Friday, October 31, 2008

Penyakit keanak-anakkan

Apakah bentuk penjagaan yang patut diberikan kepada pesakit nyanyuk?

MALAYSIA dianggarkan mempunyai kira-kira 50,000 orang pesakit Alzheimer (AD) atau nyanyuk. Berbanding dengan Amerika Syarikat yang mempunyai anggaran empat juta pesakit AS, angka ini mungkin tidak begitu signifikan. Namun, AD merupakan punca paling umum bagi dementia iaitu kemerosotan fungsi mental seperti memori, pemikiran dan keupayaan daya pembelajaran.

Simptom-simptom ini agaknya nampak umum tetapi secara kasarnya, terdapat 10 tanda amaran tentang penyakit AD yang perlu diketahui oleh ahli keluarga mahupun penjaga terdekat.

Pertama, kemahiran dan prestasi kerja yang terganggu akibat kehilangan daya ingatan jangka masa terdekat. Kedua, pesakit mungkin berdepan dengan kesukaran melaksanakan tugasan yang biasa dilakukannya.

PERUBAHAN dari segi personaliti, tingkah laku dan pesakit tersalah meletak barang juga tidak patut dipandang remeh.

Dalam satu ceramah awam yang dianjurkan oleh Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia dan Novartis Corporation (M) Sdn. Bhd. (Norvatis), baru-baru ini, pakar kaji uzur dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Lee Fatt Soon berkata, pesakit AD turut menghadapi masalah dalam bahasa.

"Pada kebiasaannya, petanda pertama pesakit sudah mengalami kenyanyukan adalah ketidakupayaan untuk mengingati perkara yang baru berlaku dalam kehidupan hariannya. Seterusnya, mungkin timbul perubahan daripada corak pertuturan atau percakapan.

"Misalnya, pesakit mempunyai masalah menggunakan perkataan yang betul, lebih cenderung mencari perkataan yang ringkas atau sememangnya menghadapi kesukaran memilih perkataan yang sesuai," katanya.
Selain itu, pesakit AD juga mengalami kesulitan atau kurang orientasi dalam mengecam masa serta tempat.

Daya pertimbangan yang semakin merosot turut menyukarkan pesakit dalam membuat keputusan.

Sungguhpun punca sebenar berlakunya AD masih belum dipastikan oleh pakar perubatan, tetapi, petanda seperti perubahan dari segi personaliti, tingkah laku dan kecenderungan tersalah meletak barang juga tidak patut dipandang remeh.

Perubahan dari segi tingkah laku termasuk menolak bantuan orang lain, sukar mengawal pembuangan air besar atau kecil, ketidakstabilan emosi, berhalusinasi dan menghadapi masalah tidur.

SEPERTI juga orang yang normal, penghidap AD merupakan insan yang berperasaan.

Keadaan seperti ini semestinya membuatkan ahli keluarga yang lain khasnya penjaga terdekat berasa resah. Namun, jika penjaga dilengkapi dengan maklumat serta pengetahuan yang betul, bebanan pengendalian pesakit AD boleh diringankan sedikit.

Kemahiran menjaga pesakit AD boleh diasah menerusi rujukan kepada garis panduan praktikal yang melibatkan pihak penjaga dan juga pesakit itu sendiri.

Sebuah buku panduan kecil yang dikeluarkan oleh Persatuan Gerontologi Malaysia menerusi sumbangan Novartis telah menekankan lima aspek penting dalam penjagaan pesakit AD.

Jika anda juga menetap bersama dan menjaga seseorang yang menghidap AD, anda disarankan memberi sokongan agar pesakit mampu berdikari suatu hari nanti. Seperti juga orang normal yang lain, penghidap AD merupakan insan yang berperasaan.

Justeru, anda perlu berhati-hati agar tidak membincangkan perkara berkenaan diri mereka secara terang-terangan.

Seboleh-bolehnya juga, elakkan sebarang pertelingkahan atau percanggahan pendapat. Ini kerana hanya dengan suasana yang tenang dan selesa serta disuntik dengan sedikit humor mampu mengurangkan tekanan mental kedua-dua pihak.

Apabila berkomunikasi dengan pesakit, cuba sedaya upaya bercakap dengan jelas, lembut dan perlahan-lahan. Elakkan daripada menggunakan perkataan yang terlalu kompleks kerana seperti yang disebutkan tadi, penghidap AD mempunyai masalah dengan bahasa.

Dalam soal berbicara, sesetengah penjaga mungkin hilang kesabaran tetapi percayalah hanya dengan perasaan tenang, penjaga dapat membantu pesakit. Pesakit yang banyak bertanyakan soalan barangkali sangat melecehkan.

Namun, penjaga boleh menggunakan kaedah yang lebih kreatif seperti menerusi bantuan petanda-petanda visual (objek atau gambar) untuk membantu pesakit memahami mesej yang ingin disampaikan.

Sebut sahaja perkataan nyanyuk, tidak kurang ramai yang suka mengaitkan masalah dengan sikap keanak-anakkan seorang warga emas. Ada ketikanya penjaga seakan kehilangan akal saat ada di kalangan pesakit yang terlalu melekat kepada penjaganya. Jadi, apakah yang boleh dilakukan?

Menurut Dr. Lee, keadaan seperti ini menguji ketabahan seorang penjaga. Sama ada penjaga boleh meminta bantuan seorang lagi pembantu untuk 'mendapatkan sedikit ruang bagi diri sendiri', atau sediakan sesuatu untuk menarik perhatian pesakit.

Bagi masalah berhalusinasi atau delusi pula, warga emas yang menghidap AD ada ketikanya takut ditinggalkan berseorangan atau tersilap identiti bagi orang-orang yang rapat dengannya.

"Ingatlah bahawa realiti seorang pesakit AD dengan orang biasa adalah tidak sama. Dalam keadaan takut, mereka sebenarnya memerlukan ketenangan dan sentuhan lembut daripada penjaga atau ahli keluarga terdekat bagi memberikan mereka rasa selesa.

"Elakkan daripada bergaduh tentang apa yang dilihat. Sebaliknya, cuba alihkan perhatian kepada sesuatu yang lebih menarik dalam bilik tersebut," katanya.

No comments: