Thursday, June 4, 2009

Makanan sihat untuk pelajar

Los Angeles kini menerajui kempen antimakanan rapu dengan menyingkirkan makanan bergoreng, membanyakkan makanan segar dan mengurangkan jumlah sodium

dalam makanan serta mengharamkan minuman soda.




PAOLA VILLATORO, 17, dari Sekolah Tinggi Downtown Magnet di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) sedang menikmati makanan di kafeteria sekolah seperti piza rendah lemak dengan roti bijirin penuh yang agak enak rasanya.

"Sebahagian daripada makanan ini sedap juga rasanya," katanya.

Tetapi, pelajar sebuah sekolah persediaan Best Adams, Alfredo Segura tidak menyukainya.

"Rasanya seperti makanan di penjara," kata Segura, 16, ketika dia bersama beberapa pelajar lain menikmati snek di sebuah kedai makanan segera berhampiran sekolahnya.

Los Angeles Unified School District merupakan peneraju kepada kempen antimakanan rapu.

Cabarannya adalah untuk menukar amalan pemakanan tidak sihat yang telah dibentuk dan dipromosikan oleh gergasi-gergasi industri makanan segera sejak berdekad-dekad lamanya.

Jabatan Perkhidmatan Makanan di daerah itu telah menyingkirkan makanan bergoreng yang tinggi lemak dengan menambah lebih banyak makanan segar dan mengurangkan jumlah sodium dalam makanan di kafeteria sekolah.

Ia juga mengharamkan minuman soda yang mengandungi kandungan gula yang tinggi, selain melupuskan mesin-mesin runcit di dalam kampus.

Namun, penguatkuasaannya tidak menyeluruh. Malah, rangkaian-rangkaian makanan segera dan kedai serbaguna sentiasa bersiap sedia menunggu para pelanggannya di luar pagar sekolah.

Walaupun dia menggemari beberapa makanan di sekolah, Villatoro ada menyertai rakan-rakannya untuk menikmati makan tengah hari di kedai makanan segera yang terletak berhadapan dengan sekolahnya, seminggu sekali.

Bilangan restoran makanan segera di AS berkembang pesat kepada 220,000 buah pada tahun 2001, berbanding hanya 30,000 buah sekitar tahun 1970.

Menurut sebuah badan yang memberi fokus kepada kesihatan awam, Trust for America's Health dan Yayasan Robert Wood Johnson, sejak tiga dekad lalu, perbelanjaan ke atas makanan ringan mencecah AS$110 bilion (RM385 bilion) daripada AS$6 bilion (RM21 bilion) sebelumnya.


ROTI bijirin dan susu menggantikan makanan segera yang tinggi kandungan lemak.


Memandangkan golongan ibu bapa cenderung untuk mendapatkan makanan yang banyak dan murah, tabiat pemakanan orang dewasa serta kanak-kanak telah berubah, sekali gus membuatkan ukuran pinggang semakin besar.

Pada masa yang sama, sekolah-sekolah juga telah menggantikan kelas-kelas jasmani dan fizikal yang bertujuan untuk bersenam bagi memberi lebih banyak masa untuk pelajaran akademik.

Sejak tahun 1980-an, kadar obesiti dalam kalangan murid sekolah telah meningkat tiga kali ganda kepada 17 peratus. Pada kadar ini, wujud satu epidemik di AS, jelas seorang jurucakap dari Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Amerika.

Para pakar bimbang terhadap kadar penyakit diabetes, penyakit jantung dan kondisi kronik lain yang mungkin dihidapi oleh kanak-kanak ini sewaktu membesar. Situasi ini turut memburukkan krisis kesihatan yang sedia wujud.

Mengikut perangkaan Jabatan Kesihatan Daerah Los Angeles, 23 peratus pelajar sekolah mengalami obesiti, sementara 19 peratus lagi mempunyai berat badan berlebihan pada tahun 2007.

Kerajaan Amerika membelanjakan kira-kira AS$11.7 bilion (RM41 bilion) setahun untuk menyediakan program makanan sekolah.

Seramai 30 juta pelajar menikmati makan tengah hari dan lebih daripada 10 juta lagi diberi makanan untuk sarapan. Tetapi, piawaian khasiat dan keperluan makanan tidak dikemaskini sejak 1995.

Ada negeri-negeri yang cuba melakukan sesuatu tanpa menunggu pelaksanaan kerajaan persekutuan. Sehingga Ogos tahun lalu, sebanyak 18 buah negeri telah menggunakan standard nutrisi makanan lebih ketat berbanding dengan apa yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan.

Malangnya, kuasa penguatkuasaannya terhad dan mereka tidak boleh menjatuhkan hukuman ke atas sesiapa yang melanggarnya, jelas pihak Trust for America's Health, sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan yang berusaha meningkatkan standard kesihatan komuniti.

Data terkini menunjukkan, kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak mungkin menurun. Beberapa pakar memberitahu program-program seperti makanan tengah hari yang lebih sihat di sekolah mula menunjukkan kesannya, tetapi masih ramai yang bersikap skeptikal.

Presiden Barack Obama mahu menambah dana program nutrisi kanak-kanak Amerika sebanyak AS$1 bilion (RM3.5 bilion) setahun bagi mengelakkan golongan ini lapar sewaktu kemelesetan ekonomi yang menyebabkan kadar pengangguran tertinggi dalam tempoh 25 tahun.

"Kami berharap program ini akan berjaya," kata Laura Benavidez, Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Makanan untuk sekolah-sekolah di daerah Los Angeles yang mempunyai kira-kira 690,000 orang pelajar.

Bajet perkhidmatan makanan sebanyak AS$325 juta (RM1.13 bilion) tahun ini bukan sekadar merangkumi makanan, malah meliputi gaji kakitangan, faedah-faedah, kemudahan insurans dan kelengkapan alat tulis.

Pihak jabatan itu juga membelanjakan 70 sen untuk setiap hidangan, tidak termasuk susu yang berharga sekitar di antara 18 hingga 20 sen. Buat masa sekarang, pihak berkuasa daerah mengalami kerugian bagi setiap hidangan yang disediakannya.


PELAJAR di Los Angeles kini diperkenalkan dengan pelbagai menu sihat di rak kafeteria sekolah mereka.


Baru-baru ini, di sekolah Castelar Elementary yang terletak di Chinatown Los Angeles, para pelajarnya mengambil makanan di kaunter salad seperti oren, pisang dan kacang pis hijau. Hasilnya, tidak banyak makanan yang dibuang ke dalam tong sampah.

Namun, mesej berkaitan pemakanan sihat sering 'digagalkan' oleh acara-acara meraih dana yang dianjurkan sekolah. Di sana, mereka menjual makanan ringan untuk mendapatkan dana bagi pasukan sukan atau kelab-kelab akademik.

"Kami tidak boleh menghilangkan tabiat lama," kata Dennis Barrett yang bertanggungjawab memantau operasi perkhidmatan makanan di daerah tersebut.

Dalam pertarungan antara sayur-sayuran dan burger, burger mungkin sangat sukar untuk dikalahkan. - Reuters

Berita Sains

Susun gen tikus

AKHIRNYA, para saintis berjaya mengatur susunan genetik tikus selepas mengambil masa selama 10 tahun. Haiwan kecil itu telah menjadi bahan uji kaji saintis hampir di seluruh dunia. Penemuan terbaru itu dijangka dapat membantu mengatasi penyakit yang dihadapi oleh manusia.

Uji kaji ke atas tikus kini boleh dilakukan pada tahap yang lebih tinggi apabila satu pemahaman khusus dibina di antara kod genetik tikus dan manusia. Ini kerana 75 peratus daripada gen tikus adalah sama dengan manusia.


TIKUS mempunyai gen yang hampir sama seperti manusia.


Susunan itu yang dilakukan di Universiti Oxford, United Kingdom (UK), meliputi keseluruhan nukleus satu sel. Ia berfungsi seperti sebuah ‘buku’ bagi apa jua hidupan. Selepas manusia, tikus adalah mamalia kedua yang berjaya mempunyai satu pengaturan genetik yang sempurna.

Sebelum ini, satu draf telah dikeluarkan tentang susunan genetik monyet, anjing, tikus dan kucing. Bagaimanapun, tikus adalah haiwan yang paling banyak digunakan dalam mengenali penyakit yang dihidapi manusia dan bagaimana ia mula merebak.

Antara penyakit yang memerlukan tikus sebagai bahan uji kaji termasuklah kanser, kencing manis dan kardiovaskular.

Sel kanser boleh kembali

KANAK-KANAK yang berjaya melawan penyakit kanser sewaktu muda, mungkin masih belum bebas sepenuhnya daripada kanser. Ini kerana kajian mendapati kemungkinan besar mereka akan diserang lagi pada masa akan datang. Berbanding faktor genetik, jenis terapi yang digunakan kini dikatakan adalah penyebabnya.


KANAK-KANAK yang terselamat daripada kanser perlu menjaga kesihatan mereka kerana risiko kanser berulang.


Kajian ke atas hampir 50,000 orang mendedahkan bahawa mereka yang telah didiagnosis selepas tahun 1975, memperlihatkan sedikit kenaikan risiko kanser kerana rawatan yang diambil adalah agresif.

Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa rawatan itu telah membantu meningkatkan jumlah survival pesakit kanser kanak-kanak.

Dikendalikan oleh sekumpulan pengkaji dari Institut Kajian Wabak Penyakit Kanser di Copenhagen, Denmark, ia melibatkan sebanyak 47,679 pesakit yang didiagnosis dengan kanser sebelum berusia 20 tahun, antara tahun 1943 dan 2005.

Data itu dikumpul dari negara Denmark, Finland, Iceland, Norway dan Sweden. Dalam setiap satu kes, pesakit yang pulih sepenuhnya terdedah sebanyak tiga kali ganda kepada kanser baru. Risiko itu wujud sehingga usia mereka 70 tahun.

Hutan Afrika menyusut

HUTAN di benua Afrika semakin berkurangan berbanding kawasan hutan yang lain di dunia disebabkan ketiadaan hak pemilikan yang sah.

Kurang dua peratus daripada hutan itu berada di bawah kawalan komuniti berbanding satu pertiga di Amerika Latin dan Asia, ujar jurucakap dari organisasi Inisiatif Hak Milik dan Sumber Afrika.

Jika disamakan dengan kadar penebangan hutan dunia, hutan di Afrika ditebang empat kali ganda lebih cepat berbanding dengan purata masa yang sama di peringkat dunia. Dengan kadar tersebut, negara-negara di benua itu terpaksa mengambil masa selama 260 tahun bagi mencapai proses pemuliharaan seperti yang dilakukan di hutan Amazon.


PENEBANGAN pokok di Afrika berlaku secara berleluasa kerana tiada pemilikan sah ke atas tanah.


Laporan yang disediakan itu mengatakan bahawa pemberhentian aktiviti penebangan hutan, perubahan cuaca dan usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat dapat mengurangkan masalah yang dihadapi.

Para penyumbang dalam penulisan laporan itu turut membandingkan pembahagian hak milik tanah di 39 negara tropika yang mewakili 96 peratus daripada hutan tropika global. Mereka mendapati masyarakat Afrika mempunyai sedikit kuasa ke atas hutan mereka berbanding dengan penduduk di negara tropika lain.

Andy White, koordinator Inisiatif Hak Milik dan Sumber Afrika menambah, kegagalan untuk menyerahkan hak milik sah kepada Orang Asli dan wanita, boleh menyebabkan kegagalan menangani masalah penebangan hutan dan cuaca dunia.

Kurus tua sebab penyakit

MEREKA yang berbadan besar atau obes pada usia pertengahan menghadapi risiko yang tinggi untuk menjadi terlalu kurus pada kemudian hari, jelas penyelidik dari Finland. Kajian yang dilakukan ke atas lebih daripada 1,000 lelaki mendapati bahawa, mereka yang gemuk pada usia 30-an atau 40-an, menghadapi risiko penyakit lain pada usia lanjut.

Dipercayai penyakit itu menjadi penyebab seseorang lelaki menjadi terlalu kurus pada usia tua walaupun tidak menunjukkan sebarang komplikasi kesihatan.


LELAKI yang obes sewaktu pertengahan usia dikatakan akan menjadi kurus ketika tua.


Dalam kajian itu, kumpulan penyelidik menganalisis secara dekat golongan lelaki yang berusia 25 tahun hingga 70 tahun.

“Adalah penting untuk mengesan simptom-simptom ini sejak awal lagi agar masalah yang berkaitan dengan kematian dan kecacatan kekal dapat dihindari,” kata Ketua Penyelidik, Dr. Timo Strandberg.

Pada masa akan datang, para penyelidik berharap dapat mengetahui secara mendalam tentang kumpulan yang memiliki kesihatan yang baik seperti mengekalkan berat badan yang ideal sehingga mencecah usia 60-an dan 70-an.