Thursday, May 22, 2008

Panduan - Kisah Hidup

Apabila suami jadi duri dalam daging

''KISAH minggu lalu 'jangan cari lelaki 100 peratus sempurna' amat menarik perhatian saya, terutama pandangan Azmibaharin yang mendakwa rugi andartu yang takut kahwin. Saya sering tertanya apakah pada usia 40 tahun ini masih ada jodoh dalam hidup saya?
''Bagi saya, tiada seorang wanita di bumi ini yang tidak mahu bernikah, disayangi dan mendapat kasih sayang dan perlindungan daripada suami. Bukan saya takut untuk bernikah dan bukan mencari lelaki sempurna tapi ramai lelaki sempurna atau separuh ataupun suku sempurna sudah berkahwin, saya tak sanggup ambil suami orang.
''Saya percaya jodoh bertemuan, rezeki dan ajal maut telah ditetapkan oleh Allah. Saya bukan tak ada kawan, tetapi setelah berkawan begitu lama, dia kahwin dengan orang lain. Setelah masalahnya saya bantu.
''Pernah juga saya berkawan dengan suami orang asalnya nak buat kongsi bisnes, tetapi isterinya menyerang saya konon nak rampas suaminya. Kerana saya ada maruah, saya tinggalkan dia. Saya tak mahu perkahwinan saya menjadi masalah dalam hidup saya. Kerana mana ada isteri yang sanggup bermadu?'' demikian kata Ros dalam e-melnya tentang pengalaman jadi andartu dan pernah diserang isteri orang.
Kita tinggalkan dulu kisah Ros. Di bawah ini dipaparkan pula pengalaman seorang isteri bernama Arfah yang bermadu dengan wanita Indonesia, kini walaupun suaminya sudah menceraikan isterinya itu beberapa kali tetapi mereka tetap tinggal seperti suami isteri.
Arfah dalam e-melnya dan ketika kami berbual di telefon memberikan 14 panduan kepada kaum wanita supaya jangan mudah terpedaya dengan pujuk rayu suami, dan butakan mata kerana sayangkannya, akhirnya hidup merana dikelilingi hutang.
''Minggu lepas saya baru saja melangsaikan hutang saya berjumlah RM10,000 untuk membayar hutang kad kredit dua buah bank, hutang rumah yang tertunggak, dan hutang dengan saudara. Saya terpaksa membuat pinjaman koperasi untuk menyelesaikan hutang tersebut setelah saya menerima surat dari peguam.
''Saya menangis membayar hutang kad kredit yang berjumlah lebih RM7,000, sebab bukan saya yang gunakan kad kredit tersebut sebaliknya suami saya yang pakai, sementara saya disuruh mengambil kad tersebut untuk kegunaannya. Lagi sakit hati saya bila bil yang sampai menunjukkan suami saya gunakan untuk tidur di hotel, pergi melancong, membeli pakaian yang satu pun bukan milik saya. Sebaliknya dia gunakan dengan isterinya yang telah diceraikan itu. Siapa tak sakit hati.
''Penderitaan yang saya tanggung bersama tiga orang anak saya amat berat, bukan setakat hutang yang dia buat, tetapi perbuatannya yang memalukan dan langsung tidak tahu agama, sanggup tinggal dengan jandanya yang telah berkali-kali dia melafazkan cerai. Oleh itu janganlah jadi macam saya elakkan kesalahan yang saya lakukan seperti di bawah ini.
''Pertama buat baik dengan suami berpada-pada, suami akan ambil kesempatan dari kebaikan dan kelemahan kita. Kerana terlalu sayangkan suami kami jadi pak turut. "
"Kedua, jika anda bekerja peratus anda akan ditipu oleh suami amat tinggi, dia akan memujuk anda mengikut katanya, akhirnya anda terperangkap dengan hutang yang dibuatnya".
''Ketiga, jika anda tidak berpuas hati dengan kelakuan dan kekurangannya, beritahu dia terus terang, supaya dia boleh mengubah kelakuannya, kerana kalau sudah lama dibiarkan ia akan terlanjur melepaskan diri, anda sendiri akan susah nanti."
" Keempat, wajibkan diri sendiri membuat simpanan walaupun sedikit, dan simpan dalam buku akaun rahsia dan jangan beritahu suami."
''Kelima, dari awal perkahwinan suruh suami bertanggungjawab dalam soal perbelanjaan makan minum supaya dia tahu tugasnya dalam rumah tangga dan anak-anak. Berlembut bermakna anda sendiri akan tanggung keluarga anda sampai mati. "
''Keenam, jika anda bekerja janganlah kedekut untuk berbelanja sedikit dari pendapatan anda untuk memanjakan diri sendiri dengan membeli pakaian baru, alat solek dan sebagainya demi untuk menjaga penampilan diri sendiri."
''Ketujuh jika anda sedar perubahan diri suami, belajarlah jadi penyelidik sebelum terlambat. Bergaduh di peringkat awal lebih baik daripada bergaduh di peringkat akhir apabila nasi dah jadi bubur."
" Kelapan, jika suami ada urusan dengan pendatang asing terutamanya dari Indonesia berhati- hatilah kerana kebanyakan mereka adalah golongan yang pernah jadi@#$%^&."
''Kesembilan, jangan terlalu banyak berkorban untuk suami, kerana suami tidak tahu makna dan menghargai pengorbanan yang anda lakukan. Sebaliknya dia akan selalu meminjam dan berhutang untuk kepentingan dirinya sendiri. "
"Kesepuluh, selalulah buat spot-check telefon bimbitnya. Kalau ada yang meragukan, menyamarlah dan buat panggilan, manalah tahu nama di telefon Subra sedangkan nama sebenarnya Suraya. Begitulah nama-nama lain."
''Kesebelas, jangan percaya suami 100 peratus. Kerana banyak berlaku suami yang suka balik malam cuba menyorokkan bekas atau lebam-lebam bukan sahaja pada lehernya, malah pada badan suami. Dan jangan percaya dengan kata-katanya tentang kesan lebam tersebut."
''Kedua belas, jika suami ada sebut-sebut kononnya nak sewa bilik lain konon nak jimat duit membeli minyak petrol berulang-alik ke tempat kerja yang jauh atau dia selalu kata nak keluar dari rumah, itu maknanya dia dah ada cawangan atau dah nikah di tempat lain."
''Ketigabelas, jangan percaya suami 100 peratus. Kerana terlalu percaya, suami yang tak pernah berbohong boleh bertukar jadi penipu dan pembohong, terutama bila dia dah ada teman perempuan lain."
''Keempatbelas, apabila suami berusia 40-an masih tak berubah jadi baik, masih tak kenal tikar sembahyang, tak tahu jalan ke surau atau ke masjid, maka dia akan semakin ligat keluar malam, dan akan menjadi semakin payah untuk berubah jadi orang baik.
''Kerana biasanya apabila usia mencecah 40-an tahun seseorang lelaki itu akan bertukar langkahnya dari jarang ke surau jadi kenal masjid, rajin sembahyang, tetapi kalau masih ligat keluar malam, bermakna dia akan sukar menjadi orang baik hinggalah usianya semakin tua hingga tidak ada bekalan apabila dia dijemput oleh Izrail nanti.

''Inilah kesilapan dan kealpaan yang telah saya lakukan dalam melayari bahtera rumah tangga selama 18 tahun dengan suami. Kini rumah tangga saya umpama retak menunggu belah.
''Semasa dia berkahwin dengan perempuan ini tahun lalu saya dah jumpa kadi minta nasihat sebab perkahwinannya tak jelas. Bila suami saya ceraikan si Indon ini beberapa bulan kemudian kami pergi ke rumah seorang ustaz meminta nasihat, sebab nama saja dah bercerai, tetapi siang malam dia masih ke rumah perempuan itu. Untuk kepastian tentang taraf nikahnya, dia bawa perempuan itu ke rumah ustaz tersebut.
''Di rumah itulah perempuan ini menjerit-jerit tak mengaku diceraikan, dan dia tak peduli berapa ratus kali pun dia diceraikan, tetapi padanya dia masih suami isteri. Dia melepaskan marah kepada saya yang membawa kesnya, dengan menunjuk penumbuk ke arah saya sambil menunjal jarinya ke kepala saya. Suami saya sepatah pun tak berani bersuara.
''Sebenarnya saya menjadi mangsa kekejaman suami yang terlalu mengikut hawa nafsu dan ingin berpoligami sedangkan dia tidak mampu. Sebab itulah saya ditipu dan wang simpanan saya habis dikikis atas dasar untuk menolong dia membangunkan semula syarikatnya tetapi sebenarnya wang itu digunakan untuk melayan kehendak si perempuan itu.
''Dulu suami saya bekerja sambil buat bisnes, katanya kalau nak senang hidup kita mesti kerja kuat dan buat dua kerja sekali gus, kerana simpati kononnya dia selalu bekerja keras untuk keluarga, saya buat pinjaman bank untuk dia besarkan bisnesnya. Tapi tembelangnya terbongkar apabila kawannya kata dia bukannya buat bisnes, sebaliknya kahwin lagi.
''Mulanya saya tak percaya, tetapi kerana selalu tak balik ke rumah dan kalau balik pun setelah pukul 2 atau 3 pagi, barulah saya percaya. Tambahan pula dia langsung tak beri duit makan minum kami anak beranak, sebaliknya menyerahkan tugas itu kepada saya menguruskannya.
''Perubahan yang paling jelas dia jadi garang dengan saya, sebaliknya jadi penakut bila berdepan dengan perempuan itu. Malah dia ditegah datang ke rumah saya. Ini saya kesan setiap kali suami saya balik ke rumah, dia akan hantar SMS ugutan kepada saya dan menyuruh suami saya balik cepat. Memang dia berjaya kawal hidup suami saya. Kerana dia jadi penakut.
''Tapi bila suami saya balik ke rumah nak minta duit saya, dia tak paksa suami saya balik segera. Tetapi selepas dapat duit dia terus pulang. Perniagaannya tidak dapat bertahan lama terus gulung tikar, begitu juga dengan pekerjaannya yang tak memuaskan menyebabkan dia kena buang kerja.
''Saya sungguh sedih kerana dia sudah tidak kenal halal haram semuanya kerana dia takutkan perempuan yang menjadi johan boling, johan piring terbang, johan boxing Siam, johan silat gayung, johan karate, dan banyak lagi kejohanan yang disandangnya.
''Selama dia sibuk dengan urusan perniagaannya, saya yang mengambil segala tanggung jawabnya sebagai ayah. Saya yang mendidik anak-anak, melayan kehendak mereka dan segala-galanya seolah-olah mereka tidak berayah lagi.
''Inilah juga kesalahan saya kerana dia sibuk berniaga sayalah yang menguruskan rumah tangga, makan minum dan sebagainya, akhirnya dia merasakan dirinya tak ada tanggungjawab dan oleh kerana dia merasa ada banyak duit maka dia mampu berpoligami, inilah yang dilakukannya sampai sekarang, apabila dia tidak berani melepaskan diri daripada genggaman wanita Indon tersebut.
''Saya sedih kerana ditipu selama empat tahun mereka bersekedudukan sebelum bernikah tahun lepas. Allah maha penyayang melindungi saya dari sebarang penyakit kerana sebelum dengan suami saya perempuan ini suka bertukar-tukar lelaki. Dia juga mengamalkan ilmu hitam menyebabkan suami saya tidak bernafsu kepada saya dan tidak suka pulang ke rumah.
''Mungkin juga apa yang dilalui oleh suami saya ini disebabkan dosa-dosanya yang lalu, Allah mengajarnya dengan menarik rezekinya apabila dia diberhentikan kerja dan bisnesnya gulung tikar, tetapi dia tidak pernah insaf.
''Hidup saya kini umpama duri dalam daging, jika dibiarkan duri itu akan sentiasa menusuk daging kita hingga menanah, tetapi jika dikeluarkan sakitnya hanya ketika duri itu dikeluarkan sahaja, selepas itu ia akan pulih. Begitulah juga dengan hidup saya jika bercerai mungkin pahit di peringkat awal, akhirnya ia akan menjadi okey. Tetapi jika saya masih menjadi isterinya, hidup saya akan terseksa hingga ke akhir hayat,'' demikian cerita Arfah mengakhiri pengalaman pahit dalam hidupnya.
Katanya, bukan dia seorang sahaja yang menghadapi masalah seumpama itu, malah ramai lagi, bukan mereka ingin kahwin lagi jika diceraikan, sebaliknya dia tidak mahu masalah hidupnya menjadi penyakit yang sukar diubati.
Tetapi tidak ramai wanita yang berani bangkit untuk bertindak melepaskan diri, sebaliknya masih ramai yang menunggu sambil berharap suaminya akan berubah satu hari nanti. Namun terpulanglah kepada pembaca membuat kesimpulan sendiri.(petikan utusan 22/05/2008)

No comments: