Thursday, January 7, 2010

Solat Istikharah Penting Dalam Kehidupan Harian Kita

Bila di sebut sahaja Solat Istikharah kebanyakan di kalangan kita hanya terbayangkan ketika hendak memilih jodoh. Ia begitu sinonim sekali dalam membuat keputusan untuk memilih bakal teman hidup tidak kira bagi lelaki mahupun perempuan. Perkara ini mungkin berlaku kerana penekanan di kalangan sesetengah Ustaz dalam soal istikharah ini dikaitkan dengan memilih jodoh sahaja.

Sebenarnya amalan Solat Sunat Istikharah ini skopnya luas. Kita kadang-kadang tidak diberikan penerangan yang jelas dalam soal ini. Sedangkan amalan Solat Istikharah ini sangat-sangat di galakkan oleh Rasulullah sebagaimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;

Mahfum Hadis:
Dari Jabir ra., ia berkata: “Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran.

Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:

“Ya Allah! Aku mohon pemilihanMu menerusi pengetahuan u dan aku mohon kekuatanMu menerusi kudratMu serta aku minta padaMu sebahagian dari limpah kurniaMu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agamaku juga dalam urusan kehidupanku serta natijah pada urusanku, kini dan akan datang, maka tetapkanlah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya.”

Betapa pentingnya Solat Istikharah ini sebagaimana pentingnya kita mempelajari al-Quran.

Sebagai satu iktibar dan renungan penulis ingin berkongsi beberapa contoh kisah benar yang berlaku di kalangan sahabat-sahabat yang terlupa mengamalkan solat istikharah. Nama dalam kisah ini bukan nama sebenar.

Kisah-1
Setelah berpindah randah dari satu rumah sewa ke rumah sewa, akhirnya tergerak hati Salim untuk memiliki rumah sendiri. Lalu dia melihat iklan di surat khabar dan berkenan dengan tawaran rumah yang agak munasabah harganya. Rumah tersebut masih belum dibina lagi tetapi pihak pemaju telah menawarkan pakej jualan yang istimewa. Pihak pemaju perumahan memberi jaminan rumah tersebut akan siap dalam masa dua tahun. Salim berminat dengan rumah tersebut lalu terus membelinya. Kini lima tahun telah berlalu, projek perumahan itu telah terbengkalai kerana pemaju telah muflis. Salim terpaksa membayar ansuran bulanan hutang kepada bank walaupun rumah yang diidamkan masih tidak wujud.

Kisah-2
Abu dan Salmah telah berkahwin selama 4 tahun. Mereka dikurniakan dengan dua orang cahaya mata. Anak yang sulung telah berumur 3 tahun dan yang kedua masih 8 bulan. Mereka berasa agak susah hendak ke sana kemari kerana hanya memiliki motosikal. Satu hari Salmah mencadangkan kepada Abu untuk membeli kereta. Abu lalu terus pergi ke Perodua Showroom untuk melihat-lihat kereta. Dia berkenan dengan model Kelisa lalu terus membelinya. Selang sebulan keretanya kena curi. Dah enam bulan berlalu keretanya masih tidak ditemui, tetapi dia masih membayar ansuran bulanan dengan pihak bank kerana pampasan yang pihak insurans bagi tidak mencukupi untuk melangsaikan bayaran baki hutang dengan pihak bank.

Kisah-3
Munirah akhirnya terpikat dengan pujukan rakan satu ofisnya Hafsah untuk melabur dalam satu skim pelaburan di internet. Dia akhirnya mengeluarkan sehingga RM10,000 untuk pelaburan tersebut. Dua tahun telah berlalu duit pelaburannya lesap tak nampak bayang.

Kisah-4
Rashid dan Zakiah telah mempunyai tiga orang anak. Mereka bercadang untuk mengambil pembantu rumah Indonesia. Mereka pergi ke agensi pembantu rumah dan terus memilih seorang pembantu rumah yang terdapat dalam senarai biodata. Selang dua bulan pembantu rumah pun sampai dan berkhidmat kepada mereka seperti yang dijangkakan. Tiga bulan berlalu tiba-tiba pada satu hari didapati pembantunya telah lari dari rumah.

Kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar di mana penulis sendiri bertanya kepada mereka adakah mereka telah melakukan Solat Istikharah sebelum memilih atau membuat keputusan. Mereka kata langsung tak terfikir hendak melakukannya.

Kisah -5
Iskandar berumur 40 tahun telah berkahwin dan mempunyai enam orang anak. Suatu hari dia mendapat telefon dari kawan baiknya Jaafar. Jaafar hendak memberikan satu hadiah istimewa kerana jasa Iskandar yang telah menyelesaikan masalah keluarganya. Jaafar hendak menawarkan kepadanya perbelanjaan pakej menunaikan haji untuk suami isteri ditanggung sepenuhnya iaitu RM15,000 setiap orang. Hati Iskandar gembira bukan kepalang kerana sudah lama dia mengidam untuk menunaikan haji. Lagipun duit simpanan dalam tabung hajinya baru RM3000. Iskandar tidak terus menerima hadiah tersebut sebaliknya dia memberi tempoh tiga hari untuk membuat keputusan. Iskandar melakukan Solat Istikharah tiga malam berturut-turut. Pada hari keempat dia berjumpa Jaafar mengatakan dia sangat berat untuk menerima hadiah tersebut. Dia mengatakan ingin pergi menunaikan haji dengan duit pendapatan sendiri. Jaafar agak kecewa, dipujuknya namun Iskandar tidak terima juga. Selang dua bulan selepas itu baru Iskandar mendapat tahu duit yang hendak diberikan kepadanya itu adalah dari duit riba iaitu interest bank konvensional akaun simpanan tetap Jaafar. Jaafar telah tersalah sangka. Disangkanya bahawa duit riba boleh dihadiahkan kepada orang lain tetapi tidak boleh digunakan sendiri.

Kisah-6
Cikgu Imran telah mendapat arahan pertukaran sekolah dari Sabak Bernam ke Sandakan. Bila menerima surat tersebut hatinya agak gembira kerana ingin memberi khidmat di kawasan pedalaman. Baginya tidak ada masalah sebab masih bujang, dan teringin sangat hendak ke Sabah. Dia solat Istikharah walaupun keputusan telah ditetapkan oleh kementerian kepadanya. Dia berdoa “Ya Allah kalau pemergian aku ke Sandakan ini baik untukku dan agamaku maka permudahkanlah jika tidak kau gantikanlah dengan yang lebih baik dan sempurna”. Selang dua minggu Pengetua disekolahnya memberitahu kepadanya pertukaran dia ke Sabah di tarik balik disebabkan masalah teknikal. Dia rasa agak pelik namun tidak kecewa malah tetap gembira kerana telah melakukan solat istikharah. Dia yakin ini yang terbaik di pilih oleh Allah untuknya. Selang sebulan dia bertemu Jodoh dengan Ustazah (al-Hafizah) yang baru berpindah di taman tempat dia tinggal.

Semua kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar yang boleh kita ambil iktibar dan pengajaran. Yang pastinya kita tidak akan rugi di dunia dan akhirat bila beramal dengan Solat Istikharah ini.

Dewasa ini ramai di kalangan kita hendak membeli rumah yang berharga lebih RM200,000. Bayaran balik mungkin mengambil masa selama 20 hingga 25 tahun. Dalam tempoh tersebut macam-macam perkara boleh terjadi. Jika sekiranya kita melakukan Solat Istikharah sebelum membeli rumah tersebut, pasti Allah akan mendorongkan kita membuat pilihan yang tepat dan memudahkan segala urusan. Penulis ada bertemu dengan beberapa sahabat yang melakukan Solat Istikharah sebelum membeli rumah, Alhamdulillah segala urusan menjadi mudah dan dapat membayar balik hutang rumah lebih awal daripada yang dijangkakan.

Seperkara lagi, supaya Allah SWT memakbulkan doa kita, jauhilah segala bentuk pinjaman yang ada unsur-unsur riba’ seperti dari sistem konvensional. Pilihlah sistem perbankan Islam semoga Allah memberikan keberkatan dan menurunkan rahmatnya sepanjang tempoh pinjaman di buat. Yakin dan percayalah jika kita mengikut suruhan Allah, pasti Allah akan membantu kita di ketika senang dan susah. Jika Allah bantu kita tiada sesiapa yang boleh menghalangnya.

Mengikut beberapa buah kitab seperti Kitab Minyatul Musolli, Sabilal Muhtadin dan Sairus Salikin, secara ringkasnya cara melakukan Solat Istikharah adalah seperti berikut;

- Waktu yang terbaik ialah pada 2/3 malam (iaitu sekitar pukul 2 pagi). Bagaimana pun boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam waktu yang di haruskan sembahyang contohnya selepas maghrib.

- Niatnya: “Sahaja aku sembahyang sunat istikharah dua rakaat kerana Allah ta’ala”

- Dalam rakaat pertama selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Kafirun atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.

- Dalam rakaat kedua selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Ikhlas atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.

- Selepas memberi salam baca doa berikut (mulakan dengan basmalah dan selawat terlebih dahulu).

Terjemahan Doa’ :

Ya Allah!

Aku mohon pemilihanMu menerusi pengetahuanMu dan aku mohon kekuatanMu menerusi kudratMu serta aku minta padaMu sebahagian dari limpah kurniaMu yang sangat besar.
Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib.

Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) adalah baik bagiku dalam urusan agamaku juga dalam urusan penghidupanku serta natijah pada urusanku, kini dan akan datang, maka tetapkanlah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya.

(Dari hadis riwayat Imam Bukhari)

Semoga artikel pendek ini memberi manfaat kepada kita semua.
Wallah hu ‘alam













Melayan anak kecil yang suka bertanya

Dipetik dari LAMANSERi
email : bawangmerah@gmail.com


Salam,

Hari ini saya ingin kongsikan artikel oleh Dato’ Dr Norlaily Dato’ Abu Bakar (NURY) yang sempat saya baca dan saya cuba terapkan ilmu ini kerana saya juga sedang mengharungi fasa yang sama, seperti dalam artikel tersebut.


Anak saya yang ketiga (Ilham Darwish) memang petah bercakap sejak usianya 1.5 tahun lagi. Sekarang usianya sudah mencecah 2.75 tahun dan kata orang Perak, sangat ‘beret’ mulutnya. Hari-hari ada saja keletah yang menghiburkan dan saya paling tak boleh tahan bila mulutnya bertanya bermacam-macam soalan yang kadang-kala agak mencabar akal saya untuk memberikan jawapan yang sesuai dengan usianya.

Suatu petang, dia berkata, “Kenapa ayah berhenti? Cepatlah jalan.”

Saya jawap [on behalf ayahnya], “Ayah berhenti sebab lampu isyarat merah. Kalau lampu merah, kita kena berhenti. Kalau lampu hijau, baru boleh jalan.”

Dia menjawap, “Eeee mama ni… boy tanya ayahlah. Boy bukan tanya mama…”

Seketika kemudian kami melalui lampu isyarat yang bertukar kuning dan suami memperlahankan kereta.

Anak bertanya lagi, “Kalau kuning?”

Saya jelaskan kepadanya, “Kalau kuning kita kena berjaga-jaga, perlahankan kereta dan berhenti sebab lepas ini lampu akan jadi merah. Merah kena berhenti.”

Dia seakan faham dan mengangguk-anggukka n kepala. Tak lama selepas itu, dia bertanya lagi, “Kalau tak berhenti?”

Dalam hati saya mengomel, “Banyak tanya betul budak nih…” tapi saya jawap juga, “Kalau tak berhenti, nanti polis saman.”

Dan perbualan kami meleret pula apa itu saman dan lain-lain.


Anak kedua saya yang berusia 3.75 tahun (Dania Sofea) juga tidak kurang hebat ‘beret’nya. Kadang-kala pertanyaannya benar-benar mencabar kesabaran saya… contoh :

Anak : “Mama, kenapa baby nangis?”
Saya : “Sebab baby kecil lagi.”
Anak : “Kalau baby dah besar, dia tak nangis?”
Saya : “Baby menangis sebab dia lapar.”
Anak: “Kalau baby tak lapar?”
Saya : “….hemmm…”

Dalam hati saya… “Aduh... mencabarnya. ..”

Ada sesetengah pertanyaan memang sukar untuk saya jawap, contohnya :

Anak : “Kat mana mama jumpa baby ni?” (sambil tunjuk baby yang berusia sebulan lebih)
Saya : “Mama jumpa di hospital. Mama bawa baliklah.”

Ha... ha…

Jika ditakdirkan pada hari itu saya larat melayan, saya akan layan juga pertanyaan mereka. Kadang-kala bila terlalu penat, saya cuba jawap juga walaupun acuh tak acuh. Kesian mereka seharian tak berjumpa, macam-macam soalan disimpan dan tunggu saya balik untuk bertanya. Memang kebiasaannya anak dalam lingkungan umur begini suka sangat bertanya. Soalan seperti, “Apa itu mama?” atau “Mengapa itu ayah?” atau “Bagaimana itu mama?” memang biasa keluar daripada mulut mereka.

Ramai ibu bapa kadang kala tidak terdaya melayan pertanyaan sebegini lebih-lebih lagi ibu bapa yang telah penat bekerja sepanjang hari. Jika tidak larat melayan karenah anak-akan ini, janganlah mereka dimarah, ditengking atau dimaki hamun. Ini akan membuatkan anak ini tidak akan bertanya lagi, malah mungkin akan terus mendiamkan diri atau cuba perkara lain, memberikan tumpuan kepada benda-benda (barang-barang) atau kawan-kawan yang sama senasib dengannya.

Menurut Dato Dr Norlaily, masalah sosial hari ini adalah disebabkan anak-anak yang terbiar atau dipajak-gadai kepada orang lain dari kecil lagi kerana ibu bapa tiada masa untuk mereka. Siapakah yang bertanggungjawab dalam perkara ini? Inilah persoalan yang mesti dijawab oleh para pemimpin, pembuat polisi, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua korporat dan ibu bapa semua. Tetapi hari ini banyak tumpuan diberi kepada perkara yang menambahkan lagi masalah ini. Taska, tadika, pusat jagaan kanak-kanak tumbuh macam cendawan tetapi tidak disediakan dengan program yang sesuai untuk anak-anak. Pihak yang menjaganya sekadar makan gaji sahaja dan tidak ada rasa sayang kepada anak.

Ibu bapa pula tidak dibenarkan langsung terlibat dalam program-program yang dilaksanakan. Malah untuk menghantar anak ke taska dan tadika pun dipajak kepada orang lain.

Pernahkah kita berfikir, mengapa anak-anak kecil suka bertanya? Anak-anak suka bertanya kerana ia adalah anugerah semulajadi Allah SWT supaya dia bukan sahaja mengenal tetapi memahami persekitarannya dan boleh menyesuaikan dirinya dengan sesiapa pun dan di mana juapun.

Jadi, jika anak bertanya, “Ayah, kenapa ayah berhenti?” (walaupun anda menganggapnya sebagai soalan ‘poyo’), cubalah sedaya-upaya anda berikan jawapan yang sesuai, yang senang difahami anak.

Jawapan penuh kasih sayang

Ayah yang penat hanya berdiam diri atau menjawap dengan kasar, “Tak tahu lagi ke? Itu lampu isyarat!”

Anak akan terus bertanya, “Lampu isyarat itu apa, ayah?” atau mungkin saja, “Tadi warna kuning, kenapa sekarang warna merah?” atau “Siapa yang tukar warna lampu itu, ayah?”

Ayah yang penat mungkin saja akan terus berkata, “Diamlah, ayah tak tahu!”

Tetapi ayah yang penuh kasih sayang akan memberikan jawapan yang sebaliknya. Dia akan menjawap, “Ya sayang, merah itu berhenti, kuning itu bersedia dan hijau itu tandanya boleh jalan.”

Mungkin saja anak akan bertanya lagi dan lagi, dan kita sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab cubalah berusaha penuhi persoalan anak. Jika tiada apa-apa urusan pada hari itu, kita boleh usaha pergi ke perpustakaan dan cari buku-buku berkaitan dengan persoalan anak. Boleh juga mencari bahan-bahan melalui internet. Lakukanlah apa saja yang terfikir, asalkan anak-anak tidak ditinggalkan dengan persoalan yang kita tidak boleh jawap.

Ini amat penting kerana kita tidak mahu perasaan 'curiosity' atau minat anak-anak terbantut, semata-mata kerana ibu bapa jahil. Satu perkata yang amat penting ialah, jawapan yang diberi mestilah tepat, jelas, betul dan tidak mengelirukan. Cara ini, sedar atau tidak, kita akan meminatkan anak mencari dan meneroka ilmu baru.

Ibu dan bapa juga secara tidak langsung, akan terpaksa belajar ilmu baru, umpamanya jika kita mengenalkan anak kepada pokok. Kita seharusnya memberi tahu nama pokok itu dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Latin. Kita boleh meminatkan lagi anak kepada pokok dengan memberitahunya ciri-ciri pokok itu, selain menerangkan asal usul pokok, kegunaannya, apa yang baik atau buruk tentang pokok itu dan semua fakta pokok berkenaan. Sekiranya anda ibu bapa yang perihati dan penuh kasih sayang, inilah yang patut dilakukan.

Saya sedang berusaha menjadi mama yang terbaik untuk anak-anak saya.

Ya Allah, permudahkanlah urusanku dalam menguruskan amanah-Mu. Amiin.

Selamat mencuba!

Kenapa Nak Baca Al-quran Sedangkan Tak Tau Makna?

Terdapat seorang lelaki tua yang tinggal di sebuah ladang di Kentucky , US dengan cucunya.

Setiap pagi, Si Datuk akan membaca Al-Quran di ruang dapur. Si cucu yang melihat, juga meniru
perbuatan Datuknya itu.

Satu hari si Cucu bertanya kepada datuknya, “Atuk, saya baca Quran ini tapi tak fahamlah maksudnya. Kalau faham pun saya akan lupa bila tutup Al-Quran. Jadi apa gunanya kita baca Al-Quran ini?”

Si Datuk lalu berpaling sebentar dan mendapatkan sebuah bakul yang kotor kerana diisi arang sebelumnya.

“Nah, kau pergi sungai, bawak air dalam bakul ni” . Si cucu pun bergegas ke sungai yang berhampiran dengan rumah mereka di ladang. Apabila pulang, tiada lagi air yang tinggal.

“Kau lambat sangat, cuba lari laju-laju sikit”. Si cucu pun berlari ke sungai dan apabila tiba di hadapan datuknya, tiada juga air yang tinggal.

“Tak boleh lah Atuk”. Cuba sekali lagi. Kali ini datuknya melihat dari pintu.. Si cucu pun, cepat-cepat ke sungai dan berlari membawa bakul untuk tunjuk kepada datuknya. “Nampak tak Atuk? Tak boleh lah”.

“Tak ada gunaya” bentak si cucu. :sad:

Si Datuk pun berkata, “Jadi kau rasa tak bergunalah? Cuba kau tengok bakul tu”.
Seperti baru tersedar, si cucu baru perasan yang bakul yang kotor tadi, kini sudah bersih.

Terus si datuk menyambung, “Macam itu lah dengan membaca Al-Quran, walaupun tidak memahami maksudnya, tetapi ia tetap membersihkan si pembacanya. Itu semua dengan kehendak Allah. Kerja Allah”

Moral: Bacalah Al-Quran walau tak tau maknanya... kerana ia kalam Allah yg boleh membersihkan hati kita. Wallahua'lam.