Tuesday, May 20, 2008

Kesihatan - Baik Buruk

MESRANYA KACA

ADA banyak sebab mengapa air atau jus yang anda minum dari botol yang diperbuat dari kaca lebih enak rasanya berbanding air daripada botol plastik. Ini disebabkan sifatnya yang tidak poros dan ia menyelamatkan kandungan isinya daripada mengalami tindak balas kimia yang dipengaruhi udara.
Sifat tersebut menghalang kemasukan udara dari liang tembus yang sangat halus, yang lazimnya wujud pada bekas seperti plastik atau polistirena. Kaca tulen (bukan tulen adalah seperti kaca akrilik) tidak mempunyai kandungan berbahaya yang boleh memberi kesan pada bahan yang terdapat di dalamnya. Jika air dalam botol plastik dinasihatkan tidak diminum setelah ia berada di bawah sinar matahari atau suhu panas terlalu lama, air dalam botol kaca pula masih selamat untuk diminum.
Kaca juga merupakan unsur yang mesra alam sekitar kerana dicipta daripada bahan alam semula jadi iaitu pasir (silika). Kaca yang dilupus juga akan kembali bertukar menjadi unsur alam yang tidak toksik kepada tanah atau air. Namun itu bukan bermakna anda boleh membuang bahan kaca sesuka hati! Ingatlah untuk mengitar semula.


KAYU MANIS

"BANYAK kebaikan gastronomi dan perubatan boleh dihasilkan dari penggunaan kayu manis."
JIKA anda mengalami masalah tidur, cuba petua ini. Siapkan segelas susu hangat di dalam cawan dan kemudian kacau dengan sebatang kayu manis. Apabila suhunya berkurangan, tambah sedikit madu dan teruskan mengacau.
Biarkan kayu manis itu terendam sehingga anda meminumnya. Aroma susu dengan perisa kayu manis itu boleh membantu anda menenangkan diri dan tidur.
Sejak sekian lama kayu manis digunakan dalam perubatan tradisional, selain fungsinya yang menambah perisa masakan. Dalam ilmu Ayurveda, kayu manis dipercayai mujarab untuk meredakan masalah penghadaman dan demam selesema.
Jurnal perubatan Diabetes juga telah membuktikan kesan baik kayu manis dari sudut saintifik. Dalam sebuah kajian di kalangan penghidap kencing manis, pengambilannya dalam dos tertentu membantu pesakit mengembalikan paras gula darah ke bacaan yang memuaskan.


AGEN PELAWAS

MEREKA yang taksub menurunkan berat badan cara pantas biasa melakukannya. Begitu juga dengan penghidap bulimia dan anoreksia nervosa. Yang dimaksudkan adalah pengambilan pil atau cecair pelawas yang berlebihan untuk pembuangan air besar yang mudah dan menghalang penyerapan lemak.
Walaupun penurunan berat badan boleh berlaku, ramai yang tidak tahu bahawa tabiat itu boleh memudaratkan usus dan juga melemahkan tulang. Risiko kesihatan ini dipanggil osteomalacia. Teh pelangsing juga mengandungi kandungan herba seperti aloe, minyak jarak dan kaskara yang merupakan ramuan pelawas.
Jika terus diambil tanpa kawalan, seseorang boleh mengalami komplikasi seperti loya, kejang dan sebu perut, muntah-muntah, pengsan, pendarahan dubur, gangguan elektrolit tubuh, dan nyahhidrat. Pengambilan secara melampau juga dikhuatiri menjadi sebab di sebalik kes kematian akibat gangguan kardiak.


ANCAMAN DUDUK

SEBUAH kajian di Pusat Kesihatan Universiti McGill, Montreal, Kanada mendapati terdapat peratusan yang relevan tentang kaitan kematian mengejut bayi yang berusia kurang dari setahun dengan keadaan duduk terlalu lama. Sama ada bayi itu dilahirkan cukup bulan atau tidak, penyelidik kajian itu menasihatkan ibu bapa agar berhati-hati dalam menjaga kedudukan rehat bayi.
Peringatan juga ditekankan mengenai kelaziman meletakkan bayi di tempat duduk khas dalam kereta untuk menempuh perjalanan jauh.
Semua itu ada kaitan dengan tekanan paras oksigen berbanding ketika bayi dalam keadaan berbaring.
Sedangkan orang dewasa juga digalakkan untuk berdiri dan berjalan sebentar setelah duduk terlalu lama supaya dapat melancarkan peredaran darah, inikan pula bayi!

No comments: