Friday, May 16, 2008

Keluarga - Dengar anak cakap

Oleh NORAINON OTHMAN

JIKA mendapat anak pendiam, kita sering menggelarnya ‘berat mulut’ dan risau dengan perkembangan itu. Lebih-lebih lagi jika dia baru melangkah ke alam persekolahan, tidak pernah mengadu apa-apa mengenai kejadian yang berlaku di sekolah, tetapi sering pulang ke rumah dengan calar dan luka serta pakaian kotor. Pasti terdetik di hati ibu bapa sama ada anaknya menjadi mangsa buli.Berlainan pula dengan situasi dihadapi ibu bapa jika si kecil tidak berhenti-henti bercakap hingga terpaksa diminta diam buat seketika. Seperti orang dewasa, watak anak tidak sama walaupun mereka adik-beradik.

Kerenah anak kecil walaupun kadangkala memeningkan, tetapi itulah penawar duka dan penghilang kebosanan ibu bapa. Kasih sayang dan perhatian ibu bapa umpama semangat untuk anak terus hidup dan mempunyai perkembangan baik dalam kehidupan sehariannya.Anak bukan hanya perlu disediakan makan pakai, tetapi juga belaian dan kasih sayang.

Ibu bapa bertanggungjawab mengasuh dan memberi pelajaran secukupnya bagi membolehkan anak berkembang sebagai individu sihat.Dalam mendidik anak, adakalanya kita terlepas pandang beberapa perkara penting yang sepatutnya diberi perhatian kerana kesibukan urusan seharian, sama ada di rumah atau pejabat. Pada waktu senggang, mungkin ibu bapa beranggapan mahu berehat dan tidak mahu diganggu, sedangkan itulah waktu yang pada si anak dirasakan sesuai untuk dia meluahkan isi hati kepada ibu bapa.

Sebagai ibu bapa, kadangkala kita tidak memberi peluang untuk anak bersuara atau memberi pendapat, sebaliknya meminta dia mengikuti segala arahan dan kehendak kita kerana beranggapan ibu bapa memiliki kuasa veto terhadap si kecil.Beri kesempatan untuk anak bercerita, meluahkan isi hati serta pendapat. Dengar ceritanya dengan teliti dan jangan memotong percakapannya.

Hati anak perlu dijaga seperti anda menghormati orang dewasa lain.Apabila anak bercakap, duduk di depannya atau berdampingan serta tatap wajahnya supaya dia berasa dihargai, bukan melayan si kecil berbual sambil sibuk membuat kerja rumah (terutama ibu) dengan mata dan fokus terhadap pekerjaan yang dilakukan.

Selain itu, (terutama bapa) elak bercakap dengan anak dengan membelakanginya, membaca surat khabar atau menonton televisyen. Jangan disebabkan yang bercakap itu ialah anak kecil, kita melayannya sambil lewa, tidak seperti kita melayan orang dewasa atau sahabat kita berbual.Walaupun masih kecil, anak mengerti sama ada orang tuanya berminat atau tidak mendengar cerita yang disampaikannya.

Jika ibu bapa tidak berminat melayannya berbual, dia mungkin tidak berminat untuk bercerita di lain masa.Siapa tidak sayangkan anak, apatah lagi anak kandung, tetapi tidak semua ibu bapa mampu menyatakan perasaan itu secara terus terang. Ada ibu bapa berharap anak sedar segala pengorbanan yang dilakukannya selama ini adalah tanda kasih sayang pada anak.

Berharap saja tidak memadai, sebaliknya belajar untuk menzahirkan kasih sayang dengan belaian dan kata-kata terhadap anak. Ini kerana, anak kecil mudah memahami kata-kata daripada tindakan yang dilakukan ibu bapa.Jika dia dimarahi, dia tahu ibu bapa berbuat demikian kerana menyayangi, bukan sebab benci.

TIP
  • Suara anak kecil tidak harus diperkecilkan kerana kadangkala mampu memberi pandangan bernas.
  • Meminta buah fikiran anak dapat membantu anak mengasah ketajaman akal untuk berfikir.
  • Jangan memperkecilkan pendapat anak, sebaliknya beri galakan untuk dia menyediakan pandangan lebih bijak.

No comments: