Friday, May 16, 2008

Panorama - Alam Sekitar

Syurga pencinta alam

oleh Yooga Rani Murugiah

"CAMERON Highlands di Banjaran Titiwangsa begitu popular di kalangan pelancong tempatan dan asing yang cintakan keindahan alam semula jadi, flora dan fauna. "

CAMERON Highlands di Banjaran Titiwangsa begitu popular di kalangan pelancong tempatan dan asing yang cintakan keindahan alam semula jadi, flora dan fauna.Sebagai pusat peranginan tanah tinggi terbesar di Malaysia, ia dikelilingi kawasan hutan simpan yang tebal.

Cameron Highlands memang menjanjikan percutian menarik. Dengan udara bersih dan nyaman serta suhu antara 14 hingga 22 darjah selsius, pusat pengeluar sayuran, bunga dan teh ini nyata memberi keselesaan dan ketenangan kepada mereka yang inginkan suasana privasi, tenang dan nyaman.

Oleh kerana iklim sejuk dan tanah subur di Cameron Highlands sesuai untuk pelbagai jenis tanaman seperti teh, strawberi, bunga ros, kaktus dan jagung, majoriti penduduk setempat menjadikan kegiatan pertanian sebagai sumber pendapatan mereka.Menaiki kenderaan sendiri merentasi jalan bengkang-bengkok dari Simpang Pulai atau Tapah ke lembah Cameron cukup meletihkan.

Namun, kepenatan ini tidak dirasai apabila mata segar dijamu dengan pemandangan sekeliling yang begitu mempesonakan.Memang pemandangan sekitar ke kawasan tanah tinggi ini memukau. Sama ada belok ke kanan atau kiri, pasti mata tidak lekang menyaksikan keindahan panorama tanaman sayuran, bunga dan teh yang bertaburan bagaikan hamparan permaidani hijau.

Apa yang istimewanya, melalui jalan berliku-liku yang dibina mengikut kontur bukit, anda boleh nikmati kehijauan tanaman di sepanjang lereng bukit, pelancong sibuk membeli pelbagai buah tangan dan hasil tani yang segar di situ, saujana mata memandang.Jika bertuah, sambil menaiki bukit ini, anda akan terserempak dengan Orang Asli menjual akar kayu dan hasil tani lain.Penduduk Orang Asli ini masih mendiami lereng bukit dan di sepanjang kawasan tanah tinggi Cameron Highlands sejak dahulu.

Sebaik sampai di Cameron Highlands, kunjungan anda tidak lengkap jika tidak menjamah strawberi segar atau melawat kebun tanaman strawberi yang diusahakan menggunakan teknologi hidroponik dan sistem tanaman semula jadi.Selain memetik sendiri strawberi yang harum di kebun strawberi Raaju Hill di Kea Farm, tinjau sekali ladang dan kilang teh yang menunjukkan cara daun teh segar dikutip dan diproses menjadi serbuk di Ladang Teh Boh di Sungei Palas.

Di samping Ladang Teh Boh dengan kafeteria yang unik, membolehkan anda menghirup teh harum sambil menyaksikan keindahan ladang teh dari puncak bukit, Cameron turut memiliki dua lagi ladang yang tidak kurang popular, Bharat Tea Plantation dan Blue Valley yang dibuka untuk kunjungan ramai.

Pengalaman bercuti di Cameron Highlands memang menyeronokkan apatah lagi jika anda sukakan alam semula jadi. Malah pelancong yang melawat setiap ladang teh dan kebun sayuran serta tanaman lain, pasti diberi penerangan mengenai kegiatan dijalankan di situ. Malah penjual juga tidak keberatan menunjuk ajar, selain membawa pelawat meninjau taman berkenaan.Untuk kemudahan penginapan yang selesa dan mewah, anda boleh memilih Hotel Equatorial Cameron Highlands yang menawarkan harga berpatutan ketika promosi selain pakej lawatan ke semua destinasi di Cameron Highlands.

Info

  • Lokasi : Cameron HighlandsTempat menarik: Ladang Teh Boh Palas, Ladang Teh Cameron Valley dan Blue Valley, kebun strawberi di Brinchang, kebun tanaman sayuran, Ros dan Cactus Valley, Taman Rama-Rama, Air Terjun Robinson.
  • Bagaimana ke sana: Perjalanan menaiki kenderaan sendiri dari Tapah atau Simpang Pulai ke Cameron Highlands mengambil masa kira-kira sejam setengah. Anda akan merentasi pekan Ringlet, Tanah Rata dan Brinchang.
  • Cameron Highlands mempunyai tiga pekan iaitu Ringlet, Tanah Rata dan Brinchang. Jika Brinchang menempatkan ladang teh dan strawberi, Tanah Rata tertumpu kepada penanaman sayuran. Bunga ros, matahari dan orkid selain sayur seperti kobis dan tomato yang dibungkus sekali dalam satu pek boleh dibeli pada harga RM5.
  • Bagi peminat bunga ros dan pelbagai pokok bunga eksotik, Pusat Ros di Brinchang menawarkan bunga ros pelbagai warna. Di sini, anda boleh mendapatkan kombinasi spesies bunga raya, orkid, periuk kera dan tumbuhan hutan.
  • Daripada pusat ros, anda perlu memandu beberapa kilometer ke hadapan hingga sampai ke Lembah Kaktus, yang juga di Brinchang.
  • Taman kaktus terbesar ini menempatkan lebih 1,000 spesies kaktus di kawasan berlandskap seakan-akan padang pasir.
  • Melihat bekalan kaktus yang diperoleh dari Belanda dan China ini begitu unik selain harganya begitu murah, pasti membuatkan penggemar kaktus membeli pulang beberapa pokok kaktus sebagai hadiah buah tangan untuk keluarga dan rakan.

No comments: