Friday, October 31, 2008

Patutkah bayi menonton TV?

Hampir setiap seorang kanak-kanak di bawah usia dua tahun memiliki set televisyen sendiri. Adakah ini digalakkan?

IBU BAPA kerap kali membiarkan bayi menonton TV ketika mereka sibuk melakukan kerja di rumah.
SEORANG ibu berhenti menonton rancangan ER selepas anak pra-sekolahnya cuba melakukan bantuan kecemasan mulut ke mulut (CPR) kepada adiknya.

Seorang ibu pula tertawa besar apabila bayi berusia 15 bulannya cuba mendendangkan lagu McDonald dengan nada 'ba, ba, boppa, ba' setiap kali kereta mereka melintasi kawasan restoran makanan segera itu.

Boleh dikatakan satu pertiga daripada generasi muda (bayi berusia sehingga enam tahun) Amerika Syarikat (AS) hidup dalam persekitaran yang bertemankan televisyen pada kebanyakan masa. Demikian pendedahan oleh sebuah kajian yang mengkaji kontras antara nasihat pakar pediatrik dengan apa yang dibenarkan oleh ibu bapa.

Malah, menempatkan televisyen di dalam bilik tidur juga bukan sesuatu yang asing pada dewasa ini. Hampir setiap seorang kanak-kanak di bawah usia dua tahun memiliki set televisyen sendiri meskipun Akademi Pediatrik AS tidak menganggap ia satu idea yang bagus membenarkan anak menonton televisyen pada usia itu.
Dewasa ini, lapan dalam setiap 10 orang kanak-kanak berusia di bawah enam tahun akan menonton televisyen, bermain permainan video atau komputer pada hari-hari biasa. Menurut satu kajian yang didedahkan oleh Yayasan Keluarga Kaiser AS baru-baru ini, secara purata, hampir dua jam dihabiskan di depan skrin pada kebanyakan masa berbanding hanya 48 minit untuk membaca.

Yayasan tersebut melaporkan, bilangan anak-anak muda yang 'melekat' di depan skrin tidak pernah berubah sejak topik tersebut diperdebatkan lima tahun lalu.

Dalam kajian susulan dan sesi berkumpulan pula, ibu bapa ditanya mengapa televisyen dan media elektronik yang lain dipilih.

Ketua Penyelidik, Victora Rideout berkata, sebilangan generasi ibu bapa hari ini mendorong penggunaan televisyen, permainan video dan komputer sejak awal usia anak lagi.

"Ibu bapa ini berkata, televisyen mengajar mereka bagaimana untuk berkongsi dan memudahkan pembelajaran ABC anak-anak. Televisyen juga memberi ibu bapa ruang dan masa untuk memasak dan mandi. Mereka menjadikan televisyen sebagai ganjaran untuk membantu menidurkan anak," katanya.

Biarpun sesetengah ibu bapa mengehadkan rancangan menakutkan atau permainan video yang melampau untuk tontonan anak, terdapat juga generasi muda yang langsung tidak mengambil peduli.
"Bagi mereka, ia bukan sesuatu yang menakutkan. Sebaliknya, anak kecil saya juga teruja menemani saya menonton rancangan CSI: Crime Scene Investigation," jelas seorang ibu.

Meskipun terdapat juga kajian yang mengaitkan televisyen (dalam bilik tidur) dengan masalah tidur si anak, rasional di sebaliknya ialah membiarkan anak menonton rancangan kesukaannya sendiri.

Kebanyakan pakar bagaimanapun kecewa dengan kenyataan bahawa ibu bapa sebenarnya tidak boleh hidup tanpa televisyen!

"Kita hanya memiliki televisyen kira-kira lima dekad lalu. Televisyen tidak ada yang baik atau buruknya. Matlamat sekarang bukan untuk menjurangkan hubungan anak dengan teknologi. Sebaliknya, bagaimana untuk mengoptimumkan pengalaman anak dengan teknologi seperti televisyen," jelasnya.

Kumpulan pakar pediatrik mengesyorkan agar televisyen atau media elektronik lain dihindarkan daripada anak berusia dua tahun ke bawah.

Tidak berhasrat dilihat sebagai antitelevisyen, seorang pakar pediatrik, Dr. Daniel Broughton berkata, usia dua tahun adalah tempoh perkembangan paling pantas untuk otak seorang bayi berusia dua tahun.

"Jadi, interaksinya dengan hubungan sebenar bersama manusia bukan sesuatu yang boleh diberikan oleh televisyen," terangnya.

(picture)
BANYAK kajian menunjukkan televisyen memberi kesan kepada perkembangan minda kanak-kanak.

Sesetengah kajian juga mengaitkan tontonan televisyen pada usia muda boleh menjurus kepada masalah gangguan tumpuan.

"Kita ingin ibu bapa mengawasi anak mereka. Satu sebabnya ialah menonton stereotaip etnik dan kelakuan yang buruk dalam televisyen boleh menjadi pengaruh. Jadi, ibu bapa, perlu menerangkan kenapa anak tidak patut meniru apa yang dilihat seratus-peratus," tambahnya. - AP

No comments: