Thursday, July 31, 2008

Aplikasi mengukur kalori

Aplikasi yang berasaskan web dan telefon bimbit ini membolehkan pengguna memantau diet pemakanan mereka.


HIMPUNAN pelbagai sajian di dunia yang terdapat dalam aplikasi berasaskan web ciptaan pelajar dari Thailand.


OBESITI sering dikaitkan dengan pemakanan. Salah satu puncanya ialah pengambilan kalori yang berlebihan. Bagaimana kita boleh mengetahui bilangan kalori sesuatu makanan yang kita ambil dan bagaimana kita tahu bahawa kalori yang kita ambil itu sudah melebihi had?


Sehubungan itu, tiga orang anak muda dari Thailand telah mencipta satu aplikasi yang dinamakan Calories Assistant (Pembantu Kalori). Aplikasi mereka itu diisytiharkan sebagai pemenang dalam pertandingan akhir Java Jive Serantau 2008 Sun Microsystems, sebuah syarikat pembangun teknologi global, di Singapura baru-baru ini.


Objektif cabaran ini adalah untuk melihat keghairahan inovasi di kalangan pelajar di rantau ini dalam menggunakan teknologi Web 2.0 dan sistem tertentu seperti NetBeans, Java dan Solaris Operatis System.


“Kami dapati ia satu masalah yang semakin serius di mana-mana pun di dunia ini. Di Thailand, setiap enam minit, seorang mati kerana obesiti,” kata Sirisilp Kongsilp kepada pemberita. Ketiga-tiganya merupakan pelajar Fakulti Kejuruteraan, Universiti Kasetsart.


Aplikasi tersebut yang berasaskan web dan telefon bimbit akan membolehkan pengguna memantau diet pemakanan mereka dan merangsang gaya hidup sihat.


“Doktor kata kita patut mengambil 2,200 kilokalori setiap hari, tetapi bagaimana kita boleh mengetahui jumlah kalori yang telah kita makan? Aplikasi inilah yang akan membantu kita,” ujarnya yang mewakili kumpulan yang dinamakan Snooze Monkey itu.


Berasaskan informasi bilangan kalori yang dikumpulkan daripada setiap sajian menerusi komuniti-komuniti dalam talian dan maklumat daripada pangkalan data Kementerian Kesihatan Thailand, aplikasi ini berjaya dihasilkan dalam tempoh beberapa bulan.


Selain maklumat mengenai kalori, ia turut menyenaraikan kadar protein, karbohidrat dan lemak sesuatu makanan.


Dengan memasukkan data mudah mengenai makanan ke dalam aplikasi berkenaan, ia akan menghitungkan kalorinya.


Bukan itu sahaja, aplikasi webnya turut menyimpan data pelbagai resipi dari seluruh dunia yang lengkap dengan segala maklumat. Anda juga boleh mencipta resipi baru dan turut mengetahui bilangan kalori sajian tersebut.


PENGGUNA juga boleh mencipta resipi baru dan mengetahui jumlah kalorinya.


Kongsilp berkata, seperti Facebook yang mempunyai profil pengguna, aplikasi web ini juga direka sedemikian rupa. Pengguna juga boleh menetapkan Favourite pada resipi-resipi tertentu.


Dengan aplikasi telefon bimbitnya pula, pengguna yang berdaftar dengan aplikasi tersebut akan diberikan laporan mengenai tahap pengambilan kalori harian mereka dan jumlah kalori sasaran mereka. Dengan itu, mereka akan sentiasa beringat akan pengambilan kalori.


Kongsilp turut memberitahu, maklumat itu juga boleh digunakan oleh doktor untuk mengetahui maklumat pemakanan mengenai pesakitnya.


Pertandingan Java Jive Serantau ini merupakan kali pertama diadakan. Sebelum ini ia hanya dilangsungkan di peringkat Singapura sahaja. Kali ini, ia menemukan juara-juara di Singapura, Malaysia dan Thailand. Tema kali ini ialah penjagaan kesihatan.


Kejayaan sulung ini merupakan satu pengalaman manis bagi pasukan yang dianggotai oleh Kongsilp, Rapi Kamontalapisek dan Sara Sondhisirikrit.


“Kami juga tidak menyangka untuk menang kerana dua lagi pasukan turut menampilkan aplikasi yang amat mengagumkan,” kata Kongsilp. Selaku juara, pasukan Thailand membawa pulang $3,000 dolar Singapura (RM7,200) dan setiap ahli menerima Nintendo Wii.


Kumpulan yang tewas iaitu kumpulan Singapura dan Malaysia juga sebenarnya telah menampilkan aplikasi-aplikasi yang tidak kurang hebat.


Kumpulan Singapura dari ITE College West menampilkan aplikasi yang dinamakan EPIC yang membolehkan doktor dan pesakit merekodkan butiran temu janji mereka. Dengan sistem yang digunakan juga, jaringan komunikasi sesama ahli perubatan dapat dipertingkat.


Kumpulan Malaysia dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) juga memperkenalkan aplikasi menarik, ez.nosis yang boleh mengelak daripada berlaku kekeliruan ke atas catatan atau rekod perubatan doktor semasa melakukan diagnosis. Dengan antara muka mesra pengguna, para doktor akan merekod diagnosis berasaskan Klasifikasi Penyakit Antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekali gus memperbaiki aliran kerja dunia perubatan profesional.


MENERUSI telefon bimbit, pengguna dilaporkan mengawal tahap pengambilan kalori harian mereka.


Pengarah Kanan Teknologi dan Rangkaian Pembangun Sun, Sun Microsystems, Matt Thompson yang juga salah seorang juri berkata, para juri amat berpuas hati dengan hasil kerja yang ditunjukkan oleh semua pasukan.


“Mereka semua amat pintar dan mencerminkan keupayaan masyarakat di rantau ini dalam bidang teknologi amat baik. Solusi yang mereka ketengahkan amat bagus. Kami kagum dengan apa yang mereka lakukan. Ia merupakan persaingan sengit dan markah-markah yang dicatatkan mereka sangat hampir,” katanya.

No comments: