Friday, October 31, 2008

Tanggungjawab seperti orang dewasa

ZAMAN remaja merupakan fasa perkembangan paling mencabar.

MANUSIA merupakan makhluk yang hidup berkembang daripada satu fasa kepada satu fasa kehidupan lain. Zaman remaja merupakan zaman perkembangan yang amat mencabar.
Zaman remaja merangkumi zaman baligh yang dikaitkan dengan zaman apabila seseorang sudah memiliki kesempurnaan dari segi pemikiran. Perkembangan ini berlaku mengikut tahap perkembangan seseorang sama ada terjadi secara serentak atau secara perlahan-lahan.
Untuk menentukan seseorang itu sudah baligh, kita boleh kenal pasti melalui dua faktor iaitu secara tabii dan baligh secara umur. Baligh tabii dilihat secara fisiologi berbeza antara anak remaja lelaki dan perempuan.
Bagi remaja lelaki tahap ini adalah yang dianggap sudah mempunyai keupayaan untuk memperoleh zuriat jika berkahwin. Berlaku perubahan yang besar dari segi fizikalnya berbanding zaman kanak-kanak.
Anak perempuan juga akan memperlihatkan perubahan yang ketara dari segi tubuh badannya.
Menurut pendapat ulamak, baligh umur ditentukan berasaskan kepada tiga perspektif iaitu bila seseorang genap umur 15 tahun qamariah, kedua ketika kanak-kanak mula berumur 15 tahun dan selepas enam bulan kanak-kanak berumur 15 tahun (Kitab al-Mahalli).
Menurut pendapat al-Auzaci, Imam Ahmad, Al-Shafice Abu Yusuf dan Muhammad bersepakat bahawa umur 15 tahun merupakan had baligh bagi seorang anak remaja.
Baligh bermakna seseorang telah mukalaf iaitu cukup umur yang menandakan kewajipan untuk menunaikan perintah Allah dan meninggalkan larangannya.
Apabila mencapai usia baligh maka kanak-kanak lelaki akan berubah menjadi anak lelaki remaja dan kanak-kanak perempuan akan berubah menjadi anak perempuan remaja.
Pada waktu inilah berlaku perubahan dan perkembangan fizikal serta sikap begitu pantas dan ketara. Sabda Rasulullah: ‘Tiga orang yang dilepaskan daripada sebarang tanggungjawab; seseorang yang tidur sehinggalah dia terjaga, seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh dan seorang gila sehinggalah dia siuman’ – Hadis riwayat Abu Daud.
Ibn Umar satu ketika pernah berkata dengan maksudnya: “Rasulullah tidak mengizinkan beliau untuk menyertai peperangan Uhud. Ketika itu beliau berumur 14 tahun. Sebaliknya diizinkan kepada beliau untuk menyertai peperangan Khandak ketika itu beliau berumur 15 tahun.”
Apa tanggungjawab anak remaja akil baligh? Jawapannya jelas bahawa anak remaja pada ketika ini sudah mempunyai tanggungjawab seperti seorang dewasa.
Sebagai seorang remaja Islam mereka sudah boleh dinilai dari segi dosa dan pahala. Dalam erti kata lain, garis panduan kehidupannya jelas. Anak remaja mesti tahu menjaga batasan aurat dan cara gaya berpakaian.
Dalam mengawal dorongan seksual, remaja perlu menjauhi perkara yang menyebabkan terarah kepada perbuatan merangsang nafsu seperti melayari laman web lucah. Tontonlah bahan yang boleh mendatangkan manfaat kepada diri kita dan jauhkan diri daripada mendedahkan diri dengan perlakuan dan pemikiran yang mendatangkan dosa.
Kawalan seksual juga merangkumi kawalan pendengaran, percakapan dan tingkah laku.

No comments: