Friday, October 31, 2008

Tanggungjawab seperti orang dewasa

ZAMAN remaja merupakan fasa perkembangan paling mencabar.

MANUSIA merupakan makhluk yang hidup berkembang daripada satu fasa kepada satu fasa kehidupan lain. Zaman remaja merupakan zaman perkembangan yang amat mencabar.
Zaman remaja merangkumi zaman baligh yang dikaitkan dengan zaman apabila seseorang sudah memiliki kesempurnaan dari segi pemikiran. Perkembangan ini berlaku mengikut tahap perkembangan seseorang sama ada terjadi secara serentak atau secara perlahan-lahan.
Untuk menentukan seseorang itu sudah baligh, kita boleh kenal pasti melalui dua faktor iaitu secara tabii dan baligh secara umur. Baligh tabii dilihat secara fisiologi berbeza antara anak remaja lelaki dan perempuan.
Bagi remaja lelaki tahap ini adalah yang dianggap sudah mempunyai keupayaan untuk memperoleh zuriat jika berkahwin. Berlaku perubahan yang besar dari segi fizikalnya berbanding zaman kanak-kanak.
Anak perempuan juga akan memperlihatkan perubahan yang ketara dari segi tubuh badannya.
Menurut pendapat ulamak, baligh umur ditentukan berasaskan kepada tiga perspektif iaitu bila seseorang genap umur 15 tahun qamariah, kedua ketika kanak-kanak mula berumur 15 tahun dan selepas enam bulan kanak-kanak berumur 15 tahun (Kitab al-Mahalli).
Menurut pendapat al-Auzaci, Imam Ahmad, Al-Shafice Abu Yusuf dan Muhammad bersepakat bahawa umur 15 tahun merupakan had baligh bagi seorang anak remaja.
Baligh bermakna seseorang telah mukalaf iaitu cukup umur yang menandakan kewajipan untuk menunaikan perintah Allah dan meninggalkan larangannya.
Apabila mencapai usia baligh maka kanak-kanak lelaki akan berubah menjadi anak lelaki remaja dan kanak-kanak perempuan akan berubah menjadi anak perempuan remaja.
Pada waktu inilah berlaku perubahan dan perkembangan fizikal serta sikap begitu pantas dan ketara. Sabda Rasulullah: ‘Tiga orang yang dilepaskan daripada sebarang tanggungjawab; seseorang yang tidur sehinggalah dia terjaga, seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh dan seorang gila sehinggalah dia siuman’ – Hadis riwayat Abu Daud.
Ibn Umar satu ketika pernah berkata dengan maksudnya: “Rasulullah tidak mengizinkan beliau untuk menyertai peperangan Uhud. Ketika itu beliau berumur 14 tahun. Sebaliknya diizinkan kepada beliau untuk menyertai peperangan Khandak ketika itu beliau berumur 15 tahun.”
Apa tanggungjawab anak remaja akil baligh? Jawapannya jelas bahawa anak remaja pada ketika ini sudah mempunyai tanggungjawab seperti seorang dewasa.
Sebagai seorang remaja Islam mereka sudah boleh dinilai dari segi dosa dan pahala. Dalam erti kata lain, garis panduan kehidupannya jelas. Anak remaja mesti tahu menjaga batasan aurat dan cara gaya berpakaian.
Dalam mengawal dorongan seksual, remaja perlu menjauhi perkara yang menyebabkan terarah kepada perbuatan merangsang nafsu seperti melayari laman web lucah. Tontonlah bahan yang boleh mendatangkan manfaat kepada diri kita dan jauhkan diri daripada mendedahkan diri dengan perlakuan dan pemikiran yang mendatangkan dosa.
Kawalan seksual juga merangkumi kawalan pendengaran, percakapan dan tingkah laku.

Penyakit keanak-anakkan

Apakah bentuk penjagaan yang patut diberikan kepada pesakit nyanyuk?

MALAYSIA dianggarkan mempunyai kira-kira 50,000 orang pesakit Alzheimer (AD) atau nyanyuk. Berbanding dengan Amerika Syarikat yang mempunyai anggaran empat juta pesakit AS, angka ini mungkin tidak begitu signifikan. Namun, AD merupakan punca paling umum bagi dementia iaitu kemerosotan fungsi mental seperti memori, pemikiran dan keupayaan daya pembelajaran.

Simptom-simptom ini agaknya nampak umum tetapi secara kasarnya, terdapat 10 tanda amaran tentang penyakit AD yang perlu diketahui oleh ahli keluarga mahupun penjaga terdekat.

Pertama, kemahiran dan prestasi kerja yang terganggu akibat kehilangan daya ingatan jangka masa terdekat. Kedua, pesakit mungkin berdepan dengan kesukaran melaksanakan tugasan yang biasa dilakukannya.

PERUBAHAN dari segi personaliti, tingkah laku dan pesakit tersalah meletak barang juga tidak patut dipandang remeh.

Dalam satu ceramah awam yang dianjurkan oleh Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia dan Novartis Corporation (M) Sdn. Bhd. (Norvatis), baru-baru ini, pakar kaji uzur dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Lee Fatt Soon berkata, pesakit AD turut menghadapi masalah dalam bahasa.

"Pada kebiasaannya, petanda pertama pesakit sudah mengalami kenyanyukan adalah ketidakupayaan untuk mengingati perkara yang baru berlaku dalam kehidupan hariannya. Seterusnya, mungkin timbul perubahan daripada corak pertuturan atau percakapan.

"Misalnya, pesakit mempunyai masalah menggunakan perkataan yang betul, lebih cenderung mencari perkataan yang ringkas atau sememangnya menghadapi kesukaran memilih perkataan yang sesuai," katanya.
Selain itu, pesakit AD juga mengalami kesulitan atau kurang orientasi dalam mengecam masa serta tempat.

Daya pertimbangan yang semakin merosot turut menyukarkan pesakit dalam membuat keputusan.

Sungguhpun punca sebenar berlakunya AD masih belum dipastikan oleh pakar perubatan, tetapi, petanda seperti perubahan dari segi personaliti, tingkah laku dan kecenderungan tersalah meletak barang juga tidak patut dipandang remeh.

Perubahan dari segi tingkah laku termasuk menolak bantuan orang lain, sukar mengawal pembuangan air besar atau kecil, ketidakstabilan emosi, berhalusinasi dan menghadapi masalah tidur.

SEPERTI juga orang yang normal, penghidap AD merupakan insan yang berperasaan.

Keadaan seperti ini semestinya membuatkan ahli keluarga yang lain khasnya penjaga terdekat berasa resah. Namun, jika penjaga dilengkapi dengan maklumat serta pengetahuan yang betul, bebanan pengendalian pesakit AD boleh diringankan sedikit.

Kemahiran menjaga pesakit AD boleh diasah menerusi rujukan kepada garis panduan praktikal yang melibatkan pihak penjaga dan juga pesakit itu sendiri.

Sebuah buku panduan kecil yang dikeluarkan oleh Persatuan Gerontologi Malaysia menerusi sumbangan Novartis telah menekankan lima aspek penting dalam penjagaan pesakit AD.

Jika anda juga menetap bersama dan menjaga seseorang yang menghidap AD, anda disarankan memberi sokongan agar pesakit mampu berdikari suatu hari nanti. Seperti juga orang normal yang lain, penghidap AD merupakan insan yang berperasaan.

Justeru, anda perlu berhati-hati agar tidak membincangkan perkara berkenaan diri mereka secara terang-terangan.

Seboleh-bolehnya juga, elakkan sebarang pertelingkahan atau percanggahan pendapat. Ini kerana hanya dengan suasana yang tenang dan selesa serta disuntik dengan sedikit humor mampu mengurangkan tekanan mental kedua-dua pihak.

Apabila berkomunikasi dengan pesakit, cuba sedaya upaya bercakap dengan jelas, lembut dan perlahan-lahan. Elakkan daripada menggunakan perkataan yang terlalu kompleks kerana seperti yang disebutkan tadi, penghidap AD mempunyai masalah dengan bahasa.

Dalam soal berbicara, sesetengah penjaga mungkin hilang kesabaran tetapi percayalah hanya dengan perasaan tenang, penjaga dapat membantu pesakit. Pesakit yang banyak bertanyakan soalan barangkali sangat melecehkan.

Namun, penjaga boleh menggunakan kaedah yang lebih kreatif seperti menerusi bantuan petanda-petanda visual (objek atau gambar) untuk membantu pesakit memahami mesej yang ingin disampaikan.

Sebut sahaja perkataan nyanyuk, tidak kurang ramai yang suka mengaitkan masalah dengan sikap keanak-anakkan seorang warga emas. Ada ketikanya penjaga seakan kehilangan akal saat ada di kalangan pesakit yang terlalu melekat kepada penjaganya. Jadi, apakah yang boleh dilakukan?

Menurut Dr. Lee, keadaan seperti ini menguji ketabahan seorang penjaga. Sama ada penjaga boleh meminta bantuan seorang lagi pembantu untuk 'mendapatkan sedikit ruang bagi diri sendiri', atau sediakan sesuatu untuk menarik perhatian pesakit.

Bagi masalah berhalusinasi atau delusi pula, warga emas yang menghidap AD ada ketikanya takut ditinggalkan berseorangan atau tersilap identiti bagi orang-orang yang rapat dengannya.

"Ingatlah bahawa realiti seorang pesakit AD dengan orang biasa adalah tidak sama. Dalam keadaan takut, mereka sebenarnya memerlukan ketenangan dan sentuhan lembut daripada penjaga atau ahli keluarga terdekat bagi memberikan mereka rasa selesa.

"Elakkan daripada bergaduh tentang apa yang dilihat. Sebaliknya, cuba alihkan perhatian kepada sesuatu yang lebih menarik dalam bilik tersebut," katanya.

Tunduk kepada queen control?

Ramai suami yang mengeluh kerana hidup mereka seperti dikongkong dan tidak dihormati.

PAKAR berpendapat sikap lelaki yang terlalu mudah mengalah menyebabkan isteri bersikap queen control.

DIA memerintah suami melakukan itu dan ini. Disuruh membasuh baju, memasak atau mengemas rumah. Tidak boleh dibantah, kalau dilawan, pasti tinggi suaranya membalas kembali.
Dia juga mengawal segala kewangan dan keputusan keluarga. Apa yang harus dibeli, ke mana pergi bercuti atau bila hubungan seksual dilakukan.
Apabila isteri bersikap begini, ramai suami yang mula mengeluh kerana hidup mereka seperti dikongkong dan tidak dihormati.

Umpama lembu ditarik hidung. Begitulah kata-kata kiasan yang tepat bagi menerangkan maksud wanita queen control dalam sesebuah hubungan rumah tangga.

Queen control atau terlalu mengongkong disifatkan sebagai sikap menyuruh atau memerintah seorang si isteri kepada suaminya dalam keadaan memaksa, tidak kira apa jua situasi.

Justeru, melihat faktor kecanggihan teknologi dunia hari ini, benarkah senario itu dianggap sudah lapuk ditelan zaman? Memandangkan wanita metropolitan masa kini lebih mementingkan etika dan nilai-nilai kekeluargaan, demi mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga.

Malah, menjadi persoalan ramai, masih wujudkah jolokan wanita queen control pada era moden kini? Menurut Pakar Motivasi, Dr. HM Tuah Iskandar, kewujudan sikap queen control tidak mengira apa jua keadaan mahupun situasi. Ia wujud dalam semua era kehidupan manusia.

Tidak dinafikan, kewujudannya disebabkan beberapa punca yang tercetus atau dicetus oleh kedua-dua pihak, sama ada lelaki mahupun wanita.

Untuk kepastiannya jelas Tuah, terdapat tiga jenis queen control, iaitu jenis mutlak, pertengahan dan permulaan.

"Bagi yang jenis mutlak, tingkahlaku isteri adalah terlalu bersikap mengawal suami 100 peratus hingga suami bagaikan haiwan peliharaan, terpaksa tunduk sahaja atas semua arahan dan kemahuan isteri

"Jenis pertengahan pula adalah seperti si isteri suka mengawal dan mengarah ikut emosi yang sedang dialaminya. Mereka ini adalah isteri yang bersikap berubah-ubah dan ikut mood tanpa menghiraukan perasaan yang dialami suami ketika itu.

"Manakala queen control jenis permulaan pula kebiasaannya terjadi selepas setahun mendirikan rumah tangga. Waktu itu, isteri mula melihat kelemahan suami serta mula tidak menyukai beberapa sifat pasangannya.

"Keadaan sebegini lebih mudah berlaku apabila si suami seorang yang lemah, kurang bertegas dan kerap memberi muka kepada isteri, iaitu sering tunduk kepada kemahuan si isteri," tegasnya.

(picture)
TOLERANSI dan saling percaya adalah resipi terbaik percintaan.

Justeru, dalam meneliti punca utama lahirnya sikap sebegini, queen control berlaku apabila si isteri mula melihat kelemahan suami dan merasakan dirinya lebih dominan. Tambahan apabila sejak lahiriah lagi si suami memang suka beralah untuk mengelakkan berlakunya ketegangan.

"Sebenarnya, suami bukanlah takut pada isteri yang begini, tetapi semata-mata malas hendak memanjangkan perkara kecil atau untuk mengelakkan perbalahan atau pertengkaran yang tercetus.

"Lebih-lebih lagi jika suami terpaksa bergantung nasib kepada isteri, misalnya dalam hal penyediaan makan minum, taraf pekerjaan yang rendah berbanding isterinya, soal pemberian penjagaan anak-anak dan rumah tangga, bahkan soal pendapatan," jelasnya pengaruh mertua juga turut menyumbang ke arah kewujudan sikap sebegini.

Dalam soal jolokan wanita queen control ini juga, mereka tidak mahu rasa tercabar dengan kedudukan yang lebih tinggi daripada pasangan. Sekali gus tidak mahu berasa rendah diri atau wujudnya jurang perbezaan di antara dua pihak, sehingga menjadi perbualan ramai.

"Saya bimbang jika keadaan ini dibiarkan berlaku. Ia boleh mengancam institusi perkahwinan itu sendiri. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat," tegas beliau.

Adakah ia kesilapan daripada sikap lelaki itu sendiri sehingga membuatkan wanita bersikap mengongkong? "Ya, memang silap si lelaki. Sikap beralah itu baik, tapi usah terlalu memberi muka, nanti hilang kredibiliti.

"Suami adalah pemimpin, ketegasan itu kadang-kadang perlu supaya si isteri tidak terbabas memiliki sifat yang salah.

"Realitinya, lelaki akan berasa cepat jemu sekiranya ia berterusan. Lelaki seperti ini lebih rela menjalani hidup sedemikian rupa atas sebab kasih sayang yang besar sebagaimana digambarkan oleh watak Re (Tompel) dalam filem Do Re Mi.

"Terpulang kepada bentuk control daripada wanita itu sendiri. Jika wanita bersikap queen control kerana kegagalan suami berperanan sebagai ketua keluarga, lelaki tidak akan berasa jemu malah tidak mustahil lelaki akan berasa lega dan berlapang dada dengan pertolongan besar si isteri," jelasnya.

Amalan penenang jiwa

Setiap kesusahan yang ditimpakan ke atas manusia bukan ujian semata-mata tetapi juga untuk mendekatkan kita dengan-Nya.

(picture)
BERSIHKAN diri dan jiwa dengan ayat-ayat suci al-Quran.

DALAM kehidupan seharian, kita tidak boleh lari daripada menghadapi masalah. Kebiasaannya timbul akibat daripada pelbagai punca sama ada kerana diri sendiri atau orang lain.

Allah menegaskan dalam firmannya yang bermaksud: 'Allah meringankan bagi mu peraturan-peraturan agama dan manusia itu dijadikan bersifat lemah'- surah al-Nisa':8. Perlakuan manusia yang menghadapi masalah berkaitan dengan pelbagai tindakan seperti kurangnya rasa sabar dalam diri, sentiasa gopoh gapah, suka bantah-membantah serta menyalahkan satu sama lain, rasa putus asa, tidak wujud rasa syukur, manusia mudah lupa dan sebagainya.

Beberapa kaedah penyucian jiwa kita perlu lakukan di mana sebahagiannya memang telah menjadi amalan sebahagian umat Islam saban hari. Antara amalannya seperti:
*Solat wajib dan solat sunat (solat Tahajud, solat Taubat, solat Hajat, solat Tasbih atau solat Awwabin).
*Puasa wajib dan puasa sunat.
*Mengeluarkan zakat (fitrah dan harta benda).
*Menunaikan haji.
*Membaca al-Quran (Jika tidak memahami, baca maknanya).
*Berzikir dalam bentuk perkataan dan hati.
*Bertafakur.
*Sentiasa mengingati mati dan hari akhirat.
*Muhasabah diri.
*Jihad, selalu amalkan perkara baik amar makruf dan jauhi kerja buruk nahi mungkar.
*Tawaduk' dan sifat qanaah (berpada-pada).
*Ketahui dan sedari cara menghalang godaan syaitan dalam jiwa.
*Ketahui cara menghindar penyakit hati.

Sebagai contoh, dengan melakukan solat-solat sunat, hikmahnya adalah boleh membimbing untuk pembentukan kecemerlangan diri atau insan kamil, dapat membina personaliti dan tingkah laku mulia.

(picture)
AMALAN berzikir mendekatkan diri kepada Allah.

Boleh mendekatkan diri dan menjalin hubungan dengan Allah. Membersihkan diri dari sifat keji dan buruk. Praktik yang baik untuk pengurusan masa. Melatih diri untuk berakhlak atau berdisiplin dan bermoral dan melatih diri untuk memberi tumpuan kepada sesuatu perkara.
Dengan menjalani ibadah puasa, hikmahnya adalah seperti:
*Menjadi benteng kepada godaan syaitan atau iblis dan perisai terhadap kejahatan.
*Latihan untuk mendisiplinkan diri.
*Memupuk sikap sabar.
*Mewujudkan rasa insaf.
*Menimbulkan kekuatan untuk menundukkan nafsu.

Dengan berzikir, berdoa dan beristighfar, hikmahnya adalah untuk membersihkan diri daripada dosa dan maksiat, untuk mendapat keampunan Allah, untuk mendapat ketenangan batin, keikhlasan hati, meningkatkan kecintaan kepada Allah dan berupaya melindungi diri daripada melakukan dosa.

Malah, Allah telah menegaskan hikmah berdoa dan berzikir dalam firmannya yang membawa maksud '...dan Tuhan kamu berfirman, 'berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu'- surah al-Mukmin : 60, dan 'Maka berzikirlah (ingatlah) kepada-Ku, nescaya Aku akan mengingati kamu sekalian' -surah al-Baqarah: 168.

Dengan bertafakur, hikmahnya adalah seperti:
*Penyuluh untuk mengenal diri dan pencipta.
*Mendorong penjelajahan fikiran.
*Pemusatan tumpuan untuk meneliti tahap personaliti dan tingkah laku.
*Mendorong untuk celik akal.
*Mewujudkan kesedaran kendiri.
*Berupaya membuahkan sikap amanah dan jujur.

Firman Allah yang bermaksud, 'Mereka yang mengingati Allah baik di waktu berdiri, duduk dan berbaring dan mereka berfikir tentang kejadian langit dan bumi seraya berkata, wahai Tuhan kami, tiadalah Engkau menjadikan ini dengan sia-sia' - surah ali-Imran : 191.

Sebenarnya kehidupan ini kita tidak boleh lari dari menghampiri diri dan sentiasa mendapat bantuan dan perlindungan Allah. Dalam mengharungi kehidupan kita perlulah menghadapi pelbagai cabaran dan menghadapi kegagalan dan rasa putus asa dengan penuh kesedaran.

Patutkah bayi menonton TV?

Hampir setiap seorang kanak-kanak di bawah usia dua tahun memiliki set televisyen sendiri. Adakah ini digalakkan?

IBU BAPA kerap kali membiarkan bayi menonton TV ketika mereka sibuk melakukan kerja di rumah.
SEORANG ibu berhenti menonton rancangan ER selepas anak pra-sekolahnya cuba melakukan bantuan kecemasan mulut ke mulut (CPR) kepada adiknya.

Seorang ibu pula tertawa besar apabila bayi berusia 15 bulannya cuba mendendangkan lagu McDonald dengan nada 'ba, ba, boppa, ba' setiap kali kereta mereka melintasi kawasan restoran makanan segera itu.

Boleh dikatakan satu pertiga daripada generasi muda (bayi berusia sehingga enam tahun) Amerika Syarikat (AS) hidup dalam persekitaran yang bertemankan televisyen pada kebanyakan masa. Demikian pendedahan oleh sebuah kajian yang mengkaji kontras antara nasihat pakar pediatrik dengan apa yang dibenarkan oleh ibu bapa.

Malah, menempatkan televisyen di dalam bilik tidur juga bukan sesuatu yang asing pada dewasa ini. Hampir setiap seorang kanak-kanak di bawah usia dua tahun memiliki set televisyen sendiri meskipun Akademi Pediatrik AS tidak menganggap ia satu idea yang bagus membenarkan anak menonton televisyen pada usia itu.
Dewasa ini, lapan dalam setiap 10 orang kanak-kanak berusia di bawah enam tahun akan menonton televisyen, bermain permainan video atau komputer pada hari-hari biasa. Menurut satu kajian yang didedahkan oleh Yayasan Keluarga Kaiser AS baru-baru ini, secara purata, hampir dua jam dihabiskan di depan skrin pada kebanyakan masa berbanding hanya 48 minit untuk membaca.

Yayasan tersebut melaporkan, bilangan anak-anak muda yang 'melekat' di depan skrin tidak pernah berubah sejak topik tersebut diperdebatkan lima tahun lalu.

Dalam kajian susulan dan sesi berkumpulan pula, ibu bapa ditanya mengapa televisyen dan media elektronik yang lain dipilih.

Ketua Penyelidik, Victora Rideout berkata, sebilangan generasi ibu bapa hari ini mendorong penggunaan televisyen, permainan video dan komputer sejak awal usia anak lagi.

"Ibu bapa ini berkata, televisyen mengajar mereka bagaimana untuk berkongsi dan memudahkan pembelajaran ABC anak-anak. Televisyen juga memberi ibu bapa ruang dan masa untuk memasak dan mandi. Mereka menjadikan televisyen sebagai ganjaran untuk membantu menidurkan anak," katanya.

Biarpun sesetengah ibu bapa mengehadkan rancangan menakutkan atau permainan video yang melampau untuk tontonan anak, terdapat juga generasi muda yang langsung tidak mengambil peduli.
"Bagi mereka, ia bukan sesuatu yang menakutkan. Sebaliknya, anak kecil saya juga teruja menemani saya menonton rancangan CSI: Crime Scene Investigation," jelas seorang ibu.

Meskipun terdapat juga kajian yang mengaitkan televisyen (dalam bilik tidur) dengan masalah tidur si anak, rasional di sebaliknya ialah membiarkan anak menonton rancangan kesukaannya sendiri.

Kebanyakan pakar bagaimanapun kecewa dengan kenyataan bahawa ibu bapa sebenarnya tidak boleh hidup tanpa televisyen!

"Kita hanya memiliki televisyen kira-kira lima dekad lalu. Televisyen tidak ada yang baik atau buruknya. Matlamat sekarang bukan untuk menjurangkan hubungan anak dengan teknologi. Sebaliknya, bagaimana untuk mengoptimumkan pengalaman anak dengan teknologi seperti televisyen," jelasnya.

Kumpulan pakar pediatrik mengesyorkan agar televisyen atau media elektronik lain dihindarkan daripada anak berusia dua tahun ke bawah.

Tidak berhasrat dilihat sebagai antitelevisyen, seorang pakar pediatrik, Dr. Daniel Broughton berkata, usia dua tahun adalah tempoh perkembangan paling pantas untuk otak seorang bayi berusia dua tahun.

"Jadi, interaksinya dengan hubungan sebenar bersama manusia bukan sesuatu yang boleh diberikan oleh televisyen," terangnya.

(picture)
BANYAK kajian menunjukkan televisyen memberi kesan kepada perkembangan minda kanak-kanak.

Sesetengah kajian juga mengaitkan tontonan televisyen pada usia muda boleh menjurus kepada masalah gangguan tumpuan.

"Kita ingin ibu bapa mengawasi anak mereka. Satu sebabnya ialah menonton stereotaip etnik dan kelakuan yang buruk dalam televisyen boleh menjadi pengaruh. Jadi, ibu bapa, perlu menerangkan kenapa anak tidak patut meniru apa yang dilihat seratus-peratus," tambahnya. - AP

Terbesar di Malaysia

Walaupun pameran barangan antik acapkali diadakan di negara ini, tetapi pameran dan lelongan barangan antik di Shah Alam baru-baru ini yang paling besar pernah diadakan.
PENGUNJUNG yang datang bersama anak-anak begitu tertarik melihat barang yang dipamerkan.
PAMERAN dan Lelongan Amal Barang Antik 2008 yang berlangsung di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam, Selangor selama tiga hari bermula 24 Oktober lalu berjaya mencatat sejarah tersendiri.
Program anjuran pelajar Sarjana Komunikasi Korporat, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Heritage Auction House serta Muzium Sultan Alam Shah itu menyaksikan lebih 400 barangan antik yang diperoleh dari serata dunia termasuk Asia, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) dipamerkan dan dijual. Majlis ini telah dirasmikan Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman Said.
NASKHAH al-Quran yang telah berusia ratusan tahun.
Memandangkan sambutan begitu memberangsangkan, pihak penganjur telah membuat keputusan untuk meneruskan sesi pameran dan lelongan sehingga 9 November ini untuk memberi peluang kepada orang ramai menyaksikannya sendiri.
Penyelia pameran yang juga pensyarah Jabatan Komunikasi UPM, Dr. Muhammad Pauzi Abd. Latif berkata, program tersebut merupakan kesinambungan daripada program pameran dan lelongan amal tahun lalu yang menerima sambutan menggalakkan.
KOLEKSI barang tembaga yang turut dilelong.
"Konsepnya masih sama seperti dulu tetapi kali ini, ia dianjurkan dengan lebih gemilang lagi. Apa yang penting, matlamat utamanya adalah untuk mengumpul dana dan mengisi Tabung Kebajikan Pelajar UPM, selain memenuhi syarat pengajian pelajar yang terlibat.
"Di samping itu, program ini dijalankan hasil inisiatif kami untuk membangkitkan nilai sentimen sejarah di sanubari para pencinta seni dan warisan. Ini kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang terkenal dengan masyarakat majmuk dan kaya dengan pelbagai adat resam serta warisan budaya bangsa yang tidak ternilai dari segi penghayatan sejarah ketamadunan negara," kata Dr. Muhammad Pauzi kepada Kosmo!.
KEPALA tali pinggang yang digunakan puteri raja Pantai Timur.
Beliau yang turut memiliki koleksi barangan antik tersendiri mengatakan antara tarikan utama program tersebut ialah senaskhah al-Quran beriluminasi tertua di Asia Tenggara yang berusia 400 tahun dan telah disahkan keasliannya oleh perpustakaan Britain.
Jelasnya, walaupun naskhah al-Quran itu tidak dijual atau dilelong, tetapi secara tidak langsung, ia memberi peluang kepada orang ramai melihatnya secara dekat kerana ia belum pernah dipamerkan di mana-mana muzium sebelum ini.
Ketua Publisiti Pameran dan Lelongan Amal Barang Antik 2008, Abdul Sharif Abdul Kadir berkata, pihaknya berasa amat gembira kerana sambutan termasuk promosi yang diterima begitu memberangsangkan.
"Kami bertuah kerana program kali ini mendapat liputan meluas daripada pengamal media sama ada media cetak mahupun elektronik. Ia sekali gus berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung untuk menyaksikannya," kata Abdul Sharif.
Bagi pengerusinya pula, Iskandar Jaafar, mereka telah melakukan persiapan sejak tiga bulan lalu bagi memastikan program amal tersebut berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Ini termasuklah mengumpul koleksi barangan antik yang diperoleh daripada pengumpul di seluruh negara.
"Seramai 24 pelajar bekerjasama membahagikan tugas masing-masing untuk menjayakan program amal ini dan ternyata, ia menerima sambutan yang lebih menggalakkan berbanding tahun lalu.
"Walaupun bukan mudah untuk memujuk pengumpul supaya menyerahkan barang mereka untuk dijual, tetapi akhirnya kami berjaya juga apabila memaklumkan tujuan program ini diadakan adalah untuk mengumpul dana tabung kebajikan pelajar UPM.
"Alhamdulillah, segala yang kami rancang berjalan seperti yang dijadualkan. Segala penat lelah kami selama beberapa bulan lalu berbaloi dengan kejayaan program ini," ujar Iskandar, seorang Pegawai Kanan Kastam Putrajaya yang juga merupakan pelajar separuh masa jurusan KOM5113.
Setakat ini, sebanyak RM20,000 telah berjaya dikumpul untuk mengisi Tabung Kebajikan Pelajar UPM dan jumlah itu dijangka akan bertambah memandangkan pameran ini telah dilanjutkan selama dua minggu lagi.
Kebanyakan pembeli terdiri daripada golongan pengumpul barang antik sendiri serta tidak ketinggalan artis dan selebriti tanah air seperti Ally Iskandar Mohd. Mardzi, Adibah Noor dan sebagainya. - KHADIJAH MOHAMAD NOR

Matematik lebih menyeronokkan

Perkenalkan angka dalam permainan anak anda asalkan dia rela tetapi bagaimanakah ini boleh dilakukan?

KUNCI kepada kemahiran mengira bagi kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah adalah mengenali nombor-nombor asas dari satu ke lima sebelum memasuki peringkat lebih tinggi.
Ini termasuk menyusun nombor mengikut urutan, menghitung objek satu persatu atau menolak serta menambah nombor. Paling penting adalah bagaimana untuk meletakkan kemahiran ini ke dalam konteks pengiraan atau menyelesaikan sesuatu masalah sebenar.
Di sekolah, masalah matematik diajar menggunakan bahasa matematik dan kemahiran menyelesaikan masalah. Tetapi, apa yang lebih penting adalah mengajar anak tentang nombor dan matematik melalui kaedah yang lebih bermakna dan menyeronokkan.
Ramai ibu bapa tidak tahu bahawa kemahiran mengira boleh dikaitkan dengan kebanyakan aktiviti yang dilakukan oleh si anak.
OBJEK-OBJEK yang dikira boleh ditambah atau dikurangkan dari semasa ke semasa untuk mengajar anak tentang penambahan serta penolakan.
Berikut adalah beberapa idea bagaimana untuk membuatkan anak menikmati sesi 'pengiraan':
*** Tunjukkan kepada anak tentang apa sahaja yang bernombor di sekitar rumah atau ketika keluar bersiar-siar. Kalendar, jam dinding, telefon, rumah, bas dan nombor plat kereta adalah contoh terbaik untuk memberi anak perhatian positif terhadap segala yang berkait dengan nombor.
Pada mulanya anak akan mengenali ia sebagai angka sebelum memahami apa sebenarnya ia. Selepas itu, ia menyenangkan anda membantu anak melihat urutan serta membaca nombor-nombor tersebut.
*** Berikan anak pengenalan asas tentang masalah kiraan harian. Apabila membuat kek, anda boleh mengira bilangan telur, amaun gula pasir, berapa sudu teh air dan sebagainya.
Atau sewaktu membahagikan snek kepada rakan-rakan, anak anda boleh menjadi 'tukang pengukur' sama ada amaun yang diberikan sama rata. Mintalah anak membantu anda ketika menyediakan makan malam. Dia boleh diajar menghitung bilangan sudu dan garpu di atas meja.
Makanan sesungguhnya adalah insentif yang baik. Bijirin mahupun pasta kering boleh dikira sebelum dimakan. Ataupun anda boleh menghiaskan biskut-biskut mahupun mufin dengan kepingan gula yang cantik untuk dikira oleh anak.
*** Objek-objek asli seperti kulit kepah atau biji pokok ru juga merupakan satu kaedah menarik untuk digunakan sebagai bahan kiraan. Pastikan anak mengira satu-satu jenis objek pada sesuatu masa. Ini mungkin mengambil sedikit masa sebelum dia benar-benar mahir.
Tetapi, objek-objek yang dikira boleh ditambah atau dikurangkan dari semasa ke semasa untuk mendidik anak tentang penambahan serta penolakan. Formula menambah dan menolak akhirnya akan dihafal oleh anak yang lebih dewasa bagi memudahkan mereka menyelesaikan masalah yang lebih kompleks dengan pantas.
Perkenalkan angka dalam permainan anak anda asalkan dia rela. Jika anak anda suka bermain dengan kereta, letakkan pelekat bernombor pada kereta atau minta anak untuk menyusun semula kotak-kotak kasut mengikut urutan nombornya. Perkara yang sama boleh dilakukan untuk keretapi.
*** Jika anak anda suka bermain permainan yang melibatkan watak, gunakan barang permainan atau telefon lama untuk 'menelefon' rakan-rakan, ahli keluarga yang lain, doktor atau sekadar menempah piza. Tuliskan nombor dalam buku 'telefon' tersebut.
*** Rekakan angka menggunakan adunan tepung atau guntingkan penyedut air untuk dijadikan lilin palsu di atas 'kek' bagi tujuan kiraan. Berlakonlah seakan anda adalah peniaga dengan menggunakan duit sebenar dan letakkan tanda harga pada makanan atau barangan mainan untuk tujuan jual beli.
*** Nyanyikan lagu yang melibatkan nombor sambil menghitung menggunakan jari, barang permainan atau binatang plastik. Berbincanglah dengan anak tentang urutan nombor sebelum dan selepas. Gunakan kad-kad bergambar sebagai bantuan.
*** Untuk anak yang lebih aktif, gunakan lukisan bernombor yang besar atas kad atau kertas untuk menarik perhatiannya. Pilihlah sebarang nombor dan mintanya menyebut nombor tersebut. Satu lagi alternatif lain adalah dengan melabelkan nombor pada kotak-kotak dan membiarkan anak membuang bola ke dalam kotak berbeza bagi mengumpulkan mata.
*** Dapatkan anak untuk bermain permainan klasik yang melibatkan pengiraan seperti 'Pukul berapa sekarang?' atau mengambil bahagian dalam permainan 'ular dan tangga'.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.supernanny.com.