah secara sembunyi.
  • Mengisbatkan sifat Allah dengan Maha Mengetahui.

Thursday, May 8, 2008

Tajdid Iman: Kenikmatan dunia lekakan manusia

Bersama Dr Juanda Jaya

Iman, ilmu, amal salih jadi benteng perkukuh diri elak mata hati jadi buta URUSAN dunia memang menyibukkan hingga mampu membuat manusia lupa sama kepada alam persinggahan di kubur, kiamat, kebangkitan semula, timbangan penilaian amal, mahkamah Allah, titian sirat, telaga kawthar, syurga dan neraka yang akhirnya membawa hidup kekal abadi. Mengapa manusia suka ditipu dan mahu tertipu? Apakah itu akan menyampaikan dirinya ke puncak kepuasan? Tidak, kerana ia diciptakan sebagai makhluk yang tidak boleh merasa puas. Jika begitu untuk apa dia bersungguh-sungguh memperjuangkan kepuasan duniawi sedangkan memang dia tidak akan mendapat kepuasan seratus peratus?

Seperti orang yang sangat bernafsu dengan air sirap ais di tengah panas terik. Sudah pun diminum air itu maka hilanglah sekejap rasa dahaga, tapi kemudian bosan dengan perisanya yang tidak bertukar, mulalah mencari air berperisa yang lain. Dapat yang satu, mahu yang lain lagi. Maka sungguh benar perumpamaan dalam al-Quran, yang menyebut kenikmatan dunia sebenarnya permainan yang melekakan, tidak boleh memberi kepuasan sebenar kepada manusia. Kenikmatan sesungguhnya berada dalam syurga Allah. Manusia dibiarkan bermain-main dengan segala kenikmatan yang tidak berharga di sisi Allah. Ramai orang bertanya, mengapa orang kafir diizin Tuhan menguasai dunia ini? Jawapannya sungguh mudah, kerana dunia ini langsung tidak berharga di sisi Allah.

Hatta ia tidak senilai bandingan sebelah sayap nyamuk. Jadi siapa saja boleh ambil dan berpuas dengan nikmat dunia yang menipu itu. Allah mencipta khazanah ini cuma untuk ujian kepada seluruh manusia siapakah yang berjaya melaluinya dengan keimanan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kelak orang kafir akan ditanya pada hari kiamat, bagaimana pendapatmu seandainya seluruh isi bumi ini menjadi emas dan menjadi milikmu, mahukah kamu menebus dosamu dengannya? Jawab orang kafir itu: Mahu! Maka dikatakan kepadanya: Dulu, sudah diminta kepadamu yang lebih ringan daripada itu, tetapi kamu tidak mahu." (Hadis riwayat Muslim)

Ya, dulu di dunia tidak disuruh manusia menyerahkan segala yang ada dalam akaun banknya untuk mendapat syurga. Jika ada 2.5 peratus saja yang menjadi hak fakir miskin itu dikeluar dengan penuh keimanan, ia amat berharga bagi dirinya. Itu pun turut berfaedah bagi rebat dan menghindari dirinya daripada tuntutan cukai. Allah hanya menyuruh mereka beriman, beramal soleh dan jangan berbuat zalim, keji lagi nista seperti perangai syaitan semata-mata supaya mereka boleh menebus dan layak memperoleh upah syurga Allah di alam akhirat nanti.

Mengapa dengan sujud, kamu tidak mahu membeli syurga Allah, tetapi di akhirat nanti kamu hendak membelinya dengan seluruh hartamu? Itulah hakikat harta tidak membawa manfaat sedikitpun kepada pemiliknya. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Seorang hamba berkata: Hartaku, hartaku! Padahal hartanya yang sesungguhnya hanya tiga. Apa yang dimakan lalu habis. Apa yang dipakai lalu rosak. Apa yang disedekah dan ia tersimpan (untuk akhirat). Selain daripada ketiga-tiga itu lenyap atau ditinggalkan untuk orang lain (para waris)." (Hadis riwayat Muslim)

Sungguh, amat memilukan orang tua yang masih bergelut merebut dunia dengan cara batil, padahal malaikat maut sudah pun dekat mengintainya setiap masa. Sedangkan seorang sahabat Rasulullah SAW, Muaz bin Jabal ketika sampai saat sakaratul mautnya beliau berkata: "Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahawa aku tidak mencintai hidup semata-mata untuk menanam pokok dan menghiasi taman yang cantik, atau untuk mengalirkan sungai atau untuk membina istana yang tersergam untuk didiami. Tetapi aku mencintai hidup ini hanya untuk tiga perkara, berpuasa di siang hari, menghidupkan ibadah di malam hari dan berkumpul dengan para ulama untuk mengingati-Mu."

Imam Muslim juga meriwayatkan bahawa ketika dekat kematian di sisi sahabat Rasulullah SAW, panglima perang yang agung, 'Amru bin al-'Ash, beliau berkata: "Sesungguhnya aku sudah melalui tiga jalan dalam kehidupanku. Semasa jahiliah aku tidak mengenal Islam dan orang yang paling kubenci ialah Rasulullah SAW. Seandainya aku mati pada saat itu, pastilah aku termasuk penghuni neraka jahanam. Kemudian aku memeluk Islam, Rasulullah SAW menggenggam tanganku dan bersabda: Mengapakah kamu wahai Amru? Aku menjawab: Aku mahu syarat supaya Allah mengampuni seluruh dosaku. Rasulullah SAW tersenyum sambil bersabda: Tidakkah kamu sudah mengetahui wahai Amru, taubat menghapus apa saja dosa yang ada sebelum ini dan Islam menutup kesalahan apa saja yang pernah dilakukan sebelum ini?

Saidina 'Amru berkata: Lalu aku pun masuk Islam, demi Allah sejak saat itu orang yang paling aku cintai adalah Rasulullah SAW. Demi Allah jika kalian meminta kepadaku sekarang untuk menceritakan sifat baginda, sungguh aku tidak dapat menggambarkannya, aku tidak sanggup bersemuka dengan Rasulullah SAW kerana rasa hormat dan wibawa Baginda SAW. Jika aku mati saat itu, besar kemungkinan aku akan masuk syurga. Tetapi amat sayang, aku tidak mati bersama Rasulullah SAW. Kemudian berlalulah masa dan dunia telah mempermainkan diriku. Oleh itu, aku tidak tahu sekarang, sama ada aku akan dimasukkan ke syurga atau dicampakkan ke dalam neraka. Tetapi aku masih mempunyai satu kalimah untuk pertemuanku dengan Tuhanku iaitu: Lailaha Illallah, Muhammadur Rasulullah." Akhirnya wafatlah Saidina 'Amru dengan kalimah itu.

Andai saja kita mampu mengingati sejarah hidup yang lalu untuk memperbaiki kesilapan dan mengganti kejahatan dengan amal soleh, nescaya tidak akan ada penyesalan pada akhirnya. Namun sengatan dunia begitu kuat memabukkan, membutakan mata hati, mengeruhkan akal sihat, meracuni kesucian hati sampai ke mati.

Apakah usaha paling efektif untuk melemahkan sengatan dunia? Pertama ialah mengambil iktibar daripada sejarah kehidupan orang yang lalai. Mereka yang melalui kematian dengan cara suul khatimah.

Melihat kematian di setiap kesibukan yang kita lalui memang tidak mudah, adakah pasti hirupan nafas pertama akan bersambung ke nafas kedua? Sedangkan malaikat maut berada dekat. Lalu bagaimanakah keadaan orang yang lalai sekarang di dalam kuburnya? Mesti mereka merayu dengan tangisan yang tidak pernah berhenti hingga ke hari kiamat.

Firman Allah yang bermaksud: "(Demikianlah keadaan orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang daripada mereka, dia berkata: Ya Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia) supaya aku berbuat amal soleh terhadap yang sudah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak! Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan." (Surah Al-Mukminun, ayat 99-100)

Kemudian yang paling penting ialah senjata dan benteng kukuh dalam diri supaya sengatan dunia tidak mematikan hati. Senjata itu ialah iman, ilmu dan amal soleh. Ketiga-tiganya adalah kekuatan sebenar seorang hamba.

Tidak akan bermanfaat harta dan kebesaran melainkan jika bersanding dengan iman, ilmu dan amal soleh. Tetapi sayang, ramai yang sudah memiliki tiga kekuatan itu dan terlalu cepat merasa puas hati. Sehingga usaha untuk memperbaiki iman, ilmu dan amal menjadi terbantut.

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my