Wednesday, September 10, 2008

Mercun ancam sel deria dengar

MERCUN merupakan suatu yang sinonim dengan Ramadan, walaupun dari segi ajaran Islam perbuatan bermain mercun ini dilarang kerana ia merupakan suatu yang menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan.

Bermula dari kes-kes melecur berdarah, jari-jemari yang meletup patah, keilatan kekal yang menyebabkan hilang upaya untuk bersekolah bahkan ada yang tergadai nyawa menyaksikan keluarga meratapi pemergian tanda menyesal tak sudah.

Bilangan mangsa yang terlibat akibat perbuatan bermain mercun ini nampaknya semakin pantas memintas bilangan hari umat Islam berpuasa.

Baru seminggu berpuasa, bilangannya telah bertambah berganda-ganda. Jika ingin dibilang dengan jari, maka tidak cukup jari-jari kita untuk menghitung bilangan jari mangsa mercun yang telah putus.

Kejadian empat buah rumah kedai yang hangus terbakar di Kampung Melor, Kota Bharu pada hari Jumaat lepas telah jelas menunjukkan bahawa mercun ini adalah suatu ancaman yang berbahaya, bukan sahaja kepada orang yang bermain dengannya bahkan meletakkan harta benda awam dan nyawa orang di sekeliling juga dalam risiko yang tidak kurang impaknya.

Sesungguhnya kesan mercun itu bukan sahaja terbatas kepada kemusnahan yang dapat dilihat secara fizikal sahaja.

Gangguan bunyi bising kepada jiran-jiran beranak kecil yang sedang tidur, jemaah yang sedang menghidupkan malam Ramadan dengan ibadat di masjid dan rumah, serta penghidap sakit jantung dan lemah semangat pastinya tersentak dengan setiap bunyi mercun yang diledak oleh budak-budak dan bapa-bapa budak yang meletakkan kepuasan diri mengatasi kepentingan semua.

Suatu kesan yang mungkin sering terlepas pandang akibat bunyi bising mercun ini ialah kerosakan deria pendengaran. Mercun yang diletupkan mengeluarkan bunyi pada tahap desibel yang melampau, bukan dalam julat yang selesa untuk telinga manusia normal mendengarnya.

Telinga manusia, spesifiknya struktur koklea pada bahagian telinga dalam telah dilengkapi dengan sel-sel deria dengar yang berhubungan dengan saraf pendengaran. Pendedahan kepada bunyi bising yang melampau akan menyebabkan sel-sel yang amat sensitif kepada bunyi ini mengalami kerosakan.

Mungkin pada peringkat awal, gangguan pendengaran ini adalah sementara iaitu pendengaran akan terganggu sebaik sahaja tamat stimulasi bunyi bising tersebut dan ia pulih semula seketika kemudian.

Keadaan ini disebabkan oleh fenomena anjakan tahap pendengaran sementara (temporary threshold shift). Walau bagaimanapun, jika pendedahan bunyi bising ini berlaku secara berulang-ulang atau berlaku dalam tempoh yang lama, kerosakan yang berlaku boleh menjadi kekal (permanent threshold shift).

Pada waktu tersebut, tiada apa lagi yang boleh dibuat. Nasi telah menjadi bubur, sel deria dengar telah pun hancur, pendengaran yang hilang tidak akan kembali walau air mata darah sekalipun yang dicucur.

Walaupun dentuman mercun menjanjikan sedikit kenikmatan, itu hanyalah amat sementara jika ingin dibandingkan dengan kerosakan yang akan kekal sepanjang hayat kita.

Kerajaan telah memainkan peranannya untuk menghalang kemasukan mercun namun ada sahaja yang berjaya melepasi halangan kastam lalu berjaya diseludup masuk.

Di sinilah ibu bapa sepatutnya memastikan bahawa anak mereka bukanlah salah seorang yang diburu oleh penduduk kampung akibat bermain mercun yang mengganggu ketenangan dan keheningan malam Ramadan.

Bukan itu sahaja, sebarang usaha anak-anak ini untuk membuat mercun sendiri patut dibanteras bermula sejak dari awal lagi.

Pastikan dengan siapa mereka bergaul, di mana mereka berada sewaktu para jemaah sedang khusyuk bersolat di masjid pada malam hari, ke mana mereka pergi setelah habis solat tarawih dan apa yang lebih penting ialah menerapkan dengan ilmu pengetahuan betapa bermain mercun ini bukan sahaja tidak disukai ibu bapa, bahkan jiran tetangga turut bengkak hatinya, sumpah seranah orang kampung menjadi seperti zikir yang sambung menyambung antara satu sama lain.

Semua ini adalah bertentangan dengan ajaran agama, jauh sekali untuk mencapai objektif puasa pada bulan Ramadan iaitu untuk menjadi manusia yang bertakwa.

Nikmat boleh mendengar yang telah dikurniakan Tuhan ini telah diciptakan dalam keadaan yang sebaik-baiknya.

Betapa mereka yang dilahirkan tanpa deria pendengaran terpaksa bersusah payah dan mengeluarkan belanja untuk menikmati suatu yang kita dapat secara percuma.

Pendengaran yang dianugerahkan adalah amanah kita, maka kita akan dipersoalkan tentang bagaimana kita mengguna dan menjaganya.

Hindarkanlah diri dari perkara-perkara yang boleh merosakkan pendengaran kita kerana pendengaran kita, tanggungjawab kita.

DR. IRFAN MOHAMAD
Pensyarah Jabatan
Otorinolaringologi (ENT)
HUSM, Kelantan

petikan dr utusan malaysia

No comments: