Thursday, February 12, 2009

Matang seiring usia





Benar, cinta sesuatu yang indah, cinta boleh buat kita gundah, cinta buat hati berdarah dan cinta juga boleh membawa kekesalan yang tidak sudah. Namun, bagaimana cinta diterjemah tatkala usia semakin bertambah?

SETIAP orang mempunyai penghayatan cinta yang berbeza mengenai maksud cinta sejati. Tetapi ada juga yang tidak tahu bagaimana untuk mengenali cinta, sedangkan ia salah satu cara untuk mengenali diri seseorang.

Cinta dapat menjadikan seseorang itu bijak dan progresif. Namun ia juga boleh membuatkan seseorang itu gila, menderita atau sedih yang berpanjangan.

Semuanya bergantung kepada penghayatan seseorang menerusi pengalaman cintanya.
Cuma apa yang membezakan seseorang itu bijak menilai cinta ialah bagaimana tenaga daripada perasaan itu disalurkan kepada sesuatu yang positif.

Pendek kata, selagi makhluk bernama manusia hidup, cinta tidak akan membuatkan hidup mereka berasa bosan.

Elemen ini akan terus diulangi dalam medium seperti novel, puisi, filem, lagu dan sebagainya.

Benar, cinta sesuatu yang indah, boleh membuat kita gundah, cinta buat hati berdarah dan cinta juga boleh membawa kekesalan yang tidak sudah.

Namun, bagaimana cinta diterjemah tatkala usia semakin bertambah?
Menyelami perspektif cinta daripada individu yang mewakili peringkat usia berbeza membawa 'terjemahan' yang berbeza.

Pegawai Perhubungan Awam salah sebuah firma di Damansara, Nadia Heng, 24, menganggap cinta adalah sesuatu yang bersifat buta, melihat kecantikan dalaman dan berputik tanpa sebarang syarat.

"Cinta merupakan satu bahasa universal yang berputik tanpa sebarang syarat terhadap seseorang. Perasaan mencintai seseorang dan cinta tersebut dibalas secara ikhlas daripada insan yang dicintai adalah sesuatu yang sukar digambarkan dalam kata-kata.

"Ia boleh jadi cinta kepada Tuhan, ibu bapa atau kepada seseorang yang istimewa, sekali gus menimbulkan perasaan lebih mendalam," kata Nadia.

JAMBANGAN bunga ros antara elemen yang mewarnai Hari Kekasih.

Menyifatkan dirinya sebagai seorang yang peramah dan gemar berkawan, Nadia tidak menafikan bahawa untuk berjumpa dengan seseorang yang tepat dan mengekalkan sesuatu hubungan bukanlah sesuatu yang mudah.

"Personaliti dan tarikan penampilan menjadi antara elemen utama untuk berkenalan dengan seseorang pada peringkat awal.

"Penampilan atau kecantikan bukan satu faktor penting yang membuatkan seseorang 'jatuh cinta' terhadap insan tersebut. Bak kata pepatah Inggeris, beauty is in the eyes of beholder," kata Nadia.

Khabarnya, sejak dua tahun lalu gadis berdarah campuran Cina dan Eropah itu sedang hangat menikmati musim-musim cinta bersama jejaka yang hanya mahu dikenali sebagai Azrad.
Menurut Nadia, segala-galanya bermula apabila salah seorang teman rapat memperkenalkannya dengan Azrad. Hubungan mereka semakin intim apabila mereka sering bertemu.

Apakah yang membuatkan Nadia jatuh hati kepada Azrad? "Saya pun tak tahu. Saya rasa tiada siapa yang boleh menerangkan mengapa kita suka atau mengasihi seseorang.

"Kami 'klik' begitu sahaja dan ia membuatkan saya senyum setiap kali memikirkannya," kata gadis yang pernah menjadi model untuk beberapa iklan komersial seperti Perodua, Tomoi dan Spritzer.

Tambah bekas graduan jurusan Komunikasi Massa, Universiti Sains Malaysia (USM) itu, dia amat menyenangi Azrad kerana lelaki itu bercita-cita tinggi.

Azrad, pada pandangan Nadia adalah seorang yang bijak memujuk untuk melakukan sesuatu
yang boleh memberi kemajuan dalam hidup.

CINTA merupakan bahasa universal yang berputik tanpa syarat.

Mengupas kisah cinta lama, Nadia berkata, cinta boleh menjadi sesuatu yang sangat istimewa dan pada masa yang sama ia juga sangat menyakitkan.

Nadia pernah menjalin hubungan dengan seorang jejaka sebelum Azrad tetapi hubungan tersebut tidak dapat bertahan.

Itulah yang membuatkan Nadia lebih berhati-hati. "Ia mengambil masa yang lama untuk saya melupakan bekas teman lelaki saya. Ia sangat menyakitkan," ceritanya.

Mengenai sambutan Hari Kekasih tahun ini Nadia berkata, dia masih belum mempunyai rancangan khusus kecuali makan malam bersama teman lelakinya.

"Saya lebih gemar menyambut hari istimewa ini di rumah bersama Azrad sambil menikmati aiskrim New Zealand Natural yang menjadi kegemaran saya atau menonton program dan filem kegemaran bersama-sama sepanjang hari itu.

Cinta pada usia 30-an
Berdasarkan pengalamannya, setiap butir kata yang lahir dari mulut wanita berusia 30-an itu mengenai cinta cukup bernas.

KAD ucapan sebagai medium meluahkan perasaan kepada insan istimewa.

NADIA lebih gemar menyambut Hari Kekasih bersama aiskrim New Zealand Natural.
Pengurus Perakaunan, Salina & Associates, Lydia Wong memberitahu definisi cinta berubah mengikut usia.

"Ketika muda, kita sukar menerima ketidaksempurnaan orang lain. Tetapi apabila usia semakin meningkat, seseorang itu lebih bersikap memberi dan menerima.
"Malah, cinta akan berkembang menjadi satu bentuk hubungan yang disirami dengan persefahaman, memaafkan dan kesediaan untuk menerima kelemahan pasangan. Sedangkan sewaktu kita muda, susah untuk kita menerimanya," kata Lydia.

Ibu kepada dua orang cahaya mata itu memberitahu, hubungan positif juga menjadi semakin penting. Individu terbabit akan melihat semula apa yang telah disumbangkan dalam perhubungan dan pengorbanan apa yang diberikan oleh pasangan.

Sewajarnya, kita memberi lebih banyak daripada apa yang diterima selama ini.
Lydia berpendapat, cinta juga memerlukan elemen rasa percaya. Semakin lama hubungan itu berlangsung, semakin banyak kepercayaan pada pasangan diperlukan.

"Apa yang boleh dilakukan oleh pasangan yang sudah berusia ialah menghabiskan lebih banyak masa bersama seperti pergi bercuti dalam tempoh yang pendek.
"Saya juga lebih gemar menghabiskan hari-hari istimewa terutamanya Hari Kekasih atau ulang tahun perkahwinan kami di rumah dengan memasak makanan kegemaran suami dan meluangkan masa berkualiti bersama insan yang dicintai," tambah Lydia.

Lydia bersetuju bahawa semakin berusia, rasa cinta menjadi semakin penting. Malah perasaan itu tidak terhad kepada suami isteri sahaja, tetapi juga melibatkan hubungan dengan anak-anak dan rakan taulan.

"Meraikan Hari Kekasih? Ya, memang penting semasa beliau remaja terutama apabila kawan-kawan mula mendapat jambangan bunga ros.

"Jadi, semua orang terbawa-bawa perasaan mahu meraikan Hari Kekasih," jelasnya.
Tetapi hari ini Lydia sudah tidak kisah dengan semua itu. Walaupun tidak pernah mengharapkan apa-apa, wanita bertuah itu tetap menerima hadiah istimewa pada Hari Kekasih daripada suami tercinta.

Oleh JAGATHESWARY

No comments: