Tuesday, July 22, 2008

Jururawat di rumah

Privasi, lebih cepat sembuh dan kos rendah menyebabkan ia kini menjadi trend.




KELIBAT jururawat berbasikal yang datang ke rumah untuk memberikan rawatan kepada ibu lepas bersalin pada era 70-an semakin dilupakan.


Namun khidmat jururawat bergerak ini belum lenyap sepenuhnya. Bezanya, mereka kina tiba menggunakan kereta, manakala kepakaran mereka juga hampir setaraf dengan seorang doktor.


"Perubahan dalam bidang perubatan menyebabkan fungsi bidan moden semakin diterima terutamanya oleh ibu muda," ujar Naimah Mohd. Yunus, 51, jururawat Pusat Perubatan Islam Az-Zahrah di Bangi, Selangor.


TIDAK sekadar memberi rawatan, sesi kaunseling turut diberikan kepada ahli keluarga bayi.


Menurut Naimah, pendekatan yang digunakannya adalah gabungan tradisional dan moden.


"Walaupun saya agak praktikal dalam aspek pemakanan semasa dalam pantang, namun amalan bertungku, memakai bengkung dan mengurut masih saya titik beratkan," jelasnya.


Ujar Naimah lagi, rutin rawatan bergantung pada keselesaan pesakit dan selalunya ia dilakukan pada awal pagi.


"Tiada hari yang khusus bagi saya termasuk masa walaupun tugas saya secara rasmi bermula pukul 8 pagi dan berakhir 5 petang," katanya.



TRADISIONAL atau moden, asasnya adalah memberi keselesaan pada bayi.


Pengalaman selama 12 tahun dalam bidang kejururawatan memberi kelebihan kepada Naimah untuk mengenal pasti penyakit yang mungkin dihadapi oleh bayi dan si ibu.


Merawat ibu lepas bersalin adalah sebahagian daripada perkhidmatan rawatan dan penjagaan di rumah yang ditawarkan poliklinik itu.




Disebabkan pengalaman luasnya, penyakit seperti jaundis dan penyakit kulit yang mudah menyerang bayi boleh diketahui Naimah hanya melalui pengamatan mata kasar.


"Kadangkala, gerak hati dan pengamatan pada sesuatu yang tidak kena pada bayi atau ibu lebih membantu meskipun terdapat peralatan perubatan yang disediakan," katanya.


Biarpun bertahun lamanya berada dalam bidang ini, Naimah tidak terlepas daripada dihimpit cabaran ketika merawat pesakitnya di rumah.


"Sekiranya di hospital, kita mempunyai bantuan daripada doktor dan jururawat yang lain di samping peralatan yang lebih mencukupi.


"Namun disebabkan terpaksa melakukan seorang diri dan kadangkala peralatan tidak sebaik di hospital, persediaan awal sebelum ke rumah pesakit juga penting," ujarnya.


Bercerita lanjut, walaupun beliau sendiri seorang ibu dan jururawat, kadangkala perasaan panik dan gementar tetap ada kerana segala kemungkinan boleh berlaku.


"Paling takut ialah ketika mengurut, si ibu berasa tidak selesa atau kawasan abdomen mereka sakit tiba-tiba. Jadi, saya terpaksa memeriksa dan menentukan keadaannya terlebih dahulu sebelum meneruskan sesi mengurut," katanya.


Keadaan beginilah yang membezakan kaedah bidan tradisional dengan moden kerana pendekatan yang digunakan lebih teratur dan berasaskan kemahiran perubatan sebenar.


Menyentuh mengenai peralatan pula, Naimah berkata, tiada perbezaan ketara kecuali kalau bayi atau ibu memerlukan rawatan dan penjagaan istimewa.


"Melainkan ubat-ubatan dan suntikan, semua yang lain boleh disediakan sendiri oleh keluarga bayi," jelasnya.


Disebabkan trend perbidanan ini semakin berubah, tidak mustahil rawatan di rumah menggunakan jururawat akan lebih diterima orang ramai pada masa depan.


"Di Az-Zahrah, rawatan di rumah bukan sahaja melibatkan aspek penjagaan ibu lepas bersalin malah penjagaan bagi pesakit usus besar, penukaran beg air kencing, penjagaan luka, suntikan serta ubatan khusus. Penggunaan tiub makanan turut ditawarkan pada harga berpatutan," jelas Naimah.


Tegasnya lagi, jenis perkhidmatan jururawat peribadi ini semakin mendapat sambutan malah kemahiran mereka sentiasa menjadi rebutan.


No comments: