Wednesday, August 12, 2009

Amalkan sikap membelai pasangan

Oleh ZUHAYATI YAZID


Jadikan pasangan sebagai rakan karib yang boleh berkongsi suka duka yang berlaku pada diri masing-masing.

--------------------------------------------------------------------------------



PERKAHWINAN adalah manifestasi cinta antara pasangan kekasih. Namun ironinya cinta di alam rumahtangga bukan sandaran yang kukuh untuk satu hubungan yang kekal hingga ke hujung nyawa.

Ia menagih begitu banyak pengorbanan, pengertian serta yang paling utama ialah kejujuran.

Dalam usaha memberi kefahaman itu kepada pasangan suami isteri seharusnya sikap kerjasama dan tolak ansur adalah penting dalam melayari hubungan rumah tangga.

Selain aspek kasih sayang, tanggungjawab, kewangan dan hubungan seksual juga mempengaruhi kebahagiaan hidup rumah tangga

"Setiap perhubungan mesti ada kerjasama, baru hidup berkekalan.

''Malah sikap terbuka dalam hubungan termasuk seks amat penting untuk mengekalkan hubungan."

Demikian menurut Perunding Psikologi dan Klinikal dan ahli fakulti Northwestern University Feinberg School of Medicine, Amerika Syarikat, Dr. Huang Wei Jen semasa memberi ceramah mengenai keintiman dan kebahagiaan pasangan dalam melayari rumahtangga.

Katanya, masalah intim dapat dilihat menerusi pelbagai aspek. Ia mungkin di sebabkan oleh masalah psikologi, rohaniah dan kebatinan serta tindak balas fizikal yang membuatkan kita memerlukan hubungan intim dalam perhubungan.

Jelasnya, intim di sini bukan bermaksud melakukan hubungan seksual, tetapi cara berinteraksi dan tindak balas dalam sesebuah perhubungan.

''Yang paling utama kita sebagai pasangan perlulah berkongsi hidup sama ada dari segi intelektual, sosial, emosional, kerohanian dan kebatinan serta fizikal.

Begitu juga dalam memenuhi kehendak seksual, suami harus memainkan peranan dalam memastikan hubungan itu saling memberi kepuasan bagi kedua-dua pihak.

"Jadi, dalam mendapatkan kenikmatan itu, suami isteri harus bersama-sama bertanggungjawab memberi kepuasan," katanya.

Menurut Wei Jen, seks merupakan salah satu kehendak manusia yang perlu bagi tujuan murni iaitu meneruskan kesinambungan zuriat dan untuk pasangan menikmati hubungan manis dalam satu ikatan yang sah.

''Namun jangan jadikan seks segala-galanya dalam perkahwinan semata-mata tetapi suami harus memberi keutamaan dalam perkara yang lain dalam meneruskan bahtera tersebut.

Bercerita tentang tanggungjawab, suami sebenarnya mempunyai kuasa yang cukup besar, tidak semata-mata memberi nafkah batin, tetapi sebagai ketua atau pemimpin dalam sebuah keluarga.

Tanggungjawab kepimpinan dalam sebuah rumahtangga ada kaitan dengan pemberian nafkah batin dan zahir, sifat kekuatan jasmaniah, azam, keberanian, kesabaran dan berpandangan jauh dalam sebuah rumahtangga.

Katanya yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang psikologi klinikal, dalam melayari sebuah rumah tangga, pasangan digalakkan supaya sentiasa menjalin hubungan mesra, saling faham memahami dan sentiasa berbincang antara satu sama lain.

Lebih menarik, dalam meneruskan hubungan, sikap membelai-belai antara satu sama lain perlu diamalkan dalam hubungan suami isteri.

Malah pasangan juga digalakkan untuk berterus terang mengenai semua perkara.

''Sememangnya kita tidak mahu badai besar merempuh rumah tangga kita, oleh itu hanya melalui sikap berterus terang dan bersemuka adalah cara yang paling tepat.

''Berterus teranglah dengan pasangan kita, malah jadikan pasangan kita sebagai kawan karib kita yang boleh berkongsi suka dan duka yang berlaku pada diri kita.

''Apa jua krisis yang dihadapi, harungilah sebagai satu unit dan bukan secara individu,'' katanya.

Malah akuinya lagi, buatlah keputusan bersama dalam meneruskan bahtera perkahwinan.

Tambah Wei Jen, prinsip ini pernah memberi impak yang tinggi dalam rumahtangganya sendiri.

Komitmen yang mempersetujui sesuatu keputusan akan memaksa pasangan untuk bercerita secara mendalam dengan pasangan.

Namun jelasnya, ketidakupayaan suami isteri berkomunikasi secara efektif adalah punca menyebabkan timbul pelbagai masalah seperti buruk sangka di antara satu sama lain.

''Oleh itu, kurangkan sikap sering bergaduh, saling tidak mempercayai dan salah sangka antara pasangan,'' ujarnya.

"Sebenarnya komunikasi antara suami isteri merupakan satu proses yang bermula dari dalam diri individu itu sendiri.

"Melalui komunikasi, suami isteri boleh menyampaikan segala maklumat terpendam, impian, hasrat dan harapan.

''Malah dengan cara ini, ia akan mengurangkan perasaan salah sangka dan dendam yang boleh menghancurkan hati.

''Komunikasi berkesan akan melahirkan rasa intim antara suami isteri dan perasaan ini boleh mencetuskan rasa bahagia,'' tambahnya.

Jelasnya, hanya melalui perkongsiaan bersama, ia mampu menyelesaikan permasalahan.

''Cuba amalkan sebelum tidur, bercerita dan berkongsi dengan pasangan mengenai kejadian yang berlaku pada diri anda hari ini.

''Pastinya ada komen dan juga pandangan antara satu sama lain, malah ia juga boleh menghangatkan lagi perhubungan tersebut,'' akhiri ceramahnya pada hari itu.

Aura cinta sebentuk cincin


Oleh NOOR FAZRINA KAMAL


Cinta sejati akan terus bersemi selama-lamanya,
cincin menyatukan dua hati menjadi satu.
Cincin di jari manis pengantin perempuan lambang cinta sejati.
Ibu jari mewakili ibu bapa,
Jari telunjuk mewakili adik-beradik,
Jari tengah mewakili diri sendiri,
Jari manis mewakili pasangan,
Jari kelengkeng mewakili anak-anak.
PETIKAN puisi nukilan pujangga Inggeris tidak bernama ini menjawab persoalan mengapa cincin dipilih untuk disarungkan pada jari manis pengantin perempuan.


Jari manis yang mewakili pasangan adalah tempat paling ideal untuk meletakkan sesuatu yang bermakna dalam perhubungan - berharga seperti sebentuk cincin.

Cincin juga ibarat kuasa yang menyatukan dua hati insan yang melafaz janji untuk setia sepanjang hayat.
Walau ada pasangan yang inginkan kelainan dengan menggunakan barang kemas lain seperti rantai atau gelang tangan, tidak akan sama nikmatnya seperti menyarung cincin pada jari manis si isteri.

Dalam kebanyakan adat, cincin diberikan sebagai tanda perkenalan, pengikat (pertunangan) serta perkahwinan. Bagi masyarakat Melayu pula, cincin seperti sudah menjadi item 'wajib bawa' semasa majlis merisik dan pertunangan.

Bagaimana hebat pun hantaran 'serba berdiri', aura cincin dalam majlis perkahwinan tetap relevan.
Namun jangan pula asyik kaitkan cincin dengan tanda dimiliki seseorang. Ini kerana wanita membeli cincin bukan hanya kerana mereka ingin berkahwin atau bertunang, tetapi mereka juga mahukan lebih keyakinan dalam penampilan.

Bagi kebanyakan orang Melayu, mereka lebih sukakan cincin emas kuning. Ada yang memberikan alasan kerana ia lebih menyerlah dan emas kuning juga diibaratkan seperti pelaburan jangka panjang yang menguntungkan berbanding emas putih.

Namun jika kita perhatikan trend hari ini, semakin ramai pasangan yang memilih emas putih sebagai cincin perkahwinan mereka untuk nampak lebih muda dan bergaya.

Pilih cincin ibarat memilih pasangan hidup?

Memilih cincin adalah satu proses yang tidak kurang pentingnya sama seperti memilih seseorang menjadi pasangan hidup.

Ini kerana sebentuk cincin yang dipilih untuk majlis perkahwinan akan kekal dan nilainya tidak akan sama dengan mana-mana cincin yang dibeli sebelum atau selepas detik bersejarah tersebut.

Ketua pereka bentuk cincin Tomei, Rizna Md. Aros berkata, faktor itulah juga yang menjadi cabaran setiap kali menghasilkan rekaan terbaru untuk jenama barang kemas tempatan itu.

"Sebelum mengilhamkan sesuatu rekaan saya perlu mendalami konsep dan meletakkan sepenuh jiwa pada rekaan yang akan dihasilkan untuk memuaskan hati," jelasnya pada satu temu bual eksklusif sempena Pameran Ekstravaganza Perkahwinan Tomei yang berlangsung di Pusat Membeli Belah One Utama, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Rizna berkata, cabaran utama yang sering dihadapi bersama ahli kumpulan perekanya ialah untuk menghasilkan rekaan yang memuaskan hati pasangan yang bakal mengikat tali pertunangan atau pernikahan.
"Sebenarnya reka bentuk cincin ini amat subjektif. Ia bergantung kepada pendapat individu yang biasanya mudah terpengaruh dengan rekaan dilihat di majalah atau Internet.

"Jadi sebagai pereka kami membangunkan rekaan hasil daripada cita rasa itu. Ia bukan bermakna kami meniru sebaliknya kami juga punya idea sendiri dan mengadunkan dengan selera tempatan.

"Dari segi bentuk pula memang ramai gemarkan yang ringkas tapi tak kurang juga sukakan sesuatu yang hebat dan besar. Oleh itu dalam satu konsep yang telah dipilih kami hasilkan pelbagai reka bentuk demi memenuhi cita rasa pembeli yang pelbagai," jelasnya.

Sejak menyertai Tomei lebih lima tahun lalu, Rizna melihat perubahan pemilihan bakal pengantin yang kini lebih berminat kepada emas putih.

Pada pendapat beliau, ia mungkin hasil pengaruh masyarakat Barat di mana mereka lebih cenderung memilih emas putih berbanding emas kuning.Beliau yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang reka bentuk barangan kemas mengakui ilham bagi menghasilkan sesuatu rekaan biasanya datang apabila dimaklumkan mengenai konsep yang mereka mahukan.

"Inspirasi lahir daripada pemerhatian. Rekaan menjadi mudah apabila pereka diberitahu tentang konsep. Contohnya kami diminta menghasilkan cincin kahwin, maka apabila diberitahu tentang konsep bunga seperti ros maka kami akan bangunkan rekaan daripada bentuk tersebut.

"Selepas menggabungkan idea dan meluahkan imaginasi dalam satu lakaran, kami akan meminta pandangan pihak atasan. Setelah diluluskan barulah diteruskan dengan proses berikut iaitu di bahagian produksi," ujarnya.

Bagi Rizna matlamatnya ialah menghasilkan satu rekaan yang kekal lama dan tidak lapuk ditelan masa, sesuai dengan maksud perkahwinan iaitu kekal abadi.

"Bagi cincin merisik atau pertunangan kebanyakan orang Melayu gemarkan yang ringkas dan tidak berbatu. Jika cincin emas biasanya cincin belah rotan yang dipilih untuk kedua majlis ini.

"Bagaimanapun untuk perkahwinan mereka kini gemar memilih cincin yang memiliki sebutir berlian atau solitaire.

"Kami turut menghasilkan rekaan cincin lelaki yang diperbuat daripada suasa. Bagi yang mampu boleh juga memilih cincin lelaki yang diperbuat daripada platinum," ujarnya.

Pameran Perkahwinan Ekstravaganza Tomei
Tomei, jenama yang tidak asing bagi rakyat Malaysia buat pertama kalinya menganjurkan pameran ekstravanganza di ruang legar pusat membeli belah One Utama, Kuala Lumpur.
Pameran yang berlangsung dari 27 Julai hingga 9 Ogos lalu bersempena dengan Jualan Mega Malaysia sepanjang Ogos .
Pengurus pemasaran Tomei, Christine Lim berkata, pada pameran itu, Tomei memperkenalkan koleksi cincin terbaru mengikut kategori.

"Untuk perkahwinan ada 12 reka bentuk baru, empat jenis untuk pertunangan, tiga rekaan untuk cincin tanda perkenalan dan untuk pertama kalinya kami melancarkan cincin sempena ulang tahun perkahwinan.
"Istimewanya koleksi julung kali ini ialah penggunaan emas ros dan bagi yang mahu menempah ukiran nama boleh dibuat di bahagian belakang cincin.

"Koleksi kali ini dikategorikan dalam tiga konsep yang diberi nama Cherish, Dazzling Amour dan Eternal Binding," jelasnya ketika ditemui di lokasi yang sama.