Thursday, June 11, 2009

Loya dan muntah semasa mengandung


LOYA dan muntah adalah pengalaman yang biasa untuk mereka yang mengandung terutamanya mengandung untuk kali pertama.

Lazimnya, ia berlaku sebaik sahaja puan mendapati ujian mengandung air kencing menjadi positif dan mungkin akan reda pada minggu ke-20.

Walaupun kejadian loya serta muntah ini tidaklah teruk tetapi sekiranya berterusan boleh memudaratkan.

Sebagai wanita yang mengandung, puan sebaiknya berbincang dengan doktor untuk mendapat perawatan sewajarnya supaya proses mengandung dapat menjadi pengalaman yang indah.

Penyebab rasa loya

Puan perlu berbangga apabila mengandung sebab puan sekarang dalam pencapaian tertinggi fisiologi seseorang wanita.

Sebagai seorang ibu mengandung, puan menjadi individu yang teristimewa dan lain dari sebelumnya. Mengandung juga bukanlah satu bentuk penyakit!

Apabila puan mengandung, banyak perubahan berlaku pada diri seperti peningkatan hormon wanita estrogen dan progesteron yang juga berperanan dalam masalah loya serta muntah-muntah.

Bagi kebanyakan ibu-ibu mengandung, loya-loya serta muntah-muntah ini tidaklah memudaratkan dan tidak mengganggu kehidupan sosial.

Bagaimanapun, sekiranya permasalahan ini keterlaluan, loya dan muntah ini akan dilabelkan sebagai Hyperemesis Gravidarum.

Muntah dan loya yang keterlaluan akan menyebabkan berlakunya penurunan berat badan, kurangnya cecair badan dan mungkin juga fungsi hati terganggu serta membawa masalah kepada kehidupan seharian.

Kesan kepada ibu dan kandungan

Biasanya loya-loya serta muntah yang biasa tidaklah memudaratkan puan serta janin.

Masalah akan berlaku hanya sekiranya puan mengalami Hyperemesis Gravidarum.

Segeralah berjumpa dengan doktor untuk menerima bantuan sokongan serta perawatan yang sewajarnya.

Sehingga sekarang tidak ada cara untuk mengelakkan puan daripada mengalami loya-loya serta muntah, dan mungkin keterlaluan sekiranya dikatakan hanya dengan tidak mengandung boleh membantu.

Ada kajian yang mendapati multivitamin tertentu boleh membantu mengurangkan kesengsaraan ibu yang sedang mengandung.

Di HUSM, puan akan dinasihatkan supaya menyediakan buku nota kecil dan mencatatkan apa sahaja yang mencetuskan rasa loya serta muntah ini, kemudian digalakkan sekiranya berupaya mengelakkan pencetus tersebut.

Puan juga dinasihatkan supaya:

1. Cuba mengambil biskut-biskut tawar sebaik sahaja bila bangun dari tidur.

2. Mengelakkan makanan berlemak dan juga makanan yang berempah ratus.

3. Hidangan makanan juga diperbanyakkan dari tiga hidangan besar sehari menjadi lima atau enam hidangan sehari.

4. Elakkan bau-bauan yang mencetuskan loya-loya serta muntah puan.

5. Berehat secukupnya.

Ada juga mereka yang menerima rawatan alternatif seperti memakan halia, rawatan akupuntur P6, hipnosis dan sebagainya.

Mendapatkan rawatan doktor

Puan perlu perhatikan perkara-perkara berikut, dan sekiranya berlaku, segeralah berjumpa dengan doktor:

1. Puan memuntahkan darah.

2. Puan tidak boleh langsung minum atau makan tanpa mencetuskan loya-loya serta muntah yang teruk.

3. Jumlah air kencing puan menjadi sedikit dan warnanya bertambah gelap.

4. Apabila puan berdiri, puan rasa pening dan berkemungkinan rebah pengsan.

5. Degupan jantung puan dapat dirasai dan juga puan berdebar-debar.

Sekiranya ini berlaku, puan akan dinasihatkan supaya dimasukkan ke wad untuk rawatan selanjutnya.

Air kencing puan akan diuji untuk kehadiran bahan kimia 'keton', darah diambil untuk ujian-ujian kimia dan juga fungsi-fungsi organ seperti hati.

Air gula dan juga air bergaram akan dimasukkan melalui sistem pembuluh vena. Vitamin seperti B6, doxylamine dan juga ubat-ubat anti loya dan muntah akan diberikan sebagai rawatan tambahan.

Jangan runsing, loya-loya dan muntah-muntah akan reda dengan peningkatan minggu kandungan, dan mungkin menjadi normal pada minggu ke 20.

No comments: