Thursday, February 12, 2009

Tip anak obes

Ibu bapa bertanggungjawab terhadap perkembangan emosi, fizikal dan masa depan anak mereka.

MASALAH anak obes mungkin berpunca daripada ibu bapa sendiri.

1. Lengkapkan diri dengan ilmu dan dapatkan bantuan

Masalah tidak akan selesai dengan sendirinya. Ibu bapa yang tidak berikhtiar untuk mengubah tabiat anak-anak mereka akan sering menafikan hakikat.
Sebagai permulaan, dapatkan maklumat melalui pembacaan atau layari laman web yang berkaitan dengan pengendalian masalah obesiti.
Dapatkan juga nombor untuk menghubungi kaunselor, kumpulan sokongan, pakar diet dan juga sumber berkaitan.

2. Mendalami masalah anak dengan sepenuh hati
Bayangkan anda berada dalam situasi anak anda. Jika mereka berhadapan dengan masalah obesiti atau tabiat makan yang tidak betul, pasti ada sesuatu yang mengganggu fikiran mereka.
Mungkin 'ketagihan' untuk makan berlebihan itu berpunca daripada ejekan kawan-kawan, dipinggirkan, dimalukan, mahupun disakiti secara fizikal.

3. Berikan perhatian yang mereka perlukan
Anak-anak biasanya 'lapar' kasih sayang keluarga. Mereka memerlukan perhatian, pujian dan mahu merasa diri mereka berharga di dalam rumah. Maka, inilah masanya untuk memenuhkan jadual untuk merancang pengisian waktu kualiti bersama.

Antara langkahnya adalah menjalankan aktiviti fizikal bersama seperti berjalan kaki, menaiki basikal, berenang, bersenam atau bersukan.

Ambil peluang untuk mengetahui minat anak anda. Melaluinya, anak anda boleh dibimbing dan ditemani dalam mencuba hobi baru.

4. Menilai tabiat yang tidak disedari
Cara terbaik untuk menghentikan tabiat yang tidak disedari adalah dengan memberi perhatian kepada perkara yang anda sendiri sering lakukan. Melalui cara ini, kesannya akan meninggalkan impak kepada anak anda.

Berikut adalah senarai soalan yang perlu dijawab:
*Adakah anda memarahi anak anda tentang berat badan atau apa yang mereka makan?

Menuju Islam inklusif



Perbezaan agama harus dikenal dan diolah lebih lanjut kerana perbezaan itu secara potensinya bernilai dan penting bagi setiap umat yang beragama dalam memperkayakan imannya.
SYARAT pertama iaitu beriman kepada Allah tidak harus dibatasi dengan keimanan menurut cara Islam.

Gambar hiasan

Para pemimpin Islam sering menyatakan bahawa Islam adalah agama toleran, yang menghormati dan menghargai agama-agama lain. Begitu juga pemimpin agama lain turut menyatakan hal yang sama bahawa agama mereka juga mempunyai sikap toleran yang tinggi. Namun, dalam realiti kehidupan, ia menunjukkan betapa konflik umat manusia sama ada konflik etnik, konflik politik-sosial-ekonomi dan keganasan global sering terjadi atas nama agama. Misalnya, lihatlah apa yang berlaku di Palestin dan di bahagian dunia lain. Apakah ajaran agama-agama itu menuntut sikap dan tindakan sedemikian rupa daripada penganutnya? Apakah penghayatan agama yang mendalam akan melahirkan tindakan keras daripada penganutnya? Tentu sekali jawapannya tidak! Namun, realiti menunjukkan kekerasan sering berlaku atas nama agama sehingga melahirkan sikap eksklusif atau satu sikap bahawa hanya agama aku yang benar atau jaminan keselamatan hanya diperoleh dalam agamanya. Maka, akan ditafsirkan berbagai ayat-ayat suci untuk mengabsahkan tuntutan kebenaran itu.


Seorang pemikir Islam tersohor Indonesia, Nurcholis Madjid dalam bukunya, Dialog Keterbukaan, menjelaskan bahawa daripada sudut ajaran Islam, kerukunan umat beragama merupakan akibat wajar daripada sistem keimanannya. Nabi Muhammad s.a.w diperintahkan oleh Allah untuk menegaskan bahawa beliau bukan pertama dalam kalangan utusan Allah (dalam Surah al-Ahqaf, ayat 46). Juga ditegaskan bahawa Nabi Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, yang sebelumnya telah datang rasul-rasul lain (dalam Surah Ali Imran, ayat 144). Oleh kerana itu, Nabi Muhammad s.a.w juga menegaskan bahawa agama para rasul itu semuanya adalah satu dan sama, sekali pun syariatnya berbeza-beza.


Kesatuan agama para nabi dan rasul itu, sebagaimana disebut dalam al-Quran, adalah kerana semuanya berasal daripada pesanan satu ajaran Allah (dalam Surah Ass Syuura, ayat 13). Jadi, sudah seharusnya kita menghormati 'keberadaan' agama-agama itu tanpa membeza-bezakannya. Justeru, perasaan berat untuk bersatu dalam agama itu disebutkan sebagai sikap kaum musyrik, penyembah berhala (kaum Pagan). Sedangkan perbezaan antara berbagai agama itu hanyalah dalam bentuk jalan (syariah) dan cara (minhaj) menempuh jalan itu. Perbezaan tersebut hendaknya tidak menjadi halangan, tetapi menjadi satu motivasi untuk berlumba-lumba menuju kebaikan. Manusia tidak perlu mempersoalkan perbezaan itu, sebab kelak di hari kemudian, Allah akan menjelaskan tentang semua itu (dalam Surah al-Maaidah, ayat 48).


Kalaulah ini seruan universal al-Quran, mengapa penafsiran agama itu harus bersifat begitu dogmatik dan doktrin atau ia dikatakan menyangkut hal-hal akidah sehingga tidak lagi perlu dibicarakan dan sehingga terkesan teologi dan agama sebagai sesuatu yang tertutup dan eksklusif. Memang, dalam sejarah telah lama berkembang doktrin mengenai eksklusif agama sendiri bahawa 'agama sayalah yang paling benar', agama lain sesat dan menyesatkan. Pandangan semacam itu masih sangat kental, bahkan sampai sekarang, seperti termuat dalam buku-buku polemik dan juga buku ilmiah.


Rumusan daripada seorang pakar teologi Kristian kontemporari, Ajith Fernando, misalnya, menarik untuk diungkapkan. Katanya, 'other religions are false path, that mislead their followers' (Agama lain adalah jalan sesat, dan menyesatkan pengikutnya). Ungkapan Fernando itu memang sangat keras dan langsung menggambarkan segi eksklusifnya. Dan yang membimbangkan adalah kitab suci Kristian ditafsirkan seolah-olah membenarkan hal tersebut. Teologi inklusif ini, jika dibaca dari sudut pandang Kristian akan berbunyi, "Jesus adalah satu-satunya jalan yang absah untuk kebenaran dan keselamatan. Akulah jalan dan kebenaran dan hidup. Tidak ada seorang pun yang datang kepada Bapa, kalau tidak melalui Aku" (Yohannes 14:6). Pandangan eksklusif seperti itu memang dilegitimasikan atau tepatnya dicarikan keabsahannya melalui kitab suci. Tetapi itu bukan satu-satunya kemungkinan. Misalnya, dalam tradisi Katolik, sejak Konsili Vatikan II (1965), sudah jelas bahawa pandangan menjadi sangat terbuka ke arah adanya kebenaran dan keselamatan dalam agama-agama bukan Kristian. Karl Rahner, seorang pakar teologi besar Kristian yang menafsirkan Konsili Vatikan II, merumuskan teologi inklusifnya yang begitu terbuka dengan mengatakan, "Other religions are implicit forms of our own religion" (Agama lain adalah bentuk-bentuk implisit daripada agama kita). Tulisan Rahner mengenai hal itu dibahas dalam bab Christianity and the non-Christian Religions dan Observations on the Problem of the Anonymous Christian dalam bukunya Theological Investigations.


Dalam pemikiran Islam, masalah itu juga terjadi secara ekspresif. Walaupun sejak awal sudah ada konsep Ahli Kitab yang memberi kedudukan kurang lebih setara kepada kelompok bukan Muslim, dan ini dibenarkan oleh al-Quran, tetapi selalu sahaja ada interpretation away, iaitu satu penafsiran yang akhirnya menafsirkan sesuatu yang tidak sesuai lagi dengan bunyi 'teksual' kitab suci, sehingga ayat inklusif dibaca secara eksklusif.


Kembali pada teologi atau agama eksklusif, sebagai umat Islam mahupun umat Kristian dan umat beragama yang lain, semuanya telah mewarisi teologi eksklusif. Disebabkan pandangan itu, mereka menganggap bahawa hanya ada satu jalan keselamatan iaitu agama mereka sendiri. Pandangan itu jelas mempunyai kecenderungan fanatik dan dogmatik. Oleh kerana itu, diperlukan satu perspektif baru untuk melihat "Apa yang difikirkan oleh suatu agama, mengenai agama lain dibandingkan dengan agama sendiri." Perspektif itu akan menentukan apakah seorang yang beragama itu menganut satu fahaman keberagamaan yang eksklusif, inklusif atau pluralis atau seorang yang terbuka?


Dalam konteks umat Islam, perlu dibangunkan sikap Islam inklusif dan bukannya Islam eksklusif. Alwi Shihab, seorang sarjana perbandingan agama di dalam bukunya bertajuk Islam Inklusif, menjelaskan bahawa Islam inklusif adalah satu sikap terbuka dalam beragama. Alwi berhujah dengan ayat al-Quran, Surah al-Baqarah, ayat 62, "Sesungguhnya orang-orang mukmin, orang-orang Yahudi, orang-orang Nasrani, dan sesiapa saja di antara mereka beriman kepada Allah, hari kemudian, dan beramal soleh, mereka akan menerima pahala daripada Tuhan, tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan tiada pula mereka bersedih hati." Secara sepintas lalu, ayat itu menunjukkan jaminan Allah atas keselamatan semua golongan yang disebutkan dalam ayat tersebut. Jika demikian halnya, di mana letak keistimewaan umat Islam kalau semuanya akan selamat? Lantas, bagaimana pula dengan ayat al-Quran yang lain seperti yang disebut dalam Surah Ali Imran, ayat 85, "Barang siapa yang mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi."
Perlu diingatkan bahawa maksud 'dalaman' al-Quran tidak akan dapat dijangkau maksudnya secara 'pasti'. Kerana itu, penafsiran ayat al-Quran tidak lain hanyalah penjelasan tentang erti atau maksud firman Allah sesuai dengan batas kemampuan yang menafsirkannya. Buktinya, para sahabat Nabi sendiri berselisih faham dalam hal-hal yang berkaitan tafsiran. Bahkan ada di antara mereka yang memahaminya secara tidak tepat. Logiklah, ketika Ibnu Abbas, seorang ulama yang dinilai paling berwibawa dalam penafsiran al-Quran, menyatakan bahawa ada beberapa ayat al-Quran yang tidak dapat difahami, sekalipun oleh ulama. Hanya Allah yang mengetahuinya.


Dalam penafsiran moden menurut Alwi, ada berbagai pandangan yang menunjukkan keragaman. Misalnya, Muhammad Abduh berpendapat bahawa syarat pertama iaitu beriman kepada Allah tidak harus dibatasi dengan keimanan menurut cara Islam. Selanjutnya, anak muridnya, Rasyid Ridha, ikut memperkuatkan pendapat gurunya. Ridha mengakui bahawa keimanan sejati kepada Allah dapat ditemukan di luar Islam, mungkin yang ia maksudkan adalah orang-orang terdahulu yang beriman kepada Allah sebelum diutusnya Nabi Muhammad s.a.w. Manakala ahli tafsir Syiah tersohor, Allamh Al-Thabathabai lain pula penafsirannya. Baginya, Allah tidak memandang pada agama tertentu, tetapi yang penting adalah substance dan esensi tersurat yang terkandung dalam agama itu. Selagi tiga syarat dalam ayat (Surah al-Baqarah, ayat 62) telah dipenuhi, maka janji Tuhan itu akan terlaksana. Pandangan Thabathabai itu juga dijelaskan dalam tulisan Fazlur Rahman, pemikir Islam tersohor, yang berusaha untuk menunjukkan semangat inklusif.


Semangat dan sikap Islam inklusif amat bertepatan dengan rumusan Sidang Agama-Agama Dunia yang pernah diadakan pada 1993 dengan mengatakan, "Those who known only their own religion, know none. Those who are not decisively committed to one faith, know no others. To be religious today is to be inter-religious."


Penulis ingin menutup tulisan ini dengan kutipan daripada ajaran sufi. Para sufi tidak sahaja menegaskan kesatuan wahyu, tetapi juga menganggap diri mereka sebagai pelindung Islam dan pelindung agama-agama lain.


Akhirnya dalam semangat inklusif inilah kita menghargai perbezaan. Perbezaan agama harus dikenal dan diolah lebih lanjut kerana perbezaan itu secara potensinya bernilai dan penting bagi setiap umat yang beragama dalam memperkayakan imannya.


Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN

Matang seiring usia





Benar, cinta sesuatu yang indah, cinta boleh buat kita gundah, cinta buat hati berdarah dan cinta juga boleh membawa kekesalan yang tidak sudah. Namun, bagaimana cinta diterjemah tatkala usia semakin bertambah?

SETIAP orang mempunyai penghayatan cinta yang berbeza mengenai maksud cinta sejati. Tetapi ada juga yang tidak tahu bagaimana untuk mengenali cinta, sedangkan ia salah satu cara untuk mengenali diri seseorang.

Cinta dapat menjadikan seseorang itu bijak dan progresif. Namun ia juga boleh membuatkan seseorang itu gila, menderita atau sedih yang berpanjangan.

Semuanya bergantung kepada penghayatan seseorang menerusi pengalaman cintanya.
Cuma apa yang membezakan seseorang itu bijak menilai cinta ialah bagaimana tenaga daripada perasaan itu disalurkan kepada sesuatu yang positif.

Pendek kata, selagi makhluk bernama manusia hidup, cinta tidak akan membuatkan hidup mereka berasa bosan.

Elemen ini akan terus diulangi dalam medium seperti novel, puisi, filem, lagu dan sebagainya.

Benar, cinta sesuatu yang indah, boleh membuat kita gundah, cinta buat hati berdarah dan cinta juga boleh membawa kekesalan yang tidak sudah.

Namun, bagaimana cinta diterjemah tatkala usia semakin bertambah?
Menyelami perspektif cinta daripada individu yang mewakili peringkat usia berbeza membawa 'terjemahan' yang berbeza.

Pegawai Perhubungan Awam salah sebuah firma di Damansara, Nadia Heng, 24, menganggap cinta adalah sesuatu yang bersifat buta, melihat kecantikan dalaman dan berputik tanpa sebarang syarat.

"Cinta merupakan satu bahasa universal yang berputik tanpa sebarang syarat terhadap seseorang. Perasaan mencintai seseorang dan cinta tersebut dibalas secara ikhlas daripada insan yang dicintai adalah sesuatu yang sukar digambarkan dalam kata-kata.

"Ia boleh jadi cinta kepada Tuhan, ibu bapa atau kepada seseorang yang istimewa, sekali gus menimbulkan perasaan lebih mendalam," kata Nadia.

JAMBANGAN bunga ros antara elemen yang mewarnai Hari Kekasih.

Menyifatkan dirinya sebagai seorang yang peramah dan gemar berkawan, Nadia tidak menafikan bahawa untuk berjumpa dengan seseorang yang tepat dan mengekalkan sesuatu hubungan bukanlah sesuatu yang mudah.

"Personaliti dan tarikan penampilan menjadi antara elemen utama untuk berkenalan dengan seseorang pada peringkat awal.

"Penampilan atau kecantikan bukan satu faktor penting yang membuatkan seseorang 'jatuh cinta' terhadap insan tersebut. Bak kata pepatah Inggeris, beauty is in the eyes of beholder," kata Nadia.

Khabarnya, sejak dua tahun lalu gadis berdarah campuran Cina dan Eropah itu sedang hangat menikmati musim-musim cinta bersama jejaka yang hanya mahu dikenali sebagai Azrad.
Menurut Nadia, segala-galanya bermula apabila salah seorang teman rapat memperkenalkannya dengan Azrad. Hubungan mereka semakin intim apabila mereka sering bertemu.

Apakah yang membuatkan Nadia jatuh hati kepada Azrad? "Saya pun tak tahu. Saya rasa tiada siapa yang boleh menerangkan mengapa kita suka atau mengasihi seseorang.

"Kami 'klik' begitu sahaja dan ia membuatkan saya senyum setiap kali memikirkannya," kata gadis yang pernah menjadi model untuk beberapa iklan komersial seperti Perodua, Tomoi dan Spritzer.

Tambah bekas graduan jurusan Komunikasi Massa, Universiti Sains Malaysia (USM) itu, dia amat menyenangi Azrad kerana lelaki itu bercita-cita tinggi.

Azrad, pada pandangan Nadia adalah seorang yang bijak memujuk untuk melakukan sesuatu
yang boleh memberi kemajuan dalam hidup.

CINTA merupakan bahasa universal yang berputik tanpa syarat.

Mengupas kisah cinta lama, Nadia berkata, cinta boleh menjadi sesuatu yang sangat istimewa dan pada masa yang sama ia juga sangat menyakitkan.

Nadia pernah menjalin hubungan dengan seorang jejaka sebelum Azrad tetapi hubungan tersebut tidak dapat bertahan.

Itulah yang membuatkan Nadia lebih berhati-hati. "Ia mengambil masa yang lama untuk saya melupakan bekas teman lelaki saya. Ia sangat menyakitkan," ceritanya.

Mengenai sambutan Hari Kekasih tahun ini Nadia berkata, dia masih belum mempunyai rancangan khusus kecuali makan malam bersama teman lelakinya.

"Saya lebih gemar menyambut hari istimewa ini di rumah bersama Azrad sambil menikmati aiskrim New Zealand Natural yang menjadi kegemaran saya atau menonton program dan filem kegemaran bersama-sama sepanjang hari itu.

Cinta pada usia 30-an
Berdasarkan pengalamannya, setiap butir kata yang lahir dari mulut wanita berusia 30-an itu mengenai cinta cukup bernas.

KAD ucapan sebagai medium meluahkan perasaan kepada insan istimewa.

NADIA lebih gemar menyambut Hari Kekasih bersama aiskrim New Zealand Natural.
Pengurus Perakaunan, Salina & Associates, Lydia Wong memberitahu definisi cinta berubah mengikut usia.

"Ketika muda, kita sukar menerima ketidaksempurnaan orang lain. Tetapi apabila usia semakin meningkat, seseorang itu lebih bersikap memberi dan menerima.
"Malah, cinta akan berkembang menjadi satu bentuk hubungan yang disirami dengan persefahaman, memaafkan dan kesediaan untuk menerima kelemahan pasangan. Sedangkan sewaktu kita muda, susah untuk kita menerimanya," kata Lydia.

Ibu kepada dua orang cahaya mata itu memberitahu, hubungan positif juga menjadi semakin penting. Individu terbabit akan melihat semula apa yang telah disumbangkan dalam perhubungan dan pengorbanan apa yang diberikan oleh pasangan.

Sewajarnya, kita memberi lebih banyak daripada apa yang diterima selama ini.
Lydia berpendapat, cinta juga memerlukan elemen rasa percaya. Semakin lama hubungan itu berlangsung, semakin banyak kepercayaan pada pasangan diperlukan.

"Apa yang boleh dilakukan oleh pasangan yang sudah berusia ialah menghabiskan lebih banyak masa bersama seperti pergi bercuti dalam tempoh yang pendek.
"Saya juga lebih gemar menghabiskan hari-hari istimewa terutamanya Hari Kekasih atau ulang tahun perkahwinan kami di rumah dengan memasak makanan kegemaran suami dan meluangkan masa berkualiti bersama insan yang dicintai," tambah Lydia.

Lydia bersetuju bahawa semakin berusia, rasa cinta menjadi semakin penting. Malah perasaan itu tidak terhad kepada suami isteri sahaja, tetapi juga melibatkan hubungan dengan anak-anak dan rakan taulan.

"Meraikan Hari Kekasih? Ya, memang penting semasa beliau remaja terutama apabila kawan-kawan mula mendapat jambangan bunga ros.

"Jadi, semua orang terbawa-bawa perasaan mahu meraikan Hari Kekasih," jelasnya.
Tetapi hari ini Lydia sudah tidak kisah dengan semua itu. Walaupun tidak pernah mengharapkan apa-apa, wanita bertuah itu tetap menerima hadiah istimewa pada Hari Kekasih daripada suami tercinta.

Oleh JAGATHESWARY

KESIHATAN - 'Dengkur' ketika menyusu



Tidak ramai ibu bapa menyedari masalah komplikasi rawan tekak atau laringomalasia membuatkan bayi mereka mengeluarkan bunyi dengusan nyaring ketika menelentang.



BAYI yang menghadapi masalah ini perlu dibaringkan secara mengiring ketika tidur.



Seorang ibu dari Johor Bahru, Afiza (bukan nama sebenar), menyedari ada sesuatu kelainan pada bayinya. Semuanya gara-gara dia mendengar bunyi pelik setiap kali menyusukan anak bongsunya yang diberi nama Zarul itu.

Setiap kali si kecil yang baru berusia dua bulan itu minum susu sambil berbaring atau posisi menelentang, ia akan mengeluarkan bunyi seperti berdengkur. Kadangkala bunyinya kuat, dan kadang-kadang perlahan pula. Afiza tahu, berdengkur bukan suatu yang normal bagi bayi seusia Zarul.


LARINGOMALASIA terjadi apabila kartilej atau rawan yang belum matang berada dalam kedudukan 'terjatuh' ke dalam kerongkong semasa menarik nafas.

Risau dengan keadaan itu, Afiza dan suaminya telah merujuk kes tersebut kepada pakar telinga, hidung dan mulut (ENT). Bingung dan bersedih dengan nasib yang menimpa anak mereka, hasil pemeriksaan itu mendapati Zarul mengalami sejenis komplikasi rawan tekak yang dinamakan laringomalasia.

"Ia biasa terjadi pada kebanyakan bayi. Di negara ini, kes laringomalasia tidak serius. Keadaan boleh bertambah baik seiring dengan perkembangan usia bayi," kata pakar otorhinolaringologi di Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Lim Wye Keat.

Apa yang perlu dilakukan bagi mengurangkan bunyi 'dengkuran' nyaring itu adalah dengan membaringkan atau menidurkannya secara mengiring.

"Bayi seawal usia dua bulan tidak memerlukan sebarang rawatan lanjut mahupun ubat-ubatan khusus. Namun, bagi kes yang serius, pemeriksaan lanjut dan rawatan pembedahan perlu dijalankan," sambung Lim.
Kes seperti ini banyak membuatkan ibu bapa terkejut, apatah lagi bunyi pernafasan bayi mereka menjadi lebih kuat sepanjang tahun pertama kerana gaya pernafasan yang menjadi lebih aktif. Namun, ia secara mendadak akan menghilang apabila bayi mencapai usia lebih 12 bulan.

Laringomalasia (yang diterjemah secara langsung sebagai 'larinks lembut') adalah keadaan normal bagi bayi yang baru lahir. Kartilej atau rawan yang lembut dan belum matang di bahagian larinks atas berada dalam kedudukan 'terjatuh' ke dalam kerongkong semasa menarik nafas.

Secara terperinci, laringomalasia di kalangan bayi disebabkan oleh larinks supraglotik (bahagian yang terletak di atas kotak suara) yang tergulung ketat hingga mengikat kedudukan rawan di belakang larinks (arytenoid).
"Situasi yang menghalang laluan udara itulah yang menyebabkan bunyi seperti dengkuran itu. Laringomalasia juga boleh terjadi di kalangan mereka yang lebih berusia, terutamanya mereka yang mengalami komplikasi di bahagian pertemuan saraf dan otot. Keadaan itu mengakibatkan otot di kerongkong menjadi lemah," ujar Dr. Lim.

Laringomalasia bukan suatu gangguan tidur, sebaliknya adalah gangguan pada laluan udara di kerongkong. Biasanya, bayi akan mengalami kesukaran untuk makan atau minum, tetapi jarang sekali gangguan laluan udara ini mengancam nyawa.

Walaupun sebab mendapat laringomalasia tidak berkait dengan gen tertentu, terdapat bukti yang menjelaskan bahawa dalam kes-kes tertentu, komplikasi ini diwarisi.

Lim menasihatkan ibu bapa agar peka terhadap perkembangan bayi mereka dalam usia kritikal seperti ini.
Mereka hendaklah segera ke hospital jika bayi dilihat berhenti bernafas lebih daripada 10 saat, sekeliling bibir menjadi biru sambil dengusan menjadi terlalu kuat, atau sering merapatkan dagu ke leher untuk membetulkan nafas walaupun sudah diubah posisi atau dikejutkan dari tidur. - HAMZAH ABDUL HAMID

Hakikat Pernikahan

Ada banyak alasan manusia yang membuat dasar dari hakikat pernikahan, hakikat
yang seperti apakah yang paling membahagiakan? cuba kita lihat... dan manakah
pilihan kita???

Jika hakikat pernikahan adalah kerana SEX, maka pasangan rajin bertengkar jika
servis di kamar tidur tidak memuaskan.

Jika hakikat pernikahan adalah kerana HARTA, maka pasangan bakal bubar jika
bangkrup.

Jika hakikat pernikahan adalah kerana KECANTIKAN, pasangan bakal lari jika
rambut mula beruban dan muka keripot atau badan jadi gendut.

Jika hakikat pernikahan adalah kerana ZURIAT, maka pasangan akan cari alasan
untuk pergi jika pasangan tidak dapat memberi anak.

Jika hakikat pernikahan adalah kerana KEPERIBADIAN, pasangan akan lari jika
orang berubah tingkah lakunya.

Jika hakikat pernikahan adalah kerana CINTA, hati manusia itu tidak tetap dan
mudah terpikat pada hal-hal yang lebih baik, lagi pula manusia yang dicintai pasti
MATI / PERGI.

Jika hakikat pernikahan adalah kerana IBADAH kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH
itu KEKAL dan MAHA PEMBERI HIDUP kepada makhlukNYA. Dan ALLAH mencintai
hambaNYA melebihi seorang ibu mencintai bayinya. Maka tak ada alasan apapun di
dunia yang dapat meretakkan rumah tangga kecuali jika pasangan mendurhakai
ALLAH.