Friday, August 22, 2008

Nombor tidak diperlukan?

Oleh SUBASHINI RAJANDRAsubashini.rajandra@kosmo.com.my

Kajian mendapati kemungkinan besar, individu yang tidak menggunakan nombor dalam bahasa mereka mempunyai kiraan matematik yang lebih tepat.

JAWAB soalan ini tetapi jangan mengira:
Adakah terdapat lebih X di sini XXXXXX atau di sini XXXXX? Itulah masalah yang dihadapi oleh sesetengah orang apabila bahasa yang digunakan tidak meliputi perkataan yang lebih daripada satu atau dua.
Bagaimanapun, para pengkaji mendapati kanak-kanak yang menggunakan bahasa ini masih lagi mampu untuk membuat perbandingan dari segi kuantiti.

"Kami mempertikaikan hujah bahawa manusia memiliki sistem tabii semula jadi dalam isu perhitungan dan sebab itu, kita tidak bergantung pada perkataan," kata Brian Butterworth dari Institut Sains Saraf Kognitif di Universiti Kolej London.

Dalam usaha untuk membuktikan kebenaran hujah tersebut, Butterworth membandingkan kemahiran nombor dalam kalangan kanak-kanak daripada dua kumpulan Orang Asli di Australia yang menggunakan bahasa yang tidak merangkumi kesemua nombor yang digunakan oleh kanak-kanak berbahasa Inggeris.

Kesemua kumpulan tersebut memberi hasil yang cukup memberangsangkan, lapor para pengkaji Butterworth dalam edisi Proceedings National Academy of Sciences. "Nombor asas dan kemahiran aritmetrik dibina daripada sistem tabii khas," jelas Butterworth. Sambungnya lagi, penggunaan perkataan yang tepat pada satu-satu nombor amat berguna tetapi tidak wajib.

KEKURANGAN perkataan nombor dalam sesuatu bahasa kaum tertentu tidak menghalang diri untuk melakukan kiraan mudah.

Robert Reeve dari Universiti Melbourne, Australia turut bersetuju. "Hasil kajian kami konsisten dengan idea bahawa kita semua mempunyai sistem tabii semula jadi yang mewakili kuantiti. Sebab itulah kekurangan perkataan nombor tidak menghalang diri untuk melakukan kiraan mudah."

Edward A. Gibson dan rakan sekerjanya dari Jabatan Otak dan Sains Kognitif, Institut Teknologi Massachusetts, bagaimanapun kurang pasti dengan penemuan tersebut. Katanya, ia merupakan sebuah kajian yang berguna tetapi tidak menyokong kesimpulan bahawa pemahaman ke atas nombor-nombor tidak bergantung kepada sesuatu bahasa.

Kajian Butterworth melibatkan 13 kanak-kanak yang berupaya menggunakan bahasa Inggeris dari Melbourne, 20 kanak-kanak yang menggunakan bahasa Warlpiri dan 20 lagi kanak-kanak yang bertutur dalam bahasa Anindilyakwa. Kesemua kanak-kanak ini berumur dalam lingkungan usia empat hingga tujuh tahun.

Dalam bahasa Warlpiri, perkataan nombor terhad kepada satu, dua dan banyak. Anindilyakwa pula mempunyai perkataan nombor satu, dua, tiga dan kadangkala termasuk nombor empat dan lebih daripada tiga.

KAJIAN ini mempertikaikan hujah bahawa manusia memiliki sistem tabii semula jadi dalam isu perhitungan dan kiraan.

*Ujian

BERKONGSI. Hampir kesemua kanak-kanak mampu mengagihkan enam dan sembilan bahagian plastisin kepada tiga anak patung. Apabila tujuh atau 10 bahagian plastisin perlu dikongsi, idea untuk memecahkannya kepada bahagian kecil atau ekstrak hanya disedari oleh segelintir kanak-kanak. Ini termasuk kanak-kanak dewasa dan bukan bertutur menggunakan bahasa Inggeris.

MEMORI.
Pelbagai token nombor diletak di atas tikar dan ditutup. Kanak-kanak ini kemudiannya diminta untuk meletakkan jumlah yang sama di atas tikar mereka. Tiada perbezaan disaksikan pada kesemua tiga kumpulan.

BERCAMPUR BUKAN LISAN.
Beberapa set nombor diletak di atas tikar dan ditutup. Beberapa saat kemudian, lebih banyak set nombor diletak. Kanak-kanak ini diminta untuk memadankan jumlah kiraan setiap nombor dengan set kiraan. Beberapa kombinasi digunakan, umpamanya 2+1,1+4,4+3 dan 4+2. Kanak-kanak yang berkebolehan berbahasa Inggeris mendapat sedikit jawapan betul tetapi perbezaan ini tidak dianggap signifikan.

PADANAN MODAL BERSILANG.
Sejumlah papan disentuh dengan kayu dan beberapa set nombor diletak di atas tikar. Adakalanya bilangan papan berpadanan dengan set nombor dan sebaliknya. Kanak-kanak ini kemudiannya ditanya sama ada nombor yang dilihat sama dengan jumlah papan. Tiada perbezaan bahasa dilihat.

"Mungkin hasil yang paling menakjubkan datang daripada ujian padanan modal bersilang di mana kanak-kanak ini terpaksa mencari jawapan set nombor betul sejajar dengan sekuel auditori," ujar Butterworth.
"Ini tidak dapat dilakukan dengan memori bervisual tetapi memerlukan kanak-kanak terlibat menghasilkan satu perwakilan mental yang bersifat abstrak dan memadai untuk menghitung kedua-dua visual serta auditori."
Gibson pula menambah: "Dalam usaha menunjukkan hasil yang diingini, penulis ini harus menilai kumpulan umur dengan bahasa atau tanpa bahasa nombor. Peserta yang menggunakan bahasa yang bernombor berkemungkinan dapat mencapai jawapan tepat secara 100 peratus. Kemudian, ketiadaan perkataan nombor boleh dinilai pada populasi pengguna yang menggunakan bahasa yang tidak mempunyai perkataan nombor."

Dalam ujian ini, walaupun kesemua kanak-kanak daripada kumpulan berlainan mendapat jawapan yang hampir sama, tetapi tidak ada sesiapa yang mendapat markah penuh 100 peratus.

"Mungkin ada benarnya bahawa kebanyakan daripada kanak-kanak ini menggunakan padanan kiraan paling dekat untuk menyelesaikan masalah. Ini adalah salah satu strategi yang tidak bergantung kepada perkataan nombor," luah Gibson.

WALAUPUN kesemua kanak-kanak daripada kumpulan berlainan mendapat jawapan hampir sama, tetapi tidak ada sesiapa pun mendapat markah penuh 100 peratus.

Gibson dan para pengkajinya pernah meneliti puak Orang Asli di Amerika Selatan yang mempunyai bahasa tersendiri tetapi tiada perkataan bernombor. "Dalam kajian terbaru kami, dipaparkan penduduk Piraha mencapai ketepatan penyelesaian kiraan yang tinggi walaupun mereka tidak mempunyai perkataan untuk nombor, sekalipun nombor satu," katanya.

Berusaha menuju kesempurnaan

Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS (fikrahremaja@yahoo.com)

SEMPURNA bermaksud cukup, lengkap, tiada cacat celanya. Kesempurnaan juga bererti efektif dan efisien dalam melaksanakan tugas. Efektif bermaksud berhasil mencapai matlamat yang ditujui manakala efisien pula bermaksud menggunakan sebaik-baiknya tempoh masa yang ada dalam usaha mencapai matlamat tersebut.
Konsep itqan dalam Islam juga merujuk kepada maksud sempurna atau konsep profesionalisme. Namun perkataan itqan itu mempunyai konotasi yang lebih luas dan holistik kerana ia bertaut kepada aspek ketauhidan kepada Allah SWT.

Dalam kupasan minggu ini perkataan sempurna digunakan bagi memudahkan pemahaman pembaca, tetapi pada dasarnya, ia merujuk kepada konsep itqan yang dimaksudkan.

Bagi seseorang insan itu, kesempurnaan dalam menuju matlamat insan diciptakan ialah apabila ia berusaha untuk memenuhi segenap aspek kehidupannya di dunia ini sebagai ibadah kepada Allah SWT semata-mata, sebagaimana maksud ayat 56 surah Az-Zaariyat.

Kesempurnaan dalam bidang profesional

Faktor kesempurnaan semakin signifikan apabila dikaitkan dengan bidang profesional seperti kedoktoran dan kejuruteraan. Profesion sebagai doktor atau jurutera umpamanya, memerlukan kejituan serta ketelitian yang tinggi dalam tugasan mereka kerana ia melibatkan aspek kesihatan dan keselamatan orang ramai.

Doktor yang merawat pesakit perlu berusaha memastikan kesempurnaan terhadap rawatan yang diberikan. Diagnosis penyakit perlu teliti, preskripsi ubat perlu sesuai, serta rekod perubatan perlu objektif demi memastikan kualiti kesihatan pesakit semakin meningkat selepas rawatan (dengan izin Allah).

Andai doktor cuai, penyakit bakal melarat, penyakit lain pula menghambat, dan kemudiannya pesakit semakin tenat. Emosi pesakit dan keluarga pula semakin meruntun. Kredibiliti doktor juga bakal dipersoal, malah mungkin dipertanggungjawabkan atas ketidaksempurnaan tugas yang dilaksanakan.

Jurutera yang merencana pembinaan bangunan atau lebuh raya perlu berusaha memastikan kesempurnaan dalam pembinaan yang dirancangkan.

Bahan yang digunakan perlu berkualiti, reka bentuk yang dirancang perlu selamat serta mempunyai ketahanan untuk menanggung beban berat manusia dan kenderaan yang menggunakannya.

Andai jurutera cuai, bangunan mungkin retak lantas mengundang bahaya buat penghuni serta sekitarnya. Ditakuti bahawa bangunan mungkin tumbang atau runtuh secara tiba-tiba lalu mengakibatkan ramai terkorban serta kehilangan harta benda.

Di kala itu sang jurutera dipertanggungjawabkan, punca kejadian dicari dan hukuman bakal menanti andai didapati bersalah. Sudah tentu kita tidak mahu tragedi tumbangnya kondominium Highland Towers 15 tahun lepas berulang lagi.

Kesempurnaan dalam pelajaran

Bagi remaja yang masih menempuhi pelajaran, sifat kesempurnaan itu akan membantu ke arah mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Kesempurnaan dalam pelajaran perlu bermula sejak awal tahun persekolahan atau semester dan bukannya hanya apabila tempoh peperiksaan semakin menghampiri.

Dari segi tugasan, implementasi sempurna terhadap pelajaran bermaksud tugasan dilaksanakan dengan betul dan lengkap pada waktunya. Tugasan juga mungkin dilaksanakan atas inisiatif sendiri atau perbincangan bersama rakan tetapi bukannya dengan meniru secara bulat-bulat daripada mana-mana rujukan sekalipun.

Kesempurnaan juga merangkumi inisiatif sendiri dalam melakukan latih tubi serta pembacaan yang intensif terhadap bahan berkaitan peperiksaan. Justeru, bersifat proaktif dengan kaedah belajar sendiri merupakan langkah utama dalam mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan.

Di samping itu, aktif dalam kegiatan kokurikulum yang tidak menjejaskan pelajaran serta halaqah juga menjurus ke arah kesempurnaan dalam pembentukan watak seseorang pelajar itu.

Kesempurnaan yang berimbang

Kesempurnaan bukan sahaja berkaitan perkara yang dihuraikan di atas tetapi juga meliputi segenap aspek dalam kehidupan insan. Kesempurnaan dalam sesuatu aspek sahaja tetapi mengabaikan aspek lain tidak dapat menghasilkan kecemerlangan yang holistik bagi seseorang insan itu serta insan lain di dalam lingkungan pengaruhnya.

Bagi mereka yang berkerjaya dan berkeluarga misalannya, kesempurnaan dalam kerjaya melalui dedikasi masa dan tenaga bakal membuahkan hasil dalam bentuk kenaikan pangkat, pendapatan yang lebih tinggi atau sebagainya.

Namun jika tuntutan berkerjaya mengatasi tanggungjawab sebagai seorang Muslim contohnya solat ditinggalkan kerana terlalu sibuk dengan tugasan kerja, adakah kita masih menuju kesempurnaan dalam aspek pembangunan diri sebagai seorang Muslim?

Dan jika kesibukan terhadap kerjaya menyebabkan kurangnya masa untuk bersama keluarga dan mendidik mereka, anak-anak bakal membesar dan 'terdidik' dengan acuan di kaca televisyen, permainan video, internet dan rakan sebaya dalam usaha mereka memenuhi kesunyian akibat kurangnya tumpuan ibu bapa.

Tetapi apabila anak-anak terlibat dengan pelbagai gejala sosial maka adakah kita masih menuju kesempurnaan dalam pembinaan keluarga yang bahagia dan mithali? Adakah kesempurnaan dalam kerjaya mampu menebus kepincangan keluarga sendiri? Sudah tentu jawapannya tidak.

Justeru usaha menuju kesempurnaan berkaitan sesuatu aspek itu perlu berimbang dengan keperluan mencapai kesempurnaan dalam aspek lain agar kita berhasil menuju kesempurnaan dalam kualiti kehidupan secara keseluruhannya.

Berusaha menuju kesempurnaan

Dalam usaha kita menuju kesempurnaan, kita seharusnya memahami hakikat bahawa sifat kesempurnaan yang hakiki itu hanya menjadi milik Allah SWT. Kita sebagai hamba-Nya yang lemah hanya mampu berusaha dengan sebaik mungkin dengan izin Allah dalam mencapai sesuatu.

Hasil reka cipta dan kerja tangan manusia tidak akan dapat menandingi sebarang elemen alam ciptaan Allah. Sebagai contoh, robot yang menyerupai manusia atau humanoid versi terkini dikatakan mampu untuk berjalan serta berlari.

Secara umumnya kemampuan fizikalnya untuk berlari hampir menyamai keupayaan manusia untuk berlari. Tetapi jika ada bahagian robot yang rosak, robot tidak mampu memperbaiki diri sendiri, walhal sistem tubuh manusia mampu menjana penyembuhan sendiri terhadap luka yang dihadapi.

Manusia diberikan keupayaan berfikir yang ada keterbatasannya serta memerlukan pedoman wahyu Ilahi untuk memandu kehidupan di dunia ini. Pemahaman terhadap hakikat ini seharusnya mewujudkan rasa ketundukan dan kehambaan kepada Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.

Manusia itu sendiri bersifat lalai maka akan sahaja melakukan kesilapan. Namun sebaik-baik manusia ialah mereka yang mempelajari kesilapan mereka dan tidak mengulanginya lagi. Namun kita dituntut untuk berusaha untuk menghampiri serta menuju kesempurnaan kerana ia akan membawa kebaikan secara keseluruhannya.

SINAR CAHAYA AYAT KURSI

Dlm sebuah hadis, ada menyebut perihal seekor syaitan yang duduk di atas pintu rumah.
Tugasnya ialah untuk menanam keraguan di hati suami terhadap kesetiaan isteri di rumah dan keraguan di hati isteri terhadap kejujuran suami di luar rumah.

Sebab itulah Rasulullah tidak akan masuk rumah sehingga Baginda mendengar jawapan salam dari isterinya. Di saat itu syaitan akan lari bersama-sama dengan salam itu.

Hikmat Ayat Al-Kursi mengikut Hadis-hadis:

1) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi bila berbaring di tempat tidurnya, Allah SWT mewakilkan dua orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.

2) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, dia akan berada dalam lindungan Allah SWT hingga sembahyang yang lain.

3) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang, dia akan masuk syurga dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah SWT akan memelihara rumahnya dan rumah-rumah disekitarnya.

4) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap-tiap shalat fardhu, Allah SWT menganugerahkan dia setiap hati orang yang bersyukur, setiap perbuatan orang yang benar, pahala nabi2, serta Allah melimpahkan rahmat padanya.

5) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah SWT mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya - mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.

6) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang, Allah SWT akan mengendalikan pengambilan rohnya dan dia adalah seperti orang yang berperang bersama Nabi Allah sehingga mati syahid.

7) Barang siapa yang membaca ayat Al-Kursi ketika dalam kesempitan niscaya Allah SWT berkenan memberi pertolongan kepadanya.

Wednesday, August 20, 2008

Mengantuk ‘penangan’ gula

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM dan AMREE AHMAD



GULA merupakan barang keperluan yang wajar dihadkan pengambilannya. – Gambar hiasan

SEGALA perkara tidak baik sering dikaitkan dengan pengambilan gula secara berlebihan. Ia merupakan punca utama diabetes, sakit jantung, kanser pankreas dan masalah obesiti.

Malah seseorang mudah mengantuk dan kurang daya ingatan jika mengambil gula berlebihan.


Pakar pemakanan Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Suhaila Mohamed memberitahu tenaga segera yang dirasakan selepas mengambil gula adalah berasaskan fakta ketidakhadaman.


Gula dalam bentuk sukrosa halus tidak dihadam di dalam mulut atau perut. Punca seseorang senang mengantuk ialah kerana gula tidak disalurkan terus ke dalam usus bawah.


Ia seterusnya memasuki aliran darah dan momentum kelajuan tambahan menyebabkan sukrosa dalam larutan gula sebenarnya membawa lebih banyak bahaya daripada kebaikan.


“Semua jenis gula di pasaran cenderung untuk menahan pengeluaran jus gastrik sekali gus menghalang kemampuan semula jadi perut untuk bergerak,” ujar Dr. Suhaila.



Memetik kajian Dr. William Coda Martin dalam bukunya William Dufty’s Sugar Blues, pengambilan gula berlebihan mengganggu fungsi otak kerana kuncinya ialah asid glumatik iaitu sebatian penting didapati dalam banyak sayuran.



Vitamin B memainkan peranan utama dalam membahagikan asid glumatik kepada sebatian tambahan antagonistik yang terus menghasilkan tindak balas terus atau kawal dalam otak.


“Apabila gula halus diambil setiap hari, bakteria akan mati dan stok vitamin menjadi rendah,” katanya sambil menambah, gula berlebihan menjejaskan fungsi semua organ dalam tubuh.


Ini kerana lebihan manisan itu mulanya disimpan di dalam hati melalui bentuk glukosa. Namun memandangkan kemampuan hati terhad, menyebabkan mengembang seperti belon.



Glikogen atau zat glukosa dikembalikan kepada darah dalam bentuk asid lemak sebelum dibawa ke setiap bahagian tubuh dan disimpan di kawasan pasif seperti perut, punggung dan paha.


Apabila organ itu penuh dengan asid lemak, ia kemudian disebarkan ke bahagian aktif seperti jantung dan buah pinggang yang akhirnya tisu merosot lalu menjadi lemak.



Malah sistem peredaran dan limfa serta kualiti darah merah berubah. Sel darah putih berlebihan dan penghasilan tisu mula perlahan.


“Kuasa pertahanan diri dan toleransi tubuh akan terhad, jadi kita tidak boleh bertindak balas dengan sempurna terhadap serangan melampau sama ada sejuk, panas, nyamuk atau mikrob,” ujarnya.



Sudah sakit baru insaf - Air kosong lebih baik untuk kesihatan


SECARA realitinya, rakyat di negara ini menggunakan gula secara berlebihan dalam menu seharian walaupun sebenarnya ia berbahaya untuk kesihatan dalam jangka masa panjang.



MASYARAKAT Malaysia gemarkan minuman manis walaupun ia boleh mengundang pelbagai penyakit. – Gambar hiasan



Tetapi adakah orang ramai dikaburi teh tarik atau air berkarbohidrat yang membasahkan tekak yang kering terutamanya pada waktu panas terik mentari?


“Pengguna negara ini apabila mendapat penyakit berbahaya baru hendak sedar. Itupun atas nasihat doktor dan kadang-kadang dilanggar juga pantang larang pemakanan kerana tidak tahan godaan,” ujar Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman.



“Gula sebenarnya mempunyai khasiat membekalkan tenaga namun apabila diambil secara berlebihan mampu mengundang penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi,” ujarnya.


Jelasnya, semua ini didorong oleh tahap kesedaran yang rendah pengguna terutama melibatkan aspek pembelian barang, penggunaan menjangkau tahap kesihatan mereka sendiri.



“Usah cerita pasal gula sahaja. Contohnya apabila harga barangan naik, dua atau tiga minggu sahaja pengguna akan bising kemudian senyap begitu sahaja walhal duit dari poket seluar itu yang semakin hilang,
“Sebenarnya wang itu hasil keringat mereka sendiri. Hak mereka untuk mendapat barang yang selamat, berkhasiat, lazat serta berpatutan tidak seharusnya dinafikan,” katanya tegas.

Katanya lagi, semasa krisis kekurangan gula terdapat cadangan alternatif lain seperti madu, gula melaka, gula kabung malah gula tiruan yang mempunyai bahan sintetik yang mungkin merbahayakan,
“Tetapi pengguna tiada banyak pilihan kerana itu sahaja sumber yang ada?” kata Mohd. Yusof.


Berbicara mengenai alternatif gula, beliau tidak dapat memberi jawapan spesifik kerana makanan itu sumber wajib kepada pengguna negara.


“Mungkin boleh kurangkan. Benda terbiasa contoh minum teh tarik setiap hari sukar untuk ditinggalkan namun jika bertekad semua boleh terlaksana,

“Orang dahulu minum air kosong sudah cukup untuk bekerja seharian biarpun panas terik terutama petani di kebun. Air kosong sebenarnya mempunyai khasiat dan tidak mengandungi pewarna dan perisa berbahaya,” katanya.

Yusof berpendapat, jika sebahagian besar kaum Cina banyak membawa bekal air kosong ke mana-mana terutama di pejabat boleh dicontohi oleh kaum lain.

“Badan sihat, otak cergas menjana produktiviti yang tinggi. Cuma ubah kebiasaan tidak menyihatkan kepada yang lebih baik,” katanya.

Sabut kelapa kitar semula


Oleh NORAINI A. GHANI




Pengusaha tanaman tembikai, Nazmi Mohd. Zain mengakui kualiti tanamannya tidak terjejas meskipun menggunakan sabut terpakai sebagai medium tanaman.
TANAMAN tidak terjejas apabila menggunakan sabut kelapa terpakai.
GUNA selagi boleh. Kalau boleh sampai sabut kelapa yang dijadikan medium tanaman itu bertukar jadi hitam legam.



Bagi pengusaha tanaman tembikai rock melon jenis glamor, Nazmi Mohd. Zain, 39, beliau tidak sanggup membuang sabut kelapa yang masih boleh digunakan begitu sahaja.



Katanya yang tinggal di Kampung Gelugor Kedai, Kuala Terengganu, tanaman jenis fertigasi bagi menanam tembikainya memberikan hasil yang lumayan kepadanya.



"Saya tidak perlu lagi bersusah payah memikirkan sabut kelapa baru yang perlu digantikan. Kualiti tanaman juga tidak akan terjejas jika menggunakan sabut terpakai walaupun lebih daripada dua kali," katanya.
Beliau ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini sanggup mengangkut sabut kelapa terpakai daripada rakan-rakan yang berniat mahu membuangnya.



Katanya, jika terdengar sahaja rakan-rakan sudah habis menuai hasil tembikai, beliau akan bertanya mengenai sabut kelapa terpakai milik mereka.



Lebih menyeronokkan katanya, apabila mereka memang mahu membuang sabut berkenaan.
"Daripada dibuang begitu sahaja baik saya 'selamatkan' sabut itu sebelum menjadi bahan buangan.
"Apabila sabut terpakai itu dikumpulkan, saya akan menggemburkannya di dalam satu bekas besar sebelum dimasukkan ke dalam poli beg.



"Selepas itu saya boleh mula menanam apa sahaja tanaman yang saya mahukan seperti terung, sawi putih, kangkung dan salad," katanya.



Walaupun beliau baru mula menanam pelbagai jenis tanaman mengikut kaedah fertigasi ini pada bulan Disember tahun lalu, dalam masa kurang setahun itu beliau tidak pernah menggantikan sabut kelapa baru.
Dia mahu menggunakan sehingga sabut kelapa yang pertama kali dibeli bernilai hampir RM1,800 sebanyak 350 guni itu sudah tidak boleh digemburkan lagi dan bertukar warna kehitaman.



"Sehingga kini saya sudah guna lapan kali sabut yang sama, tanaman yang saya tanam tetap mengeluarkan hasil seperti biasa.



"Tidak ada pula tanaman yang terencat jika menggunakan sabut lama," katanya yang mendakwa perlu bekerja keras bagi memastikan sabut kelapa terpakai digemburkan sebaik mungkin bagi mewujudkan ruang oksigen di dalam sabut berkenaan.



Jika tidak kata Nazmi, tanamannya mungkin akan terbantut kerana tidak mendapat oksigen yang mencukupi.
Ujarnya, walaupun sabut kelapa itu hanya bernilai RM5 seguni beliau perlu menggunakannya sebaik mungkin.




NAZMI melakukan kerja penanaman sayur-sayuran menggunakan sabut kelapa terpakai di kebunnya.


Menanam tembikai rock melon dengan kaedah berkenaan amat menguntungkannya, lebih-lebih lagi dia tidak perlu bermain dengan selut atau tanah.



"Saya menanam sayur-sayuran tersebut sementara menunggu tempoh rehat menanam semula tembikai rock melon yang mengambil masa sehingga sebulan.



"Sekurang-kurangnya saya mampu menjimatkan wang bagi menggantikan sabut baru sebaliknya membeli benih serta baja," katanya yang menanam tembikai berkenaan di atas tanah seluas 0.2 hektar di belakang rumah.



Berkenaan baja pula, dua buah tangki yang dicampurkan dengan baja dibina di kawasan penanaman dan disalurkan terus kepada pokok mengikut kadar tertentu.



Katanya, satu saluran paip getah kecil berwarna hitam terus dimasukkan ke pangkal pokok di setiap poli beg dan pertumbuhan tanaman bergantung kepada kualiti baja yang diberikan.



Tambah lelaki yang mempunyai lima orang cahaya mata berusia antara 14 hingga setahun itu, dengan kaedah tersebut dia tidak memerlukan kerja-kerja menyiram pokok kerana air lagi.



"Ia juga dapat mengatasi masalah tanah yang tidak sesuai untuk tanaman tertentu atau yang tidak subur. Masalah rumpai juga mampu diatasi.



"Penggunaan racun serangga mampu dikurangkan seterusnya kualiti tanaman akan menjadi lebih baik bagi mendapatkan hasil yang lebih tinggi kerana kandungan nutrien yang lengkap disalurkan kepada setiap tanaman," katanya.