Friday, July 17, 2009

Tiada nas puasa tiga bulan

petikan dari utusan online
MEGA: Umat Islam digalakkan puasa sunat bulan Rejab dan Syaaban tetapi ada yang amalkan puasa tiga bulan iaitu dari bulan Rejab hingga Ramadan. Adakah ada dalil yang menyuruh berbuat demikian?

AHMAD HUSNI: Yang pertama nasihat saya kepada diri saya dan semua, agar melatih diri memahami sesuatu hukum terutama berkaitan ibadah secara jelas sebelum melakukannya. Dikhuatiri apabila ibadah itu dilakukan tanpa sandaran yang kukuh, ia akan tertolak.

Berkenaan puasa dalam ketiga-tiga bulan ini iaitu Rejab, Syaaban dan Ramadan berturut-turut sebenarnya tidak mempunyai asas pendalilan yang kukuh. Sebagaimana komentar oleh Ibnu Hajar al-Asqalani mengenai hadis-hadis tentang kelebihan berpuasa tiga bulan berturut-turut ini adalah hampir semuanya daif dan sebahagiannya maudhu' (palsu) dan tidak terlepas dari kritikan oleh para ulama hadis.

Antaranya ulasan Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya Al-Manar al-Munif bahawasanya ciri-ciri hadis puasa Rejab, Syaaban dan Ramadan berturut-turut adalah dikategorikan sebagai hadis yang tiada asal baginya.

Justeru, secara mudahnya kita dapat memahami dalam disiplin ilmu hadis sekalipun, hujahan hadis daif dalam perkara melibatkan hukum dan ibadat perlu dilihat dan diteliti terlebih dahulu. Jika terdapat hadis lain yang menyokong atau memperkuatkan maka boleh dinilai sebagai pembantu dalam hujah.

Namun pada masa yang sama terdapat beberapa hadis lain yang sahih memberi panduan kepada kita tentang puasa sunat ini yang seolah-olah mengisyaratkan perkara sebaliknya.

Contohnya, kita ambil hadis tentang puasa yang terbaik dikhabarkan oleh Nabi SAW ialah puasa Nabi Daud a.s yang bermafhum: Sebaik-baik puasa ialah puasa nabi Allah Daud a.s iaitu beliau berpuasa sehari dan berbuka sehari. (riwayat Bukhari).

Ini bermaksud perakuan nabi Muhammad SAW sendiri terhadap kondisi puasa yang terbaik iaitu secara berselang seli hari, juga sebagai jawapan kepada persoalan sahabat yang datang bertemu baginda SAW dan menyatakan mahu berpuasa berterusan tanpa berbuka.

Begitu juga terdapat larangan menyambung puasa dua hari berturut-turut kecuali dalam Ramadan yang disebut sebagai wisal. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: Janganlah kamu menyambung puasa antara satu hari dengan hari yang lain (wisal). Jika ada yang menyambungnya sekalipun hanyalah sekadar sampai ke waktu sahur berikutnya sahaja. (riwayat Bukhari No. 1963,1967, Abu Daud 2361 Dan Ahmad 10671, 11152).

Berdasarkan kaedah fiqh jika wujud pertembungan antara sesuatu arahan dengan larangan maka larangan itu diutamakan. Jadi dalam hal ini kita harus berlapang dada dan menerima dengan baik apa yang thabit dari Rasulullah tentang anjuran dan kaedah berpuasa sunat kerana yang terbaik adalah menurut sunah Rasulullah.

Walau bagaimanapun tidak dinafikan terdapat beberapa hadis yang warid mengenai pahala berpuasa dalam bulan Syaaban antaranya seperti yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a dalam Sahih Bukhari bahawasanya beliau sering melihat Nabi berpuasa dalam bulan Syaaban.

Disebabkan ganjaran besar bagi yang berpuasa di bulan Rejab dan Syaaban, ada yang menunggu bulan-bulan ini untuk qada puasa Ramadan. Apakah hukum berbuat begini?

AHMAD HUSNI: Sekiranya seseorang itu meninggalkan puasa Ramadan kerana uzur syari'e, maka waktu baginya untuk mengqadakan puasa adalah bermula selepas Ramadan sehinggalah menjelang Ramadan tahun berikutnya. Justeru, tiada masalah bagi yang menangguhkannya untuk melaksanakan qada dalam bulan Syaaban.

Namun begitu, mengikut Abu Husain Yahya bin Abi al-Khair al-I'mrani dalam kitabnya Al-Bayan menyatakan sebaik-baiknya puasa qada itu disegerakan bahkan sunat dipercepatkan perlaksanaannya setelah berlalunya Ramadan.

Cuma ada sedikit peringatan yang diberikan oleh Dr. Yusuf al-Qardawi terutama dalam hal berkaitan dengan qada puasa dengan menyatakan bahawasanya manusia tidak memiliki umurnya sendiri dan tidak tahu bila ajal tiba.

Justeru adalah lebih baik disegerakan mengganti hutang kita dengan Allah sebelum tibanya ajal kerana hutang terhadap Allah adalah lebih berhak untuk ditunaikan dengan segera.

Akibat ghairah beribadat, ada isteri yang terlupa memberitahu suami untuk berpuasa sunat. Apa hukum puasanya?

AHMAD HUSNI: Puasanya tidak sah. Adalah wajib untuk si isteri memberitahu akan niatnya berpuasa dan meminta izin terlebih dahulu daripada suaminya kerana dikhuatiri suaminya berhajat untuk si isteri melayaninya. Jika suami tidak mengizinkan, maka sebagaimana kaedah fiqh sesuatu yang wajib jika bertembung dengan yang sunat maka yang wajib mesti diutamakan. Mentaati suami adalah wajib, manakala puasa itu pula adalah sunat.

Dalam hal ini terdapat satu hadis riwayat Imam Bukhari bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda: Tidak halal bagi isteri berpuasa sunat sedangkan suaminya ada di sisinya melainkan dengan izin suaminya. Dalam lafaz yang lain dari Abu Daud: "Kecuali pada bulan Ramadan."

Justeru, perbuatan menurut kehendak suami itu tidak termasuk dalam hukum tidak harus mentaati jika arahan melakukan maksiat, kerana puasa yang ingin dilakukan adalah tathawwu' (sunat).

Tetapi jika puasa itu adalah puasa yang wajib seperti Ramadan maka hukum untuk tidak mentaati suami yang menyuruh kepada maksiat ini adalah terpakai dan wajib bagi si isteri melaksanakan perintah Allah dengan berpuasa.

Ada juga mereka terlupa berpuasa sunat bulan Syaaban, sehinggalah ke penghujung bulan. Bolehkah mereka berpuasa pada tarikh-tarikh begini (antara 29 dan 30 Syaaban @ disebut hari syak)?

AHMAD HUSNI: Dalam masalah ini terdapat beberapa perbincangan ulama yang wajar kita perhatikan. Pertama apakah yang dimaksudkan dengan Hari Syak? Dalam kitab Al-Fiqh al-Manhaji dan juga Al-Imrani dalam Al-Bayan daripada Al-Mas'uudi menyatakan bahawasanya yang dimaksudkan dengan hari syak itu ialah pada hari ke 30 Syaaban. Iaitu hari yang padanya wujud syak di kalangan masyarakat, sama ada telah masuk 1 Ramadan atau masih lagi berada dalam bulan Syaaban kerana tidak nampak anak bulan Ramadan atau kemungkinan rukyah tiada.

Dalam hal ini, puasa pada hari tersebut dianggap haram mengikut pandangan dalam Mazhab Imam al-Syafie dan beberapa sahabat Nabi SAW antaranya Umar al-Khattab, Ali, Ibnu Abbas, Ibnu Mas'ud dan Abu Hurairah. Bahkan hendaklah dianggap bahawasanya hari tersebut merupakan hari terakhir dalam Syaaban iaitu hari ke 30.

Ini berdasarkan kepada satu hadis yang sahih menurut pandangan Imam al-Tirmizi dan diriwayatkan juga oleh Abu Daud daripada hadis Ammar bin Yasir bahawasanya Rasulullah pernah bersabda: "Barang siapa yang berpuasa pada hari syak, maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Aba al-Qasim (Nabi SAW)".

Ada juga ulama yang berpendapat sekiranya pada hari syak tersebut jatuh pada hari kebiasaan seseorang itu berpuasa sunat misalnya pada hari Isnin dan Khamis, atau kebiasaan berpuasa sunat sebelum pertengahan bulan Syaaban maka diharuskan berpuasa namun meninggalkannya adalah lebih baik dengan mengambil pendekatan keluar dari khilaf (al-Khuruj min al-Khilaf) dalam sesuatu masalah fiqh, bahkan ia adalah lebih disukai (mustahab).

Pendapat ini adalah bersumberkan satu hadis daripada Abu Hurairah bahawasanya Nabi SAW pernah bersabda: Jangan kamu mendahului bulan Ramadan dengan berpuasa sehari atau dua hari lebih awal, kecuali puasa yang berkebetulan dengan kebiasaan (adat) seseorang di kalangan kamu… (riwayat Bukhari 1914, Muslim 1082, Abu Daud 2335 dan al-Tirmizi 684.)

No comments: