Thursday, June 4, 2009

Berita Sains

Susun gen tikus

AKHIRNYA, para saintis berjaya mengatur susunan genetik tikus selepas mengambil masa selama 10 tahun. Haiwan kecil itu telah menjadi bahan uji kaji saintis hampir di seluruh dunia. Penemuan terbaru itu dijangka dapat membantu mengatasi penyakit yang dihadapi oleh manusia.

Uji kaji ke atas tikus kini boleh dilakukan pada tahap yang lebih tinggi apabila satu pemahaman khusus dibina di antara kod genetik tikus dan manusia. Ini kerana 75 peratus daripada gen tikus adalah sama dengan manusia.


TIKUS mempunyai gen yang hampir sama seperti manusia.


Susunan itu yang dilakukan di Universiti Oxford, United Kingdom (UK), meliputi keseluruhan nukleus satu sel. Ia berfungsi seperti sebuah ‘buku’ bagi apa jua hidupan. Selepas manusia, tikus adalah mamalia kedua yang berjaya mempunyai satu pengaturan genetik yang sempurna.

Sebelum ini, satu draf telah dikeluarkan tentang susunan genetik monyet, anjing, tikus dan kucing. Bagaimanapun, tikus adalah haiwan yang paling banyak digunakan dalam mengenali penyakit yang dihidapi manusia dan bagaimana ia mula merebak.

Antara penyakit yang memerlukan tikus sebagai bahan uji kaji termasuklah kanser, kencing manis dan kardiovaskular.

Sel kanser boleh kembali

KANAK-KANAK yang berjaya melawan penyakit kanser sewaktu muda, mungkin masih belum bebas sepenuhnya daripada kanser. Ini kerana kajian mendapati kemungkinan besar mereka akan diserang lagi pada masa akan datang. Berbanding faktor genetik, jenis terapi yang digunakan kini dikatakan adalah penyebabnya.


KANAK-KANAK yang terselamat daripada kanser perlu menjaga kesihatan mereka kerana risiko kanser berulang.


Kajian ke atas hampir 50,000 orang mendedahkan bahawa mereka yang telah didiagnosis selepas tahun 1975, memperlihatkan sedikit kenaikan risiko kanser kerana rawatan yang diambil adalah agresif.

Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa rawatan itu telah membantu meningkatkan jumlah survival pesakit kanser kanak-kanak.

Dikendalikan oleh sekumpulan pengkaji dari Institut Kajian Wabak Penyakit Kanser di Copenhagen, Denmark, ia melibatkan sebanyak 47,679 pesakit yang didiagnosis dengan kanser sebelum berusia 20 tahun, antara tahun 1943 dan 2005.

Data itu dikumpul dari negara Denmark, Finland, Iceland, Norway dan Sweden. Dalam setiap satu kes, pesakit yang pulih sepenuhnya terdedah sebanyak tiga kali ganda kepada kanser baru. Risiko itu wujud sehingga usia mereka 70 tahun.

Hutan Afrika menyusut

HUTAN di benua Afrika semakin berkurangan berbanding kawasan hutan yang lain di dunia disebabkan ketiadaan hak pemilikan yang sah.

Kurang dua peratus daripada hutan itu berada di bawah kawalan komuniti berbanding satu pertiga di Amerika Latin dan Asia, ujar jurucakap dari organisasi Inisiatif Hak Milik dan Sumber Afrika.

Jika disamakan dengan kadar penebangan hutan dunia, hutan di Afrika ditebang empat kali ganda lebih cepat berbanding dengan purata masa yang sama di peringkat dunia. Dengan kadar tersebut, negara-negara di benua itu terpaksa mengambil masa selama 260 tahun bagi mencapai proses pemuliharaan seperti yang dilakukan di hutan Amazon.


PENEBANGAN pokok di Afrika berlaku secara berleluasa kerana tiada pemilikan sah ke atas tanah.


Laporan yang disediakan itu mengatakan bahawa pemberhentian aktiviti penebangan hutan, perubahan cuaca dan usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat dapat mengurangkan masalah yang dihadapi.

Para penyumbang dalam penulisan laporan itu turut membandingkan pembahagian hak milik tanah di 39 negara tropika yang mewakili 96 peratus daripada hutan tropika global. Mereka mendapati masyarakat Afrika mempunyai sedikit kuasa ke atas hutan mereka berbanding dengan penduduk di negara tropika lain.

Andy White, koordinator Inisiatif Hak Milik dan Sumber Afrika menambah, kegagalan untuk menyerahkan hak milik sah kepada Orang Asli dan wanita, boleh menyebabkan kegagalan menangani masalah penebangan hutan dan cuaca dunia.

Kurus tua sebab penyakit

MEREKA yang berbadan besar atau obes pada usia pertengahan menghadapi risiko yang tinggi untuk menjadi terlalu kurus pada kemudian hari, jelas penyelidik dari Finland. Kajian yang dilakukan ke atas lebih daripada 1,000 lelaki mendapati bahawa, mereka yang gemuk pada usia 30-an atau 40-an, menghadapi risiko penyakit lain pada usia lanjut.

Dipercayai penyakit itu menjadi penyebab seseorang lelaki menjadi terlalu kurus pada usia tua walaupun tidak menunjukkan sebarang komplikasi kesihatan.


LELAKI yang obes sewaktu pertengahan usia dikatakan akan menjadi kurus ketika tua.


Dalam kajian itu, kumpulan penyelidik menganalisis secara dekat golongan lelaki yang berusia 25 tahun hingga 70 tahun.

“Adalah penting untuk mengesan simptom-simptom ini sejak awal lagi agar masalah yang berkaitan dengan kematian dan kecacatan kekal dapat dihindari,” kata Ketua Penyelidik, Dr. Timo Strandberg.

Pada masa akan datang, para penyelidik berharap dapat mengetahui secara mendalam tentang kumpulan yang memiliki kesihatan yang baik seperti mengekalkan berat badan yang ideal sehingga mencecah usia 60-an dan 70-an.

No comments: